{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Pengenalan pelbagai varieti padi

Posted: 09 Mar 2014 11:34 PM PDT

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Dr. Sharif Haron meninjau kerja-kerja penuaian padi aerob di Seberang Perak, baru-baru ini.

Sejak ratusan tahun, kegiatan penanaman padi meniti perkembangannya sehingga berubah wajah daripada tanaman sara diri kepada tanaman komersial.

Industri padi yang menghasilkan pengeluaran beras negara, kini menjadi amat penting dengan pengurusan yang lebih moden dan sistematik dan pada masa sama dikategori sebagai tanaman untuk keselamatan makanan negara.

Untuk itu, kerajaan bertanggungjawab memastikan bekalan beras, makanan ruji rakyat Malaysia memenuhi empat ciri iaitu sentiasa mencukupi di pasaran, senang diperoleh, mampu dibeli oleh setiap strata sosial serta memenuhi keperluan nutrisi.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan dan pertanian terulung negara berperanan besar memastikan keselamatan makanan negara sentiasa terjamin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sharif Haron berkata, peranan itu selari dengan keutamaan hala tuju MARDI untuk menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan jaminan keselamatan makanan dan nutrisi.

Jaminan makanan atau food security berkaitan dengan beras mestilah dicapai oleh kira-kira 30 juta penduduk Malaysia dengan harga yang mampu dibeli selain berkhasiat.

Institusi terbabit turut berperanan memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi kerana kira-kira 72 peratus daripada permintaan bekalan beras negara membabitkan beras tempatan.

Tambahan pula, institut itu sendiri membekalkan benih asas padi dengan membiak dan mengeluarkan kira-kira 250 tan metrik benih itu setiap tahun.

Sejak 1971, MARDI telah membangunkan 37 varieti padi yang mana tujuh daripadanya masih digunakan secara meluas di sawah seluruh negara," kata Sharif.

Membangunkan varieti baru padi bukan perkara mudah dan sebagai contoh varieti terbaru beras istimewa MRQ76 mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan.

Ia adalah varieti beras wangi yang amat berkualiti dan lebih baik daripada beras import kerana bersaiz panjang dan sedikit melekit.

Mengenai pencapaian terkini MARDI berkaitan dengan padi, Sharif gembira dengan kejayaan pembangunan dua varieti padi terbaharu dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) iaitu varieti beras biasa MR269 selain varieti beras istimewa MRQ76.

Kedua-dua varieti tersebut menghasilkan beras putih tempatan yang berkualiti tinggi setanding beras putih yang diimport.

Varieti MR269 mempunyai potensi untuk penghasilan padi sebanyak 10 tan metrik sehektar kerana lebih tahan lasak terutama ancaman penyakit karah tangkai, sama seperti varieti MRQ76," jelas Sharif.

MARDI juga berjaya menghasilkan inovasi penanaman padi tanpa keperluan air bertakung, yang dikenali sebagai varieti padi aerob yang dilancarkan teknologi penanamannya pada 22 Ogos lalu.

Selain itu, MARDI meningkatkan keupayaan mekanisasi penanaman padi Aerob menggunakan teknologi Aero-seeder iaitu sejenis jentera yang berupaya menabur benih dengan sekata.

Aplikasi yang lebih cekap itu, sudah tentu akan membantu mengurangkan pembaziran biji benih berbanding teknik tradisional iaitu menabur benih menggunakan tangan.

Mengenai pembekalan benih asas padi, beliau berkata, semua pembiakan dan penyelidikan berkaitan dijalankan di Stesen Penyelidikan MARDI Seberang Perai.

Menariknya, stesen itu adalah satu-satunya tempat yang menyimpan pelbagai jenis benih padi dalam Bank Gen Padi yang bercirikan bank gen antarabangsa.

Antara standard antarabangsa yang diamalkan termasuk pembungkusan sampel menggunakan kerajang poket aluminium dan sistem pangkalan data yang lengkap.

Semua rutin aktiviti pencirian sifat morfologi pula perlu dipastikan memenuhi syarat International Rice Descriptor List.

Bank gen itu mempunyai pelbagai kelengkapan terkini termasuk bilik sejuk penyimpanan benih untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta bilik pengeringan padi bagi membantu usaha penyimpanan germaplasma padi tradisional Malaysia.

Sharif turut menjelaskan bahawa bank gen padi juga menyimpan sejumlah 12,118 lebihan padi yang telah dikumpul sejak tahun 1970-an lagi.

Ini termasuk jenis-jenis padi tradisional Malaysia dan daripada seluruh rantau ini serta dari China, Jepun, India, Pakistan dan Amerika Syarikat.

Koleksi ribuan lebihan padi itu amat penting bagi membolehkan MARDI mengkaji dan membangunkan baka-baka padi baru menggunakan teknologi kacukan dan pembiakbakaan," jelasnya.

Lagipun, penyelidikan pembiakbakaan padi sudah tentulah kegiatan paling penting bank gen itu yang berperanan menghasil dan membekal biji benih berkualiti tinggi.

Bank itu juga perlu memastikan segala maklumat ciri-ciri padi disalurkan ke sistem pangkalan data yang boleh dicapai di peringkat antarabangsa untuk rujukan saintis lain.

Bagi setiap musim penanaman pula, MARDI bertanggungjawab melaksanakan aktiviti rutin seperti penggandaan biji benih asas padi, pencirian sifat morfologi pokok, padi dan beras serta saringan penyakit tanaman.-BERNAMA

Padi aerob varieti MRIA1

Posted: 09 Mar 2014 11:34 PM PDT

Tahukah anda bahawa sebanyak 3,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan hanya satu kilogram beras.

Bagi negara yang makanan rujinya ialah beras, keadaan kemarau dan sumber air yang terhad boleh membawa cabaran dan mempengaruhi keselamatan makanan sesebuah negara.

Pujian patut diberi kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) atas penyelidikan yang dijalankan sejak 2005 bagi menghasilkan baka padi aerob di negara ini.

Baka padi aerob, yang mengeluarkan hasil yang tinggi, boleh ditanam tanpa air bertakung seperti yang selama ini digunakan dalam kegiatan penanaman padi secara komersial.

Padi, yang juga dikenali sebagai MRIA 1, dihasilkan oleh MARDI dan dilancarkan pada 22 Ogos tahun lepas.

Pembangunan padi aerob dilihat sebagai anjakan paradigma dalam industri pertanian ketika MARDI melangkah ke tahun 2014 sejajar dengan kedudukannya sebagai tanaman keselamatan makanan negara.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron juga melihat potensi MRIA 1 untuk diusahakan di kawasan tanah persendirian yang terbiar di seluruh negara yang dianggarkan seluas 107,000 hektar.

Seandainya diberi peluang mengaplikasikan sistem tanaman padi tanpa air bertakung di tanah-tanah terbiar, usaha itu dapat menjimatkan ruang dan wang negara," kata beliau.

Malah cadangan itu dianggap cukup praktikal kerana sistem tanaman padi secara tradisional memerlukan perbelanjaan yang tinggi khususnya dari segi penyediaan tanah rata dan sistem pengairan yang sempurna.

Bezanya, kelebihan padi aerob terletak pada ciri utamanya iaitu kemampuan untuk hidup subur dengan penggunaan air yang minimum iaitu sehingga 50 peratus kurang berbanding dengan keperluan air untuk tanaman padi secara biasa di sawah.

Jika mahu diusahakan di kawasan sawah biasa, padi aerob boleh ditanam di lokasi yang kurang bekalan air kerana baka padi itu masih boleh hidup subur menggunakan sistem penyiraman ringkas atau alat perenjis biasa sahaja," kata Sharif.

Untuk menguruskan tanaman ini, kajian mendapati keperluan air semusim yang sesuai ialah antara 500 hingga 750 milimeter (mm) namun keperluan itu berbeza mengikut musim, jenis tanah dan kaedah pengairan.

Bagi kegiatan penanaman di sawah yang kering, pengairan perlu dilakukan sekali pada setiap lima atau enam hari.

Penanaman di luar sawah pula memerlukan penggunaan alat perenjis untuk pengairan dan penyiraman yang dilakukan pada setiap empat hingga lima hari sekali sekiranya tiada hujan.

Apapun, pengurusan air yang baik dapat menggalakkan pembentukan akar, pengambilan nutrien oleh padi dan pertumbuhan anak padi yang lebih baik.

Pada kelembapan yang bersesuaian, benih padi MRIA 1 itu akan bercambah dalam masa tiga atau empat hari selepas ditabur manakala anggaran hasilnya sekitar 3.5 tan metrik sehektar.

Analisis mendapati hasil tuaian padi aerob mempunyai nilai mineral tertentu yang lebih baik berbanding padi biasa," tambah beliau.

Secara keseluruhannya, Sharif berpendapat bahawa padi aerob berpotensi ditanam di kawasan sawah berpengairan yang mengalami masalah kekurangan air atau kawasan tadahan hujan yang mana padi itu boleh ditanam pada luar musim.

Padi yang matang dalam tempoh 90 hari itu juga sesuai ditanam di kawasan darat seperti ladang tebu, getah dan kelapa sawit jika dilengkapi dengan perenjis air.

Bagi memaksimumkan penggunaan tanah dan menambah pendapatan petani, padi aerob boleh ditanam secara bergilir dengan tanaman lain ataupun sebagai tanaman selingan di kawasan tanam semula ladang getah dan kelapa sawit.

Malah, Sharif berpendapat petani akan berminat mengusahakan tanaman padi itu sekiranya skim galakan dapat diwujudkan untuk mereka selain peningkatan kecekapan teknologi pengeluarannya.

Lebih penting, padi aerob akan dapat menyelesaikan masalah tanah terbiar serta membantu meningkatkan pengeluaran beras untuk negara, katanya.

Seperti pengurusan padi sawah, tanaman padi aerob juga berhadapan dengan masalah rumpai, penyakit dan perosak.

Ketiadaan air bertakung memudahkan lebih banyak spesies rumpai untuk hidup dan bersaing dengan tanaman padi.

Justeru, penyediaan tanah yang sempurna amat penting bagi mengurangkan masalah rumpai selain kawalan secara manual yang memberi tumpuan terhadap kadar racun, peringkat pertumbuhan pokok padi, kelembapan tanam dan spesies rumpai.

Pemantauan berkala juga perlu pada peringkat awal pertumbuhan pokok bagi mengesan kehadiran simptom penyakit dan kehadiran perosak yang biasanya boleh dikawal dengan penggunaan baja dan benih pada kadar yang disyorkan.

Begitu juga amalan kultur seperti pemusnahan sisa jerami, padi batat dan perumah gantian dapat membantu mengurangkan sumber jangkitan penyakit dan tempat pembiakan perosak.

Selain padi aerob, MARDI turut membangunkan penanaman padi bukit atau padi huma secara yang lebih menguntungkan.

Hasil transformasi cara penanaman, MARDI berjaya membolehkan hasil pengeluaran padi bukit meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini, iaitu daripada satu tan metrik sehektar kepada dua tan metrik," kata Sharif tanpa menyatakan lebih lanjut mengenai transformasi penanaman itu.

Selain itu, jelasnya, pengusaha penanaman padi bukit kini boleh mengekalkan lokasi tanaman mereka tanpa perlu berpindah randah dengan kualiti beras yang sama.

Bagaimanapun, penanaman padi bukit masih lagi dilakukan sekali atau semusim pada tempoh setahun. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat