Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- UTM buru reputasi cemerlang
- UTMSpace rai media, anak yatim Ar-Rayyan main boling
- Nekad teruskan pengajian buahkan hasil kejayaan
Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN MAHASISWA Jepun dan Malaysia (dari kiri) Mika Takayanagi, Nor Fyadzila Mohd. Tahar, Kazuko Ishimoto, Motoki Matsuyama dan Yaakob Arshad gembira dengan ijazah masing-masing pada Konvokesyen ke-51 Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 29 Okt. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus berusaha memastikan dapat berperanan sebagai institusi yang penting dan relevan dalam membangunkan agama, bangsa dan negara. Naib Canselornya, Prof. Dr. Ir. Wahid Omar berkata, dalam masa sama, UTM akan terus memberi fokus membina reputasi lebih cemerlang di peringkat global. Beliau berkata, falsafah UTM yang dicetuskan barisan pengasas UTM terdahulu akan menjadi pegangan kukuh dalam institusi itu bergerak ke hadapan. "Kami sentiasa menyedari UTM mempunyai peranan penting bagi melahirkan insan yang bukan sahaja tersohor keupayaan teknikalnya dan boleh dipercayai tetapi memiliki nilai insaniah yang murni dan terpuji. "Bagi kami, golongan inilah yang boleh menjadi harapan kita bagi meneruskan kesinambungan survival agama, bangsa dan negara sekali gus mengharungi cabaran dalam dunia tanpa sempadan ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-51 di sini hari ini. Yang turut hadir, Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Pro Canselor dan beberapa ahli lembaga pengarah. Seramai 5,378 graduan menerima ijazah masing-masing dengan 163 daripada jumlah berkenaan adalah graduan ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,075), diploma lepasan ijazah (126), ijazah sarjana muda (2,493) dan diploma (1,521). Dalam majlis berkenaan, UTM turut meraikan 11 graduan sulung yang menerima anugerah Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dan Pentadbiran Perniagaan bagi Program Dwi Sarjana dengan kerjasama Universiti Meiji, Tokyo. Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah tersebut ialah Dekan Sekolah Siswazah dan Pentadbiran Perniagaan Universiti Meiji, Prof. Masayasu Takahashi; Timbalannya, Prof. Kenichi Suzuki dan Ketua Jabatan Pentadbiran Perniagaan, Prof. Madya Mika Takayanagi. Lima daripada 11 graduan itu ialah penuntut UTM manakala enam lagi penuntut Universiti Meiji, masing-masing dianugerahkan Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dari UTM dan Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Meiji. |
UTMSpace rai media, anak yatim Ar-Rayyan main boling Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT SEBAHAGIAN daripada anak-anak yatim dari Ar-Rayyan diraikan oleh kakitangan dari Unit Komunikasi Pemasaran UTMSpace dan Kelab Media Johor pada Majlis Derma Bakti Melalui Aktiviti Boling Bersama Kelab Media Johor dan Pusat Insani Darul Takzim & Anak Yatim Ar-Rayyan di Danga City Mall, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. - utusan/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 29 Okt. - Sempena sambutan ulang tahun Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace) Ke-20, institusi pengajian tinggi itu dengan kerjasama Kelab Media Johor (KMJ) mengadakan program derma bakti bersama anak yatim Rumah Ar-Rayyan. Program derma bakti berupa perlawanan boling yang disertai oleh 64 pemain terdiri daripada anak yatim Ar-Rayyan, KMJ dan kakitangan UTMspace itu dirasmikan Pengurus Unit Komunikasi Pemasaran UTMSpace, Kartika Ista Mohamed Shah. Kartika Ista berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara UTMSpace dan media selain mendekatkan mereka dengan anak-anak yatim. "Program ini juga bagi meraikan para wartawan yang banyak memberi kerjasama dari segi liputan sepanjang tahun dalam pelbagai anjuran UTMSpace," katanya. Dalam majlis tersebut, UTMSpace turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,500 kepada Pengurus Asrama Kebajikan Anak Yatim Ar-Rayyan, Mohamad Halimi Kolan bagi meringankan beban kewangan rumah anak yatim tersebut. UTMSpace turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada KMJ yang diterima Timbalan Presiden 1, Raja Jaafar Ali sebagai tanda terima kasih atas penglibatan media dalam pelbagai majlis yang dianjurkan pihaknya. |
Nekad teruskan pengajian buahkan hasil kejayaan Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT ZAITON Mohd. Saleh (tengah) bersama Mohd. Razip Hamidun (kiri) dan Rafedah Rahman mendapat Hadiah Akademik UTMSpace pada Majlis penyampaian Anugerah Dekan UTMSpace di UTM di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 29 Okt. - Setelah beberapa kali menolak tawaran untuk menyambung pengajian kerana kekangan masa dan keluarga, akhirnya seorang guru agama nekad untuk mengejar impian itu dan memilih Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace) sebagai lokasi menuntut ilmu. Malah lebih menggembirakan Zaiton Mohd. Saleh, 50, keputusan nekad itu membuahkan hasil apabila menerima tiga anugerah iaitu Anugerah Dekan, Anugerah Akademik UTMSpace dan Anugerah Khas Veteran sempena Majlis Penyampaian Anugerah Dekan dan Hadiah UTMSpace di sini baru-baru ini. Ketika ditemui, beliau yang kini memiliki Diploma Sains serta Pendidikan Pengajian Islam itu mengakui tidak menyangka akan menerima penghargaan tersebut, namun tetap gembira kerana segala usahanya selama ini membuahkan hasil. "Bagi saya, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah kerana restu daripada suami dan sokongan anak-anak yang tidak berbelah-bahagi walau dalam apa jua keadaan saya," katanya. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, menyambung pengajian pada usia yang sudah menjangkau setengah abad tidak sedikitpun membebankan. "Saya tidak pernah rasa terbeban biarpun menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga anak dan guru pada satu masa, sebaliknya saya gembira dengan kehidupan ini," katanya. Ditanya mengenai resipi kejayaannya, Zaiton yang kini bertugas di Sekolah Agama Penerok, Pontian yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.54 mengakui lebih gemar mengulang kaji pelajaran pada waktu malam kerana keadaannya yang sunyi dan tenang. Malah, kerjayanya sebagai seorang pendidik banyak membantu dalam mengatur jadual pembelajaran dan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Beliau berharap kejayaannya bukan sahaja akan menjadi inspirasi kepada tiga anaknya, tetapi juga memberi semangat untuk semua anak didiknya belajar dengan lebih gigih untuk masa depan yang lebih cemerlang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |