Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
- 'Bukan misi membalas dendam'
- Pemain kecewa 'layanan' majikan
- Misi memburu kilauan emas di bumi Myanmar
Posted: 'Bukan misi membalas dendam'Oleh NOR AZIRAN YUNUS
PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee enggan terlalu memikirkan misi untuk membalas dendam ketika anak-anak buahnya menentang Myanmar pada aksi kedua Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Sebaliknya, Kim Swee berharap barisan kendaliannya mengekalkan persembahan baik ketika mereka membenam Singapura 1-0 dalam aksi pembukaan kelmarin. Menurut Kim Swee, kali ini anak-anak buahnya harus lebih berwaspada apabila berdepan lawan yang pernah mengecewakan mereka 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Myanmar tahun lalu. "Myanmar hadir ke sini dengan skuad yang sama dan saya telah melihat aksi mereka ketika bertemu Thailand semalam (kelmarin). Saya mendapati semua posisi mereka berfungsi sangat baik dan corak permainan Myanmar sangat laju. "Bagaimanapun, saya tidak mahu para pemain menganggap pertemuan dengan Myanmar esok (malam ini) sebagai medan untuk kita membalas dendam kerana jika dalam diri kita ada perasaan sedemikian, kita akan bermain dalam tekanan," jelas Kim Swee pada sidang akhbar di Kuantan semalam. Mengulas strateginya bagi menghadapi Myanmar, Kim Swee mahu Harimau Muda memberi perhatian kepada tiga pemain iaitu kapten, Kyaw Zayar Win, pemain tengah, Kyi Lin dan penyerang, Kyaw Ko Ko yang dianggap mampu memberi kesukaran kepada barisan pertahanan. "Ketua pasukan Myanmar (Zayar Win), pemain berjersi No. 8 (Kyi Lin) dan No. 10 (Ko Ko) merupakan nadi utama skuad itu. "Trio itu sangat pantas dan memiliki skil individu yang sangat tinggi. Jika kami tidak merantai ketiga-tiga pemain itu nanti, pasti mereka mampu memusnahkan kita sekali lagi," jelas Kim Swee. Kim Swee menambah, beliau akan membuat sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya, namun masih belum memutuskan siapa yang bakal diturunkan nanti. Jelasnya, perubahan itu perlu dibuat kerana sebahagian besar pemain Harimau Muda masih dalam keletihan kerana hanya mendapat rehat sehari selepas menentang Singapura kelmarin. "Saya sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menjerat Myanmar nanti dan jika pemain-pemain bermain mengikut arahan yang diberikan, tidak mustahil kita akan memperoleh tiga mata lagi. "Kami sudah belajar daripada kekalahan kepada Myanmar sebelum ini dan malam esok (malam ini) kami pasti akan tampil dengan aksi lebih garang," ujarnya. | |
Pemain kecewa 'layanan' majikan Posted: Pemain kecewa 'layanan' majikanOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI SEORANG pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga M) kecewa dengan tindakan majikannya kerana merehatkannya tanpa memberi sebarang notis. Situasi itu mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya yang menganggap pemain terbabit telah dihukum oleh majikannya sebelum disabitkan kesalahan. Lebih mengejutkan apabila pemain itu turut mendakwa dia telah dihalang untuk menjalani sesi latihan bersama rakan-rakan sepasukannya oleh pihak pengurusan pasukan tersebut. Keengganan majikannya untuk memaklumkan perkara sebenar mengapa dia direhatkan jelas sekali menimbulkan tanda tanya dalam kem pasukan tersebut. "Sejujurnya saya tidak tahu kenapa pemain itu digantung tanpa sebab. Tiada sebarang surat dikeluarkan, malah pemain itu sendiri tidak tahu tempoh penggantungannya. "Ketika ini, pihak pengurusan pasukan masih berahsia mengapa pemain itu digantung dan sebaik kami bertanyakan apakah masalah sebenar pemain itu, tiada jawapan... sebaliknya mereka seperti mahu mengelak untuk memberitahu perkara sebenar. "Saya berharap pihak pengurusan dapat menjelaskan perkara sebenar demi karier pemain itu sendiri," jelas seorang sumber dalaman pasukan itu kepada Kosmo! malam kelmarin. Kosmo! cuba mendapatkan kenyataan lanjut daripada pemain terbabit, namun dia sekadar menjawab: "Minta maaf, buat masa ini, saya tidak boleh memberi kenyataan." Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pemain terbabit boleh mengutarakan masalah yang dihadapi kepada pihaknya. "Sekiranya pemain itu tidak berpuas hati dengan tindakan majikannya sendiri, dia harus menunggu dahulu keputusan atau tindakan secara formal daripada majikannya. "Kemudian selepas pertuduhan atau hukuman itu telah dikeluarkan, dia boleh membawa kes ini kepada FAM bagi mendapatkan ruang pembelaan untuk diri sendiri demi keadilannya," katanya. | |
Misi memburu kilauan emas di bumi Myanmar Posted: Misi memburu kilauan emas di bumi MyanmarAMINUDDIN kembali diberi tanggungjawab merencana strategi untuk membawa emas pada Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini. KETUA jurulatih skuad lumba basikal lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman masih meratapi kegagalan anak-anak buahnya meraih pingat emas pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. Aminuddin tampil di pentas Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand selaku jurulatih tersohor yang menuai dua pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita menerusi Suhardi Hassan serta Nor Azian Alias pada edisi 2005 di Manila, Filipina. Kejayaan penuh gemilang itu jelas mengundang kejutan ramai pihak dan Aminuddin benar-benar mengerti betapa barisan pelumba Indonesia tampil di bumi Korat bersama rasa dendam kesumat yang tiada batas kesudahannya. Aminuddin sendiri mengakui sebelum bermula temasya Sukan SEA 2005 di Manila, dia diperlekehkan 'skuad emas' Indonesia yang ketika itu gah dengan beberapa nama besar khususnya Samai. Namun tuah jelas lebih memihak kepada anak kelahiran Bukit Cermin, Temerloh itu. Suhardi yang dibayangi kelibat pelumba negara lebih senior pada waktu itu - Shahrulneeza Razali gah mematahkan ego Sang Saka Merah untuk mengucup pingat emas pertama dalam kariernya. Dua tahun kemudian, Indonesia kembali dalam kancah pertarungan Sukan SEA 2007 di Wilayah Nakhon Ratchasima dengan dendam yang tak sudah. Kali ini, mereka 'menerbangkan' beberapa nama besar seperti Ryan Ariehaan Hillmant. Akhirnya garapan skrip duka kembali dipulangkan kepada Aminuddin dan anak-anak buahnya. Semuanya gara-gara kesilapan mudah tatkala perlumbaan berbaki 15 kilometer (km). "Ketika itu saingan hanya berkisar antara Suhardi dan Ryan Ariehaan. Saya tahu Suhardi sangat licik dan bijak untuk memperdaya pelumba yang bersaing bersamanya ke garisan penamat. "Namun, dalam masa hanya 25 saat (s), Suhardi melakukan kesilapan besar yang sama sekali tak dijangka olehnya, malah saya sendiri lakukan kesilapan dengan sengaja membiarkan Suhardi mengambil air minuman. "Situasi itu dapat dihidu oleh pasukan Indonesia. Mereka bingkas mengarah Ryan untuk melakukan gerakan pemecahan dan dalam sepantas kilat Suhardi ditinggalkan hampir 300m. "Pada waktu itu, saya masih tak mengarahkan Suhardi untuk mengejar Ryan. Kami sangkakan Suhardi masih boleh mengejar Ryan walaupun sudah tercicir lebih 1km. "Pada detik yang penuh kelam-kabut itu, rupa-rupanya pasukan teknikal Indonesia mengarahkan Ryan agar menggunakan kepakarannya selaku pelumba time-trial (ujian masa individu) untuk menjarakkan masa mencicirkan Suhardi. Perasaan kesal itu masih menghantui saya sehingga sekarang," kata Aminuddin. Ternyata percaturan Aminuddin ketika itu berbeza dengan skrip yang berlaku pada temasya Sukan SEA di Manila. "Pada Sukan SEA 2005 di Manila, Suhardi licik memperdayakan Samai walhal pada waktu itu, Samai adalah seorang pelumba yang sangat digeruni ramai. Semua menjangka Samai akan mudah tewaskan Suhardi pada henjutan ke garisan penamat. "Bagaimanapun, apa yang berlaku memang tak dijangka sama sekali oleh Indonesia. Samai kalah hanya satu saat di belakang Suhardi. "Jadi Indonesia memang terkejut dengan kekalahan itu. Sepanjang tahun 2005 iaitu sebelum bermula acara lepas beramai-ramai elit lelaki Sukan SEA, aksi lebuh raya Asia Tenggara didominasi nyata oleh pelumba Indonesia dan Filipina. "Mereka menjangkakan pasukan lebuh raya Indonesia pasti membawa pulang pingat emas menerusi acara tersebut, malangnya Suhardi menterbalikkan semua ramalan banyak pihak. Biarpun insiden di Korat sudah berlaku hampir tujuh tahun, Aminuddin mengakui, dia sentiasa diulit mimpi ngeri tersebut dan berikrar untuk menebus kesilapannya pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini. Kini Aminuddin yang lebih terkenal dengan panggilan Wak berpeluang untuk menebus kesilapannya itu di Naypyidaw, Myanmar nanti. Cuma kali ini beliau menyandarkan harapannya kepada beberapa nama baharu seperti Mohd. Shahrul Mat Amin, Muhammad Rauf Nur Misbah, Anuar Manan, Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Adiq Hussainie Othman untuk memadam memori hitam tersebut daripada kotak pemikirannya buat selama-lamanya. Selepas dilantik semula selaku ketua jurulatih, beliau menjadikan tugas membawa semula pingat emas yang hilang daripada genggamannya sebagai misi No. 1 dalam agenda perjuangannya. "Saya selalu ingatkan diri saya sendiri. Saya umpamakan insiden di Korat sebagai satu pinjaman. Saya anggap saya cuma meminjamkan sementara pingat emas itu kepada Ryan Ariehaan dan skuad Indonesia. "Saya sentiasa berjanji untuk menghadiahkan semula pingat emas itu kepada pasukan lebuh raya Malaysia. Peluang itu menjelma semula apabila saya dilantik semula sebagai ketua jurulatih skuad lebuh negara," katanya. Menjelang Sukan SEA 2013 yang akan berlangsung kira-kira tiga bulan lagi, tuah seolah-olah sudah berpihak kepada Aminuddin dan barisan anak-anak buahnya. Tindakan dan persetujuan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Myanmar (MYASOC) mengubah secara rasmi laluan sedia ada iaitu pendakian 40km pada awal perlumbaan dan baki 122km pada laluan landai sebelum menuju ke garisan penamat sebagaimana dicadangkan Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA 2013, jelas berpihak kepada garapan skrip yang diinginkan oleh Aminuddin. Secara kebetulan, pemangkin utama usaha berkenaan disemarak daripada awal oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bagi Acara Basikal Sukan SEA 2013, Datuk Abu Samah Abd. Wahab yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA). MYASOC atas persetujuan Menteri Sukan Myanmar, Tint Hsan telah bersetuju mengubah laluan untuk acara acara lepas beramai-ramai elit lelaki sejauh lebih 162km, sekali gus membuka peluang lebih cerah buat anak-anak buah Aminuddin menamatkan kemarau pingat emas sejak Sukan SEA 2005 di Manila. MYASOC bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Teknikal Bagi Acara Basikal Sukan SEA 2013 yang mahukan aspek keselamatan diutamakan bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku. Laluan terbaharu kini adalah pendakian hampir 40km yang melibatkan dua bukit setinggi antara 804m dan 1,040m sebelum semua pelumba meneruskan perlumbaan pada laluan landai sejauh 122km menuju ke garisan penamat berhampiran Grand Shwedagon Pagoda di Naypyitaw. Cadangan asal laluan yang dikemukakan MYASOC adalah permulaan landai sejauh 120km sebelum pelumba mendaki dua bukit tersebut dan dikerah untuk menamatkan perlumbaan secara berbahaya ke garisan penamat di sebuah jambatan gantung yang dibina kerajaan Myanmar. Aminuddin percaya perubahan yang dilakar oleh MYASOC bukanlah satu kebetulan. Sebaliknya, beliau menganggap ia satu petanda positif betapa perjuangannya untuk merampas kembali pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki dipermudahkan oleh tindak-tanduk MYASOC. "Ketika menyertai Pra-Sukan SEA 2013, saya akui agak terkejut melihat cadangan laluan bagi acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita yang dikemukakan oleh MYASOC. "Namun, ia tidak melemahkan semangat saya untuk menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia. Saya tahu amat perlu untuk membawa beberapa pendaki yang handal ke Myanmar. "Saya sudah terbayang beberapa nama pendaki yang hebat seperti Saufi (Mat Senan), Shahrul, Amir, Adiq dan Rauf, namun semuanya berubah dalam sekelip mata. "Beberapa minggu lalu saya difahamkan MYASOC sudah pun menulis surat rasmi kepada ACA memaklumkan tentang perubahan laluan tersebut. "Atas kertas, nampak seolah-olah kita berpeluang besar untuk raih pingat emas dalam acara tersebut (lepas beramai-ramai elit lelaki). "Namun, saya percaya kita tak boleh pandang rendah keupayaan pelumba Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia. Saya percaya pelumba Indonesia lebih handal dalam pendakian," jelasnya. Begitupun, dalam ghairah mencatur strategi, Aminuddin tetap merendah diri. "Memang benar saya mahukan pingat emas, namun kita jangan leka dan alpa. Buat masa ini nampak semua seolah-olah memihak kepada kita. "Namun, insiden pada Sukan SEA 2007 boleh kembali berulang andai kita leka dan alpa dalam menghidu dan mengesan tindak tanduk dan pergerakan pelumba negara lain. "Saya percaya insiden 2007 juga boleh menghantui Indonesia atau mana-mana pasukan negara lain. Saya percaya acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita sebenarnya adalah acara loteri. "Mana-mana negara termasuk Myanmar boleh menang jika mereka bertuah dan bijak memanfaatkan kesilapan pelumba lain pada hari perlumbaan berlangsung," katanya. Peringatan yang sama turut dilontarkan Abu Samah yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Beliau yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) percaya barisan pelumba negara perlu bijak mengawal sentimen dendam selain mempunyai keazaman besar menggapai semula pingat emas yang sudah terlepas daripada genggaman Malaysia. "Usah biarkan rasa ghairah menguasai minda. Saya mahu pelumba Malaysia tenang berkayuh di Myanmar nanti. Namun pada masa yang sama, berusaha secara maksimum untuk mendominasi perlumbaan. "Saya percaya kita memiliki barisan pelumba yang hebat dan digeruni di seluruh Asia Tenggara. Jadi gunakan kesempatan terbaik ini untuk mengucup pingat emas yang kita idam-idamkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |