Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB Indra Putra Mahyuddin melayani peminat cilik pada majlis meraikan pemain-pemain Kelantan yang dianjurkan oleh pekerja Kingdom Elektronik Sdn. Bhd. di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI KOTA BHARU - Tahun lalu, ketika perlawanan akhir hanya tinggal beberapa minit untuk ditamatkan dalam masa tambahan, Indra Putra Mahyuddin muncul wira Red Warriors apabila meledakkan gol cantik yang membawa Kelantan merangkul kejuaraan Piala Malaysia menumpaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kenangan tersebut masih segar di ingatan Indra, dan tonggak berpengaruh Kelantan itu bertekad mahu mengulangi 'magis' yang sama apabila pasukannya menentang Pahang pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Ahad ini. Indra, 32, membawa Red Warriors merangkul kejuaraan musim lalu menerusi jaringan cantik yang memberi kemenangan 3-2 ke atas The Gladiators, sekali gus melengkapkan musim cemerlang mereka ketika itu dengan mengumpul gelaran treble. Katanya, kenangan manis ketika menjaringkan gol kemenangan pada aksi final tahun lalu kekal sebagai memori indah dalam kariernya dan dia mengharapkan tuah itu akan berulang kali ini. "Insya-Allah saya berjanji akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti, malah mahu menjaringkan gol untuk Kelantan bagi melengkapkan musim gemilang pasukan tahun ini," kata penyerang dan pemain sayap kiri yang memakai jersi No. 23 itu. Indra juga bertekad mahu menambah koleksi trofi peribadinya dengan merangkul piala berprestij itu buat kali keempat. Dia pernah menjulang Piala Malaysia tiga kali, iaitu dua kali bersama Kelantan dan sekali dengan negeri kelahirannya, Perak. Kata Indra, sekiranya Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan, kemenangan itu akan dihadiahkan kepada isterinya dan penyokong setia The Red Warriors yang tidak pernah putus-putus menyokong kariernya selama ini. Mengulas peluang pasukannya Ahad ini, Indra optimis, Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan berdasarkan pengalaman luas beraksi di pentas final, berbanding Pahang yang hanya menjejak kaki buat kali pertama selepas 16 tahun. Bagaimanapun tegasnya, Kelantan harus berwaspada dengan 'keghairahan' barisan pemain muda Tok Gajah yang tentunya sangat dahagakan kejuaraan. "Daripada segi pengalaman, Kelantan mempunyai lebih banyak pengalaman, sedangkan Pahang pula pertama kali masuk final dan dibarisi ramai pemain muda. "Begitupun, kehadiran pemain-pemain muda ini sebenarnya mampu memberi mereka kelebihan tersendiri kerana biasanya orang muda cukup ghairah untuk mencari kemenangan. "Daripada segi peluang pula, kita (Kelantan) sebenarnya berpeluang baik untuk mempertahankan gelaran, tetapi Pahang memiliki jentera tengah dan serangan yang bahaya, jadi kita harus berhati-hati. "Apa pun, kami akan pastikan rangkaian tengah dan penyerang mereka ini disekat walaupun kita mengakui ketiadaan tonggak pertahanan utama, Obinna Nwaneri sememangnya memberi kesan," katanya lagi. |
Posted: 31 Oct 2013 12:06 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Safee Sali PETALING JAYA - ''Tanpa Obinna Nwaneri, Kelantan pasti bermasalah," demikian pandangan penyerang Harimau Malaya dan Johor Darul Takzim (Johor DT), Safee Sali, yang memilih skuad Tok Gajah sebagai pilihan untuk menjulang Piala Malaysia 2013. Walaupun dibarisi ramai penggempur berkualiti seperti Mohd. Badhri Mohd. Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad, Safee melihat pertahanan Kelantan cukup rapuh yang membolehkan ruang kepada pasukan Pahang melancarkan serangan bertali arus. Bukan tidak menghormati Kelantan cuma dia berasakan kehadiran pemain import Nigeria itu di bahagian pertahanan cukup penting dengan merasakan gandingan Azizi Matt Rose dan Nik Shahrul Mohd. Azim yang dijangka akan diturunkan di bahagian pertahanan tengah pasti sukar mengawal rangkaian serangan yang dikemudi Matias Conti dan Azamuddin Mohd. Akil. Ditanya mengenai keputusan, dia meramalkan Pahang mampu menang dalam perlawanan akhir itu dengan keputusan tipis 2-1 sambil merasakan satu aksi yang sengit antara kedua-dua pasukan yang berkemungkinan akan berlanjutan ke masa tambahan. ''Saya jangkakan pertarungan di antara Pahang dan Kelantan nanti pasti berlangsung dengan rancak. Saya tidak nafikan kedua-dua pasukan ada kekuatan serta kelemahan tersendiri. ''Jika mengikut pilihan untuk muncul juara, Kelantan memang ada pengalaman kerana ramai pemainnya kerap beraksi di perlawanan akhir dalam beberapa tahun kebelakangan ini. ''Cuma apabila saya tahu yang Obinna tidak diturunkan, saya rasa kelebihan kini menjadi milik Pahang dan mereka berpeluang untuk menang, jadi pilihan saya untuk menjulang Piala Malaysia adalah Pahang. ''Namun pemenang kita mungkin tidak boleh tahu dalam masa 90 minit, saya rasa akan berlanjutan ke masa tambahan dan di situ peluang untuk Pahang, " katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen 100Plus 'Tawanlah Harimu' di Pusat Konvensyen Sunway, semalam. Sebelum ini, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee turut mengutarakan pendapat yang sama dengan melihat kelemahan pertahanan tanpa Obinna pasti membuka ruang kepada Pahang sebagai juara Piala Malaysia 2013. Namun, beberapa jurulatih lain seperti B. Sathianathan, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan Ismail Zakaria memilih Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan sekali lagi atas faktor pengalaman beraksi di pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |