Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Operasi SAR ikut undang-undang Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT Oleh ROHANA NASRAH Anggota pasukan Tentera Udara Singapura (RSAF) meninjau lautan sekitar 140 batu nautika di timur laut Kota Bharu, Kelantan, bagi mencari sebarang petunjuk yang boleh merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal yang sudah masuk hari ketiga. - AFP SEBARANG operasi mencari dan menyelamat (SAR) sesebuah pesawat akan mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada, dan dalam hal berkaitan pesawat MH370, ia tidak terkecuali. Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menjelaskan bahawa operasi SAR yang mengikut prosedur adalah bagi mengelak daripada berlaku sebarang percanggahan atau kesilapan maklumat. "Penyampaian maklumat juga, oleh pegawai bertauliah yang dilantik, harus berdasarkan peruntukan itu," katanya ketika mengulas operasi SAR yang dilakukan kini terhadap pesawat MH370 yang hilang awal pagi Sabtu lepas dalam perjalanan menuju ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Menurut beliau, prosedur dan undang-undang itu termaktub dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1996 - Bahagian 12 - Penyiasatan Kemalangan. "Penyiasatannya ada kaitan undang-undang yang dikawal oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ada aturan-aturan khas... oleh itu orang lain, selain daripada mereka, tidak boleh memberitahu (maklumat) kejadian secara terperinci berdasarkan undang-undang," katanya. Pesawat MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam Jumaat, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu. Sejak insiden mengejutkan itu, seluruh masyarakat dunia menunjukkan keprihatinan dan pelbagai pendapat, teori serta maklumat disampaikan untuk dikongsi oleh pelbagai pihak melalui media dan laman sosial. Dari situ, banyak juga yang cuba membuat penilaian, spekulasi dan teori sendiri berhubung insiden berkenaan, tanpa memikirkan sensitiviti keluarga penumpang, syarikat penerbangan negara dan integriti pasukan SAR negara. Abdul Aziz mengingatkan bahawa pihak terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat tidak boleh bercakap atau memberi maklumat sesuka hati, sebaliknya perlu menilai dahulu kesahihannya, sama ada boleh atau tidak disebarkan kepada umum. "Atas sebab itu, kalau ditanya MAS apakah sebab sesebuah kapal terbang itu terhempas sekiranya terhempas, mereka tidak boleh memberi jawapan spontan begitu sahaja tanpa berpandukan peraturan dan undang-undang yang ada. "Ini kerana, jika mereka memberi jawapan (tanpa penyiasatan terperinci), akan jadi perkara lain (yang tidak diingini)," kata Abdul Aziz, yang menjadi antara individu bertanggungjawab mewujudkan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1996 di negara ini. Justeru, Abdul Aziz menasihatkan masyarakat supaya lebih bersabar dan tidak mengeluarkan sebarang spekulasi tidak berasas, sebaliknya berdoa agar pelbagai tanda tanya mengenai kehilangan pesawat MH370 akan terjawab segera. "Kita tidak bolehlah nak kata pihak pengurusan cuai dan sebagainya kerana saya percaya mereka berusaha tekun memberi maklumat dengan pantas, sekali gus melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat itu," katanya. Menyingkap semula tragedi terakhir kapal terbang MAS terhempas di Johor Bahru pada 1977, Abdul Aziz mengingatkan ia amat berbeza dengan kejadian sekarang kerana pesawat MH370 ini hilang dan masih tidak diketahui kedudukannya. "Ini berbeza dengan kapal terbang terhempas pada 1977 kerana ia ternyata terhempas di atas darat... kita nampak. Sekarang ini kita tidak tahu di mana pesawat MH370 itu lagi... Maka masih dalam harapan kita semoga pesawat tersebut selamat," katanya. Paling penting bagi Abdul Aziz, dalam penyiasatan sesuatu punca kemalangan kapal terbang adalah kotak hitam dan perakam penerbangan kerana kedua-duanya akan dapat membantu memberi jawapan di sebalik berlakunya sesuatu insiden itu. "Cabaran yang dihadapi sekarang ini, kapal terbang itu masih belum dijumpai... bagaimana pula kita kini hendak bercakap untuk dapatkan kotak hitam dan perakam penerbangan? Setelah ada kemudian baru boleh ia membantu pihak penyiasat menyiasat punca kejadian," ujar beliau. Dalam hal ini, Abdul Aziz yang memegang jawatan Pengarah Urusan MAS dari 1982 hingga 1992 menasihatkan semua kakitangan syarikat penerbangan nasional itu supaya optimis berhadapan dengan tragedi ini, sekali gus memberi sokongan penuh kepada pihak pengurusan. Katanya kakitangan MAS tidak boleh menjadikan insiden ini untuk berputus asa, sebaliknya mereka perlu melipatgandakan usaha bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan."Jangan berputus asa, kejadian seumpama ini jadikan sebagai cubaan... Bukan syarikat MAS sahaja, syarikat penerbangan lain pun adakalanya menghadapi insiden seperti ini. "Apa yang penting ketika ini, jalankan tugas dengan jujur dan betul mengikut aturan dan undang-undang supaya di masa hadapan kita boleh mengendalikan pelbagai cabaran lain dan syarikat penerbangan negara ini akan terus mara sebagai sebuah syarikat penerbangan terkemuka dunia," katanya yang mula berkhidmat dengan MAS pada 1971 sebagai Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Setiausaha. - BERNAMA |
Usaha stabil harga, bekalan ikan Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT Oleh DR. NIK YAHYA AB. RAHMAN Sebahagian nelayan meletakkan sepanduk pada bot mereka sebagai tanda menyokong usaha Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob pada majlis Pelancaran Jihad Memerangi Orang Tengah Dalam Sub-Sektor Perikanan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. SESIAPAPUN tidak boleh menafikan bahawa kehidupan nelayan di negara ini sejak turun-temurun bergantung harap kepada orang tengah. Ikatan tradisional itu melingkari hidup mereka seolah-olah tanpa orang tengah, banyak masalah peribadi dan keluarga tidak dapat diselesaikan terutamanya yang melibatkan kewangan. Mendasari dan menghayati kekangan orang tengah terhadap golongan nelayan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil dengan penuh harapan agar manipulasi berkenaan dapat diatasi. Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di Johor Bahru, Johor pertengahan tahun lalu, Ismail menegaskan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama-sama agensi di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Nekmat akan mengambil langkah wajar menangani masalah itu. Justeru, pihak MOA menetapkan di dalam Agro-foods Transformation Program (ATP), di bawah inisiatif 2 iaitu Menangani manipulasi orang tengah. Untuk itu, LKIM dipertanggungjawabkan untuk memperkasa institusi nelayan dan mewujudkan 100 pasar nelayan bagi menggalakkan nelayan menjual secara terus hasil-hasil tangkapan mereka kepada pengguna. Orang tengah secara mudahnya ialah perantara pemasaran yang melengkapkan urus niaga antara pengeluar dan pengguna dengan menggerakkan suatu produk daripada sumber pengeluaran sehingga sampai kepada pengguna. Dalam pada itu, Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim telah melancarkan perang LKIM terhadap manipulasi orang tengah. Menurutnya, perang berkenaan memberi harapan baharu kepada nelayan dan penternak ikan untuk mendapatkan hasil yang setimpal dengan usaha dan keringat mereka di lautan luas. "LKIM sedang berhadapan dengan golongan yang telah lama memberi harapan kepada masyarakat nelayan dan pada masa sama menekan nelayan dengan bebanan hutang. Bukan sahaja nelayan bahkan pengguna juga terpaksa menanggung kos yang diterbitkan orang tengah," katanya. Usaha LKIM bermatlamat supaya orang tengah atau tauke-tauke tidak lagi memonopoli pasaran dan rantaian nilai industri agro makanan negara. Pada masa sama, LKIM mengharapkan kebergantungan nelayan kepada orang tengah dirungkai dan dipecahkan. Selain itu, LKIM sedang memperkemaskan peranan institusi nelayan melalui Nekmat, Persatuan-Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Persatuan-Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) termasuk agensi-agensi kerajaan memainkan peranan penting di dalam agenda nasional. Akhirnya, akibat gagasan ini, pengeluar (nelayan dan penternak) akan mendapat pulangan yang setimpal dan munasabah dengan tenaga, masa dan pengorbanan yang dilakukan. Justeru, enam pendekatan strategik telah diambil LKIM bagi memastikan manipulasi ini dapat diatasi antaranya; memendekkan rantaian pasaran dan memudahkan proses jualan ikan secara terus. Selain untuk mewujudkan saluran pasaran alternatif dengan penglibatan PNK, PNN, Nekmat dan FAMA (melalui 517 buah pasar tani di seluruh negara), LKIM juga sedang meningkatkan penguasaan PNN di sepanjang rantaian nilai dengan penglibatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), FAMA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). LKIM berusaha membebaskan nelayan daripada bebanan hutang dengan orang tengah di mana PN akan diperkasakan dari segi kewangan dan pengurusan. Pada masa sama, LKIM sedang melengkapkan infra dan logistik pemasaran serta inisiatif jaringan kerjasama Strategi Lautan Biru (BOS) antara institusi dan agensi-agensi kerajaan. Bagi mengambil alih hutang nelayan daripada orang tengah, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) diperuntukkan sebanyak RM40 juta. LKIM sedang mengenal pasti bilangan nelayan yang terlibat dan wajar dilepaskan daripada bebanan hutang dengan kerjasama PNK. Bagi memberikan pinjaman tanpa faedah pula, Irmohizam memberitahu yang kerajaan menyediakan tabung pinjaman kecemasan sebanyak RM50,000 kepada 87 PNK (melibatkan 97,627 ahli) termasuk di Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga menyediakan tabung pinjaman mudah menerusi TEKUN untuk membeli bot ataupun sampan serta peralatan menangkap ikan. Bagi membolehkan nelayan memasarkan hasil-hasil tangkapan mereka secara terus, sebanyak 50 buah pasar nelayan baharu di seluruh negara telah dan akan disediakan melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta. Ia dijangka melibatkan 400 orang usahawan nelayan yang dapat menjual 30,000 metrik tan ikan (RM200 juta) setahun. Nelayan juga digalakkan menjual terus hasil-hasil tangkapan mereka kepada Nekmat untuk tujuan sejuk beku yang akan menjadi stok penimbal bila berlaku musim tengkujuh atau perayaan. Dalam pada itu, LKIM juga mewujudkan lebih banyak pusat pengumpulan dan pengedaran yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta. LKIM mempunyai 11 pusat pengumpulan dan pengedaran dan mensasarkan lapan lagi pada 2014 melibatkan lapan usahawan yang mampu mengendalikan 400 metrik tan ikan. Kerajaan juga menggalakkan nelayan menjual hasil tangkapan ke pasar tani dan sehingga kini melibatkan 517 buah di seluruh negara. Nekmat juga digalakkan menjual ikan secara terus menggunakan kenderaan bermotor (Fish-On-Wheel). Sehingga kini PNK telah berniaga ikan di 251 buah pasar tani yang melibatkan 53 buah PNK dan jumlah berkenaan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Lebih penting nelayan mendapat pulangan yang setimpal dengan keringat mereka dan pengguna pula mendapat bekalan ikan segar dengan harga yang berpatutan. Dan lebih menggembirakan sekiranya manipulasi orang tengah dapat dihapuskan dan harga hasil-hasil perikanan akan stabil di pasaran tempatan. PENULIS ialah Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |