Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Berkongsi pengalaman melalui buku Posted: Berkongsi pengalaman melalui bukuMENGENALI figura jutawan internet dari Kota Singa, Fabian Lim, banyak perkara menarik yang dapat dicungkil daripada perjalanan hidup yang dilalui lelaki tersebut. Perwatakannya yang mesra dan pandai berjenaka membuatkan sesiapa sahaja yang baru bersua dengannya berasa selesa untuk berbicara dengan lebih lanjut. Malah, sewaktu ditanya tentang usianya, Lim pantas menjawab dengan senyuman lebar: "Saya baru berusia 21 tahun." Apabila melihat penulis mengerutkan dahi seolah-olah tidak percaya, barulah beliau mengatakan usia sebenarnya yang telah mencecah 42 tahun. "Saya suka menganggap diri sentiasa muda kerana ia membuatkan saya bersemangat menjalani kehidupan," ujar penulis buku Click - Work Anytime, Live Anywhere yang mencatat jualan terlaris di Singapura ini. Menurut Lim, buku tersebut dihasilkan untuk berkongsi dengan pembaca mengenai pengalaman yang dimiliki dalam dunia perniagaan dan persekitarannya. Ubah strategi perniagaan Ia juga bertujuan untuk membuka minda masyarakat agar memanfaatkan penggunaan internet bagi menjana pendapatan mereka. "Selama hampir sedekad menceburkan diri dalam dunia perniagaan, saya dapati banyak kesilapan dilakukan oleh para peniaga yang baru berjinak-jinak dengan bidang ini. Sebagai contoh, mereka mempunyai masa untuk melayari internet, namun tidak menggunakannya bagi tujuan promosi atau pemasaran. "Disebabkan itu saya membuat keputusan untuk menulis buku ini walaupun hakikatnya saya bukanlah seorang yang berkelayakan dalam bidang penulisan," terangnya ketika ditemui Kosmo! di pusat beli-belah Publika di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. BUKU Clicks - Work Anytime, Live Anywhere mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sejak diterbitkan pada Julai 2013. Lim menjelaskan proses penyuntingan buku tersebut memakan masa yang agak lama kerana kekurangan ilmu dalam arena penulisan. Meskipun mengambil masa selama setahun setengah untuk menyiapkan karya pertamanya itu, beliau boleh berbangga kerana buku tersebut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Sejak diterbitkan pada Julai 2013, buku itu sudah terjual melebihi 3,000 salinan di Singapura dan masih diulang cetak. Katanya, buku berkenaan menerangkan secara terperinci bagaimana mengubah perniagaan yang dimiliki kepada satu gaya hidup tersendiri. "Ia membolehkan seseorang itu tidak terikat dengan kerjaya, sebaliknya bebas bekerja sendiri mengikut apa yang dirasakan sesuai," ujar beliau. Usahawan bersiri Menyusuri kehidupan Lim, beliau boleh dianggap sebagai seorang usahawan bersiri. Penglibatan awalnya dalam dunia perniagaan telah bermula pada usia 16 tahun melalui syarikat hiburan mudah alih, Pastels Remix. Kemuncak perniagaan ini apabila beliau memenangi hadiah utama dalam satu pertandingan deejay di Singapura pada usia 18 tahun. Sewaktu menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Singapura, beliau bermain piano secara profesional untuk menampung yuran pengajiannya dalam bidang pengurusan perniagaan di ruang istirehat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi selama setahun. Beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Royal Melbourne Institute of Technology University, Australia. LIM ditemu bual penyampai radio BFM 89.9, Freda Liu menerusi program Enterprise: Raise Your Game pada tahun lalu. Sebaik tamat pengajian, Lim menyertai syarikat Texas Instruments Singapore Pte. Ltd. di Singapura sebagai perunding selama setahun sebelum berhijrah ke Deloitte Consulting Pte. Ltd. (Deloitte), sebuah syarikat konsultan pengurusan terbesar dunia. Sepanjang enam tahun di Deloitte, karier lelaki berjiwa kental itu meningkat dengan pantas dengan memegang peranan sebagai perunding biasa sehingga ke jawatan pengurus. Di sana, beliau menjadi penasihat kepada pelanggan serantau dan global dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, pelancongan, pembuatan dan sektor awam. Tanggungjawabnya juga mencakupi khidmat nasihat mengenai bidang perancangan strategik dan pembangunan; proses perniagaan kejuruteraan semula dan analisis model kewangan. Meskipun cemerlang dalam kerjaya, beliau bertekad meletakkan jawatan yang bergaji lumayan pada tahun 2001 semata-mata untuk mengejar kepuasan diri dalam hidupnya. "Selepas berhenti kerja, saya menceburi perniagaan dalam bidang perkhidmatan jurugambar video perkahwinan bermula tahun 2002. Ketika menjalankan perniagaan ini, saya juga telah mula menerokai bidang pemasaran internet. "Apabila melihat hasil pendapatan yang diperoleh sangat tinggi melalui perniagaan dalam talian, saya terus bersara sebagai jurugambar video perkahwinan pada tahun 2007, iaitu selepas lima tahun beroperasi," katanya. Kunci kejayaan Menurut Lim, sungguhpun hanya belajar sendiri tanpa sebarang mentor dalam bidang perniagaan, dirinya rasa amat teruja kerana dapat mempraktikkan konsep try and error untuk meningkatkan kemahiran yang dimiliki. LAMAN sosial Facebook turut menjadi medium Lim berkongsi pengalaman hidup dan rutin harian bersama peminatnya. Tegasnya, kunci utama kejayaan adalah rajin membaca untuk meluaskan pengetahuan. Justeru, bermula tahun 2003, Lim melibatkan diri secara sepenuh masa dalam pemasaran internet. Pada tahun 2008, beliau mengasaskan ClickMedia Pte. Ltd. yang bermatlamat membantu sesebuah organisasi meraih kejayaan bagi perniagaan dalam talian. Setahun kemudian, beliau menubuhkan ClickEvent.com.sg Pte. Ltd., sebuah syarikat yang bertanggungjawab mengadakan kursus dan seminar untuk melatih usahawan dalam talian. Hingga kini, Lim telah melatih lebih 5,000 individu di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Vietnam. "Selepas mengajar begitu ramai peserta, saya sedar bahawa cara pemikiran adalah perkara paling penting untuk berjaya, bukan kaedah. Ini kerana, walaupun kita menyediakan formula yang betul untuk diikuti, tetapi amat sukar untuk mengubah mereka yang mempunyai pemikiran negatif. "Hakikatnya, untuk berubah, ia perlu bermula dari dalam diri. Jika kita yakin dengan kemampuan diri, semua cabaran boleh diatasi," ungkap Lim yang berhasrat menulis buku berbentuk motivasi pada masa depan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |