{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


The Red Warriors kebanggaan Kelantan

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

TARIAN kemenangan oleh pemain Kelantan selepas menumpaskan pasukan Johor 6-1 pada perlawanan Piala Malaysia peringkat suku akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, baru baru ini.

KOTA BHARU 30 Okt. - Kegilaan rakyat Kelantan terhadap bola sepak tidak dapat disangkal lagi dan semakin menjadi-jadi selepas Kelantan mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun sejak 2009.

Kejayaan itu meletakkan pasukan Kelantan berada pada kelas tersendiri selepas mengalami zaman kemerosotan sebelum ini sehingga menyaksikan skuad yang terkenal dengan laungan 'Gomo Kelate Gomo' itu terpaksa beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2005.

Namun segalanya berubah apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengalami transformasi luar biasa di bawah teraju kepimpinan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mengambil alih tampuk pengurusan persatuan pada 2008.

Di bawah transformasi tersebut, Annuar membuat perubahan drastik dengan menjenamakan semula pasukan Kelantan dengan memberikan gelaran baharu iaitu The Red Warriors (TRW).

Percubaan Annuar membawa masuk beberapa nama besar ke dalam pasukan Kelantan antaranya Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Norfarhan Mohammad, Ahmad Azlan Zainal dan Khalid Jamlus membuahkan hasil apabila mereka membuat kemunculan semula di pentas final Piala Malaysia untuk tempoh 39 tahun selepas melakukannya kali terakhir pada 1970.

Bagaimanapun, hasrat untuk menjulang kejuaraan pada penampilan final pertama di pentas Piala Malaysia itu dinafikan oleh Negeri Sembilan apabila mereka tumpas 1-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Tahun 2010, Kelantan yang membuat penampilan kedua di pentas tersebut, nyata lebih bersedia apabila berjaya menumpaskan juara bertahan Negeri Sembilan sekali gus menebus kekecewaan tumbang kepada pasukan berkenaan pada penampilan pertama sebelum ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan Kelantan yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan memahat sejarah baharu dalam lipatan bola sepak di negeri ini dengan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama ke bumi Cik Siti Wan Kembang sejak mula diperkenalkan pada 1921.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun rakyat negeri ini untuk melihat pasukan kesayangan mereka bergelar juara buat kali pertama.

'Aura' kejayaan yang ditinggalkan oleh Sathianathan atau lebih mesra dengan panggilan Abe Ya dalam kalangan peminat Kelantan diteruskan oleh pengendali kelahiran Croatia, Bojan Hodak dengan menjulang The Red Warriors merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua pada tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan menjulang Piala Malaysia itu hadir selepas Kelantan merangkul dua lagi piala iaitu Liga Super dan Piala FA sekali gus meletakkan The Red warriors setanding dengan pasukan yang pernah mencipta kejuaraan treble iaitu Selangor dan Kedah.

Hodak terus memahat namanya dalam lipatan sejarah bola sepak Kelantan sebagai jurulatih paling berjaya apabila sekali lagi membimbing The Red Warriors mara ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Mengimbau kembali saingan Piala Malaysia musim ini, Kelantan yang diundi dalam kumpulan C bersama Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan bermula agak perlahan apabila sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan skuad Tok Gajah pada aksi pembukaan.

Pada aksi kedua, Kelantan kembali bangkit dengan mendapat tonik berharga dengan menumbangkan seteru tradisi Terengganu 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Hasrat The Red Warriors untuk meneruskan momentum kemenangan kemudiannya terencat apabila diikat 1-1 oleh Negeri Sembilan dalam aksi ketiga di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sekali gus menutup saingan pusingan pertama dengan mengumpul lima mata.

Ketika The Red Warriors memasang impian untuk mara ke pusingan kedua lebih awal, Negeri Sembilan melakar kejutan terbesar apabila menumbangkan skuad bimbingan Hodak 3-2 dalam aksi di Kota Bharu.

Menyedari peluang untuk mara ke pusingan kedua dilihat hampir tertutup, Kelantan kembali bangkit dengan menumbangkan seteru tradisi 3-1 di Kuala Terengganu dan kemudian membelasah Pahang 4-0 untuk mengesahkan status sebagai juara kumpulan.

Memasuki saingan peringkat kalah mati, The Red Warriors yang muncul selaku juara Kumpulan C berdepan ujian getir apabila diundi bertemu dengan naib juara Kumpulan B Harimau Selatan untuk membuat perhitungan bagi mengisi slot empat pasukan terbaik di peringkat saingan separuh akhir.

Kredibiliti Kelantan sebagai juara bertahan teruji apabila mereka tumbang mengejut 2-4 kepada Harimau Selatan dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ketika ramai pemerhati bola sepak negara meramalkan peluang Kelantan untuk mara ke saingan separuh akhir tertutup ekoran kekalahan tersebut, The Red Warriors yang bersandarkan kepada semangat 'This Is Kota Bharu' membuat kemunculan memukau dengan melanyak Harimau Selatan menerusi kemenangan 6-1 pada pertemuan tersebut.

Kemunculan luar biasa Kelantan pada perlawanan tersebut berjaya menutup suara-suara sumbang yang meramalkan The Red Warriors bakal tersingkir ekoran defisit jurang gol yang agak besar.

Namun semangat 'This Is Kota Bharu' yang menyerap masuk ke dalam sanubari setiap pemain berjaya menafikan hasrat Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk melakar kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan itu.

Kemenangan itu, menyaksikan The Red Warriors melangkah gagah ke pentas separuh akhir dengan menyingkirkan pasukan berstatus bintang tersebut menerusi kiraan agregat 8-5 seterusnya menanti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat separuh akhir.

Dalam saingan separuh akhir, The Red Warriors memulakan aksi pertama dengan langkah kanan apabila menumpas The Gladiators 2-1 seterusnya membawa bekalan dua gol ke Kota Bharu.

Bekalan dua gol tersebut nyata tidak mencukupi buat The Red Warriors, apabila The Gladiators membuat kebangkitan pada aksi kedua dengan meledakkan dua jaringan awal untuk mengikat kedudukan agregat menjadi 2-2.

Hasrat, The Gladiators untuk mengulangi kejutan seperti dilakukan dengan menumpaskan The Red Warriors dalam saingan Liga Super 13 April lalu tidak menjadi kenyataan apabila Kelantan bangkit mengikat kedudukan menjadi 2-2 ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk ditamatkan.

Meskipun seri pada perlawanan tersebut, Kelantan melangkah gagah ke final menerusi kiraan agregat 4-3 dan mencerahkan peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut musim ini.

Pada pentas akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 3 November ini, Kelantan bakal membuat perhitungan dengan sebuah lagi pasukan Pantai Timur iaitu Pahang selepas menumpaskan Sarawak menerusi kiraan agregat 4-2.

Keupayaan Hodak membawa The Red Warriors melangkah ke pentas final Piala Malaysia wajar diberikan pujian selepas berhempas-pulas untuk menyediakan ramuan terbaik buat pasukannya selepas kehilangan penyerang prolifiknya musim lalu iaitu Norshahrul Idlan Tahala yang berhijrah ke Johor Darul Takzim musim ini.

Bukan itu sahaja, Kelantan turut berdepan dengan ketumpulan jentera serangan yang menyaksikan The Red Warriors terpaksa membawa masuk ramuan baharu untuk memantapkan posisi berkenaan dengan menggantikan tonggak import mereka Keita Manjdou dengan Dickson Nwakaeme pada sesi perpindahan pemain awal April lalu.

Kemasukan Nwakaeme merubah jentera serangan Kelantan apabila pemain tersebut berjaya membawa impak cukup besar apabila membalas kepercayaan yang diberikan KAFA dengan menjadi sebahagian daripada pencetak gol The Red Warriors musim ini.

Ketajaman Nwakaeme terserlah sebaik sahaja dia pulih daripada kecederaan ketika saingan Piala Malaysia memasuki pusingan kedua apabila mencetak gol-gol penting buat Kelantan termasuklah ketika membelasah Harimau Selatan 6-1 pada aksi suku akhir.

Penyerang kelahiran Lagos, Nigeria itu turut menjadi watak penting apabila menjadi duri dalam daging ketika Kelantan menumpas ATM 1-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama sehingga pengendali ATM menggelarkannya sebagai 'orang besi'.

Kejayaan The Red Warriors layak ke pentas final mendapat pujian daripada Annuar yang menyifatkan barisan pemainnya mempamerkan karektor sebagai sebagai juara selepas menyingkirkan ATM pada aksi separuh akhir baru-baru ini.

Keaslian seni budaya perlu dijaga

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

MD. Anizam Abd. Rahman (tiga dari kiri) dan Dr. Zulkepli Mohamad (empat dari kiri) menyaksikan persembahan dikir barat asli veteran vs belia di gelanggang seni di Kota Bharu, Kelantan, malam semalam.

KOTA BHARU 30 Okt. - Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad akan memastikan seni permainan tradisional di negeri ini seperti silat, dikir barat dan wau terus dikembangkan dengan mengekalkan keasliannya tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad berkata, semua unsur luar seperti muzik moden dan pakaian menjolok mata tidak akan dibenarkan dimasukkan ke dalam setiap permainan terbabit untuk mengelak daripada tercemar.

"Penjagaan nilai keaslian seni itu amat penting kerana merupakan satu warisan yang telah menjadi khazanah budaya masyarakat Melayu negeri ini sejak turun temurun lagi, sebab itu kita mesti mengekalkannya.

"Pengaruh unsur-unsur moden terutama muzik dan pakaian yang menjolok mata tidak boleh diadaptasi ke dalam seni tradisional ini kerana bukan sahaja bertentangan dengan agama tetapi mencemarkan nilai keaslian itu," katanya ketika ditemui dalam Majlis Persembahan Dikir Barat Asli Veteran vs Belia di gelanggang seni di sini malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman.

Terdahulu, Md. Anizam ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, hasrat untuk mengekalkan seni permainan tradisional dapat dijayakan dengan sokongan semua pihak terutama para penggiat seni yang boleh memainkan peranan sebagai penghubung masyarakat melalui aktiviti masing-masing dengan lebih berkesan.

Katanya, selain lambang kebanggaan masyarakat sesebuah negeri, kesenian dan kebudayaan juga menjadi satu platform untuk memupuk semangat perpaduan masyarakat setempat tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berhasrat untuk menghidupkan kembali beberapa permainan tradisional rakyat negeri ini yang dipercayai semakin dilupakan dalam usaha membangunkan industri pelancongan tempatan.

"Kita akan cuba hidupkan kembali permainan tradisional yang lebih dikenali sebagai permainan rakyat seperti congkak, gasing, golek para, tikam seladang, kertuk, rebana dan sebagainya untuk tatapan umum.

"Permainan-permainan ini sebenarnya mempunyai keunikannya tersendiri. Selain berpotensi sebagai produk pelancongan, secara tidak langsung kita dapat menghidup dan mengumpulkan kembali khazanah warisan budaya yang semakin dilupakan ini," katanya.

Kelantan, Terengganu pantau harga

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

ALWI Abdul Hamid (dua dari kanan) memeriksa harga barangan kawalan bersempena musim perayaan Deepavali di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, semalam.

KOTA BHARU 30 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan telah menetapkan 14 jenis barangan terkawal untuk dikuatkuasakan di bawah skim harga kawalan bagi musim perayaan Deepavali ini.

Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Mohd. Hanizam Kechek berkata, skim tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tempoh penguatkuasaannya selama 10 hari bermula 28 Oktober sehingga 6 November ini.

Katanya, antara barangan tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, tomato, bawang merah kecil (India), ubi kentang import (China) dan kacang dal (Australia).

Beliau berkata, penentuan harga maksimum telah dibuat di tiga peringkat iaitu pengeluaran (bagi ayam dan telur ayam), borong serta runcit dalam rantaian pengedaran mengikut kewajaran dan kesesuaian.

"Penentuan ini dibuat agar penguatkuasaan kawalan harga adalah lebih berkesan dan penawaran harga yang berpatutan untuk barang-barang perlu bagi manfaat pengguna dan peniaga.

"Pelaksanaan skim ini adalah untuk menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa musim perayaan selain mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan penentuan harga maksimum barangan terkawal skim kawalan harga musim perayaan Deepavali 2013 di sini hari ini.

Katanya, penentuan harga tersebut dibuat berdasarkan pemantauan harga di semua daerah bermula dari Januari hingga Oktober tahun ini mengikut pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan.

"Di samping itu kami mengambil kira pandangan agensi-agensi kerajaan berkaitan iaitu Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan melalui perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barang-barang berkaitan," katanya.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan mengingatkan peniaga agar menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Bagi individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

Sementara itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu menggerakkan 150 anggota penguat kuasa termasuk Pegawai Pemantau Harga (PPH) di seluruh negeri ini sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013.

Timbalan Pengarahnya, Alwi Abdul Hamid berkata, langkah itu bertujuan memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk meletakkan tanda harga yang betul serta tidak menaikkan harga barang sesuka hati mereka.

"Alhamdulillah, sejak skim kawalan harga dilaksanakan kelmarin, kita hanya mengesan satu kes iaitu peniaga tidak meletakkan tanda harga pada ubi kentang di sebuah pasar basah di Manir dekat sini.

"Peniaga berusia 55 tahun itu bagaimanapun telah menyedari kesalahannya dan dikenakan kompaun minimum sebanyak RM100," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran skim kawalan harga tersebut di Pasar Besar kedai Payang di sini hari ini.

Sempena pelancaran itu, beliau bersama lebih 10 anggota penguat kuasa lain turut membuat tinjauan harga di pasar berkenaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat