Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Siti, dialah lentera timur itu Posted: Siti, dialah lentera timur ituAyam rintik di pinggir hutan Nampak dari tepi telaga Nama yang baik jadi ingatan Seribu tahun terkenang juga TERKENANG-KENANG vokal merdu nyanyian penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza. Suaranya yang lunak menuju tepat di telinga khalayak sekali gus meninggalkan kesan. Huruf hidup yang keluar dari kotak suaranya dirasakan ikhlas dari hatinya. Kali ini, dia membawakan sesuatu yang dekat dengan jiwa. Lebih tepat lagi, dia membawa cahaya muzik, alunan, irama dan melodi serta jiwa Melayu ke Istana Budaya. Serapan jiwa Melayu itu pastinya lebih menghadirkan debar kerana ia merupakan mimpi yang menjadi realiti setelah diulit dalam diri selama 18 tahun nan lalu. Tarikh 20 hingga 22 September merupakan satu titik di mana mimpinya berleluasa atas nama Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza. "Saya rasa puas hati sangat kerana penantian sudah menjadi kenyataan. Tiga tahun lalu, saya suarakan impian saya untuk mengadakan konsert tradisional dan kini di Istana Budaya bersama Orkestra Tradisional Melayu, semuanya berjalan lancar. Saya bersyukur," ujarnya merendah diri. Dididik dari kecil Segala rentak di bawah lembayung kemelayuan dibawa dengan gah di mimbar Istana Budaya. Daripada makyong ke ghazal mahupun joget, tidak dilupa nafas baharu dalam dikir yang diberi nama dikir timur. Justeru selepas dua hari dipentaskan, semuanya mengalir dengan jujur daripada pihak produksi, kerjasama dan aliran suara serta jiwa Siti itu sendiri. Manakan tidak, pohon yang tumbuh dari kecil sudah beranting kemelayuan yang punya akar yang cukup tulen dan kuat. Malam ini, malam terakhir untuk roh Melayu itu disalurkan kuat ke jiwa umum. Sang biduanita muda ini mengimbas betapa dari kecil dia sudah ditadah dan dilestarikan dengan keindahan budaya Melayu. "Datuk saya dulu suka mengalunkan violin. Dia panggil cucu-cucu dan perdengarkan lagu-lagu Melayu. Waktu itu, sudah tumbuh kecintaan terhadap lagu-lagu Melayu klasik. Kemudian disusuli dengan nyanyian ibu saya yang sering mengumandangkan lagu-lagu lama seperti Sri Mersing," senyumnya mengingat momen lalu yang sebenarnya akar utuh buat jati dirinya. "Lagu pertama yang saya nyanyikan sewaktu tadika ialah Sirih Pinang. Maknanya elemen kemelayuan itu sudah ada," tambah isteri tercinta Datuk Mohamad Khalid Jiwa ini. Budaya Melayu Senyumnya terukir cantik memberitahu bahawa dalam kesempatan konsert itu, dia menerokai keindahan makyong yang belum pernah dicuba sebelum ini. Dia juga puas melontarkan dikir timur yang mengangkat loghat Pahang, tanah lahirnya yang diletakkan atas predikat unik. Lalu penulis menanyakan empunya diri, tidakkah dia lelah mengalun lagu-lagu tradisional baik dalam album mahupun persembahan semasa? "Saya sudah mempunyai empat album tradisional, ia agak mudah dari segi nyanyian. Melalui konsert ini, saya lebih mendalami kemelayuan itu daripada tarian. Saya bertemu dengan kelembutan dalam setiap lenggok tarian yang digemalaikan. Melayu itu lembut dan penuh lenggok," katanya dalam nafas puas. "Kelainan juga ditemui dalam aspek muzik orkestra yang dibawakan oleh Orketsra Tradisional Malaysia. Khalayak boleh lihat instrumen klasik yang dibawa dan dibunyikan dalam Konsert Lentera Timur ini," jelasnya tentang konsert kerjasama dengan Istana Budaya ini. Larut dalam jiwa Melayu yang kuat dalam dirinya, lalu dilontarkan soalan tentang pandangannya terhadap sesetengah orang Melayu yang malu dan alergi terhadap lagu, filem malah untuk berbahasa Melayu itu sendiri. Siti senyum lagi, menjawab dalam tenang dan angguk tanda faham dengan situasi yang dimaksudkan. "Perkara itu tidak boleh dipaksa namun, kita perlu mendedahkan budaya dan bahasa Melayu kepada generasi sekarang. "Memang lagu-lagu Melayu dinyanyikan tetapi dalam acara-acara tertentu. Semua itu perlu bermula dari alam persekolahan supaya mereka menghargai keindahan budaya, bahasa dan produk Melayu. Mungkin ia boleh diajar melalui tarian dan lagu-lagu," katanya. Dia juga meletakkan tugasan melestarikan kekuatan budaya Melayu kepada anak-anak seni. Lebih-lebih lagi kepada artis yang sedang diangkat sebagai ikon oleh generasi masa kini.
"Saya melihat Loque sebagai anak seni yang punya jati diri yang kuat. Baru-baru ini, kami terlibat dalam lagu Tanah Airku Tanah Airmu Jua dan dia membawakan elemen bunyi lama dalam lagu tersebut. Saya dan suami juga gemarkan lagu nyanyiannya bersama Azlina Aziz, Batu Belah Batu Konkrit. Bagi saya, dia memang kreatif dan usahanya wajar dipuji," jelasnya. Meletakkan Datuk Sharifah Aini sebagai salah seorang ikon kemelayuan yang unggul, Siti melihat biduanita tersebut berjaya dalam membawakan lagu-lagu tradisional dalam jiwa dan menggunakan suara yang cukup indah. "Kita perlu ada artis muda yang menjadi ikutan dan tampilkan budaya kita dalam lagu. Jika tidak betul-betul asli atau klasik, mungkin boleh masukkan elemen tradisional dalam lagu," ujarnya mencadangkan penyelesaian. Bina yakin diri Bila Siti Nurhaliza, seorang penyanyi dan penghibur melintas di atas panggung, seisi ruang sudah terasa auranya. Lantas apabila pembuluh suara dilagukan, satu panggung boleh terdiam, menghayati. Itu kuasa yang ada padanya. Layaknya, dia dipanggil seri panggung. Lalu diajukan lagi soalan, dari mana datangnya segala keyakinan dirinya itu. Penyanyi itu juga diajukan soalan tentang cara dia mengumpul segala keberanian sehingga jarang sekali melihat khilafnya sewaktu berdiri cantik menyalurkan getar vokalnya nan indah. Bukan sekadar memuji semberono, buktinya sudah ada di mana-mana. Ketawa, menutup mulut. Dia menjawab dalam getar ketawa berbaki: "Kalau Beyonce ada alter ego di atas pentas dan menjadi Sasha Fierce, begitu juga Siti. Saya melihat contoh yang baik daripada Beyonce, atas keyakinannya sewaktu konsert. Saya ada satu alter ego di atas pentas. Siti di atas pentas bukanlah Siti versi khalayak lihat di luar. Jujurnya, saya seorang yang pemalu dan segan. Tetapi, bila di pentas, secara automatik saya naik syeikh. "Bila berhadapan dengan penonton, saya lihat khalayak perlu saya tawan. Perlu bagi sesuatu yang mereka katakan 'wow'. Saya yang kendalikan suasana dan perlu rasa begitu." Wanita berhoroskop Capricorn ini mengaku semuanya mengalir dan membesar dengan waktu dan pengalaman. Jujurnya, dia sendiri kelakar melihat aksinya yang dulu-dulu, betapa semua pembelajaran berjalan dengan waktu dan kematangan. "Semuanya saya ambil sebagai pengalaman. Membesar dengan persembahan dan pentas. Malah, sebenarnya persembahan seperti Minggu Setiausaha dan makan malam memberi ruang belajar yang banyak kerana terlibat dengan pelbagai pihak. Kita perlu buat orang rasa selesa dengan kerja kita," jujurnya kembali membumi. Peralihan waktu memang benar memberi pengalaman dan pengajaran buat Siti Nurhaliza. Namanya cukup besar dan budinya terhadap industri persis pantun yang disebut tadi. Namun satu yang kekal dan perlu jadi tanda aras buat anak-anak seni muda sekarang iaitu jati diri dan perasaan membuminya yang cukup tegar dalam pembuluh darahnya. Sekali lagi, bukan pujian semberono tetapi buktinya sudah nyata. Siti Nurhaliza, dialah lentera timur itu. | |
Posted: Hans bikin filem di Singapura
PERTENGAHAN Ogos lepas filem arahan, lakonan dan terbitan Hans Isaac, Lemak Kampung Santan gagal meraih sambutan menggalakkan. Kecewa dan terkilan, Hans hampir terduduk dan membuat keputusan mahu menarik diri daripada terus menghasilkan filem. Namun, pengumuman komedi Lawak Ke Der musim ketiga menjadi penyembuh luka buat lelaki yang hangat dikaitkan sebagai kekasih pelakon Neelofa itu untuk kembali bersemangat. Belum sempat pulih sepenuhnya, dia teruji lagi. Kali ini, persembahan teater komedi yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 3 hingga 6 Oktober nanti terpaksa ditunda ke bulan Disember. Ibarat jatuh ditimpa tangga, perubahan tarikh itu harus dilakukan demi memberi laluan untuk acara sambutan kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 4 Oktober depan. Sementelahan pula, dua pelakon Lawak Ke Der 3, Nabil dan Jambu terikat dengan sebuah acara rasmi pada 6 Oktober. Ketika produksi berkenaan berkorban untuk memberi laluan kepada acara penting itu, muncul pula desas-desus mengatakan penundaan tersebut berlaku akibat masalah dalaman. Jualan tiket tidak laku serta kurang sokongan peminat lantaran ketiadaan regu lawak popular, Jozan dalam persembahan itu. Desas-desus itu sedikit sebanyak mencengkam emosi Hans sebagai teraju utama persembahan tersebut. "Memang pada mulanya berasa tertekan bahkan terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu memandangkan tiket sudah dijual. Tapi, saya harus berfikir secara rasional. Tidak semua perkara akan berlaku mengikut apa yang kita rancangkan, jadi saya harus akur. "Cuma apa yang saya tegaskan, semua khabar angin yang mendakwa Lawak Ke Der 3 ditunda disebabkan pelawak-pelawak buat perangai, tiket tak laku kerana penonton mahukan Jozan, semua itu tidak berasas sama sekali. "Dakwaan itu tidak benar kerana memang persembahan itu ditunda kerana kami harus beri laluan untuk acara penting negara," katanya yang berdepan pertembungan tarikh dan lokasi akibat Istana Budaya harus menyediakan Panggung Sari untuk persembahan kesenian oleh Permata Seni Negara pada tarikh yang sepatutnya menjadi malam persembahan Lawak Ke Der 3 nanti. BARISAN pelawak yang bakal beraksi dalam Lawak Ke Der 3. Dari kiri Yus Jambu, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Taukey Jambu. Berhubung soal jualan tiket yang dikatakan tidak mendapat sambutan, Hans menjelaskan perkara sebaliknya. "Apa yang kami tahu, jualan tiket amat memberangsangkan kerana penonton sudah sedia maklum tentang kredibiliti persembahan kami. Saya langsung tidak bimbang mengenai jualan tiket kerana yakin produk itu berbaloi untuk ditonton. Harga tiket juga sangat berpatutan," ujar Hans. Dia juga menyifatkan penundaan tersebut bakal memberi impak ke atas persembahan komedi itu. Tambah Hans: "Penundaan ini mungkin boleh mendatangkan kesan positif. Kami akan ada lebih banyak masa untuk publisiti, latihan yang lebih efektif serta skrip yang lebih teliti. Saya lihat ada hikmah lain juga memandangkan jadual persembahan yang baharu itu jatuh pada musim cuti sekolah. Ini sekali gus boleh meningkatkan peluang ibu bapa membawa anak-anak untuk turut sama menonton." Dalam pada itu, Hans yang masih serik untuk menerbitkan filem tempatan membuat satu perkhabaran terbaharu. Kecewa di negara sendiri, dia memilih untuk ke Singapura demi penggambaran sebuah filem terbaharu berjudul Carmina. "Keputusan saya untuk tidak lagi terbitkan filem di Malaysia masih muktamad tapi, saya akan menghasilkan sebuah filem Inggeris pada Februari tahun depan khas untuk festival antarabangsa. Filem itu akan menjalani penggambaran di Singapura. "Saya tidak protes industri filem negara. Namun, saya menemui cara baharu untuk buat filem. Saya pilih Singapura kerana ruang berkarya di sana lebih bebas. Filem itu nanti agak sensitif dan saya sedar, filem begitu sukar untuk mendapat pelepasan. "Negara kita banyak undang-undang tapi, saya juga tidak mahu filem saya dipotong untuk tayangan umum. Pengisian Carmina yang serius pastinya tiada pasaran di Malaysia, buat apa hendak membazir di sini," katanya yang mengabadikan kehidupan mendiang ibunya sendiri, Carmina Anciano Isaac dalam filem berkenaan. | |
Posted: Anuar Zain kekal eksklusifANUAR ZAIN semasa sidang media bersama wakil Kelab Sukan dan Kebajikan Perancangan Bandar dan Desa di Bangsar pada Selasa lalu. PADA hari-hari biasa, suasana petang di sebuah restoran popular yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur tidak semeriah seperti petang Selasa lalu. Kehadiran lelaki berkemeja putih yang diselimuti jaket kuning itu ternyata membawa aura ceria. Pada usia 43 tahun, dia masih mengusung pesona sebagai seorang bintang. Anuar bakal mengadakan persembahan yang diberi nama Eksklusif Bersama Anuar Zain sempena Malam Jalinan Mesra 2013 anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Makan malam yang akan berlangsung pada 19 Oktober depan di Dewan Kristal 1 & 2, Pusat Konvensyen TM (TMCC), Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur itu bertujuan mengutip dana untuk diagihkan kepada badan kebajikan. Selesai pengumuman rasmi yang menjadi teras pertemuan itu, Anuar cukup sedar, keterbukaan tentang karier dan kehidupan harus dikongsi lagi bersama khalayak. Mencakupi konsert, pembikinan album baharu yang masih dalam proses, kegilaan membeli-belah, penjagaan kesihatan, tidak terkecuali isu media sosial dan hal berumah tangga, itu semuanya dijawab dalam nada profesional. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sedetik Lebih itu menyusun bicara penuh hemah, dan sesekali dia ketawa diusik soalan wajib yang sampai sekarang tidak bertemu jawapan konkrit. Anuar mengaku, untuk kekal dan terus menyanyi sampai ke saat ini harus punyai strategi ampuh. Dia memutuskan menjadi seorang yang kekal menyimpan privasi dan pemilih dalam banyak perkara. "Macam dalam soal media sosial, saya tiada Twitter, Instagram dan cuma ada satu akaun rasmi Facebook, Anuar Zain Network yang baru dibuka setahun lalu. Itu pun diuruskan oleh pihak pengurusan saya, saya selesa begini dan masih tidak berhajat mengikuti gaya hidup sebegitu," ujarnya melihat media sosial lebih banyak mengundang negatif berbanding positif. "Apabila saya tiada Instagram atau Twitter, penaja kurang yakin terhadap jumlah peminat yang menyokong saya, tetapi selepas konsert pada Februari lalu, impaknya mula terasa. Alhamdulillah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |