{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Dalam Negeri

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Dalam Negeri


Adik ipar Mufti Perak jemaah ke-18 meninggal dunia di Tanah Suci

Posted: 30 Oct 2013 02:15 AM PDT

PARIT BUNTAR 30 Okt. - Sabli Jamaidi, 68, adik ipar kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria merupakan jemaah haji Malaysia ke-18 meninggal dunia akibat serangan jantung pada Isnin lepas.

Allahyarham menunaikan haji bersama-sama isteri Hamsah Zakaria, 66, serta tujuh saudaranya, dilaporkan meninggal dunia di penginapannya di Al-Bisyra Mawaddah, Makkah pukul 6.10 pagi (waktu Arab Saudi).

Jenazah Allahyarham diuruskan petugas Tabung Haji dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat keluarga Allahyarham di Kampung Tanah Kebun di sini merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta.

Abdul Azeez turut menyerahkan sumbangan khairat kematian Tabung Haji kepada anak arwah, Mohamad Bahtiar, 29.

Sementara itu, anak arwah, Huzaitul Fadilah, 42, berkata, beliau menerima berita itu pada 11 pagi Isnin lalu, selepas dimaklumkan sepupunya yang turut berada di tanah suci.

"Di tanah suci arwah kerap telefon saya dan tanya khabar. Kali terakhir Allahyarham menghubungi saya pukul 2 petang Jumaat lepas dan ketika itu ayah tidak sihat dan mengalami batuk-batuk," katanya dan menambah arwah merupakan Tok Siak di surau di kampungnya.

Huzaitul yang terkejut dengan pemergian ayahnya itu berkata, Allahyarham mempunyai penyakit darah tinggi namun sebelum ke tanah suci tekanan darahnya stabil.

"Saya tidak sangka ayah akan pergi buat selama-lamanya kerana ketika saya hantar dia dan mak di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dia kelihatan ceria," katanya. - BERNAMA

PRK DUN Sungai Limau pengukur sokongan pengundi Cina - TPM

Posted: 30 Oct 2013 01:55 AM PDT

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

JERAI 30 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menjadi medan terbaik untuk mengukur tahap perubahan sikap pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kali ini adalah yang terbaik untuk kita mengukur tahap perubahan sikap (pengundi Cina). Saya tidak tahu dan saya tidak pasti sehinggalah keputusan nanti barulah kita tahu," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Sungai Limau di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Limau.

Pada majlis itu Muhyiddin mengumumkan peruntukan lebih RM2 juta bagi membantu tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di DUN Sungai Limau dan penubuhan Tabung Pendidikan Sekolah Cina Sungai Limau.

"Dimaklumkan bahawa pengundi di sini lebih terbuka, yang datang (ke majlis) di sini adalah pengundi tempatan untuk memberi sokongan moral, apa pun kita akan melihat keputusan pilihan raya di peti undi yang ramai pengundi Cina.

"Walaupun pada pilihan raya yang lepas ramai orang Cina tidak menyokong (BN) maka mereka kata jangan bantu (masyarakat Cina). Tapi di sini mereka telah tunjukkan sikap yang ikhlas dan mereka mahu kita bantu. MCA dan Gerakan juga mahu mereka dibantu, jadi kita bantu. Kita harap dengan itu, ada kesedaran bahawa BN bersedia untuk menolong semua kaum," jelas Muhyiddin.

Menurut beliau, dalam tempoh lima bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 berlangsung Mei lalu, masyarakat Cina tentunya dapat melihat bahawa parti pembangkang juga mempunyai banyak masalah. - UTUSAN ONLINE

Kad biometrik pekerja asing boleh diimbas guna telefon pintar

Posted: 30 Oct 2013 01:36 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pekerja asing boleh diperiksa melalui kad biometrik yang dapat diimbas menggunakan telefon pintar apabila Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) dilaksanakan kelak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila kad biometrik itu dikuatkuasakan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pekerja asing yang gagal mengemukakan kad itu kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan.

"Kita akan terus hantar pulang ke negara asal, mereka tidak dibenarkan lagi masuk (ke Malaysia). Sebelum ini, jika dihantar pulang, mereka boleh menukar nama di negara asal dan datang semula tetapi sistem pada kad biometrik menyebabkan mereka tak boleh berbuat demikian.

"Kita telah dapat persetujuan daripada semua kedutaan negara sumber pekerja asing untuk menghantar pulang tanpa kompromi," katanya, sambil menambah kad biometrik itu kini dalam peringkat ujian.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata kos pemilikan kad biometrik itu, yang akan dikeluarkan Jabatan Imigresen, perlu ditanggung pekerja dan majikan.

Katanya, pelaksanaan kad biometrik itu mungkin diperluaskan kepada pelajar asing di negara ini jika penggunaan kad itu di kalangan pekerja asing berjaya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa 117 syarikat menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan pengambilan pekerja asing sejak September 2011 hingga kini.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat berkaitan amalan rasuah dalam pengambilan pekerja asing, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi jika terdapat maklumat wujudnya amalan rasuah dalam pengurusan kemasukan pekerja asing.

"Saya tidak akan pernah berkompromi dengan perasuah sama ada dilakukan oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri, Imigresen atau individu yang mengaku dari KDN. Tindakan akan saya lakukan dengan kadar segera," katanya.

Beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa 2,116,998 pekerja asing memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah dan aktif pada 30 Jun tahun ini.

Jumlah itu mewakili pekerja asing yang digaji secara sah dan dikeluarkan PLKS oleh Jabatan Imigresen Malaysia, termasuk jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diputihkan dan dikeluarkan pas itu di bawah program 6P.

Pecahan mengikut sektor adalah perkilangan (733,200), pembinaan (425,532), perladangan (347,149), perkhidmatan (251,373), pembantu rumah (180,370) dan pertanian (179,374).

Pecahan pekerja asing mengikut lima negara tertinggi pula adalah Indonesia (935,058), Nepal (359,023), Bangladesh (319,822), Myanmar (174,477) dan India (117,697).

Berhubung laporan yang mendakwa Amerika Syarikat mengendalikan stesen pemantauan di kedutaannya di Kuala Lumpur untuk mengintip perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi di negara ini, Ahmad Zahid berkata beliau akan berjumpa Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk membincangkan perkara itu.

Laporan yang diperoleh dari dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Snowden, mendedahkan bahawa terdapat 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaan Amerika di Jakarta, Bangkok dan Yangon. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat