{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Infiniti

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Infiniti


Semangat baharu cintai sains

Posted:

Semangat baharu cintai sains

Semangat baharu cintai sains

Oleh HAFIZ AHMAD

PERASAAN teruja jelas terpancar pada wajah dua beradik yang sedang menggoncang balutan putih berisi ketulan ais dan cecair tenusu. Percikan air membasahi baju tidak diendahkan kerana mereka tidak sabar melihat hasil eksperimen yang dilakukan.

M. Dharshendran, 15, dan adiknya, Khishendran, 14, lantas membuka bungkusan tersebut yang merupakan aiskrim buatan sendiri tanpa menggunakan sebarang mesin dan proses rumit.

Dengan hanya menggunakan barang-barang biasa yang terdapat di dapur, mereka terkejut kerana boleh membuat aiskrim dalam tempoh masa singkat.

Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah secawan susu segar, satu sudu gula, sesudu garam, ketulan-ketulan ais, plastik berzip kecil, plastik berzip besar, surat khabar, dua helai tuala dan mangkuk.

"Rasanya seperti aiskrim yang selalu kita makan, tetapi sedikit cair," seloroh Dharshendran kepada seorang pembantu dari Petrosains. Sambil mereka menikmati aiskrim, pembantu Petrosains itu menerangkan proses tersebut dari sudut sains.

Menurut pandangan sains, proses pembuatan aiskrim itu dinamakan sebagai pembekuan. Perubahan cecair kepada pepejal banyak dibantu oleh garam yang berfungsi menurunkan takat beku ketulan ais tadi.

Kedua-dua pelajar itu yang ditemani ibu bapa dan ahli keluarga lain, sanggup datang dari Seremban, Negeri Sembilan semata-mata untuk menghadiri Festival Sains Petrosains yang diadakan selama tujuh hari bermula 22 hingga 27 Oktober lalu.

"Saya mengetahui mengenai festival ini melalui media dan berminat untuk membawa keluarga ke Petrosains," ujar ibu kepada dua beradik tersebut, Ho Soo Han, 45, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dia menambah, melalui acara sebegini, pengunjung dapat menimba ilmu sains dengan lebih menyeronokkan.

"Anak-anak saya begitu seronok dan teruja ketika menjalankan eksperimen membuat aiskrim," katanya.

Selain eksperimen tersebut, terdapat banyak lagi aktiviti dan perbincangan interaktif bersama pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan organisasi korporat berkaitan sains dan teknologi.


KREATIVITI kanak-kanak terserlah ketika memasang bongkah-bongkah Lego.


Minat

Festival Sains Petrosains merupakan satu inisiatif terbaharu yang dijalankan oleh Petrosains yang terletak di Pusat Beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. Ia bertujuan menanamkan minat masyarakat terhadap sains dan teknologi.

Menyusuri satu persatu ruang pameran itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Utama, Petaling Jaya, Nor Farzanah Nor Haznan, 13, tertarik dengan hamparan terumbu karang yang dibawa oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Baru saya tahu, permukaan terumbu karang lembut ketika di dalam laut tetapi akan mengeras selepas terdedah ke ruang udara akibat proses pengeringan," ujarnya.

Selain itu, Nor Farzanah turut mengetahui kepentingan menjaga alam kerana ia turut memberi kesan kepada ekosistem di dasar laut.

Terumbu karang terjadi melalui proses simbiosis dengan sejenis tumbuhan alga yang dikenali sebagai zooxantela. Ia menjadi tempat perlindungan dan makanan kepada hampir 30 peratus spesies ikan komersial.

Pada masa sama, terumbu karang menjadi tempat yang selamat dan sumber makanan untuk anak-anak ikan.

Pertandingan

Acara kemuncak festival kali ini adalah Pertandingan Akhir Pertunjukan Sains Petrosains 2013 yang menjulang SMK Panchor, Seremban, Negeri Sembilan sebagai juara. Ia diwakili oleh dua pelajar iaitu Zarul Mustaqeem Abdul Samad, 17, dan Muhammad Ilyas Ibraheem Russell.

Tema Getaran membawa tuah kepada mereka apabila berjaya menarik perhatian juri dan hadirin yang memenuhi ruang Panggung Sari, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini. Mereka menewaskan tujuh buah sekolah yang mewakili zon-zon negeri seluruh Malaysia.

"Saya tidak menjangka berjaya menjadi johan dalam pertandingan peringkat kebangsaan memandangkan kami sekadar mendapat tempat kedua pada pertandingan negeri," luah Zarul usai penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Madinah Mohamad.


PENGUNJUNG mendengar penerangan daripada pelajar UMT mengenai terumbu karang.


Kesan getaran

Berdasarkan tema itu, mereka mengadakan beberapa eksperimen menarik dengan gaya persembahan yang mencuit hati. Antaranya, kesan getaran terhadap udara, api dan regangan besi.

"Pemilihan tema dan eksperimen dibuat secara perbincangan antara guru dan pelajar.

"Kami memberi beberapa cadangan eksperimen dan mereka perlu melakukannya dalam tempoh masa yang diberikan," ujar guru pembimbing SMK Panchor, Zulkiffle Mohammad.

Mereka mengambil masa selama sebulan untuk berlatih termasuk melakukan eksperimen.

"Latihan dijalankan secara konsisten dan pelajar mempamerkan kesungguhan dengan memberi komitmen yang tinggi.

"Mereka membahagikan masa dengan mengadakan latihan selepas waktu persekolahan dan hujung minggu," kata Zulkiffle.

Dia menambah, bagi memupuk keyakinan dalam diri kedua-dua pelajar, mereka turut mengadakan tiga pertunjukan di dua buah sekolah lain sekitar Seremban.

"Ia sekali gus dapat memberi peluang kepada mereka untuk membaiki kesilapan dan kekurangan sepanjang eksperimen," jelasnya.


ZARUL (kiri) menerangkan pergerakan api yang terjadi disebabkan oleh proses getaran sambil dibantu oleh Ilyas.


Memahami konsep

Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini, penyertaan pertandingan tersebut tidak menganggu persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan penting itu.

"Ia bukan seperti pertandingan lain kerana ia melibatkan fakta dan pembelajaran yang sebenar. Kami tidak menghafal dialog tetapi memahami setiap konsep sains yang terdapat dalam eksperimen sekali gus dapat memantapkan lagi pemahaman dalam subjek sains seperti Fizik dan Kimia," ujar Ilyas yang mengambil bidang sains tulen.

Pada tahun ini, sebanyak 300 penyertaan diterima di peringkat zon yang bermula bulan Ogos 2013.

Satu pasukan dari setiap zon serta dua pasukan pilihan juri bertanding pada peringkat kebangsaan.

Sejak diadakan buat pertama kali pada tahun 2009, pertandingan yang terbuka kepada pelajar menengah itu berjaya merangsang kreativiti pelajar untuk berkomunikasi mengenai sains dalam bentuk persembahan yang menarik dan menghiburkan.

Ia secara tidak langsung, melahirkan warga yang membudayakan sains sebagai sebahagian kehidupan mereka.

SMK Seksyen 10, Kota Damansara, Petaling Jaya mendapat tempat kedua yang diwakili oleh pasangan kembar, Norsabrina dan Norsabrini Mohd. Sabri, 16.

Tempat ketiga diberikan kepada dua buah sekolah iaitu SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor dan SMK Lembah Bidong, Setiu, Terengganu.

'Pulau sampah' jejas imej Maldives

Posted:

'Pulau sampah' jejas imej Maldives

'Pulau sampah' jejas imej Maldives


DIANGGARKAN sebanyak 330 tan metrik sampah dilupuskan di Thilafushi setiap hari.


MALDIVES dikenali sebagai syurga tropika, gugusan kepulauan dengan 1,200 pulau kecil yang bertaburan di Lautan Hindi.

Bagaimanapun, di sebalik kegemilangan Maldives yang diiktiraf sebagai antara pulau tercantik di dunia, tersembunyi sisi hitam iaitu gelaran pulau sampah terbesar di dunia.

Mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menaiki bot dari ibu negara Maldives, Male, Thilafushi yang dikelilingi perairan cerah membiru bermula sebagai sebuah projek penambakan pada tahun 1992.

Pulau buatan itu dibina bagi menyelesaikan masalah bahan buangan di sekitar Male dan kawasan kepulauan berhampiran.

Bagaimanapun kehadiran lebih 10,000 pelancong seminggu ke negara itu sekali gus meningkatkan jumlah bahan buangan setiap hari. Kini, timbunan sampah sarap yang dibuang di pulau itu merangkumi keluasan sehingga 50 hektar.

Pakar-pakar alam sekitar berkata, terdapat kira-kira 330 tan metrik sampah dibawa ke Thilafushi setiap hari. Sebahagian besarnya dari Male, yang merupakan antara bandar paling padat di dunia dengan kehadiran lebih 100,000 penduduk yang menetap di kawasan seluas dua kilometer persegi itu.

Tapak pelupusan

Dibawa dengan menaiki kapal, sampah sarap itu kemudiannya dipunggah ke tapak pelupusan, sebahagian daripadanya dibakar dan selebihnya ditanam di sekitar tapak berkenaan.

Sesetengah pakar berkata, terdapat juga peningkatan bahan buangan berbahaya seperti bateri dan perkakasan elektronik di kepulauan itu.

"Bateri-bateri yang dibuang itu mengandungi plumbum dan ada yang mengandungi merkuri. Semua bahan ini dengan mudah mencemari rantaian makanan yang sedia ada," kata Ali Rilwan, seorang aktivis alam sekitar bagi sebuah organisasi tempatan, Bluepeace Maldives.


MALDIVES terkenal sebagai syurga tropika yang berjaya menarik puluhan ribu pelancong saban tahun.


Tambahnya, tapak pelupusan sampah itu bukan di atas daratan sebaliknya dibina di atas lautan. Lambat-laun kesannya pasti menjejaskan hidupan marin di sana.

Menurut Ali, kawasan tapak pelupusan sampah itu juga yang semakin membesar setiap hari sejak kewujudannya dua dekad lalu.

"Statistik kerajaan menunjukkan setiap pelancong ke Maldives menghasilkan kira-kira 7.2 kilogram (kg) sampah sehari, berbanding 2.8 kg dalam kalangan penduduk Male," ujarnya.

Biarpun krisis itu dilihat semakin membimbangkan, Thilafushi pada dasarnya masih tersembunyi daripada pandangan umum. Tiada siapa yang dibenarkan ke pulau buatan itu kecuali para pekerjanya.

Punca utama

Sektor pelancongan melonjakkan Maldives sebagai antara negara terkaya di Asia Selatan dengan keluaran dalam negara kasar sekitar AS$4,500 (RM14,273) per kapita, biarpun kekayaan itu semakin menipis sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kebanyakan barangan keperluan harian di negara itu diimport. Malah, keperluan pelancong di negara itu bergantung sepenuhnya kepada pengimportan beribu-ribu tan daging, sayuran dan minyak diesel setiap tahun. Kesemua itu dilihat menjadi punca utama peningkatan bahan buangan di negara tersebut.

Peningkatan sampah sarap juga mengakibatkan Thilafushi berdepan masalah kekurangan kawasan tapak pelupusan sampah. Justeru, Maldives mengeksport bahan buangan itu ke negara jirannya, India.

"Sebelum ini, kapal yang membawa sayur-sayuran dari selatan India selalu pulang kosong. Kini, ia membawa bersama bahan-bahan kitar semula seperti tin, besi, kadbod dan sebagainya. Ia diproses di India dan bahan kitar semula itu menjadi antara penyumbang pendapatan negara tersebut ," kata Ali.


Pekerja-pekerja pusat pelupusan sampah di Thilafushi berdepan risiko akibat pembuangan bahan berbahaya seperti bateri dan perkakasan elektronik.


Isu alam sekitar merupakan isu utama politik di Maldives, keseluruhan 350,000 rakyatnya terdedah kepada risiko sekiranya paras air laut meningkat ekoran pemanasan global.

Disebabkan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) merancang untuk menghentikan pembakaran terbuka di pulau itu manakala operator swasta di tapak pelupusan berjanji untuk membina mesin insinerator selepas perancangannya tertangguh sejak lima tahun lalu.

"Pengurusan bahan buangan secara pintar di Male melalui pengutipan dari pintu ke pintu dan program kitar semula akan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar," kata Ahli Majlis PBT Male, Ahmed Kareem.

Ujarnya, projek yang dilaksanakan kelak mampu memantau pencemaran udara dan air di Pulau Thilafushi dan tiada lagi kerja-kerja penambakan baharu.

"Kita berharap masalah yang menghantui penduduk selama ini akan berakhir sekali gus akan mengukuhkan imej Maldives sebagai antara destinasi percutian popular di dunia," katanya.

Cakera keras untuk peranti mudah alih

Posted:

Cakera keras untuk peranti mudah alih

Cakera keras untuk peranti mudah alih


SISTEM storan baharu ini dilengkapi ciri tahan gegaran dan kepanasan.


PENERAJU storan penyimpanan dunia, Seagate Technology LLC (Seagate) mengumumkan storan penyimpanan terbaharu yang direka khusus untuk peranti mudah alih.

Dikenali sebagai Seagate Ultra Mobile HDD, cakera keras itu menawarkan tujuh kali ganda kapasiti penyimpanan data berbanding kebanyakan tablet bersaiz 64 Gigabait (GB) biasa.

Di samping menawarkan prestasi dan kemampuan pantas, cakera keras itu juga dilengkapi teknologi terkini untuk membolehkannya menahan impak gegaran, kepanasan, getaran dan sebagainya sekali gus mengoptimumkan fungsinya sebagai peranti untuk aplikasi mudah alih.

Seagate Ultra Mobile HDD menggunakan perisian Dynamic Data Driver yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga, di samping meningkatkan prestasinya secara keseluruhan.

Peranti itu hanya berukuran 6.99 sentimeter lebar dengan ketebalan 0.5 sentimeter dan seberat 93 gram.

Menawarkan kapasiti penyimpanan sebanyak 500 GB, ia cukup untuk memuatkan lebih 125,000 buah lagu, 100,000 keping gambar dan durasi 62 jam rakaman video berdefinisi tinggi.

Cakera keras terbaharu itu juga direka untuk sistem operasi Android. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari http://seagate.com/www/mobilekit.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat