Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 200 mangsa banjir dapat bantuan
- Tindakan pantas bomba selamatkan 17 kedai
- Pasukan Trenglish ke Singapura bulan depan
200 mangsa banjir dapat bantuan Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST Oleh MUKHATAR A. RAHMAN Asfalinda Anuar (kanan) menyampaikan bantuan beras kepada mangsa banjir di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu, kelmarin. KEMAMAN 25 Jan. - Seramai 200 mangsa banjir di Kampung Paya Berenjut, Taman Banggol Indah dan Taman Sri Berenjut di sini menerima bantuan beras semalam yang disumbangkan oleh Yayasan Al-Bukhary dan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kemaman, Asfalinda Anuar dalam satu majlis ringkas di pekarangan Masjid Kampung Paya Berenjut di sini petang semalam. Asfalinda yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO ketika ditemui berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban mereka yang dilanda banjir bulan lalu. Menurutnya, UMNO sentiasa prihatin dengan masalah rakyat yang ditimpa musibah dan berusaha membantu mangsa bencana itu dari semasa ke semasa. Dalam majlis itu, Asfalinda turut menyampaikan sebuah netbook sumbangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol, Siti Norfazilahwati Hidayu Mohamood yang mendapat 5A 2B 1C dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu. "Kita harap pemberian netbook ini dapat memberi galakan selain membangkit semangat pelajar lain untuk berusaha lebih gigih seterusnya cemerlang dalam PMR tahun ini," katanya. Asfalinda pada Ahad lalu turut menyerahkan lima buah notebook kepada lima pelajar cemerlang PMR 2013 dari SMK Kampung Baru Kerteh sempena majlis penganugerahan watikah pelantikan pengawas, Pusat Sumber Sekolah dan Koperasi SMK Kampung Baru Kerteh. |
Tindakan pantas bomba selamatkan 17 kedai Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST TUMPAT 25 Jan. - Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan 17 buat kedai dua tingkat daripada musnah dijilat api di Pasir Pekan di sini semalam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Raja Arisan Raja Ismail berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit. Selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.05 petang, katanya, anggota dari Balai Tumpat, Balai Darul Naim dan sukarela telah dikejarkan ke lokasi kejadian. "Sebaik tiba di tempat kejadian api sedang marak membakar salah sebuah unit pada bahagian atas yang difahamkan dijadikan sebagai asrama. "Pihak bomba terpaksa memotong jeriji di unit tersebut bagi memudahkan kerja pemadaman serta mengawal api yang semakin marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam. Menurut Raja Arisan, seramai 20 pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Kata beliau, sebanyak tiga buah jentera digunakan bagi memadam kebakaran tersebut. "Setakat ini, kami belum mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. "Tiada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan berikutan kedai terbabit tidak berpenghuni ketika kejadian," katanya. |
Pasukan Trenglish ke Singapura bulan depan Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST KUALA TERENGGANU 25 Jan. - Pasukan Trenglish akan mengadakan lawatan ke Singapura pada Februari ini bagi melihat modul yang dilaksanakan di negara itu untuk dijadikan sebagai model perintis program berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, lawatan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan 'Terengganu Baharu' selaras usaha untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan pendidikan yang subur di Malaysia. Tambahnya, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar yang menyertai program tersebut mampu menguasai bahasa Inggeris menjelang 2024. "Buat masa ini, pasukan Trenglish yang dianggotai oleh 10 orang ini sedang mengkaji modul yang bersesuaian termasuk kerangka program luar negara bagi disesuaikan dengan program ini. "Program Trenglish ibarat satu revolusi mental yang mampu mengubah seluruh struktur budaya pemikiran bangsa dalam memastikan rakyat negeri ini terutama pelajar tidak lagi kekok, kaku dan malu berbahasa Inggeris," katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di sini baru-baru ini. Program baharu membabitkan kos sebanyak RM3.3 juta itu selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk membudayakan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tingkatan dua hingga empat di 32 sekolah terpilih di Terengganu mulai tahun ini. Tambah menarik, menurut Ghazali, program itu juga bakal memberi peluang kepada anak-anak negeri lulusan pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk menjadi tenaga pengajar sekali gus menerima elaun khas menerusi peruntukan sedia ada. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |