Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT MUHYIDDIN Yassin (duduk, dua kanan) beramah mesra dengan pelajar-pelajar dalam program Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Maahad Tahfiz Madrasah Mazahirul Ulum, Bukit Choras, Yan, Jerai, semalam. JERAI 29 Okt. - Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi komitmen penuh untuk memartabatkan pendidikan dan syiar Islam agar memastikan Malaysia terus muncul sebagai negara Islam contoh di peringkat dunia. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dapat dibuktikan menerusi pelaksanaan dasar-dasar dan undang-undang yang selari dengan syariat Islam selama ini. Malah, katanya, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan sejak dahulu turut mengambil pelbagai inisiatif membangunkan institusi pengajian berteraskan Islam daripada peringkat rendah sehinggalah paling tinggi. "Kerajaan sememangnya menyokong penuh penuh inisiatif membina institusi Pendidikan Islam. Kita telah bangunkan banyak institusi bagi memastikan soal akidah, akhlak dan moral serta kehidupan kita sebagai umat Islam dipelihara. "Tidak hairanlah ramai termasuk dalam kalangan pemimpin negara asing telah menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh dan ini terus menjadi antara agenda utama kita," tegasnya ketika berucap dalam majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Maahad Tahfiz Madrasah Mazahirul Ulum, Bukit Choras, di sini hari ini. Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Madrasah Mazahirul Ulum, Shahrul Nizam Salleh. Muhyiddin berkata, kerajaan juga memainkan peranan aktif dalam memastikan umat Islam di negara ini mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang termasuklah ekonomi. "Dalam soal pembangunan ekonomi misalnya, segala inisiatif dilaksanakan oleh pimpinan. Kita buat pelbagai usaha untuk tentukan umat Islam sentiasa kuat, kukuh dan mempunyai taraf hidup baik. "Contohnya adalah penubuhan institusi Bank Islam, Lembaga Tabung Haji, Takaful dan sistem perbankan berteraskan Islam," jelasnya. Terdahulu, beliau mengimamkan solat asar bersama penduduk setempat di Masjid Bukit Choras. Dalam majlis berkenaan, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk pembinaan bangunan Madrasah dan RM50,000 lagi untuk memperbaiki jalan kampung Bukit Choras. |
Satu kesilapan atau taktik kempen Pas raih sokongan? Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT DALAM keghairahan Pas menyerang bertubi-tubi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, parti itu akhirnya terperangkap dengan 'kegelojohan' sendiri. Ia berikutan terdedahnya taktik parti itu menerusi teknik photoshop bagi menampal wajahnya calonnya, Mohd. Azam Abd. Samat bertemu dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanan Sinar Harian ke atas Allahyarham pada 25 Mei 2011 dan akhbar itu sendiri menyifatkan ia taktik terdesak Pas untuk meraih sokongan. Biar pun Pengarah Operasi Pas bagi PRK DUN Sungai Limau, Ir. Datuk Amiruddin Hamzah mengatakan parti itu langsung tidak tahu bahawa gambar tersebut bukan asli dan tidak ada niat untuk mengadakan sesuatu yang tidak ada, namun ia belum memuaskan hati banyak pihak. Ini memandangkan adalah tidak munasabah Pas yang dianggap 'cukup hebat dan bijak' menghasilkan risalah-risalah boleh terlepas pandang kepada satu produk yang cukup penting dalam pilihan raya. Bayangkan apa yang akan berlaku jika 'kesilapan' itu dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), sudah pastilah Pas akan menyerang habis-habisan parti lawannya itu dan akan membuat tuduhan yang bukan-bukan serta mendesak BN meminta maaf kepada keluarga Allahyarham Azizan. Oleh itu, kalau benarlah, Pas dalam tempoh seminggu berkempen ini begitu menjaga perasaan ahli keluarga Allahyarham Azizan maka mereka perlu meminta maaf secara terbuka. Pas harus mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan tidak mengamalkan sikap lepas tangan dengan berkata: "Kita semua manusia biasa... yang bezanya ialah sama ada kita memang berniat untuk menipu atau terjadi di luar pengetahuan kita". Apakah alasan "kita semua manusia biasa…" ini akan terpakai kalau ia terjadi kepada BN dan UMNO, sudah pasti tidak. Oleh itu tidak perlulah Pas cuba menunjukkan seolah-olah mereka tidak tahu apa-apa dalam soal ini. Namun apa yang berlaku bukanlah perkara pelik kerana Pas sememangnya sejak awal kempen memang mahu mengaitkan calon mereka dengan Allahyarham Azizan, apabila menyatakan Mohd. Azam adalah anak didik Allahyarham sedangkan dakwaan itu tidak benar. Sekarang ini pun, oleh kerana mengetahui pengaruh Allahyarham Azizan yang cukup hebat di Sungai Limau, Pas cuba menggunakan sentimen Allahyarham Azizan dengan memasang kain rentang memaparkan wajah Allahyarham. Tetapi semua orang tahu bagaimana layanan politik sesetengah pemimpin Pas Kedah terhadap Allahyarham Azizan ketika Allahyarham menjadi menteri besar. Justeru tidak perlulah pemimpin-pemimpin Pas bersandiwara lagi dalam soal ini dan janganlah berpura-pura kerana akhirnya kebenaran pasti akan menewaskan kepalsuan, begitulah juga dalam kempen pilihan raya ini. Percayalah!. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |