Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Sunway Lagoon 'diserang hantu' Posted: Sunway Lagoon 'diserang hantu'
KEDENGARAN suara manusia menjerit di sekitar Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya. Pada masa sama, kelihatan sesusuk tubuh tinggi yang memakai kustom seakan-akan hantu sedang berjalan. Sesekali, ia menjerit kuat untuk menakut-nakutkan para pengunjung. Selain itu, kelihatan juga karakter berkuku panjang yang digelar Mr. Finger berlari-lari di kawasan berdekatan dengan pintu masuk taman tema tersebut. "Mereka yang memakai topeng dan kostum pada sambutan Halloween ini berjaya menakut-nakutkan pengunjung. Saya sendiri ada masanya tidak menyedari kehadiran 'makhluk' tersebut. Walaupun takut, saya dan rakan-rakan berasa seronok dan geli hati melihat telatah pengunjung," ujar seorang pengunjung di Sunway Lagoon, Tuty Hartiny Talib, 24. Menurut Tuty yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, kostum, solekan dan topeng yang dipakai oleh petugas Sunway Lagoon jelas menonjolkan sisi seram dalam watak mereka. Bagi pengunjung yang ingin merasai sambutan Halloween, Sunway Lagoon merupakan destinasi tepat untuk anda menerusi acara Night of Fright-Festival of Fear. Pengunjung dapat melihat dekorasi taman tema itu dipenuhi dengan arca buah labu bercahaya selain karakter Halloween yang bebas berkeliaran di taman tema. Festival yang berakhir hari ini menjadi tarikan baharu kepada pengunjung untuk beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan. Sebelum ini, ia turut diadakan pada 18, 19, 25 dan 26 Oktober lalu. Dengan bayaran sebanyak RM48, festival itu membenarkan pengunjung berusia 12 tahun ke atas sahaja untuk masuk ke taman tema tersebut pada waktu malam. Pengalaman Menurut Pengarah Perunding Sunway Lagoon, Bill Hofman, pihaknya mengambil masa selama tiga bulan untuk membuat persediaan sempena sambutan Halloween buat julung-julung kalinya di taman tema itu. HARRIS (dua dari kiri) bersama sebahagian karakter Halloween yang berkeliaran di sekitar Sunway Lagoon sepanjang acara Night of Fright. "Melalui festival ini, pengunjung dapat menghayati suasana berbeza Sunway Lagoon jika dibandingkan pada waktu siang. Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman melihat dan mengenali karakter yang terkenal semasa sambutan Halloween. "Antara kawasan yang dipenuhi karakter Halloween ialah Wild West Ghost Town, Fun Fear dan All Hallows Cemetery. Kesemua karakter itu hanya menakutkan para pengunjung tanpa menyentuh mereka," ujarnya. Laluan berliku yang menyeramkan iaitu The Mummy's Revenge-Tomb of Terror merupakan tarikan utama untuk para pengunjung sepanjang festival itu berlangsung. Dalam pada itu, sambutan Halloween pasti tidak lengkap tanpa buah labu. Justeru, arca-arca ukiran buah labu yang unik turut dipamerkan di Alien Queen. Ia pastinya menjadi kawasan terbaik untuk para pengunjung untuk merakam gambar kenangan. Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Sudden Impact!, selaku syarikat yang menguruskan festival itu, Lynton Harris memberitahu, Night of Fright menjanjikan pengalaman menarik untuk para pengunjung yang ingin merasai suasana sambutan Halloween. "Pengunjung dapat bersiar-siar dalam suasana yang lebih selesa kerana cuaca pada waktu malam lebih dingin. Bagaimanapun, mereka harus berwaspada dengan kehadiran watak-watak Halloween yang sentiasa menakut-nakutkan mereka. "Selain itu, sepanjang festival ini, pengunjung berpeluang menyaksikan kira-kira 80 persembahan muzikal yang berkisarkan sambutan Halloween. Walaupun suasananya agak menyeramkan, saya pasti ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Setiap hari, seramai 1,000 pengunjung terawal taman tema itu akan mendapat minuman percuma. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.sunwaylagoon.com atau www.facebook/sunwaylagoonMsia. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA | |
Festival promosi animasi tempatan Posted: Festival promosi animasi tempatanASHRAN (dua dari kiri) bersama dengan barisan maskot-maskot animasi tempatan yang akan menemui pengunjung di Festival Malaysian Toon 2013 Disember ini. YAYASAN Usahawan Baru (Mynef) dengan kerjasama Nuovo Entertainment Frontier Sdn. Bhd. dan Brain Evolution Transform Sdn. Bhd. akan mengadakan Festival Malaysian Toon 2013 pada 14 hingga 16 Disember ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Festival tersebut dianjurkan bagi membantu usahawan seni kreatif yang terlibat dalam industri animasi tempatan. Ia dijangka menarik penyertaan lebih 60 syarikat produksi seni kreatif tempatan. Selain memberi maklumat mengenai produk animasi tempatan di ruang pameran, syarikat-syarikat produksi terlibat juga berpeluang berkongsi proses pembikinan sesebuah kartun, maskot, barangan berkaitan dan pencarian bakat baharu. Pengerusi Mynef, Ashran Ghazi berkata, festival yang julung-julung kali diadakan itu merupakan salah satu platform terbaik untuk membantu usahawan seni kreatif berskala kecil di negara ini. "Filem animasi dan permainan video yang dihasilkan oleh syarikat produksi tempatan mempunyai kualiti yang baik. Namun, kos pemasaran dan penjenamaan yang tinggi merupakan faktor utama karya animasi ini tidak dapat menembusi pasaran tempatan. "Syarikat-syarikat produksi juga hanya bergantung kepada stesen televisyen untuk menayangkan produk mereka. Menerusi pameran ini, ia juga merupakan peluang untuk syarikat-syarikat korporat melihat hasil kreatif anak tempatan," ujarnya pada sidang akhbar pengenalan festival itu baru-baru ini. Tambahnya, syarikat produksi animasi tempatan juga berpeluang memperoleh maklumat berkaitan harta intelek sekali gus mengelakkan karya mereka dieksploitasi oleh pihak lain. Mynef ditubuhkan pada November tahun lalu dan telah diberi mandat untuk melaksanakan 14 program pembangunan usahawan di bawah Inisiatif Pemangkin Usahawan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan yang sama. Inisiatif tersebut bertujuan membantu usahawan yang terlibat dalam industri teknologi maklumat, komunikasi dan kreatif yang berskala kecil untuk berkembang. Bagi ibu bapa yang tidak mempunyai sebarang perancangan pada musim cuti sekolah pada hujung tahun nanti, Festival Malaysian Toon 2013 merupakan pengisian yang sesuai untuk seisi keluarga. Antara tarikan utama festival itu ialah penyediaan set-set animasi oleh para peserta sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman seperti berada dalam sebuah siri animasi sebenar. Menurut Ashran, antara siri animasi yang terlibat dalam festival itu ialah Bola Kampung, Supertots dan Dunia Eicak. Tiada caj dikenakan kepada orang ramai yang berminat mengunjungi Festival Malaysian Toon 2013. Maklumat lanjut mengenai festival itu, boleh hubungi talian 03-7733 4421 atau 03-4105 1517. | |
Posted: Dana Rag bantu penggiat seniDARI kiri: Jurucakap Mypaa, Azimy Wan Ahmad, E-Jan dan Kok Man menunjukkan tiket persembahan kumpulan muzik klasik dari Amerika Syarikat yang berlangsung di Studio Toccata, Petaling Jaya baru-baru ini. MISI Loh Kok Man dan Tan E-Jan ketika memperoleh dana daripada Dana Gala Seni Diraja (Rag) 2012 adalah berbeza, namun mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu memartabatkan industri seni tempatan. Kok Man merupakan Pengarah Artistik untuk Pentas Project Theater Production mempunyai misi membawa 10 pelakon dalam kumpulannya ke Festival Seni Kuandu, Taiwan bagi mempersembahkan teater bertajuk Animal Farm pada hujung bulan November ini. Karya adaptasi daripada buku hasil nukilan George Orwell itu menceritakan mengenai kehidupan haiwan daripada kaca mata manusia. Menurut Kok Man, ketika ini tiket persembahan tersebut yang dijual di Taiwan mendapat sambutan ramai. "Hasil karya Malaysia menerima sambutan yang menggalakkan di Taiwan. Ia merupakan salah satu cara terbaik untuk memperkenalkan hasil karya tempatan ke peringkat antarabangsa," ujarnya yang menggunakan dana Rag sebanyak RM25,000 sebagai sumber kewangan untuk menyertai festival tersebut. Rag merupakan satu inisiatif daripada My Performing Arts Agency (Mypaa) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan. Menerusi inisiatif Mypaa, ia merupakan platform untuk membantu menyokong industri seni tempatan. Dalam pada itu, E-Jan yang bertugas sebagai Pengasas dan Penerbit di Studio Toccata di Jalan SS2, Petaling Jaya, Selangor mempunyai misi agak mencabar iaitu menarik kehadiran rakyat Malaysia untuk menonton teater. "Di Malaysia, menonton teater bukan menjadi satu budaya walaupun kisah-kisah yang dipaparkan dekat dengan masyarakat kita. Selain itu, pihak penganjur juga perlu melakukan setiap kerja pementasan secara sendirian, "Sebelum ini, saya juga ada meminta bantuan daripada kira-kira 100 syarikat korporat untuk menyumbang dalam projek yang dianjurkan oleh Studio Toccata. Namun, tiada respons positif daripada mereka," jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Tambahnya, dia amat bersyukur kerana menerima dana sebanyak RM10,000 daripada Rag untuk digunakan dalam memajukan seni kreatif yang dianjurkan oleh Studio Toccata. Terbaharu, studio itu mengundang kumpulan muzik klasik dari Amerika Syarikat iaitu Mivos String Quartet untuk mengadakan persembahan pada 20 Oktober lalu. Dalam pada itu, persembahan Rag yang dijadualkan berlangsung pada 23 November ini di Istana Negara Lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur mengumpulkan pelbagai seni persembahan di Malaysia termasuk teater dan muzik. Selain itu, persembahan tersebut juga merupakan platform untuk memberi Anugerah Seni Kreatif dan Anugerah Seni Korporat bagi mengiktiraf hasil karya penggiat seni tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai persembahan itu, layari laman web www.mypaa.com.my atau hubungi talian 03-6207 9566. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |