Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Suami isteri didakwa seleweng lebih RM1 juta Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT PETALING JAYA 29 Okt. - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 23 pertuduhan menyalahgunakan serta melakukan pecah amanah wang syarikat melibatkan kerugian lebih RM1 juta, lima tahun lalu. Wong Yeong Chai, 39, sebagai pengarah pembinaan di syarikat MJ Concept Sdn. Bhd. didakwa atas 14 pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat dengan memindahkan wang majikannya itu melalui 14 keping cek berasingan kepada syarikat miliknya, CJ Concept Sdn. Bhd. Kesemua 14 pertuduhan itu didakwa dilakukan di di No. 29, PUJ 2/29, Taman Puncak Jalil, Bandar Seri Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 19 Januari 2009. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. Sementara isterinya, Tee Siok Lan, 39, yang bekerja sebagai eksekutif akaun di syarikat yang sama didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pecah amanah dengan mengambil wang milik majikannya untuk kegunaan sendiri. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 22 September 2008 di tempat yang sama. Siok Lan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta boleh didenda. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam bela. Dalam rayuan untuk mengurangkan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, pasangan itu memberi alasan bahawa mereka tidak berkemampuan serta terikat dengan banyak hutang. Kami juga terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain kerana sering diganggu ah long. Kalau Yang Arif (Hakim) tidak memberi jumlah ikat jamin yang munasabah kami terpaksa duduk di penjara, kata Siok Lan. Hakim Abu Bakar Manat kemudian membenarkan Yeong Chai diikat jamin RM97,000 bagi kesemua 14 pertuduhan manakala isterinya RM36,000 bagi kesemua sembilan pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin. Mahkamah juga memerintah pasport kedua-dua tertuduh diserahkan ke mahkamah sebagai syarat tambahan. Sebutan kes ditetapkan pada 28 November ini. |
Penghantar cepat didakwa ragut pelancong Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT KUALA LUMPUR 29 Okt. - Seorang penghantar cepat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meragut seorang pelancong wanita warga Arab Saudi di hadapan sebuah hotel di ibu kota, seminggu lalu. Sholikun Amin Mat Mukri, 22, dari Ampang di sini didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak dengan cara meragut sebuah beg tangan berwarna putih dan coklat jenama Yuejin milik Hend Al Ajeeb. Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di hadapan Prince Hotel, Jalan Conlay di sini pada pukul 2.20 petang, 22 Oktober lalu. Beg tangan tersebut mengandungi seunit iPhone 4S, satu peket kertas tisu, dua tiket penerbangan Emirates, sebuah dompet warna hitam jenama Gucci, satu kad bilik hotel dan wang tunai RM250 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1,500. Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Timbalan Pendakwa Raya, Shashita Mohamed Hanifa yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan kes itu adalah serius. Peguam A. Krishna Veni yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh merupakan anak tunggal dan perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit jantung. Hakim Azwarnida Affandi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 November ini untuk serahan dokumen. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |