Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Premis salah guna lesen diserbu
- Lipat Kajang jana ekonomi baharu Melaka
- Bantuan RM100 diagih kepada 1,256 murid SKDJ
Premis salah guna lesen diserbu Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Anggota penguat kuasa Majlis Daerah Jempol merampas mesin di sebuah premis yang menyalahgunakan lesan perniagaan di Bahau, Negeri Sembilan, semalam. utusanN9@utusan.com.my JEMPOL 23 Jan. - Sebuah premis di pekan Bahau diserbu oleh polis dan penguat kuasa Majlis Daerah Jempol (MDJL) kerana disyaki menjalankan aktiviti yang mempunyai unsur perjudian, semalam. Yang Dipertua MDJL, Wan Razali Wan Awang berkata, operasi itu dijalankan selepas premis berkenaan disyaki menyalahguna lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihaknya. Beliau berkata, pemilik premis didapati telah memohon lesen menjual alat permainan kanak-kanak tetapi disyaki menjalankan kegiatan yang mempunyai unsur perjudian. "MDJL telah merampas 20 buah mesin dipercayai digunakan untuk berjudi, sebuah komputer, alat permainan serta kerusi dan meja. "Kita juga telah mengeluarkan notis kepada peniaga yang menyalahguna lesen perniagaan itu. Kita beri tempoh sehingga dua minggu dan jika mereka engkar tindakan susulan iaitu pembatalan lesen akan diambil," katanya pada sidang akhbar bersama polis di sini hari ini. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai beberapa premis yang menjalankan kegiatan perjudian tetapi berselindung dengan cara menggunakan lesen perniagaan hiburan keluarga dan menjual alat-alat permainan. Katanya, setiap maklumat itu akan dirujuk kepada pegawai yang pakar mengenai selok belok perjudian bagi memastikan kes berkenaan benar-benar dapat disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. "Ini kerana mereka yang terlibat semakin licik untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang dengan melakukan transaksi wang di luar dari premis yang disyaki menjalankan aktiviti judi haram," katanya. Beliau berkata, polis tidak akan berputus asa dengan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai tipu daya operator judi haram dalam usaha membanteras kegiatan tersebut di daerah ini. |
Lipat Kajang jana ekonomi baharu Melaka Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Idris Haron (dua dari kanan) menyerahkan cek bernilai RM1.5 juta kepada Syed Faisal Albar (dua dari kiri) bagi projek pembangunan infrastruktur gas di kawasan Elkay Industrial Park, Lipat Kajang, Jasin, Melaka, kelmarin. MELAKA 23 Jan. - Kawasan Perindustrian Lipat Kajang (Elkay) di Jasin seluas 200 hektar berpotensi menjana sumber ekonomi baharu bagi kerajaan negeri yang menuju Negeri Melaka Maju Fasa II. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Elkay dilihat mampu menjadi kawasan perindustrian terbesar di negeri itu berdasarkan minat pelabur tempatan dan luar negara menjalankan operasi di situ. Menurutnya, Elkay telah siap sepenuhnya dari segi infrastruktur, jalan raya, kemudahan air dan elektrik serta terbaharu ialah pembinaan infrastruktur bekalan gas. Beliau berkata, setakat ini, sebuah syarikat pelabur dari Amerika Syarikat (AS) melabur dalam industri pembuatan produk kaca dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion. ''Ada tiga lagi syarikat dari luar negara turut menyatakan minat untuk membuat pelaburan di Elkay dan perkara ini masih di peringkat rundingan. ''Saya lihat Elkay bakal menjanjikan kawasan perindustrian berdaya maju di negeri ini setanding dengan beberapa kawasan perindustrian di Londang, Masjid Tanah, Rembia, Tangga Batu dan beberapa lagi," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Gas Malaysia Berhad (GMB) bagi projek pembangunan infrastruktur gas di Elkay di sini, semalam. Pada majlis tersebut, PKNM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Bahram Mohd. dan GMB pula oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar. Mengulas lanjut, Idris berkata, MoA yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak itu membolehkan GMB memasang paip gas sepanjang 39 kilometer dari Tebong di Alor Gajah ke Elkay melibatkan kos bernilai RM29 juta. Beliau berkata, pemasangan paip gas itu termasuk beberapa infrastruktur lain dijangka memakan masa selama 20 bulan. Sementara itu, dalam satu majlis yang sama, Idris turut menyaksikan majlis menandatangani MoA pembinaan infrastruktur elektrik Pulau Besar di antara PKNM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bahram mewakili PKNM manakala TNB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azman Mohamad. Melalui perjanjian tersebut, Idris berkata, kos pembinaan kabel yang mempunyai 12 menara merentasi Selat Melaka dari Pantai Siring, Serkam ke Pulau Besar melibatkan kos sebanyak RM30 juta akan ditanggung oleh kedua-dua belah pihak. Menurutnya, PKNM akan membayar sebanyak RM15 juta manakala selebihnya oleh TNB. Projek pembinaan kabel tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. |
Bantuan RM100 diagih kepada 1,256 murid SKDJ Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Azizah Abdul Latiff (dua dari kanan) melihat Hanisah Zaharudin (kanan) menyampaikan bantuan RM100 kepada Norliwati Omar (kiri sekali) sambil diperhatikan anaknya, Nur Amirah Balqis Mohd. Shah (dua dari kiri) di Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin. - UTUSAN/ASWAD YAHYA SEREMBAN 23 Jan. - Seramai 1,256 murid Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin, Nilai dekat sini berkongsi kegembiraan bersama ibu bapa masing-masing selepas menerima Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 semalam. Bantuan khas kali kedua itu mula diagihkan kepada sekolah-sekolah di sekitar negeri ini sejak hari ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2014 pada Oktober lalu. Guru Besar sekolah berkenaan, Azizah Abdul Latiff menjelaskan, bagi tujuan itu sebanyak RM125,600 telah diperuntukan untuk diagihkan kepada 1,256 murid tahun satu hingga enam sekolah berkenaan. "Bantuan ini mula diagihkan kepada waris pada pukul 2 petang hingga 4.30 petang semalam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam. Jelasnya, kebanyakan ibu bapa memberi sambutan baik terhadap bantuan tersebut yang memasuki kali kedua apatah lagi ia merupakan salah satu usaha kerajaan dalam meringankan beban para ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka. Dalam pada itu, seorang penyelia, Mohd. Noor Jihadi Kamali, 39, memberitahu, bantuan berupa wang tunai itu sedikit sebanyak meringan bebannya selaku ketua keluarga dalam menguruskan kelengkapan persekolahan anak-anak. "Kita lihat kos sara hidup ketika ini semakin meningkat, banyak wang diperlukan termasuk berkaitan persekolahan. Tetapi dengan bantuan seperti ini ia sudah cukup sebenarnya memberikan kelegaan kepada ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah," katanya Seorang kakitangan kerajaan, Amran Othman, 46, kerajaan telah mengotakan janji melalui pemberian bantuan tersebut sekali gus meringankan beban keluarga yang mempunyai ramai anak yang bersekolah. "Saya ada dua anak yang bersekolah di sini, jadi dengan bantuan RM100 setiap seorang ini saya dapat menggunakan wang tersebut untuk membeli buku dan menghantar ke kelas tambahan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |