Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Cacat penglihatan bukan halangan Posted: Cacat penglihatan bukan halanganHIDUP dalam kegelapan dengan membayangkan warna-warna kehidupan tentunya bukan suatu yang mudah bagi individu yang cacat penglihatan. Namun bagi Tokoh Membaca Istimewa, Norhashimah Hashim, 49, ia merupakan cabaran yang perlu diatasi sejak lahir. Sungguhpun mempunyai tahap penglihatan terhad, sejak kecil lagi guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di Alor Setar, Kedah ini menjadikan buku sebagai sahabatnya. Jika kanak-kanak normal lain ketika itu leka bermain dengan kawan-kawan seusia, bagi beliau tiada barang mainan yang lebih mengasyikkan selain buku. "Saya lebih banyak terdedah dengan bahan bacaan. Ia mungkin disebabkan sejak berumur enam tahun telah tinggal di asrama bersama abang saya, Zahari, yang juga cacat penglihatan. "Kami telah dihantar ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas St. Nicholas, Pulau Pinang memandangkan tidak banyak sekolah pendidikan khas yang wujud berhampiran kediaman kami pada ketika itu," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini. Anak kelahiran Simpang Empat, Alor Setar yang tinggal di asrama sehingga berumur 12 tahun itu berkata, di sekolah tersebut para pelajar didedahkan kepentingan perpustakaan dan dari situl timbul minatnya untuk membaca. "Lebih seronok apabila terdapat bahan bacaan berbentuk Braille yang memudahkan kami memahami jalan cerita buku yang dibaca," katanya tersenyum. Norhashimah kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat menengah di SMK Sultanah Asma di Alor Setar, Kedah sebelum bertukar ke Sekolah Kolej Sultan Abdul Hamid ketika berusia 15 tahun. "Apabila masuk ke sekolah menengah, cabarannya berbeza kerana terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar normal terutamanya dalam aspek pelajaran. "Di sini bahan-bahan bacaan untuk pelajar cacat penglihatan adalah terhad berbanding buku-buku biasa," ujarnya. NOVEL Lambaian Kinabalu pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan 2001. Rakan-rakan Masalah kekurangan bahan bacaan dan rujukan masih dirasai ketika Norhashimah melangkah kaki ke Universiti Malaya (UM). Keadaan itu telah memaksa beliau meminta bantuan rakan-rakan untuk membacakan buku ketika mengulangkaji pelajaran. "Masa itu belum ada teknologi seperti sekarang iaitu alat bantuan bacaan menerusi audio yang memudahkan kami untuk mendengar isi kandungan buku-buku rujukan. Kehadiran rakan-rakan banyak membantu sepanjang pengajian saya di sana. "Sewaktu di universiti saya juga menghadapi kesukaran untuk menghafal jalan ke kelas kerana jalan yang dibawa oleh rakan-rakan sentiasa berbeza," maklumnya. Sungguhpun demikian, segala kesukaran yang dihadapi pemegang Ijazah Sastera dan Sains Sosial UM itu tidak dijadikan sebagai satu bebanan, malah beliau menganggap semua itu sebagai cabaran yang perlu diatasi untuk berjaya. Norhashimah, yang menjadikan ilmu sebagai tunjang dalam kehidupannya, kemudian menyambung pengajian peringkat kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur. "Setelah tamat pengajian, saya terus dapat tawaran untuk mengajar di SMK Tunku Abdul Malik sehingga sekarang," katanya sambil berkongsi pengalaman sebagai telefonis selama tiga tahun di sebuah syarikat swasta ketika menjadi ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia pada tahun 1995. Menariknya, dalam kesibukan menjalani kehidupan harian, wanita ini tidak pernah lekang daripada buku. Bidang penulisan Berkongsi pengalaman penglibatan dalam bidang penulisan, anak kedua daripada lapan beradik ini memberitahu, sebelum menyertai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) pada tahun 1988, beliau telah menulis skrip drama dan cerpen untuk dihantar ke stesen-stesen radio. "Saya terlibat di bidang penulisan setelah tamat pengajian di UM. Ketika itu saya sering terfikir apakah yang patut dibuat bagi mengisi masa terluang," ujarnya. SMK Tunku Abdul Malik (kiri) dan Universiti Malaya merupakan antara lokasi yang membentuk karakter Norhashimah agar terus berjaya dalam kehidupan. Meminati hasil karya penulis, Ramlee Awang Murshid, Norhashimah memberitahu, sejak di peringkat awal lagi beliau akan mengambil inisiatif dengan menyertai bengkel-bengkel dan seminar berkaitan bagi memantapkan lagi kemahiran penulisannya. Segala usaha yang disemai telah membuahkan hasil apabila novel sulungnya yang berjudul Masih Ada Sinar diterbitkan pada tahun 1993. Ini diikuti oleh Sebuah Pelayaran yang juga pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan penulisan anjuran Asasi. "Jika terbitan pertama telah membuatkan saya teruja, apatah lagi ketika novel kedua yang mendapat anugerah. Ia terus membakar semangat saya untuk menghasilkan karya-karya yang menarik dan berkualiti," katanya. Lebih menggembirakan apabila novel Sebuah Pelayaran turut diadaptasikan sebagai sebuah drama yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan. Kini, Norhashimah telah berjaya menghasilkan lebih 20 cerpen dan 10 buah novel. Novel lain yang ditulis oleh beliau berjudul Hadiah Yang Tidak Ternilai, Antara Mak dan Nama, Lambaian Hijrah, Melewati Siang Meniti Malam, Lambaian Kinabalu dan Hujan Emas Di Negeri Orang. Beliau memberitahu, novel Melewati Siang Meniti Malam itu diterbitkan pada tahun 1995 di bawah siri tamu istimewa Kumpulan Utusan yang merupakan kumpulan novel hasil nukilan penulis-penulis cacat penglihatan tempatan. "Sebagai draf awal penulisan, saya menggunakan bahasa Braille melalui sebuah mesin khas dan kemudian akan menggunakan mesin taip untuk menaip semua draf sebelum dihantar kepada penerbit. "Dengan teknologi yang semakin moden hari ini, saya boleh menggunakan komputer riba dengan perisian khas untuk menghasilkan karya. Proses ini jauh lebih pantas berbanding kaedah sebelum," ujarnya. Mengimbau kenangan ketika dinobatkan sebagai Tokoh Membaca Istimewa pada Jun lalu oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Norhashimah berasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan. "Sungguhpun telah dimaklumkan mengenai anugerah tersebut, namun saya tidak percaya terutamanya apabila mereka mengatakan pengiktirafan itu agak sama seperti yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. NORHASHIMAH menggunakan komputer riba dengan perisian khas untuk menghasilkan karyanya. "Bila anugerah ini diterima, saya rasa amat bersyukur dan gembira. Saya berharap ia dapat menyuntik semangat rakan-rakan yang senasib untuk berjaya sungguhpun kemampuan kami terbatas," katanya. Selain Tun Dr. Mahathir, PNM sebelum ini telah melantik dua tokoh sebagai Ikon Membaca Kebangsaan iaitu Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pelakon antarabangsa kelahiran tempatan, Tan Sri Michelle Yeoh. Selain menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar, Norhashimah turut menjadi guru perantara kepada para pelajar pendidikan khas di SMK Tunku Abdul Malik dengan guru-guru di sekolah berkenaan. Beliau akan menaip semula bahan-bahan mengajar dan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru itu dalam teks khas untuk diberikan kepada para pelajarnya yang kini berada di tingkatan empat, lima dan enam sekolah itu. Bagi dirinya, pelajaran anak didiknya merupakan fokus utama dalam memastikan mereka berjaya. Ketika ditanya mengenai prinsip kehidupannya, Norhashimah menjawab, cekal dengan segala halangan hidup yang dihadapi dan berusaha untuk mencapai segala hajat. "Cacat penglihatan tidak membuatkan saya serba kekurangan, malah saya sentiasa bersyukur dengan setiap anugerah yang dikurniakan Ilahi," katanya menamatkan bicara. | |
Posted: Pameran seni hotel mewahMASALAH sewa tapak yang tinggi dan terhad menyebabkan penganjur memilih bilik-bilik hotel untuk dijadikan galeri seni. KARYA-KARYA indah kelihatan bergantungan di atas katil-katil bersaiz besar selain ada yang diletakkan di atas sinki bilik air. Itulah gambaran Pameran Seni Kontemporari Asia di Hong Kong yang diadakan baru-baru ini yang memberikan suasana berbeza terhadap sebuah galeri seni. Diadakan di sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang, acara dua tahun sekali itu dilihat menjadi medium kepada pelukis-pelukis muda untuk mencuba nasib memasuki pasaran seni antarabangsa. Ia juga merupakan lokasi tidak ortodoks dalam usaha mengurangkan kos di bandar raya yang pesat berkembang itu sebagai hab seni antarabangsa. Para artis dan pemilik galeri yang berdepan cabaran kadar sewa tinggi memilih bilik-bilik hotel sebagai lokasi terbaharu menganjurkan pameran seni. Ribuan peminat seni menghadiri pameran selama empat hari yang juga merupakan acara seni kedua terbesar di bandar raya tersebut selepas pameran berprestij Art Basel edisi Hong Kong. Pengunjung beralih dari satu bilik ke bilik bersebelahan di Hotel JW Marriott yang memuatkan lebih 70 buah galeri memaparkan lebih 70 hasil seni termasuk lukisan, arca dan fotografi dari rantau Asia dan dunia. "Suasana tidak formal di hotel ini merupakan karakter bagi pameran ini. Ia seperti satu perjalanan untuk menemui hasil seni terbaik dari bilik ke bilik," ujar Pengarah Pameran, Mark Saunderson kepada AFP. Beliau menegaskan format hotel yang ditunjukkan pada pameran tersebut juga membantu mengurangkan kos penganjuran. "Pameran ini memaparkan hasil karya seni indah untuk datang ke sini. Jika tidak, ia mungkin tidak dapat dilihat sampai bila-bila," jelasnya. Menurut Saunderson, galeri-galeri di bandar raya Hong kong berhadapan dengan pelbagai kos termasuk kadar sewa yang mahal, memaksa mereka memilih karya-karya terbaik untuk dipamerkan sekali gus menyebabkan ramai artis berpotensi disisihkan.
Karya Asia Tenggara Namun demikian, pakar-pakar seni berpendapat hasil karya dari rantau Asia Tenggara mempunyai kelebihan yang besar daripada aspek harga jualan kerana karya pelukis Indonesia, Vietnam dan Malaysia amat popular di peringkat antarabangsa. "Anda boleh menghabiskan HK$50,000 sehingga HK$100,000 (RM20,264 sehingga RM40,528) untuk membeli hasil karya berkualiti tinggi," katanya. Dengan nilai karya-karya artis dari Vietnam meningkat 10 kali ganda sejak 15 tahun lalu, penggiat-penggiat baharu kian mencari pendedahan peringkat global. "Peluang untuk mempamerkan karya seni di pameran ini merupakan suatu perkara yang penting kepada pelukis muda seperti saya," kata pelukis dari Vietnam, Dang Thao Ngoc. Dia yang berasal dari Hanoi terkenal menerusi lukisan yang menggunakan media cat minyak berwarna-warni untuk menggambarkan keharmonian ahli keluarga dan kehidupan di negaranya. "Di Hong Kong, ramai orang datang dan melihat karya seni. Mereka sangat mengambil berat dan menunjukkan minat dalam bidang seni lukis," ujarnya sambil memberitahu senario itu berbeza dengan keadaan di Vietnam. Perhatian dunia Seiring dengan pertambahan galeri-galeri seni di Myanmar, kumpulan pelukis baharu dari negara itu turut mendapat perhatian dunia malah banyak hasil seni terjual dengan jayanya. "Pelukis dari China melukis dengan pantas dan mengejar kuantiti. Ia berbeza dengan pelukis Myammar kerana mereka tidak menghasilkan lukisan yang banyak tetapi dengan kualiti yang jauh lebih baik," ujar Pengarah Galeri Seni Halus Asia, Sidney Cowell. WARGA China merupakan pembeli terbesar di Pameran Art Basel di Hong Kong, Mei lalu. Pameran itu menghidangkan tetamu dengan karya seni tradisional hingga yang bersifat lebih eklektik dan moden. Di satu bilik yang disewa sebuah galeri dari Jepun, terdapat sebuah arca kelakar yang memaparkan seorang lelaki Asia botak dengan memakai baju sekolah perempuan. Terdapat juga deretan karya fotografi yang menjadikan kepadatan bangunan-bangunan sekitar Hong Kong sebagai subjek utama. Ketika penganjuran pameran tersebut sebelum ini, terdapat hasil seni yang berharga antara RM12,158 hingga RM81,057 dan ia menjana pembelian berjumlah RM7.3 juta pada penganjuran Mei lalu. Pasaran seni di Hong Kong mula mendapat perhatian berikutan peningkatan kekayaan warga China di Tanah Besar. Mereka merupakan pembeli terbesar karya-karya seni di Hong Kong. Pameran Art Basel disertai oleh 3,000 pelukis antarabangsa dari 245 galeri terkenal dunia pada Pameran Art Basel yang diadakan pada Mei lalu di Hong Kong. Antara galeri terkemuka yang turut serta ialah Gagosian, White Cube, Acquavella, Lehmann Maupin dan Galerie Perrotin. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |