{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Masjid jadi tarikan pelancong

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Masjid Kapitan Keling dibangunkan oleh Caudeer Mohuden bagi kemudahan kaum India Muslim yang datang berniaga ke Pulau PInang lebih 200 tahun lalu kini antara masjid tercantik di negeri tersebut . - utusan/ISMAIL KAMADIN.

PULAU PINANG 30 Okt. - Georgetown sememangnya amat dikenali dalam peta pelancongan kerana status bandar Warisan Dunia yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) pada 2008.

Atas faktor berkenaan, bandar ini menerima kunjungan lebih sejuta pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun yang mahu menyaksikan sendiri keistimewaan sebenar bandar yang mempunyai lebih 500,000 penduduk itu.

Tumpuan utama sudah pasti terarah pada bangunan-bangunan lama yang memayungi hampir segenap pelosok bandar selain beberapa lokasi pelancongan menarik lain dan kepelbagaian makanan yang terdapat di negeri ini.

Ketika ini kebanyakan bangunan lama yang terdapat di sini dijadikan sekolah, pusat pentadbiran kerajaan, balai polis, hotel, pusat beli-belah, pejabat pos, kuil dan gereja termasuk sebuah kota yang didirikan Francis Light di Padang Kota Lama.

Namun daripada lebih 12,000 buah bangunan lama yang terdapat di Georgetown, terdapat puluhan masjid yang turut menjadi tarikan dan meningkatkan lagi status bandar ini sebagai lokasi percutian yang mempunyai pelbagai sejarah tamadun bangsa dan agama.

Salah satu daripadanya yang menjadi tumpuan ialah Masjid Kapitan Keling yang terletak di persimpangan Lebuh Buckingham dan Jalan Masjid Kapitan.

Masjid yang dibina pada kurun ke-19 itu boleh dikatakan sebagai lokasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke negeri yang juga dikenali sebagai Pulau Mutiara itu.

Binaan masjid tersebut berunsurkan campuran seni bina Islam dan Monggol yang mula dibina pada 1801.

Bangunan tersebut merupakan antara masjid tertua di negeri ini dan mampu menampung lebih 500 jemaah pada satu-satu masa.

Selain berfungsi sebagai tempat beribadat, masjid berkenaan juga dijadikan tempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan oleh penduduk sekitar terutama bagi golongan India Muslim.

Setiap minggu pelbagai program diadakan di situ termasuk pameran, kerja amal seperti memberi makanan kepada orang gelandangan selain terdapat sebuah muzium mini.

Pengurusan masjid tersebut juga 'mesra' kepada pelancong dengan turut membenarkan pelancong bukan Islam melawat ke dalam kawasan-kawasan tertentu di dalamnya sama seperti di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Pihak pengurusan masjid menyediakan jubah kepada pelancong wanita supaya tuntutan menurut aurat dalam kawasan masjid dilaksanakan di situ.

Dianggarkan lebih 100,000 pelancong asing melawat masjid itu setiap tahun dengan majoritinya dari Eropah, Australia dan Jepun.

Seorang pelancong Australia, Rebecca Voulkulos, 25, berkata, dia tertarik untuk melawat masjid berkenaan setelah membaca risalah mengenainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Seni binanya menarik dan kawasan sekitar dijaga rapi dan bersih. Saya berasa sangat dialu-alukan apabila menerima layanan mesra malah turut dibenarkan masuk ke bahagian tertentu dalam masjid.

"Ini membuatkan kunjungan saya ke negara ini lebih bermakna dan sudah pasti banyak lagi tempat lain yang ingin saya kunjungi selepas ini," katanya.

Bagi pelancong tempatan pula, terdapat satu lagi tarikan istimewa di kawasan masjid tersebut menjelang pukul 10 malam.

Ini kerana sebuah kedai nasi kandar yang cukup popular iaitu Nasi Kandar Beratur terletak di penjuru pintu masuk masjid berkenaan yang dikunjungi ramai pelanggan setiap malam.

Ada yang sanggup beratur sepanjang hampir 100 meter semata-mata mahu menikmati nasi kandar di situ.

Populariti nasi kandar berkenaan turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mengambil peluang menikmatinya ketika melakukan lawatan kerja ke sini awal tahun ini.

Jelaslah Masjid Kapitan Keling turut memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ekonomi bagi penduduk Islam di kawasan berkenaan kerana lawatan ke situ pasti akan diakhiri dengan acara membeli-belah di sekitar kedai-kedai pakaian dan emas yang terdapat di situ.

Selain Masjid Kapitan Keling, beberapa masjid lain di tengah bandar ini turut menarik perhatian pelancong seperti, Masjid Jamek Simpang Enam yang terletak di Jalan Macalister, Masjid Jamek Titi Papan (Jalan Burma), Masjid Jamek Benggali (Lebuh Leith), Masjid Jamek Alimshah Walley (Lebuh Chulia), Masjid Jamek Lebuh Acheh dan Masjid Jamek Jalan Hutton.

Kelab usahawan di seluruh Kedah

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Mohd. Ali Mohd. Rustam memberi sumbangan zakat kepada Roslan Md. Daud yang cacat penglihatan dalam program Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bersama penduduk Simpang Tiga Sungai Limau di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, Jerai, Kedah, semalam.

JERAI 30 Okt. - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), akan menubuhkan Kelab Usahawan PUNB di seluruh negeri bagi menyediakan ruang kepada para usahawannya untuk berhubung dan menyokong antara satu sama lain.

Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penubuhan kelab berkenaan juga bertujuan memberi inspirasi kepada usahawan dan seterusnya menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli.

"Menerusi kelab ini, para usahawan bukan sahaja dapat memantapkan hubungan silaturahim malah dapat menggunakan platform ini untuk bertukar dan berkongsi sebarang permasalahan serta pengalaman perniagaan melalui sesi perkongsian ilmu, bengkel dan jaringan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama, usahawan PUNB Kedah dan penyampaian zakat perbadanan itu di Sungai Limau di sini hari ini.

Pada majlis itu PUNB turut menyampaikan zakat kepada 30 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menurut Mohd. Ali, penubuhan Kelab Usahawan PUNB turut memberi manfaat kepada usahawan untuk mendapatkan idea-idea perniagaan baharu yang kreatif dan inovatif menerusi perbincangan untuk dikongsi bersama.

"Semua perancangan ini memerlukan sokongan semua pihak terhadap usaha yang dijalankan kerajaan untuk membela nasib rakyat.

"Kedah merupakan negeri pertama menubuhkan kelab ini. Selain menubuhkan di negeri-negeri, kita juga merancang untuk menubuhkannya mengikut beberapa industri seperti perniagaan emas," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat 25 Oktober lalu, PUNB telah membeli sebanyak 102 unit premis perniagaan yang bernilai secara keseluruhan kira-kira RM113 juta.

Di Kedah, katanya, sebanyak lima unit telah dibeli oleh perbadanan itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.62 juta.

Rakyat sudah lama idam pusat tahfiz

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Sebuah rumah dilekat dan digantung penuh dengan bendera Barisan Nasional di Kepala Simpang Sedaka, Sungai Limau, Yan Kedah semalam. - utusan/Kamal Basir

JERAI 30 Okt. - Rancangan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim untuk membina sebuah pusat tahfiz agama dan sains di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau disambut baik oleh rakyat di kawasan tersebut.

Rata-rata penduduk yang ditemui Utusan Malaysia menyuarakan hasrat masing-masing yang sudah lama mengimpikan sebuah pusat tahfiz di kawasan tersebut.

Penduduk, Azizah Nayan, 53, berkata, ketika ini dia terpaksa menghantar anaknya berusia 13 tahun ke sebuah pusat tahfiz di Alor Setar dan berpendapat langkah itu amat baik dalam melahirkan generasi muda berakhlak tinggi dan menghafal al-Quran.

"Memanglah di sini sudah ada pusat tahfiz namun tidak salah untuk menambah bilangan sedia ada supaya ibu bapa dapat membuat pilihan terbaik untuk anak-anak.

"Ini juga memberi peluang kepada penduduk di kawasan ini menghantar anak mereka ke pusat tahfiz di sini tanpa perlu pergi ke luar kawasan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kamarudin Awang, 49, berkata, dengan latar belakang pendidikan dan kerjaya sebagai ahli akademi, dia yakin Dr. Ahmad Sohaimi mampu melaksanakan perancangan tersebut dengan baik.

Ujarnya, perancangan calon BN itu juga sekali gus dapat memenuhi keperluan pendidikan di kawasan DUN Sungai Limau.

"Bukan sahaja memberi pendidikan agama kepada penduduk malah apabila pusat tahfiz ditubuhkan di sini kelak ia juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Rokiah Abdul Razak, 58, memberitahu, sebagai rakyat dia mengharapkan sebuah pusat tahfiz yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Dia berkata, kebanyakan pusat tahfiz yang dibina oleh pihak swasta menyebabkan tidak semua golongan terutama kurang berkemampuan mampu menanggung kos yuran dan perbelanjaan.

"Apa yang saya dengar yuran setiap bulan RM200 jadi kalau yang berpendapatan rendah memang tidak mampu hantar anak ke sana.

"Kalau beliau (Dr. Ahmad Sohaimi) mahu membinanya biarlah yang dibiayai oleh kerajaan atau separuh-separuh," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar