Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 23 Sep 2013 11:14 PM PDT JADI para pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan penyedap makanan ini kerana apa jua yang tertera sodium di bahagian kandungan, bahan itu merupakan garam. Bagi mereka yang tidak peka atau kurang prihatin dengan penyakit darah tinggi, lihatlah data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 bahawa penyakit itu lebih berisiko kepada golongan dewasa berusia 30 tahun ke atas terutama warga emas. Menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datin Dr. Chia Yook Chin, peratusan penghidap penyakit darah tinggi di negara ini juga bertambah sebanyak 30 peratus sejak 2006 dengan anggaran 4.8 juta individu menghidap penyakit itu ketika ini. Tambah beliau, jumlah tersebut tinggi ekoran amalan gaya hidup serta budaya pemakanan yang tidak sihat. "Jika dilihat daripada statistik terkini, sebenarnya dua per tiga daripada jumlah ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit darah tinggi. "Apa yang lebih membimbangkan, jumlah tersebut dijangka meningkat dua kali ganda pada 2025. "Jadi, disarankan agar setiap anggota masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dalam usaha mengetahui badan bebas daripada penyakit,"ujarnya pada sidang akhbar sempena kursus ketahanan hipertensi di Pusat Perubatan Sime Darby di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambah beliau, pemeriksaan awal penting dan sekiranya seseorang itu didapati mempunyai penyakit, rawatan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa malah juga dapat mengurangkan berlakunya strok. Hari ini dengan pelbagai teknologi canggih yang ada dan ditambah pula dengan pelbagai kajian, pelbagai rawatan juga mampu diberikan kepada pesakit. Bukan itu sahaja, pelbagai jenis ubat juga telah dicipta dalam usaha membendung pelbagai penyakit yang 'menyerang' masyarakat hari ini. Yook Chin turut menasihati mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi agar sentiasa mengambil ubat tepat pada masanya dan sentiasalah berkomunikasi dengan doktor masing-masing dalam usaha mengetahui tahap kesihatan dari semasa ke semasa. Ini kerana sekiranya pesakit tidak mengambil ubat mengikut seperti yang diarahkan penyakit yang sedia ada akan menjadi bertambah teruk malahan akan merebak ke bahagian lain. Penyakit ini akan menjadi bertambah teruk sekiranya pesakit mempunyai penyakit lain seperti kencing manis, kolestrol tinggi, dan tidak ketinggalan kepada mereka yang merokok. Berbicara lanjut mengenai penyakit darah tinggi ini, jelas Yook Chin, sebenarnya pengambilan garam yang tinggi dalam makanan antara salah satu penyebab utama darah tinggi. Penyebab-penyebab lain yang mampu mengundang penyakit darah tinggi ialah faktor umur, berat badan berlebihan, dan kurang senaman. Namun apa yang pasti katanya, punca sebenar kepada penyakit darah tinggi tidak diketahui. Dalam majlis itu juga, pasukan perubatan daripada pusat perubatan tersebut memperkenal teknologi dan kaedah terkini dalam merawat hipertensi yang digelar OneShot Renal Denervation System. Kaedah rawatan itu telah digunakan pakai di Eropah dan Malaysia merupakan negara pertama menggunakannya di rantau ini. Dalam pada itu, Yook Chin menyeru penggiat industri makanan terutama pengusaha restoran turut membantu menangani masalah penyakit darah tinggi ini dengan mengurangkan penggunaan garam dalam hidangan mereka. "Sewajarnya mereka perlu ada pengetahuan mengawal penggunaan garam dalam penyediaan makanan dan menggunakan bahan perisa asli yang lebih berkhasiat tanpa menjejaskan keenakan hidangan yang disediakan. "Pada masa yang sama, masyarakat turut diseru agar menjalani gaya hidup yang lebih sihat dengan melakukan senaman setiap hari kerana apa yang membimbangkan keadaan atau situasi hari ini (sakit) dilihat semakin teruk," katanya sebelum mengakhiri bicara. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA |
Posted: 23 Sep 2013 11:14 PM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Dianggarkan seorang dalam 33 orang rakyat Malaysia berisiko menghidap kanser kolorektum atau kanser kolon, iaitu pertumbuhan sel-sel barah di usus besar (kolon) dan rektum. Ini menjadikannya bentuk kanser kedua paling biasa yang dihidapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini. Kira-kira 50 hingga 60 peratus pesakit kanser kolorektum akan mengalami metastasis, di mana proses sel kanser merebak ke tisu yang lebih jauh. Sebaik sahaja kanser kolorektum ini merebak ke bahagian lain dalam badan, kadar hayat atau survival pesakit merosot dengan teruk. Sebagai kanser ketiga paling umum di dunia dengan anggaran 1.23 juta orang disahkan menghidapnya pada tahun 2008, terdapat keperluan yang belum dapat dipenuhi bagi pilihan rawatan yang berkesan bagi kanser kolorektum dengan metastasis peringkat terlalu lanjut. Menurut Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Pakar Beacon International di Petaling Jaya, Selangor, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Wahid, kebanyakan pesakit kanser kolon (barah usus besar) mengesan penyakit ini hanya di peringkat lanjut apabila kadar survival lima tahun adalah kurang daripada 10 peratus. Kata beliau, pilihan rawatan untuk pesakit kanser kolorektum dengan metastasis peringkat lanjut adalah terhad terutama sekali selepas tiada lagi pendekatan standard. ''Pilihan rawatan seperti pengambilan regorafenib (ubat orang yang biasa digunakan untuk merawat kanser kolon dan sedang dalam kajian bagi kegunaan ke atas lain-lain jenis kanser lain) pasti akan dialu-alukan kerana pesakit mempunyai lebih banyak masa berharga bersama mereka yang tersayang. " Sebagai ubat oral, regorafenib juga memberi kelebihan tambahan berbanding rawatan intravena lain yang selama ini boleh didapati oleh pesakit,'' ujar Dr. Mohamed Ibrahim yang ditemui pada majlis pelancaran Stivarga (nama dagang bagi regorafenib) baru-baru ini. Sementara itu, Bayer HealthCare menawarkan harapan baru kepada lebih 1,000 orang rakyat yang dianggarkan menghidap kanser kolorektum setiap tahun dengan pelancaran Stivarga (regorafenib) baru-baru ini. Stivarga adalah ubat oral (pengambilan melalui mulut) pertama yang dikatakan membantu meningkatkan peluang survival atau kelangsungan hidup pesakit yang menghidap kanser kolorektum peringkat lanjut. Kelulusan bagi pil Stivarga di Malaysia membawa harapan baru kepada pesakit kanser kolorektum peringkat lanjut yang sebelum ini menerima rawatan standard. Stivarga telah diluluskan untuk kegunaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada bulan Jun 2013 bagi merawat kanser kolorektum dengan metastasis peringkat lanjut. Kelulusan Stivarga adalah berdasarkan keputusan positif daripada ujian Fasa 111 Correct (Kanser kolorektum dirawat dengan Regorafenib atau placebo selepas kegagalan terapi standard) yang menjadi tanda aras global, membabitkan 760 orang pesakit, dengan 15 peratus daripada mereka adalah dari Asia. Kajian Correct menunjukkan bahawa rawatan dengan regorafenib yang ditambah penjagaan sokongan terbaik dapat meningkatkan kadar survival secara keseluruhan dan menyekat penularan penyakit, berbanding pesakit kanser kolorektum metastasis yang bertambah teruk selepas menjalani rawatan standard diluluskan yang mengambil plasebo. Menurut Pakar Onkologi Perubatan dari Melbourne, Australia, Dr. Peter Gibbs, kajian Correct telah menunjukkan keupayaan regorafenib untuk meningkat kawalan tumor dan kadar survival sebilangan besar pesakit yang sebelum ini tidak mempunyai pilihan rawatan. ''Ini adalah satu kemajuan penting dalam rawatan kanser kolorektum peringkat lanjut,'' ujar beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |