Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT Oleh ANGELINA SINYANG dan FARHANA JONI YUSSIBNOSH Balo (kanan) bersalaman dengan Abdul Jalil Bujang semasa penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah, Sarawak, semalam. - BERNAMA MUKAH 17 Mac - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan seorang bekas pegawai daerah yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan seorang usahawan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Shafrie Saili mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, sebagai calon BN manakala Setiausaha PKR Cabang Bintulu, Abdul Jalil Bujang, 55, mewakili parti itu. Pengumuman itu dibuat pukul 10.10 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini. Yussibnosh menyerahkan borang penamaan calon pada pukul 9.05 pagi manakala Abdul Latif berbuat demikian pukul 9.12 pagi. Pilihan Raya Kecil DUN Balingian diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya bekas Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-10 pada 2011, Abdul Taib memperoleh majoriti 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Balingian melibatkan calon BN, PKR dan calon Bebas. Seramai 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Balingian termasuk 133 pengundi awal. Jumlah keseluruhan pengundi itu terdiri daripada Melayu (57.65 peratus), Iban (28.99 peratus), Cina (12.59 peratus) dan lain-lain (0.41 peratus), Orang Ulu (0.22 peratus) serta Bidayuh (0.14 peratus). Sebanyak 21 pusat mengundi akan dibuka iaitu sebuah pusat mengundi awal pada 25 Mac ini manakala 20 lagi pusat mengundi dibuka pada hari mengundi pada 29 Mac. Terdahulu, Yussibnosh tiba di Dewan Suarah Mesra Mukah pada pukul 8.55 pagi dengan diarak oleh kira-kira 1,000 penyokong dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) St. Patrick di sini diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan beberapa lagi pemimpin parti komponen BN peringkat Pusat dan negeri. Abdul Jalil pula tiba pada pukul 9 pagi dengan diiringi kira-kira 100 penyokong diketuai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution; Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian; Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. |
Pastikan penduduk Balingian turun mengundi Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT MUHYIDDIN Yassin bersama calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian, Yussibnosh Balo (lapan dari kanan) pada hari penamaan calon PRK itu di Mukah, Sarawak semalam. Turut serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (enam dari kiri), Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kiri), Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri), Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Fadillah Yusof (tiga dari kiri) dan para pemimpin komponen BN. MUKAH 17 Mac - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Pemuda dan Wanita parti komponen itu mengambil tanggungjawab memastikan 13,366 pemilih berdaftar turun mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian 29 Mac ini. Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua pergerakan yang diketuai Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Fadillah Yusof dan Timbalan Ketua Wanita BN negeri, Datuk Fatimah Abdullah harus memastikan BN terus menang dalam pilihan raya kali ini. Katanya, lebih utama bagi seluruh jentera BN memastikan parti sedia ada itu memperoleh kemenangan yang hebat dan cemerlang berbanding sebelum ini. "Tanggungjawab kesemua jentera daripada 29 cabang DUN Balingian adalah memastikan calon kita iaitu Yussibnosh Balo memperoleh undi yang besar. "Masyarakat Balingian harus ingat apabila BN menang dalam pilihan raya kali ini, kita akan menyediakan lebih banyak pembangunan untuk kemudahan mereka," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Jentera Pemuda BN sempena PRK DUN Balingian di Padang Majlis Daerah Mukah di sini hari ini. Terdahulu, kira-kira 2,000 jentera Pemuda dan Wanita BN Sarawak hadir mengiringi calon BN, Yussibnosh Balo serta beberapa barisan pemimpin Pusat dan negeri ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini. Dalam majlis santai yang bermula pukul 11 pagi itu, Muhyiddin turut mengingatkan kesemua jentera supaya tidak terlalu yakin hingga tidak bersungguh-sungguh ketika membantu calon berkempen. Katanya, setiap undi daripada pemilih berdaftar itu sangat penting kerana hanya melalui tindakan tersebut membolehkan BN terus berkuasa di Balingian. "Dalam memastikan kempen kali ini berjaya, Pemuda dan Wanita BN Sarawak perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bertemu dengan semua penduduk bagi menunjukkan BN sebuah parti yang bersatu. "Saya akan datang sekali lagi ke sini bagi menyokong dan membantu pemimpin dan jentera BN negeri dalam tempoh kempen ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |