Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
- Kemahiran buat kek golongan asnaf
- Pemakanan sihat asas kesukanan efektif
- Pandangan ulama tersohor terhadap fahaman Syiah
Kemahiran buat kek golongan asnaf Posted: Kemahiran buat kek golongan asnafOleh NURUL IZZA ROSLY DARI kejauhan sebelum melangkah masuk ke sebuah bilik kedengaran canda tawa berselang-seli dengan suara persis seorang guru sedang mengajar sesuatu di dalam bilik darjah. Saat melangkah masuk ke bilik tersebut kelihatan seorang wanita dalam lingkungan usia 40-an sedang tekun membacakan bahan-bahan resipi. Pada masa yang sama, beliau turut menerangkan sedikit tip pantang larang bagi membuat hidangan pencuci mulut pavlova yang menjadi trend masa kini. Kesemua 20 anak muridnya yang terdiri daripada kaum ibu golongan asnaf tekun mencatat pesanan yang dititipkan sambil memerhatikan demonstrasi pembuatan pavlova dan biskut hiasan. Mereka mengangguk faham. Beberapa minit kemudian, masing-masing yang dipecahkan kepada empat kumpulan mula mempraktikkan teori yang dipelajari sebentar tadi. Sekali pandang suasananya persis sebuah rancangan realiti masakan popular, MasterChef. Tetapi hakikatnya, ia adalah Kursus Bakeri Asnaf Siri Kedua anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama D Flowers Cake yang diadakan di Perangsang Templer Golf Club, Rawang, Selangor baru-baru ini. Kursus selama tiga hari itu memberi peluang kepada golongan asnaf mendalami bidang keusahawanan bakeri di samping memberi nilai tambah terhadap kemahiran kulinari yang sedia ada. Kekok melukis Para peserta kelihatan sungguh tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengikuti setiap modul sepanjang tiga hari berkursus. Walaupun ada segelintir yang kekok ketika kali pertama melukis dan menghias biskut hiasan menggunakan aising royal sebagai dakwat, namun selepas beberapa kali mencuba mudah sahaja mereka menguasai kemahiran tersebut. PARA peserta tekun melihat demonstrasi membuat pavlova oleh Zanifah (empat dari kanan). Seorang ibu tunggal, Suzana Ariffin, 43, dari Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor datang ke lokasi kursus itu semata-mata mahu mengikuti kursus bakeri yang dianjurkan. "Ia merupakan satu peluang yang baik bagi kami yang tidak mampu untuk mengikuti kelas-kelas sebegini yang mahal yurannya. "Saya memang ternanti-nanti kursus sebegini kerana kecenderungan saya dalam bidang membuat kek dan kuih," katanya yang mengambil tempahan kuih dan kek bagi menyara kehidupan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun. Menerima tempahan seperti roti jala, kek, kuih-muih tradisional, apam bintik polka, kek coklat, kek lobak dan kek red velvet, Suzana hanya menggunakan cara konvensional memasarkan produknya iaitu promosi daripada mulut ke mulut. Antara resipi yang dipelajari sepanjang kursus tersebut ialah pembuatan pelbagai ban manis dan pedas, kek coklat kukus, biskut hiasan dan kek cawan serta cara menghiasnya. Timba pengalaman Dalam pada itu, Norazah Mat Nazir, 35, begitu teruja apabila diberitahu mengenai kursus tersebut. Wanita yang berasal dari Manjung, Perak dan menetap di Puchong, Selangor itu sememangnya suka memasak dan membuat kek sejak zaman sekolah lagi. "Tamat sekolah sahaja saya sudah bekerja di kedai kek. Sedikit sebanyak ia membantu saya mengutip pengalaman dan memulakan perniagaan sendiri selepas berkahwin. "Pihak Pusat Zakat Selangor ada memberikan bantuan berupa lori bergerak bagi memudahkan saya berniaga," katanya yang menjual kek coklat kukus, kek marmar, kek puding, mi Jawa, laksa dan mi udang. Kebetulan, suaminya yang bekerja sebagai kerani juga berminat berniaga dan sentiasa memberikan sokongan. "Saya berharap kursus-kursus sebegini diperbanyakkan dan bukan diadakan setahun sekali sahaja kerana ia dapat membantu golongan asnaf seperti kami menambah kemahiran. ANTARA hasil kreativiti para peserta menghias biskut hiasan buat pertama kali. "Ia secara tidak langsung dapat mempelbagaikan produk jualan kami sekali gus menambah pendapatan keluarga tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan," ujarnya yang mempunyai empat orang cahaya mata berusia antara tiga hingga 13 tahun. Menyandang status sebagai ibu tunggal bukan mudah buat Zaida Md. Amin, 42, yang berasal dari Banting, Selangor kerana dia terpaksa bekerja sambil berniaga bagi membesarkan lima orang anaknya yang masing-masing berusia tujuh hingga 20 tahun. Zaida yang bekerja sebagai koordinator jualan di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya kadangkala berkesempatan melelapkan mata selama satu hingga dua jam sahaja kerana bersengkang mata membuat biskut raya yang ditempah pelanggan. "Berbekalkan dengan sedikit kemahiran yang ada dan bantuan zakat memberikan saya modal untuk berniaga. "Dengan penganjuran kursus sebegini oleh MAIS, dapatlah saya memberi nilai tambah kepada kemahiran sedia ada," katanya yang baru belajar membuat kek dalam kursus tersebut. Zaida berharap dirinya akan memanfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajari dengan mempraktikkan hasil tunjuk ajar tenaga pengajar daripada D Flowers Cake, Zanifah Md. Nor. | |
Pemakanan sihat asas kesukanan efektif Posted: Pemakanan sihat asas kesukanan efektifOleh NIZHA PERIASWAMY ATLET negara, Noraseela melakukan demonstrasi satu aktiviti fizikal. BERCAKAP tentang hari sukan atau permainan, kanak-kanaklah golongan yang paling teruja dan seronok. Lebih-lebih lagi apabila aktiviti fizikal itu merupakan langkah awal untuk mendedahkan kanak-kanak kepada dunia sukan. Bagi memberikan nilai tambah kepada aktiviti fizikal, amalan pemakanan seimbang dan sihat turut membantu membentuk kanak-kanak yang sihat dan membesar dengan sempurna serta cemerlang bersukan. Nestle Malaysia mengambil inisiatif menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda melalui jalinan kerjasama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi melatih sekumpulan pensyarah terpilih melalui program Kids' Athletics Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF). Program yang diadakan selama tiga hari itu bermula 16 hingga 18 Ogos lalu di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ia disertai 32 orang pensyarah dan jurulatih yang memberi bimbingan kepada kanak-kanak mengenai aktiviti fizikal dan kepentingan gaya hidup sihat. Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai menyokong kerjasama global selama lima tahun iaitu sejak bulan Januari 2012 antara Nestle dan IAAF. Nestle menjadi penaja utama program Kids' Athletics IAAF iaitu salah satu daripada program pembangunan akar umbi terbesar dalam dunia sukan. Program tersebut membantu membangunkan dan mengukuh komponen aktiviti fizikal dalam program Nestle Healthy Kids yang kini bertapak di kebanyakan negara pasaran Nestle. "Kami bangga dapat bekerjasama dengan KOM bagi menyokong dan melaksanakan program Kids' Athletic di Malaysia. "Kami percaya kerjasama ini akan memperkukuhkan lagi program Nestle Healthy Kids yang bermatlamat untuk mempertingkatkan pengetahuan mengenai pemakanan dan gaya hidup aktif dalam kalangan pelajar," kata Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Kumpulan Nestle Malaysia, Zainun Nur Abdul Rauf.
Percaya bahawa aktiviti fizikal adalah penting untuk kesihatan seseorang, Nestle menyatakan sokongan kepada KOM dalam usaha mendekati seramai 201,600 orang pelajar dengan harapan dapat menjadikan mereka individu yang sihat dan aktif di samping menjadi atlet yang berjaya. Program selama tiga hari itu mencapai kemuncaknya dalam pertandingan Kids' Athletic yang melibatkan lebih 50 orang murid dari sebuah sekolah intervensi di bawah program Nestle Healthy Kids yang bermatlamat meningkatkan pengetahuan mengenai pemakanan dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan murid berusia 7 hingga 12 tahun di Malaysia. Teruja dan seronok Murid-murid yang ditemui dalam pertandingan itu memberitahu mereka teruja dengan aktiviti sukan yang diadakan. "Rata-rata permainan yang diketengahkan lebih bersifat sukaneka. Ia sangat menyeronokkan. "Saya juga mempelajari keperluan menjaga nutrisi pemakanan, disiplin masa, ketangkasan serta kerja berpasukan bersama rakan-rakan yang terdiri daripada berbilang bangsa dan usia," kata seorang murid dari Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, Afiqah Izzazi, 12. Seorang guru dari sekolah yang sama pula, Mohd. Haslam Hussein, mengalu-alukan usaha Nestle bersama KOM itu yang bukan sahaja menekankan pendidikan jasmani malah pemakanan sihat. Mohd. Haslam, 34, yang membawa kira-kira 43 orang kanak-kanak Tahap 2 dari sekolahnya mengakui latihan fizikal yang didedahkan pada hari tersebut merupakan asas dalam bidang sukan. Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran atlet negara seperti Lee Hup Wei, Noraseela Mohd. Khalid, Noor Amira Mohammad Nafiah, Lo Choon Sieng, Kannathasan Subramanian, Adi Aliffusin dan Tan Sing Hwa. | |
Pandangan ulama tersohor terhadap fahaman Syiah Posted: Pandangan ulama tersohor terhadap fahaman SyiahSEORANG pengikut Syiah bersolat berhampiran makam cucu Nabi Muhammad, iaitu Saidina Hussein yang dianggap tempat suci pengikut itu di Kaherah, Mesir. DI SINI disertakan jawapan daripada ulama-ulama yang tersohor berkenaan Syiah dan fahamannya. Antaranya ialah pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu'ashirah yang menjelaskan perbezaan antara Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) dengan Syiah Imamiyah Itsna Asy'ariyah (12 Imam). Sambungan fatwa: 4. Imamah Ali dan 11 Imam keturunan Ali adalah asas ajaran Syiah. Barang siapa yang menolak, dia dicap kafir. Antara masalah akidah Syiah Imamiyah Itsna Asy'ariyah yang bertentangan dengan ASWJ adalah keyakinan mereka bahawa kepemimpinan Ali dan keturunannya dari garis Hussein merupakan asas-asas keimanan. Bagi golongan ini, tidak sah dan tidak akan diterima oleh Allah SWT iman seorang Muslim jika dia tidak beriman bahawa Ali adalah khalifah yang dipilih oleh Allah. Demikian juga dengan 11 imam keturunan Ali bin Abi Thalib. Barang siapa yang berani menolak hal ini atau meragukannya, maka dia kafir yang akan kekal di neraka. Atas dasar inilah, sebahagian besar kaum Syiah mengkafirkan ASWJ secara umum. Hal ini kerana akidah ASWJ berbeza dengan akidah mereka (Syiah). Bahkan ASWJ tidak mengakui akidah Syiah dan menganggapnya batil dan satu pendustaan atas nama Allah dan Rasullullah. Bahkan Syiah juga mengkafirkan para sahabat yang tidak mengakui Imamah Ali r.a. Mereka juga mengkafirkan tiga orang Khulafa ar-Rasyidin sebelum Ali iaitu Abu Bakar, Umar dan Uthman serta para sahabat lain yang menyokong ketiga-tiga khalifah sebelum Ali. Kita ketahui bahawa semua para sahabat telah meredai keempat-empat Khulafa ar-Rasyidin, termasuk Ali bin Abi Thalib. Ali merupakan orang terakhir membaiat Abu Bakar. Kemudian Ali berkata: "Sesungguhnya aku tidak mengingkari keutamaan dan kedudukan kamu wahai Abu Bakar. Akan tetapi aku ada hak dalam hal ini kerana aku adalah ahli keluarga Rasulullah." Bagaimanapun, Ali tidak menyebut bahawa dia mempunyai nash wasiat daripada Allah dan Rasullullah. Sedangkan ASWJ menganggap bahawa masalah Imamah dan yang berkaitan dengannya adalah masalah furu' dan bukan termasuk asas-asas akidah Islam. Para ulama ASWJ telah membicarakan masalah ini dalam kitab-kitab akidah bagi membantah seluruh ajaran Syiah. Abi Ja'far as-Shadiq Muhammad bin Ali bin Husein bin Babawaih al-Qummi merupakan ahli hadis kedua daripada tiga ahli hadis (Syiah) yang mengarang kitab berjudul Man La Yahdhuruh Al Faqih, salah satu kitab daripada empat kitab rujukan Syiah dalam masalah asas ajaran mereka. Imam as-Shadiq berkata: "Kami berkeyakinan bahawa orang yang menolak Imamah Ali dan semua imam selepas Ali adalah seperti orang yang menolak kenabian para nabi. Kami juga berkeyakinan bahawa orang yang mengakui Imamah Ali dan menolak satu daripada imam setelah Ali adalah seperti orang-orang yang mengaku beriman kepada para nabi akan tetapi mereka menolak Nabi Muhammad SAW." Imam as-Shadiq juga berkata dalam Risalat al-I'tiqadat bahawa Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang menolak Imamah Ali setelah aku (Rasulullah), ertinya dia telah menolak kenabianku dan barangsiapa yang menolak kenabianku, ertinya dia telah menolak rububiyah Allah." Terdapat lagi catatannya, Rasulullah bersabda: "Wahai Ali, sesungguhnya kelak setelah aku wafat, engkau itu akan dizalimi. Barang siapa yang menzalimimu, sama dengan dia telah menzalimi aku, barang siapa yang bersikap adil terhadapmu, sama dengan dia telah bersikap adil terhadap aku dan barang siapa yang menolakmu, sama dengan menolak aku." Imam as-Shadiq menambah: "Orang yang menolak imam terakhir kami, sama dengan menolak imam pertama kami." Dia juga mendakwa Nabi Muhammad pernah bersabda: "Para imam setelah aku ada 12 orang. Imam yang pertama ialah Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib dan imam yang terakhir adalah al-Mahdi. Mentaati mereka sama dengan mentaati aku dan bermaksiat kepada mereka sama dengan bermaksiat kepada aku. Barang siapa yang menolak salah seorang daripada mereka, sama dengan menolak aku." Kata Imam as-Shadiq lagi: "Barang siapa yang meragukan tentang kekufuran musuh-musuh kami dan sikap zalim mereka terhadap kami, maka dia dianggap kafir." 5. Dakwaan wasiat daripada Rasulullah untuk Ali. Dakwaan adanya wasiat daripada Rasulullah untuk Ali menjadi khalifah setelah beliau wafat (seperti keyakinan Syiah) telah merampas hak kaum Muslimin untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka sendiri. Sebab itu wujud perintah musyawarah yang telah dijadikan oleh Allah sebagai ciri khas kaum Muslimin. "Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka." - (Surah asy- Syura, ayat 38). Dengan adanya wasiat seperti yang didakwa penganut Syiah itu, umat Islam seolah-olah terkebelakang selama-lamanya kerana Allah pula yang harus menentukan siapakah yang berhak mengurus dan memimpin umat Islam. Juga diharuskan orang yang memimpin umat Islam daripada ahli keluarga tertentu seperti ahli keluarga Rasulullah. Padahal semua manusia adalah sama. Hakikatnya, yang berhak memimpin umat Islam ialah orang yang diterima oleh umat Islam dan mampu memikul amanah yang diberikan. Islam yang dipersepsikan oleh ASWJ adalah negara Islam ideal seperti yang digambarkan oleh al-Quran dan sunah. Negara itu seperti yang diinginkan oleh masyarakat dunia pada saat ini dengan rakyat berhak menentukan nasibnya sendiri, tidak menganut teori teokrasi atau sebuah sistem yang dikuasai oleh pemerintahan berasaskan agama (tertentu) atas nama Pemerintahan Langit yang membelenggu mereka. Semua lapisan masyarakat tidak mempunyai kuasa atas diri mereka sendiri kecuali harus mengatakan: "Kami mendengar dan kami taat!" Keyakinan Syiah ini dibantah oleh takdir Allah, di mana Imam yang ke-12 mereka sedang bersembunyi seperti yang mereka yakini. Umat manusia ditinggalkan tanpa imam maksum selama lebih 11 abad. Bagaimana mungkin Allah akan membiarkan umat manusia tanpa imam yang akan membimbing mereka? Ternyata mereka (orang-orang Syiah) kemudian berkata: "Kami masih ada al-Quran dan as-Sunah untuk membimbing kami." Ketahuilah, justeru kami (ASWJ) sejak dahulu sudah mengatakan hal ini, kata Yusuf al-Qaradhawi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |