Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Seni tangan empat wanita
- Gemilang Kraf gigih hasilkan reka cipta baharu
- Letak tanda harga merah jambu
Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT Oleh MOHAMED SAARI Jalimah Atan memeriksa stok rotan yang menjadi bahan asas untuk menghasilkan bakul agar tidak berkulat dan dimakan serangga perosak. LABIS 30 Okt. - Pelbagai aktiviti dilakukan untuk mengisi masa lapang. Ada yang memenuhi hobi masing-masing seperti mengumpul setem atau menanam bunga, namun ada juga yang menggunakan daya kreativiti untuk menghasilkan produk kraf tangan yang menarik. Bagi empat suri rumah di daerah ini, mereka berjaya membuktikan aktiviti masa lapang boleh membawa pulangan lumayan kepada seisi keluarga. Itulah yang dilakukan oleh Normah Masdar, 61, Kalsum Surip, 65, Jalimah Atan, 57 dan Halimah Atan, 59, yang membuat bakul rotan secara kecil-kecilan di rumah. Kini setelah 10 tahun berlalu selari dengan perkembangan masa mereka adalah antara usahawan kraf tangan yang disegani menerusi syarikat Gemilang Kraf. Halimah memberitahu, pada mulanya mereka tidak pernah mengimpikan untuk menjadi usahawan kraf kerana beranggapan masih belum mampu bersaing dengan pengusaha lain jika hanya mempertaruhkan ilmu yang diperoleh ketika mengikuti beberapa bengkel anyaman rotan sebelum ini. Tetapi berkat galakan keluarga dan bantuan daripada semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, mereka memberanikan diri menubuhkan Gemilang Kraf pada 2004 bagi mengembangkan aktiviti dan memperkenalkan produk mereka. Kini Gemilang Kraf menghasilkan hampir 30 barangan kraf yang kebanyakannya berbentuk bakul, hasil kerja tangan mereka berempat yang dijual dengan harga antara RM3 hingga RM150 bergantung kepada saiz dan bentuk. "Sebenarnya kami memang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang anyaman rotan sebelum ini dan hanya didedahkan dengan cara menganyam bakul rotan ketika mengikuti beberapa kursus anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labis ketika itu. "Selepas itu, kami mula mempraktikkan apa yang dipelajari secara berkumpulan sebagai mengisi masa lapang tanpa menyedari apa yang kami usahakan rupa-rupanya mendapat perhatian pelbagai pihak yang kemudian tampil membantu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bengkel Gemilang Kraf di Tanah Rancangan Beliawanis dekat sini semalam. Mengimbau kembali bagaimana mereka bermula, katanya, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan masing-masing yang dikumpulkan sebagai modal sejumlah RM2,000 untuk membeli rotan sebagai bahan utama untuk membuat bakul. Halimah mengakui mereka berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya mendapatkan bekalan rotan yang telah diproses daripada pembekal dan selepas perkara itu berjaya diatasi, kekangan modal turut dihadapi kerana harga rotan agak mahal sehingga mencecah belasan ringgit setiap kilogram bergantung kepada saiznya. Namun, selepas dibantu oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, mereka tidak lagi berdepan masalah mendapatkan bekalan rotan kerana dibekalkan oleh pihak tersebut secara percuma mengikut keperluan mereka. Malah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia turut memberi bantuan membina sebuah bangunan bersebelahan rumahnya sebagai bengkel bagi menjalankan kerja-kerja menghasilkan pelbagai bakul rotan. Kini mereka bersyukur kerana hanya perlu menumpukan kepada kerja mengeluarkan produk, manakala aspek pemasaran dan promosi dibantu oleh pihak perbadanan berkenaan. "Kami juga sering diundang menyertai pelbagai pameran berkaitan kraf di seluruh negara atas bantuan perbadanan yang dapat membantu kami berkembang bukan sahaja dari aspek pemasaran tetapi menjana idea baharu menerusi pergaulan dengan rakan-rakan lain. "Sebenarnya saya berasa sedikit kecewa kerana tiada generasi pelapis yang berminat untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya. Ini kerana makan gaji dianggap lebih menjamin masa depan berbanding mengusahakan perniagaan sendiri," katanya yang sentiasa membuka pintu kepada golongan muda yang ingin mempelajari ilmu dan seni anyaman rotan. Halimah berkata, usaha tersebut boleh dilakukan dengan mewujudkan ruang pameran bersaiz kecil di setiap pejabat kerajaan bersesuaian agar hasil kerja tangan pengusaha dapat dilihat dengan mudah oleh orang ramai yang datang berurusan di situ. Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang anyaman seni kraf rotan, dia hanya berhasrat membantu kakaknya menguruskan bengkel dari aspek kebersihan sahaja. Tetapi lama kelamaan melihat rakan-rakannya menganyam helaian rotan menjadi pelbagai bentuk bakul timbul minat untuk mencuba dan sekarang berasa bagai ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidupnya jika tidak melakukan kerja menganyam bakul rotan. "Betul kata pepatah, tak kenal maka tak cinta kerana saya begitu sukar meninggalkan bidang ini selepas mengenalinya walaupun pada mulanya langsung tidak berminat untuk menceburinya. "Saya berharap lebih banyak pihak tampil untuk memperkenalkan bidang seni kraf kepada generasi muda di negara ini bagi memastikan semua orang akan mengenali dan mencintai bidang ini," katanya. Tambahnya, dia yang berasa bangga berjaya memasarkan barangan keluaran Gemilang Kraf ke luar negara dengan bantuan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. |
Gemilang Kraf gigih hasilkan reka cipta baharu Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT Jalimah Atan (kanan), Halimah Atan (tengah) dan Normah Masdar sentiasa bertukar-tukar idea dalam meningkatkan kualiti kraf yang dihasilkan. LABIS 30 Okt. - Walaupun hanya tiga daripada empat pengasas Gemilang Kraf yang bergiat aktif dalam menghasilkan produk anyaman rotan, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk melonjakkan nama syarikat itu ke peringkat lebih tinggi. Menurut Normah Masdar, 61, mereka bertiga amat memahami situasi seorang rakan, Kalsum Surip, 65, yang tidak mengizinkan untuk bergiat aktif dan terpaksa selalu berulang alik ke rumah anaknya di Johor Bahru. "Sebaliknya, situasi sekarang membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghasilkan produk dengan reka bentuk baharu yang lebih menarik bagi memastikan Gemilang Kraf terus dapat bersaing dengan pengeluar barangan kraf lain. "Sebenarnya kami terpaksa sentiasa mereka cipta pelbagai bentuk baharu kerana jika hanya bergantung dengan bentuk sedia ada, mungkin kami tidak dapat menarik pelanggan baharu," kata ibu kepada lima anak itu ketika ditemui di sini semalam. Dalam pada itu, dia melahirkan rasa terkilan kerana masyarakat terutama golongan muda semakin tidak berminat dengan warisan seni kraf rotan dan melihatnya sebagai satu usaha yang tidak menguntungkan. Katanya, usaha memperkenalkan bidang seni kraf harus dimulakan di peringkat sekolah dengan memperkenalkannya sebagai mata pelajaran tambahan yang perlu diikuti oleh setiap pelajar, tetapi bukan subjek wajib lulus. Dengan cara tersebut, warisan seni bangsa akan terus hidup dalam diri setiap ahli masyarakat apabila mereka dewasa dan tidak timbul masalah budaya dan warisan bangsa yang dilupakan pada masa akan datang. Bagi Jalimah Atan, 57, pula usaha mempromosi seni kraf tidak harus dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sahaja, sebaliknya boleh dilakukan oleh semua agensi kerajaan di seluruh negara. "Kalau semua berusaha mempromosikan barang kraf, usaha itu mampu menjadikan produk kraf tangan negara semakin dikenali di persada antarabangsa," katanya. |
Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK M. Asojan memotong daging kambing sebagai simbolik Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 di Pasar Awam Maharani,Muar, Johor,semalam. - utusan/ Ishak Rahmad MUAR 30 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri melancarkan 14 barangan untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013. Penguatkuasaan itu bermula kelmarin sehingga 6 November ini dan harganya diputuskan bersesuaian dengan pasaran dan kedudukan logistik negeri ini selepas perbincangan dan mendapat persetujuan para peniaga, pemborong, pembekal, pengeluar dan pengimport. Antara barangan itu ialah ayam hidup pada harga RM6.40, ayam standard (RM7.70), ayam super (RM8.50), daging kambing tempatan bertulang (RM33), daging kambing biri-biri bertulang (RM20), daging kambing biri-biri import tanpa tulang (RM24) dan daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM24). Begitu juga dengan telur ayam gred A (RM0.36), telur ayam gred B (RM0.35), telur ayam gred C (RM0.34), tomato (RM4.50), bawang merah kecil import dari India (RM5), ubi kentang import China (RM30 dan kacang dal import Australia (RM3.50). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan yang melancarkan skim itu berkata, semua peniaga di pasar utama seluruh negeri perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan harga terkawal tersebut. "Jika tidak, bagi kesalahan individu menjual barangan terkawal itu melebihi harga maksimum didenda mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pecatutan 2011 iaitu RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. "Sementara itu, individu yang melakukan kesalahan meletakkan tanda harga barang terkawal boleh didenda RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala bagi masyarakat didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan skim itu bagi peringkat negeri di Pasar Awam Maharani di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Penguatkuasa PPDNKK negeri, Rosle Hamid; Timbalannya, V. Ravichandran dan Ketua PPDNKK Cawangan Muar, Mohamad Bashaabidin Ali. Asojan berkata, walaupun 14 harga tersebut sudah ditetapkan, namun para peniaga digalakkan untuk menjual barangan berkenaan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah. Selain itu, pihak PPDNKK juga menugaskan beberapa kakitangannya dengan alat penimbang di pasar-pasar utama bagi membolehkan pengguna menimbang semula barangan dibeli jika sangsi dengan pembeliannya dan boleh membuat aduan terus di situ. Bagi memastikan skim kawalan harga tersebut berjaya, sebanyak 105 pegawai penguat kuasa PPDNKK di seluruh negeri akan ditugaskan di pasar-pasar utama dengan dibantu 66 pemantau yang dilantik khas untuk tujuan itu. Aduan tentang peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan skim itu boleh disalurkan melalui e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, talian 03-80008000 (1Malaysia One Call Centre (1MOCC), talian bebas tol 10800-886-800, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN (butiran aduan) atau melaporkan di mana-mana pejabat PPDNKK seluruh negeri. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |