Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Redah belantara Kampung Buyau ke Rembau Posted: 25 Jan 2014 05:20 AM PST DEBARAN adrenalin yang dirasai ketika sedang meredah hutan belantara bersama motosikal jenis motocross sudah tentu mengujakan. Berbekalkan pengalaman yang dirasai ketika sedang meluncur sambil melompat dan mengatasi setiap halangan mahupun cabaran atas jalan tanah merah yang tidak rata serta berbatu itu pastinya menguji keberanian mereka yang mencubanya. Rasai sendiri pengalaman yang menakjubkan itu dengan mengunjungi D. Buyau Trail milik Joran Bara Outdoor Centre yang terletak di Kampung Buyau berhampiran Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Pemiliknya, Abdul Wahab Othman, 55, atau lebih mesra dipanggil Abang Atan berkata, pada awalnya lokasi ini adalah sebuah kebun getah. "Saya dibesarkan di kawasan sekitar kebun ini. Biasanya pada waktu cuti hari minggu, barulah kami sekeluarga pulang ke kampung. "Bila kami pulang ke kampung, saya dapati keadaan kawasan perkampungan ini agak sunyi pada hari biasa dan tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat di sini. "Sebab itulah, saya perkenalkan laluan motocross, D.Buyau Trail kepada orang ramai dan secara tidak langsung, ia memeriahkan lagi suasana kampung ini," ujarnya yang juga merupakan pemilik kedai menjual peralatan memancing, Joran Bara di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Sukan motocross yang sudah lama bertapak di negara ini dan diminati pelbagai lapisan usia menguatkan lagi semangat Abang Atan untuk menukar landskap kebun getah miliknya itu kepada laluan motocross sejauh 45 kilometer. Bagi mereka yang meminati sukan ini, apa kata kamu cuba sendiri cabaran lasak laluan D.Buyau Trail yang mencabar dari segi permukaan bentuk muka bumi. Cabarannya itu merangkumi laluan berbukit setinggi 91.5 meter (300 kaki) dari paras laut, tebing setinggi 45 darjah, meredah anak sungai, jalan berbatu dan berpasir dari Kampung Buyau, Istana Sri Menanti ke Rembau menggunakan jalan hutan. Sebelum terlibat dengan sukan lasak motocross, Abang Atan terlebih dahulu aktif dengan aktiviti memancing dan sukan air menggunakan jet ski, namun kemudian minatnya terhadap sukan permotoran semakin bertambah, lebih-lebih lagi selepas memiliki motosikal Kawasaki KLX150 dan Versys 650. |
Jalan kaki keliling Pulau Pangkor Posted: 25 Jan 2014 05:20 AM PST Para peserta turut singgah di beberapa tempat menarik termasuk Galeri Pangkor sebagai tanda sokongan terhadap program Tahun Melawat Malaysia 2014. SERAMAI 30 peserta program XPDC Pulau Pangkor dan Lencana Mengembara Pengakap Kelana berpeluang menguji ketahanan diri dan kemahiran ikhtiar hidup di pulau itu baru-baru ini. Acara yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu menyaksikan kesemua peserta yang terdiri daripada ahli Pengakap Kelana Daerah Kinta dan Kumpulan Latihan Kelana Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar mengelilingi Pulau Pangkor dengan hanya berjalan kaki. Pengarah projek, Mohamad Noor Afiq Zamri berkata, program berkenaan merupakan salah satu skim latihan Pengakap Kelana untuk mendapatkan Anugerah Baden Powell (BP AWARD). Ia juga bertujuan mendapatkan lencana wajib bagi aspek kemahiran dan mengembara. Menurutnya, untuk aktiviti pengembaraan, mereka memilih Pulau Pangkor sebagai lokasi latihan. "Objektif utama program ini adalah untuk mengisi masa lapang ahli Pengakap Kelana dengan aktiviti berfaedah, di samping melengkapkan skim latihan Pengakap Kelana sekali gus mengeratkan silaturahim sesama ahli. "Program ini juga dilihat dapat memperkenalkan Pulau Pangkor sebagai pulau pelancongan yang mempunyai keunikan dan keseronokan kepada pelancong serta menjadi tanda sokongan kepada kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya. Dengan menggunakan tema Bercuti Sambil Beriadah, peserta berjalan kaki dalam kumpulan kecil iaitu lima orang setiap kumpulan yang dikenali sebagai patrol. Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Unit Kelana daerah Kinta, Firdaus Mois ketika merasmikan majlis penutupan program itu berkata, ekspedisi ini sangat baik kerana dapat menguji ketahanan fizikal dan mental ahli Pengakap Kelana. "Aktiviti ini melengkapkan skim latihan seorang ahli, selain melahirkan belia yang berwawasan tinggi dalam semua aspek. Syabas saya ucapkan kepada krew terlibat yang bertungkus lumus menjayakan program ini," katanya. Di akhir program berkenaan, aktiviti pembersihan pantai dilakukan di pantai Pasir Bogak iaitu lokasi checkpoint terakhir ekspedisi yang berdekatan dengan Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Perak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |