Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Landskap Ipoh berubah wajah
- Pulau Pinang tidak dipinggir dalam bajet
- Projek tebatan Beriah kurangkan banjir daerah Kerian
Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh ROKIAH ABDULLAH Roshidi Hashim (kiri) melihat pemandangan Ipoh dari salah satu tingkat Hotel Symphony Suite di Ipoh, kelmarin. IPOH 31 Okt. - Pembangunan 268 projek komersial di bandar raya ini sejak enam tahun lalu telah berjaya merubah wajah dan landskap Ipoh sebagai ibu negeri. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, 268 projek itu merupakan sebahagian daripada 468 projek bangunan komersial yang diluluskan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak tahun 2007. Menurutnya, projek yang telah siap sepenuhnya itu dilihat berpotensi menjadi satu tarikan baharu, selain menarik perhatian masyarakat luar datang ke negeri ini. "Saya penuh yakin bandar raya Ipoh akan terus membangun dengan wujudnya lebih banyak bangunan komersial termasuk hotel. "Itulah yang kita harapkan semasa meluluskan setiap cadangan yang dipohon dulu. Kita mahu bandar raya ini kembali menyinar, sekali gus menarik ramai pelancong luar datang ke sini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Symphony Suites Hotel di sini semalam. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Symphony Suites Hotel, Lee Chee Ming dan dua Pengarahnya, Datuk Seri Richard Tan dan Marc Khoo serta Pengurus Besar, Thayundi Intachat. Menurut Roshidi, lebih membanggakan kebanyakan projek komersial yang dibangunkan di bandar raya ini adalah hasil daripada pelaburan anak tempatan. Katanya, ini secara tidak langsung menunjukkan golongan berkenaan yakin terhadap pembangunan dan potensi yang dimiliki di negeri ini. Sementara itu, Roshidi berkata, pelancongan merupakan sektor yang sangat dinamik dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penjanaan pekerjaan dan tukaran asing. Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bagi sektor pelancongan adalah untuk memperbaiki kedudukan Malaysia menjadi antara 10 negara teratas dari segi pendapatan pelancongan global. "Oleh itu, saya amat yakin dengan perasmian hotel butik perniagaan Symphony Suites ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di bandar raya Ipoh. "Dengan segala kemudahan yang ada seperti hotel, pusat beli-belah dan bermacam-macam lagi, pasti ini menjadi satu tarikan baharu pelancong datang ke sini," katanya. |
Pulau Pinang tidak dipinggir dalam bajet Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh ZABRY MOHAMAD Zainal Abidin Osman menyampaikan anugerah kepada salah seorang pemenang dalam majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri di Kepala Batas, semalam. KEPALA BATAS 31 Okt. - Kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan negeri yang ditadbir pembangkang termasuk Pulau Pinang malah menyediakan peruntukan besar dalam Bajet 2014. Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, untuk tahun depan, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM880.65 juta bagi melaksanakan beberapa projek baharu di negeri ini. Sehubungan itu, menurutnya, dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya Pulau Pinang tidak disediakan sebarang peruntukan dalam Bajet 2014 adalah tidak benar. "Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyebut perkataan Pulau Pinang ketika membentangkan Bajet 2014, kesemua manfaat yang Kerajaan Persekutuan sediakan untuk negeri ini adalah sesuatu yang terjamin. "Kerajaan DAP Pulau Pinang tolong jangan bersangka buruk dengan Kerajaan Persekutuan. Tanpa mengira fahaman politik, kita terus bantu rakyat Pulau Pinang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri di sini hari ini. Guan Eng baru-baru ini mendakwa Bajet 2014 tidak menawarkan sebarang peruntukan kepada Pulau Pinang. Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memberitahu, antara pembangunan yang bakal dilaksanakan di Pulau Pinang tahun depan adalah 21 projek di bawah Kementerian Pelajaran dengan kos sebanyak RM77.62 juta. Tambahnya, turut akan dilaksanakan adalah lima projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (RM24.80 juta), dua projek Kementerian Kesihatan (RM270 juta), dua projek Kementerian Kerja Raya (RM455 juta) serta satu projek Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM20 juta). Projek-projek baharu lain, katanya, termasuk di bawah Jabatan Perdana Menteri (RM7 juta), Kementerian Pelancongan (RM2.5 juta), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM5.23 juta) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM1.7 juta). Selain projek baharu, tambah beliau, Kerajaan Persekutuan juga meneruskan beberapa projek mega seperti pembesaran Empangan Mengkuang yang menelan belanja RM1.2 bilion, pembinaan landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar (RM2.066 bilion) dan Jambatan Kedua Pulau Pinang (RM4.5 bilion). |
Projek tebatan Beriah kurangkan banjir daerah Kerian Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT BAGAN SERAI 31 okt. - Masalah banjir yang kerap melanda daerah Kerian dekat sini, berjaya diatasi sejak siapnya projek tebatan banjir di Beriah setahun lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, perkara itu terbukti selepas hanya sebilangan kecil penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda di daerah itu baru-baru ini. Beliau berkata, sebelum siapnya projek tebatan berkenaan, daerah itu kerap dilanda banjir teruk sehingga melibatkan jumlah mangsa yang tinggi. "Namun setelah siapnya projek tebatan banjir di Beriah setahun lalu, tiada lagi kejadian banjir teruk di daerah ini seperti yang berlaku pada 2003 dan 2006. "Sebelum ini, setiap kali banjir banyak kawasan terjejas sehingga beratus-ratus orang terpaksa dipindahkan dan jumlah kemusnahan harta benda yang agak tinggi," katanya. Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan RM300 seorang kepada 16 mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu di sini baru-baru ini. Beberapa kawasan di daerah itu dilanda banjir baru-baru ini termasuk Parit Simpang Lima dan Parit Simpat Empat manakala laluan di Kilometer (KM) 13 hingga KM 17 Changkat Lobak-Matang Pasir di sini, yang ditutup sementara akibat ditenggelami air. Selain wang tunai, mangsa banjir juga menerima sumbangan barang makanan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) Perak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |