{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Jangan buat tuduhan melulu

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

PERISTIWA kehilangan secara misteri pesawat MH370 milik MAS sejak 8 Mac lalu nyata memberi kesan bukan sahaja kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal tetapi juga seluruh warga Malaysia yang turut bersedih dan bersimpati.

Namun pada masa yang sama terdapat mereka yang galak menabur spekulasi mahupun fitnah yang tidak membantu apa-apa. Hanya menyusahkan serta langsung tidak menghormati ahli keluarga yang menanti penuh harapan.

Lebih menjelikkan terdapat laporan tidak bertanggungjawab oleh media Barat yang cenderung melaporkan berita berat sebelah dan memburuk-burukkan kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia.

Untuk itu wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Polis Negara, TAN SRI KHALID ABU BAKAR bagi mendapat ulasan lanjut. Ujar beliau tidak timbul isu pihak berkuasa dan kerajaan lambat bertindak atau gagal menangani krisis ini.

Jika ada pihak mengatakan kami lambat bertindak itu tidak bermakna kami tidak melakukan apa-apa. Kami telah melakukan yang terbaik mengikut saluran undang-undang negara selain perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan," katanya.

MINGGUAN: Ada pihak yang sengaja mengatakan pihak berkuasa lambat bertindak dan tidak bijak menangani krisis melibatkan kehilangan pesawat MH370. Bagaimana Tan Sri melihat perkara ini?

KHALID: Dalam kita menghadapi krisis seperti kehilangan pesawat MH370 ini kita perlu berhati-hati dalam mengeluarkan apa juga kenyataan serta ketika kita mengambil apa juga tindakan. Sudah tentu kita berhadapan dengan begitu banyak isu sensitif yang melibatkan ahli keluarga penumpang dan kru, pekerja-pekerja MAS dan juga sensitiviti melibatkan rakyat Malaysia. Saya tidak mengatakan kita lambat bertindak tetapi apabila berlaku insiden sebegini, kita telah mulakan siasatan sejak awal. Tetapi dalam soal ini pihak utama yang bertanggungjawab dalam siasatan adalah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Pihak polis akan mengambil bahagian jika terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden ini. Pihak kami telah sejak awal lagi bekerjasama dengan pihak DCA dan MAS dalam membantu penyiasatan awal. Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ada beberapa switch yang ditutup secara sengaja, dari situ kami mula mengklasifikasi kes ini ada unsur jenayah dan memulakan siasatan. Kita kena faham undang-undang memberi kuasa kepada kita untuk menjalankan tindakan, jadi kalau tidak ada asas kesalahan untuk memulakan siasatan maka kita tidak boleh menggunakan kuasa penyiasatan yang ada pada kita di bawah kanun acara jenayah. Jadi pada 16 Mac lepas, apabila kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 130C maka dari situ pihak polis mendapat kuasa-kuasa untuk menjalankan siasatan berunsur jenayah.

Barulah selepas itu kami pergi ke rumahnya untuk mengambil bahan-bahan bukti yang dapat membantu dalam siasatan. Namun ini tidak bermakna pihak polis tidak melakukan apa-apa kerana sejak hari pertama lagi kami telah memulakan siasatan untuk mencari sebab dan punca kejadian. Malah saya telah nyatakan empat fokus utama siasatan iaitu pertama pesawat dirampas, kedua sabotaj, ketiga masalah peribadi dan keempat masalah psikologi.

Oleh itu sejak hari pertama lagi, inilah empat fokus yang kami pegang dan apabila ada unsur jenayah maka kami telah membuka kertas siasatan tentang hal ini. Maka jika ada pihak mengatakan kami lambat bertindak itu tidak bermakna kami tidak melakukan apa-apa. Kami telah melakukan yang terbaik mengikut saluran undang-undang negara selain perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Lebih memburukkan keadaan terdapat tuduhan bahawa pihak berkuasa dan kerajaan sengaja melindungi rahsia atau konspirasi tertentu dalam misteri kehilangan pesawat M370. Apa komen Tan Sri?

KHALID: Ini semua adalah satu tuduhan melulu yang tidak dibuktikan. Semua pihak boleh bercakap tetapi apakah mereka mengemukakan sebarang bukti tentang dakwaan mereka itu. Jadi janganlah terlalu cepat percaya dengan sebarang dakwaan yang dikemukakan kerana dengan pemakluman setiap hari tentang perkembangan kehilangan pesawat ini, itu dengan jelas membuktikan kita tidak ada sebarang konspirasi malah menjemput pihak-pihak luar serta pakar-pakar dari luar negara untuk membantu. Ini sudah jelas membuktikan bahawa tidak ada apa yang kami mahu sembunyikan. Mungkin kita kekurangan pakar dalam isu ini tetapi dengan bantuan daripada pihak luar yang lebih arif, maka jelas tidak ada sebarang agenda atau rahsia yang kami mahu sembunyikan.

Apa yang menjadi masalah ialah pelbagai teori dan spekulasi berlegar di media sosial malah pihak pembangkang pun turut sama mengambil kesempatan dan sebagainya, mengakibatkan masyarakat menjadi keliru. Mungkin tindakan perlu diambil terhadap mereka?

KHALID: Bagi saya apa yang penting kita perlu membezakan antara fakta dan spekulasi. Jadi apa juga yang ditulis oleh orang ramai dalam media sosial adalah berbentuk spekulasi kerana tidak disokong oleh fakta, maka ia tetap kekal spekulasi. Namun jika sekadar spekulasi, pihak kami melihat belum cukup untuk kami mengambil tindakan melainkan mereka membuat fitnah. Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan daripada spekulasi ini sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan. Namun saya menyeru kepada masyarakat supaya dapat membezakan antara spekulasi dan fakta. Apa yang diberikan melalui pengumuman pihak kerajaan itu adalah fakta sebenar dan bukan spekulasi.

Pandangan Tan Sri tentang peranan media antarabangsa yang sering sahaja memberi berita negatif terhadap usaha yang dilakukan pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia. Adakah ini menunjukkan sikap mereka yang mengamalkan double standard dalam pemberitaan?

KHALID: Kita kena faham bahawa ada pihak asing yang dengki dengan kita. Mereka ini sengaja mahu memperlekehkan kita. Malangnya ada kalangan masyarakat kita begitu cepat percaya dengan berita asing. Walhal akhbar kita yang patut lebih tahu kerana kita memberikan berita sebenar tetapi mereka tidak mahu dengar.

Tetapi apabila melibatkan media luar negara mereka begitu mempercayainya. Malah adakalanya ia seperti mahu melaga-lagakan dengan pihak tertentu antaranya China. Sebagai contoh dalam pemberitaan tentang beberapa warga China yang cuba mengganggu sidang media tempoh hari. Mereka memberi gambaran seolah-olah kita melayan mereka dengan teruk sedangkan itu tidak benar.

Apa yang patut kita lakukan, sudah tentu dalam keadaan sedemikian kita akan menghalang tindakannya itu dan memanggil seseorang untuk menguruskannya. Saya pun tidak faham kenapa dia memilih waktu itu untuk bertindak menjerit-jerit dan menangis. Sedangkan jika dia mahu berjumpa dengan pihak media sama ada dalam atau luar negara, ia boleh dilakukan bila-bila masa kerana mereka berada di situ sejak awal lagi. Mengapa dia cuba mengganggu sidang media itu, ia tidak munasabah. Saya sendiri pun tak tahu nak cakap bagaimana, tetapi saya sangat berharap rakyat kita dapat memahami yang mana berita benar dan tidak benar.

Dalam soal penemuan objek yang dikatakan milik pesawat MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi, jika khabar berkenaan adalah benar, apakah langkah-langkah awal yang akan dilakukan?

KHALID: Apa yang boleh dilakukan dalam hal ini ialah siasatan menyeluruh melibatkan pihak DCA kerana ini bidang kuasa mereka. Pihak polis akan terlibat dalam siasatan jika terdapat unsur-unsur jenayah. Jikalau benar objek itu milik pesawat MH370, jadi operasi untuk mencari dan menyelamat adalah dalam tanggungjawab negara yang berkenaan.

Di kawasan Lautan Hindi itu ada banyak FIR (flight information region) dan bukan sahaja melibatkan Australia. Maka kita kena tahu lokasi sebenar dan negara mana yang bertanggungjawab. Apa pun pihak PDRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak dalam berhadapan dengan apa juga situasi. Kami juga telah bersiap sedia dalam memberi apa juga bantuan dalam sebarang keadaan.

Dalam soal kerahsiaan melibatkan isu keselamatan, apakah jaminan perkara ini tidak akan terdedah kepada pihak luar berikutan semakin banyak negara terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370?

KHALID: Dari segi keselamatan dalam negara yang mana PDRM bertanggungjawab sepenuhnya, maka kami akan memastikan apa juga kepentingan negara akan berada dalam keadaan selamat. Namun dalam berhadapan dengan krisis sebegini sebarang bantuan dari negara asing adalah dialu-alukan. Namun kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan - tidak sama sekali akan membenarkan pihak luar mengambil kesempatan dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam soal ini telah diambil sejak awal.

Mungkin Tan Sri boleh terangkan bentuk kerjasama dengan pihak FBI kerana terdapat kebimbangan akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini melibatkan soal keselamatan dan kerahsiaan?

KHALID: Bentuk bantuan dan kerjasama yang dijalin dengan pihak FBI adalah dalam bentuk pertukaran maklumat. Bukanlah seperti beberapa maklumat tidak tepat yang dikeluarkan sebelum ini dan ini tidak melibatkan pihak berkuasa. Apa yang kami lakukan ialah pertukaran maklumat dengan pegawai mereka di kedutaan selain pengetahuan pakar mereka. Tidak ada pegawai mereka pun di sini, yang ada hanyalah mereka dari Public Security of China atau polis China yang memberi kerjasama dalam mendapatkan maklumat penumpang dari negara mereka.

Kami bekerjasama rapat dengan mereka dalam pertukaran maklumat serta mengadakan perjumpaan seberapa kerap untuk memberi maklumat dan perkembangan yang berlaku di sini. Namun sekali lagi saya jelaskan, tidak ada sebarang kompromi dalam isu kerahsiaan dan keselamatan negara. Maka tidak timbul isu bahawa pihak FBI akan cuba menjadi dominan dalam soal pencarian kehilangan pesawat MH370. Dalam negara ini saya adalah ketua polis dan saya beri jaminan perkara sebegini tidak akan berlaku.

Bagaimana pula dengan negara China kerana banyak dakwaan di media sosial bahawa negara berkenaan tidak berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilakukan?

KHALID: Saya mahu jelaskan bahawa tidak ada masalah langsung antara negara ini dengan China. Malah mereka memuji kita kerana kecekapan menyeluruh yang telah ditunjukkan dalam usaha mencari dan menyiasat kehilangan pesawat MH370. Contohnya kita menyiasat bila pesawat tersebut kali terakhir digunakan sebelum tarikh pesawat itu hilang pada 8 Mac lepas.

Kita mempunyai bukti dan jadual penuh pesawat tersebut, di mana ia diletakkan, siapa yang mengurus, masa sebenar bila barang-barang dimasukkan ke dalam pesawat dan siapa yang bertanggungjawab. Kami melihat setiap inci, setiap sudut dan mereka yang terlibat. Malah setiap barang pun diketahui dan siapa penerimanya pun kita siasat, contohnya siapa yang membeli dan penerima buah manggis. Semua itu lengkap dan kerana itulah pihak China memuji siasatan dan bantuan yang telah diberikan.

Warkah Geneva: Berkat doa, kesatuan

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh NASHARUDIN MAT ISA
Dari Avenue Louis-Casai, Cointrin, Geneva, Switzerland.

SUDAH hampir seminggu saya berada di Geneva bersama-sama dengan anggota delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) seramai enam orang. Seperti yang kita sedia maklum, MuslimUPRo merupakan gabungan NGO-NGO Islam yang bersama-sama bangkit untuk membantah pihak Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango), dan dalam masa yang sama berusaha melibatkan diri dalam Proses Semakan Berkala (UPR) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui konsultasi dan memberikan pandangan dan saranan kepada pihak Kerajaan Malaysia.

Kami hadir untuk melihat sendiri proses penerimaan muktamad oleh wakil Kerajaan Malaysia terhadap saranan yang telah dibuat oleh negara-negara anggota PBB melalui proses tersebut. Daripada sejumlah 232 syor yang dikemukakan pada Oktober 2013, iaitu sebanyak 113 syor kesemuanya, 21 syor secara prinsipnya diterima, manakala 83 lagi ditolak.

Setelah sekian waktu pihak MuslimUPRo mengadakan beberapa siri kempen dan penerangan di seluruh negara, dengan di akhiri melalui Seminar Hak Asasi Manusia yang dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia baru-baru ini.

Pihak kami juga telah turut mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak kerajaan dan saban hari mengharapkan agar kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan pihak Comango yang jelas cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan, mempertikai kedudukan Islam dan juga mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

MuslimUPRo ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada kerajaan Malaysia yang telah menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah Hak Asasi Manusia berdasarkan syor-syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia. Penerimaan muktamad Malaysia telah pun dinyatakan di dalam dokumen rasmi PBB rujukan A/HRC/25/10/Add.1 bertarikh 4 Mac 2014.

Pendirian Malaysia ini yang dinyatakan semasa Sesi Penerimaan Muktamad pada 20 Mac 2014, bagi saya adalah satu manifestasi tepat yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan kesederhanaan berdasarkan prinsip wasatiyyah dan komitmen Malaysia terhadap usaha untuk memperbaiki tahap dan keadaan hak asasi manusia di negara ini, tanpa berkompromi dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti sejarah, agama dan budaya negara.

Syukur alhamdulillah kerana semua ini dapat berlaku berkat doa dan munajat yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia beragama Islam yang prihatin dan sedar bahawa ancaman terhadap agama kita sedang berlaku.

Menghentam

Tidak cukup dengan usaha dari dalam, negara kita cuba diheret sehingga ke pentas antarabangsa untuk akur dan menerima norma-norma Barat yang asing daripada agama dan budaya kita. Kita harus terus berdoa dan melakukan sesuatu dalam isu ini kerana usaha mereka yang memusuhi agama kita ini tidak terhenti setakat proses UPR yang kedua ini.

Pihak MuslimUPRo menjangkakan proses UPR yang ketiga yang dijadualkan pada 2017 nanti pastinya akan lebih hebat dan mencabar. Sudah tentu pihak Comango khasnya akan meneruskan kempen jahat mereka yang melanggar prinsip dan amalan agama Islam. Malah acara sampingan yang mereka anjurkan di Geneva ini pun telah mula mereka jadikan medan untuk menghentam kerajaan Malaysia dan masih berterusan membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat agama Islam di negara kita.

Agenda Comango tidak terhenti setakat proses UPR. Pentas yang mereka gunakan juga bukan sekadar PBB. Mereka telah mengadakan lobi di sana sini. Dengan sokongan dan dana yang mereka perolehi dari luar negara khasnya, usaha mereka akan terus mereka gerakkan untuk memaksa negara kita menerima kesesatan dan kebatilan perjuangan mereka yang kononnya dilakukan atas prinsip hak asasi manusia!

Satu perkara yang hendak saya ketengahkan di sini ialah, walaupun yang diperjuangkan oleh Comango itu adalah sesuatu yang batil dan bercanggah dengan kehendak agama dan budaya, tetapi kerana mereka itu bersatu, maka suara mereka sampai ke pentas antarabangsa.

Mereka kelihatan kuat walaupun jumlah mereka bukanlah begitu ramai mana pun, tetapi mereka berupaya mengumpul tenaga dan kekuatan yang sedikit itu untuk memperjuangkan suara kebatilan mereka.

Dengan demikian, inilah masa yang terbaik bagi umat Islam negara ini untuk sama-sama sedar dan insaf, bermuhasabah dan bangkit sebagai satu saff yang kukuh, ibarat batu-batu yang diikat kemas dan rapi sebagaimana yang Allah jelaskan dalam Surah as-Saff ayat 4. Marilah kita renungkan bersama - bagaimana jika kumpulan yang batil ini boleh bangkit dan berjuang, kenapa tidak kita sebagai umat Islam yang sudah disebut Allah SWT sebagai khaira ummah ukhrijat lillnas (sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia) tidak mampu untuk bergabung tenaga dan bermuafakat mempertahankan dan memperjuangkan agama ini pada tahap paling maksimum yang kita mampu?

Saya amat yakin, apa yang telah kita capai di Geneva kali ini adalah berkat daripada doa orang ramai, penyatuan gerak kerja dalam kalangan NGO-NGO Islam dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan, maka kita dikurniakan Allah SWT dengan keputusan yang saya anggap sebagai satu kemenangan untuk Islam di negara kita.

Ada banyak lagi isu di hadapan kita yang memerlukan kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Kenapa tidak dalam hal yang berkaitan dengan mempertahankan agama, kita berpegang pada perintah Allah SWT ...inna hazihi ummatukum ummatan wahidah... (sesungguhnya inilah dia umat kamu... umat yang satu). Kekuatan kita adalah pada kesepakatan dan perpaduan yang jitu selaku umat yang satu.

MuslimUPRo sedang merancang beberapa strategi untuk berdepan dengan cabaran mendatang khasnya dalam isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Antaranya ialah penubuhan sebuah pusat kecemerlangan ilmu hak asasi manusia. Kita bukan anti kepada tuntutan hak asasi tetapi ia mestilah dalam kerangka agama, budaya dan perundangan negara.

Menarik juga untuk dinukilkan di sini, ketika kami di Geneva ini, di mana sahaja kami pergi, sama ada di restoran, kedai buku, di tempat penginapan malah di dalam bas pun, apabila kami ditegur; kamu semua dari mana," lalu kami jawab dari Malaysia," spontan sahaja kalimah yang akan diungkapkan kepada kami ialah we are all praying for the safety of the aircraft".

Benar, dua topik besar yang saban hari menjadi tajuk utama dalam media di sini ialah isu kehilangan pesawat MH370 dan perkembangan politik di Rusia dan Ukraine.

Rakyat asing di sini merakam tahniah kepada usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan kukuh dan kerjasama erat 26 negara yang terus-menerus berusaha untuk mencari pesawat tersebut. Yang menarik bagi saya adalah ungkapan we are all praying for the safety of the aircraft".

Sekali lagi, dalam suasana yang sedang kita hadapi ini, sebagai hamba Allah SWT, doa ialah senjata orang mukmin yang paling ampuh yang mampu kita tadahkan tangan agar usaha pencarian ini akan terjawab segera.

Islam mengajar kita bahawa di antara mereka yang mustajab doanya insya-Allah ialah doa orang yang sedang bermusafir. Di sini kami juga turut mendoakan dipermudahkan Allah SWT agar usaha pencarian pesawat ini berjaya dan kami juga bermohon agar Allah SWT memelihara negara kita daripada sebarang ancaman pihak-pihak yang merancang untuk menghancurkan Islam, keharmonian dan kemakmuran negara kita.

Amin Ya Rabb al alamin.

* PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa MuslimUPRo.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat