Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Pengundi Sungai Limau perlu 'berhijrah' Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh Zulkiflee Bakar Ustaz Kazim Elias semasa menyampaikan ceramah perdana dan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ceramah Perdana Kesenian Islam di Kampung Simpang Tiga, Sungai Limau, Yan, Kedah, Selasa lalu. ''Ada orang hantar mesej kat saya tadi, ustaz malam ini sila pakai baju hujan, kami nak lempaq teluq (lempar telur) kat ustaz… eeehelehh bro relaksla, saya bukan nak ceramah politik nak lempaq teloq fasai apa… sapa panggil pun saya pi.. sebab saya penceramah." Itulah kata-kata penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias ketika menyampaikan ceramahnya di Malam Kesenian Islam yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Yan pada Selasa lalu. Penceramah tersebut diberi amaran itu hanya kerana beliau menyampaikan ceramah di atas pentas yang membolehkan beliau dianggap menyebelahi BN. Demikianlah ketaksuban sesetengah penyokong Pas sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung dan akan berakhir pada Isnin ini. Ketaksuban dan sikap politik melampau ternyata masih lagi terpahat kukuh dalam kalangan mereka. Bagi mereka apa sahaja yang berkaitan BN dan UMNO harus ditentang habis-habisan apatah lagi dalam suasana Pas hendak mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau. Malah ketika pemimpin-pemimpin mereka bercakap soal demokrasi dan kebebasan serta menjaga perpaduan Islam, di sesetengah kawasan di DUN tersebut, penyokong Pas tidak membenarkan jentera BN memasang poster apatah lagi berkempen. Malang sekali, puak-puak Pas mendabik dada mengatakan mereka jauh lebih baik daripada UMNO dari segi perjuangan Islam tetapi hakikatnya tingkah laku mereka tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar. Apa yang lebih malang, Pas mahu terus berada di Sungai Limau bukan kerana mempunyai matlamat untuk memajukan umat Islam di situ tetapi semata-mata demi mempertahankan legasi politik parti itu. Pas bukannya tidak mengetahui bahawa Sungai Limau adalah salah sebuah kawasan yang harus dibangunkan dan mempunyai potensi besar dimajukan demi kesejahteraan penduduk khususnya umat Islam yang merupakan kelompok majoriti di situ. Parti tersebut memahami bahawa mereka tidak akan berupaya membawa kemajuan dan pembangunan seperti mana dilakukan oleh BN malah juga secara diam-diam mereka percaya BN berkemampuan memajukan Sungai Limau yang merupakan kawasan kesayangan pemimpin mereka, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Tetapi Pas tidak mahu mengakui hakikat ini kerana Pas ingin memastikan Sungai Limau terus kekal dalam genggaman mereka demi kepentingan politik. Sebab itulah BN berusaha untuk memecah tembok politik yang merugikan umat Islam ini dengan membawa slogan 'Berani Berhijrah' di Sungai Limau. Slogan itu bukan bermaksud mahukan ahli-ahli Pas berhijrah menjadi ahli-ahli UMNO, ia bukan bermakna penduduk Sungai Limau perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari kemajuan tetapi sekadar memberikan sokongan mereka kepada BN dan UMNO dalam pilihan raya kecil kawasan itu Isnin ini bagi membolehkan projek pembangunan yang lebih besar dilaksanakan. BN tidak boleh membiarkan Sungai Limau berada dalam tangan pembangkang biarpun dalam masa yang sama penduduknya mahukan parti itu membantu mereka menikmati kemajuan. Mana mungkin BN boleh berbuat demikian dengan berkesan sedangkan peruntukan terhad, sudah pastilah parti tersebut akan memberikan keutamaan kepada kawasan yang menyokong kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Bagaimanapun hakikat ini tidak pernah dipedulikan oleh Pas, sebaliknya berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen berjalan, penulis mendapati pemimpin-pemimpin Pas seolah-olah terus berusaha menanam kebencian umat Islam terhadap BN. Dalam soal ini umat Islam khususnya pengundi di Sungai Limau perlu berfikiran terbuka, janganlah terlalu membenci sesuatu pihak itu seolah-olah kelompok tersebut tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada mereka. Sebagai umat Islam kita sering diperingatkan, kita hendaklah menyesuaikan seluruh amal perbuatan kita selaras dengan peraturan Allah, bukan berdasarkan kepada hawa nafsu atau kehendak orang lain. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 216:- Maksudnya: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin Pas terus mengajar penyokong-penyokong mereka dan sesetengah umat Islam untuk memusuhi UMNO. Pelbagai gelaran buruk, ejekan, tohmahan dan ada kalanya bersifat fitnah ditaburkan kepada pemimpin parti keramat orang Melayu itu hanya semata- mata kerana bertujuan politik. Mereka sengaja melupakan firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud; ''Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani Begitulah juga dalam suasana kempen PRK DUN Sungai Limau, sentimen berunsur Islamik terus dimainkan oleh Pas bagi memburuk-burukkan UMNO dengan tujuan pengundi-pengundi Islam di kawasan itu akan memastikan BN tidak akan berupaya merampas kerusi DUN tersebut. Bagaimanapun Pas hanya boleh berusaha untuk berbuat demikian dengan cuba menutupi kebenaran dengan kepalsuan, memutar belitkan fakta dengan pembohongan tetapi kesudahannya pihak yang benar tetap akan diredai oleh Allah SWT. Justeru, kepada pengundi-pengundi Islam di Sungai Limau, kaji dan fikirkanlah 'tawaran' 'Berani Berhijrah' yang dibuat oleh BN. Parti itu bukanlah mahu memperalatkan sambutan Maal Hijrah pada Selasa ini demi kepentingan politik. Tetapi tidak mahu umat Islam di Sungai Limau menyambut Maal Hijrah dengan berada di takuk lama dengan terus menyokong Pas yang ternyata dan sudah terbukti tidak mampu membangunkan kehidupan mereka untuk menjadi ummah yang disegani dan dihormati. BN mahu menyirami semangat 'Berani Berhijrah' ke seluruh penduduk Sungai Limau khususnya umat Islam demi untuk mengubah nasib mereka kerana Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 bermaksud: ''Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka ." |
Usaha keluar daripada kemiskinan Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh Mohd. Shauki Abdul Majid PAS sudah menguasai DUN Sungai Limau selama lima penggal atas kapasiti peribadi bekas Menteri Besar Kedah yang ketika pentadbirannya tidak disukai oleh kumpulan bukan ulama dalam parti itu. Kedah pernah dilanda krisis akibat keengganan dua orang wakil rakyatnya memperbaharui baiah sebagaimana ditetapkan dan ketika itu terkeluarlah dakwaan ada masalah dalam pembahagian projek pembangunan jalan yang diuruskan oleh kerajaan negeri. Secara peribadi, Allahyarham Tan Sri Azizan buat pertama kali menang di DUN Sala (nama lama DUN Sungai Limau) dalam PRU 1995 dengan majoriti 196 undi dan kali terakhir pada PRU 2013 dengan lebih 2,700 undi. Dalam PRU 1986, Pas pernah menang di situ, dan kerana itulah timbul persepsi bahawa DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat Pas. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya kecil (PRK) DUN itu, BN merupakan calon underdog dan atas persepsi itulah juga Pas semakin ghairah melakukan pembohongan. Dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan menyambut permulaan tahun baharu dalam kalendar hijrah, suatu tarikh yang merupakan langkah perubahan besar dalam jiwa setiap orang Islam kerana penghijrahan dari Kota Mekah ke Madinah telah menghasilkan kemenangan besar agama pimpinan Nabi Muhammad SAW. Saat penghijrahan ke Madinah juga telah menjadi asas penentu perkiraan kalendar Islam manakala struktur masyarakat yang terbina pula dikatakan sebagai model penyatuan kaum yang terhebat pernah muncul dalam peradaban manusia. Asas kehidupan bermasyarakat pelbagai agama yang saling hormat dan berinteraksi secara harmoni itu kemudiannya diterjemahkan sebagai masyarakat madani" atau civil society. Konsep civil society yang digagaskan oleh teori politik selepas keruntuhan empayar Islam adalah mengambil teladan daripada struktur sosial masyarakat Madinah, di mana penganut Islam tidak menzalimi penganut agama lain selagi mereka menghormati Islam. Ini berbeza dengan sikap politik yang diamalkan Pas meskipun hampir kesemua penyokongnya percaya parti itulah yang memperjuangkan Islam. Dengan memerangkap minda" penyokongnya, Pas berjaya menjadikan penyokongnya mudah percaya apa sahaja dikatakan oleh pemimpinnya walaupun apa yang diamalkan itu tidak seratus peratus menepati kehendak Islam. Sebagai sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai ideologi, Pas tidak sepatutnya melupakan tanggungjawabnya untuk membangunkan kehidupan masyarakat, berubah daripada tahap kemiskinan kepada kedudukan selesa, mengoptimumkan sumber alam dan potensi manusia sebagai modal insan yang bersifat terbuka, cergas dan boleh menghasilkan sumber pendapatan yang baik. Sebagai sebuah kerajaan, kesempatan memerintah Kedah selama lima tahun (Mac 2008 hingga Mei 2013) sepatutnya menjadi ukuran perubahan masyarakat yang lebih dinamik, progresif dan lebih baik daripada skala membangun bersama Islam." Hal ini tidak berlaku, Pas tidak mampu merancang pertumbuhan ekonomi yang memberansang manakala percubaannya melakukan pelaburan dalam bidang pembalakan di luar negara gagal menyebabkan ratusan juta ringgit wang pinjaman menjadi liabiliti rakyat keseluruhannya. Persekitaran pantai yang memanjang di tubir Selat Melaka berpotensi dimajukan sebagai kawasan pelancongan, sedangkan semasa Pas memerintah potensi itu tidak digilap sebagai sumber ekonomi penduduk. Dalam DUN Sungai Limau, ada sekitar 19 sekolah dan sekolah tersebut adalah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Yan, tetapi tidak menampakkan kesungguhan Pas untuk memajukan pendidikan dengan cara berkesan. Tanggungjawab melakukan perubahan kepada yang lebih baik merupakan kehendak asasi semua orang, tetapi pada masa sama Pas cuba menafikannya dengan berkempen ia tidak akan membawa umat Islam kepada kebahagiaan dan ketenangan. Isu ini sebenarnya berjaya membuktikan sikap sebenar pemimpin Pas, lebih merasa senang jika rakyat terus dihimpit kemiskinan dan dalam kemiskinan itulah mereka lebih mudah memerangkap minda pengundi." Banyak hadis Nabi SAW yang memberi penilaian bahawa kemiskinan adalah satu penyakit berbahaya yang dikhuatiri meninggalkan kesan buruk ke atas akidah, akhlak dan pemikiran seseorang, malah kepada kaum itu sendiri. Penyakit ini mudah menonjol terutamanya dalam kalangan orang yang menghadapi kemiskinan yang teruk dan tinggal berhampiran dengan orang kaya yang buruk budi pekertinya serta kedekut yang amat sangat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kemiskinan menghampiri kekufuran. Hadis ini memberikan ingatan, bahawa orang akan menjadi kufur kerana pelbagai tekanan dan kesulitan ekonomi, persekitaran yang dibangunkan tidak memperluaskan peluang mencari rezeki. Dari perspektif psikologi pula, ada kajian membuktikan ada kecenderungan kerana terpaksa, orang yang baik boleh bertukar menjadi kufur. Ia adalah suatu kemenangan besar bagi syaitan. Kajian sosiologi juga mendapati, akibat kemiskinan menjadikan manusia mudah didipengaruhi pelbagai anasir negatif. Akibat kemiskinan juga, manusia adakalanya terpaksa berperang sesama sendiri demi sesuap nasi. Meskipun pengalaman ini tidak berlaku di Malaysia, ia tidak bermakna akan kekal selama-lamanya. Ia boleh berubah kalau rakyat silap memilih pemimpin. Pemimpin yang tidak tahu menghormati rakyat wajib ditolak, kerana pemimpin jenis ini sanggup lakukan apa sahaja untuk dilihat halal dan wajar. Allah menjadikan bumi dan seluruh isi alam ini adalah untuk dinikmati oleh setiap orang. Tetapi disebabkan oleh segelintir manusia yang lebih menghargai kemenangan peribadi bagi membangunkan legasi tidak mempedulikan tanggungjawabnya kepada rakyat setelah memperoleh kedudukan. Memilih pemimpin seperti itu merupakan sesuatu yang bakal mengundang tragedi, kerana pemimpin sedemikian tidak mudah menerima teguran dan mudah melontarkan kesalahan kepada orang lain. Banyak helah yang dicari, walaupun helah itu sebenarnya tidak dapat menyelamatkan kedudukannya dalam tempoh yang panjang. Umat Islam wajib cemerlang dalam semua perkara (kecuali berbuat jahat dan mengumpul dosa) kerana manusia adalah makhluk yang akan menjalani kehidupan dunia dan akhirat. Kualiti hidup di dunia akan mencerminkan hasilnya di akhirat. Kejayaan di dunia memberikan ketenangan dan memisahkan nilai-nilai kemungkaran, kerana, ukuran kejayaan itu akan lahir menerusi tindakan berani melakukan perubahan. Allah SWT telah mengingatkan manusia: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Rad ayat 11). Maksudnya, perubahan itu mestilah bermula dari dalam diri manusia itu sendiri. Islam tidak datang hanya untuk mengajarkan zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada beban penderitaan kepada hidup yang bahagia. Membiarkan hidup terus dibelenggu kemiskinan tanpa berusaha mengatasinya adalah suatu dosa. Maka, pengundi Sungai Limau wajib mempertimbangkan keputusan sebaik-baiknya pada 4 November ini sebagai suatu tindakan yang benar-benar didorong oleh semangat hijrah, yang akan disambut keesokan harinya. MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID Pengurus Besar Analisa Dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |