Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Zakat Pulau Pinang sasar RM95 juta
- Bantuan persekolahan tanda kerajaan prihatin
- Peniaga mula patuh arahan
Zakat Pulau Pinang sasar RM95 juta Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Oleh ANI AWANG Azman Abdul Samat (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada Ahmad Che Doh yang terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa menziarahi warga emas tersebut di Permatang Buluh, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. KEPALA BATAS 23 Jan. - Zakat Pulau Pinang menyasarkan kutipan zakat harta dan perniagaan berjumlah RM95.5 juta tahun ini. Pengurus Besarnya, Azman Abdul Samat berkata, sasaran itu kerana peningkatan ekonomi dan kesedaran masyarakat Islam makin bertambah untuk membayar zakat. Katanya, tahun lalu, pihaknya berjaya mengutip sejumlah RM85 juta zakat dan daripada jumlah itu RM83 juta adalah zakat harta dan selebihnya zakat fitrah. "Seramai 42,000 kakitangan kerajaan dan swasta menjadi penyumbang terbesar kepada zakat melalui sistem pembayaran zakat secara potongan gaji. "Setiap zakat yang diterima itu akan diagihkan kepada asnaf yang layak menerimanya," katanya ketika ditemui di Simpang Empat, Permatang Buluh di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas melawat bekas wartawan Ahmad Che Doh, 73, yang tidak dapat berjalan kerana terbabit kemalangan jalan raya sejak dua tahun lalu. Azman berkata, sebanyak RM15 juta daripada kutipan zakat tahun lalu diperuntukkan kepada bidang pendidikan dan RM6 juta bagi kesihatan. Sementara itu, Ahmad berterima kasih kepada zakat Pulau Pinang kerana membantu meringankan beban kehidupannya. "Saya tidak boleh berjalan dan tidak dapat bekerja kini bergantung kepada bantuan termasuk bantuan pejabat zakat," katanya yang tinggal dengan isterinya Halijah Awang, 65. |
Bantuan persekolahan tanda kerajaan prihatin Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Norliza Abdul Rahim (tengah) bersama pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free yang menerima bantuan persekolahan di Pulau Pinang, semalam. PULAU PINANG 23 Jan. - Rakyat diminta menilai semula tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan khususnya berkait dengan peningkatan kos sara hidup memandangkan pelbagai bantuan disalurkan dalam membantu mengurangkan beban mereka. Ahli Dewan Negara, Norliza Abdul Rahim berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meaningkat ketika ini, kerajaan tidak lupa menjalankan tanggungjawab memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan peningkatan kos berkenaan. Menurut beliau, bantuan persekolahan sebanyak RM100 untuk pelajar sebelum ini misalnya, dilihat sekurang-kurangnya mampu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persedian persekolahan anak-anak mereka. "Walaupun tidak banyak tetapi bantuan yang diberi ini amat bermakna khususnya kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan. "Mungkin dengan RM100 ini ibu bapa dan murid-murid dapat menggunakannya untuk tujuan persekolahan seperti membeli buku-buku rujukan atau kelengkapan sekolah yang diperlukan," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Bantuan Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free, di sini hari ini. Dalam majlis itu, sebanyak 130 pelajar menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100 seperti yang diperuntukkan kerajaan melalui pembentangan Bajet 2014. Sementara itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri berkata, bantuan yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya tersebut dilihat sangat bermanfaat dalam menaikkan semangat para pelajar untuk memberi fokus kepada pelajaran. "Gunakanlah duit bantuan ini untuk tujuan persekolahan iaitu demi memastikan murid-murid tidak tercicir dalam pembelajaran. Pendidikan adalah amat penting dalam menentukan masa depan kita semua," katanya. |
Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST ALOR SETAR 23 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah mendapati kebanyakan peniaga mematuhi arahan meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka setelah Ops Harga 2014 dilancarkan Isnin lalu. Pengarahnya, Sakri Salleh berkata, pihaknya juga mendapati harga barangan yang dijual di pasar-pasar basah di negeri ini juga semakin stabil dan pengguna tidak lagi merungut dengan kenaikan melampau harga barangan keperluan. "Sekarang ini kita tengok rata-rata peniaga ikan, sayur, daging dan ayam telah mempamerkan tanda harga pada barangan masing-masing. "Peniaga juga mula menjual ikan, ayam, sayur dan daging mengikut harga kawalan ditetapkan di dalam Skim Kawalan Harga Sempena Tahun Baharu Cina," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurutnya, pihak PPDNKK akan terus melakukan pemantauan agar peniaga meletakkan tanda harga bagi memastikan tiada unsur penipuan melibatkan barangan kawalan. "Setakat hari ini tujuh peniaga telah disiasat di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Antipencatutan 2011. ''Jika didapati bersalah kita akan terus mendakwa mereka ke mahkamah bagi mengelak mengulangi kesalahan yang sama," jelasnya. Tambah Sakri, pengguna juga perlu melaporkan kepada pihak PPDNKK jika terdapat peniaga melanggar peraturan yang telah ditetapkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |