Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
- Seni klasik perspektif baharu
- Masak empat hidangan dalam masa dua jam
- Tuhan bukan hanya ada di Masjid Nabawi
Posted: Seni klasik perspektif baharuOleh NIZHA PERIASWAMY MUNGKIN ada sesuatu yang menarik dan mengujakan tentang porselin. Bentuk menarik, kaedah pembuatan yang unik, rekaan terperinci, permukaan yang licin dan harga yang tinggi adalah antara faktor yang menjadikan porselin sebagai bahan koleksi kegemaran golongan khusus. Ramai yang sanggup menjelajah ke luar negara semata-mata untuk meluaskan koleksi perhiasan seramik mereka. Antara negara yang terkenal dengan pembuatan porselin adalah China, Itali, Denmark dan Perancis. Pencarian porselin biasanya melibatkan perbelanjaan yang besar. Namun demikian, pencinta seni dan pengumpul porselin tempatan kini berpeluang menjamu mata menyaksikan porselin terbaik dunia yang dipamerkan penuh bergaya di butik baharu Franz di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur. Butik yang dilancarkan pada awal bulan ini itu menawarkan koleksi dengan rekaan indah berinspirasikan alam semula jadi yang merangkumi pinggan mangkuk sehingga ke barang kemas. Juara dalam setiap pertandingan dan pameran antarabangsa selain menjadi pilihan utama untuk cenderahati dalam kalangan pemimpin dunia, Franz ditubuhkan di San Francisco, Amerika Syarikat dengan nama Franz Collection Inc. pada Jun 2001. BUTIK mewah Franz di Pavilion Kuala Lumpur mampu membuatkan pelanggan rambang mata dengan kepelbagaian pilihan yang ditawarkan. Syarikat itu diasaskan oleh usahawan artistik yang menempa banyak kejayaan, Francis Chen. Kata Chen, Franz diwujudkan untuk membangkitkan penghargaan orang ramai terhadap alam semula jadi dan memahami falsafah kebijaksanaan Timur menerusi seni porselin. Palitan warna Menggabungkan seni pembuatan porselin tradisional China bersama pengaruh artistik Eropah, ia hasil imaginatif dengan palitan warna bertenaga porselin Franz yang diinspirasi daripada gaya Art Nouveau dan lukisan dinding Flying Fairies yang terdapat di Dunhuang, China. Ia disempurnakan dengan teknik tuangan acuan potongan bawah, satu teknologi yang telah dipatenkan. Ini menjadikan Franz istimewa berbanding jenama-jenama lain terutamanya dari segi perincian rumit yang dipaparkan. Franz menggunakan lukisan tangan dalam kaca dan dibakar pada suhu 1,200 hingga 1,350 darjah Celsius bagi mencapai kualiti tertinggi sama ada dalam elemen memutih, kekerasan dan kepelbagaian warna. Mengeluarkan variasi pinggan mangkuk, aksesori dekorasi rumah dan barisan barang kemas, Franz turut menggabungkan aspek bentuk dan fungsi melalui penekanan keperluan harian. Ia sekali gus memimpin individu untuk mengintegrasikan seni dalam kehidupan seharian. "Saya amat teruja dan gembira untuk berkongsi seni Franz di Malaysia," ujar Chen. Katanya, sebagai sebuah bandar raya berbilang kaum dan terbuka kepada banyak pengaruh, Malaysia merupakan padanan sempurna aspirasi Franz yang menyatukan gaya Timur dan Barat. "Saya berharap Franz dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang mencintai keindahan alam semula jadi dan menghargai seni klasik dari perspektif baharu. SENTUHAN alam semula jadi dalam setiap rekaan porselin Franz menyuntik elemen segar dan elegan. "Franz memperkenalkan era baharu dunia porselin. Rekaan tiga dimensinya yang unik menawarkan orang ramai cara baharu bagi menghayati seni perhiasan seramik," ujarnya. Sementara itu, Pengarah Reflections Enterprise, pengedar eksklusif rangkaian Franz di Singapura dan Malaysia, Desmond Teo berkata, pihaknya percaya jenama itu akan diterima baik dalam kalangan pengumpul tempatan. Kisah Franz Menghasil dan memasarkan pelbagai aksesori dan dekorasi kediaman, Franz yang kini berpangkalan di Taipei, Taiwan mengeluarkan koleksi yang terdiri daripada pinggan mangkuk dan barang kemas. Jenama itu memainkan peranan sebagai penghubung antara budaya Timur dan Barat. Rekaan dengan kaedah pertukangan tradisional menyerlahkan karakter ketimuran Franz, manakala seni hiasan Art Nouveau memaparkan aspek Baratnya. Porselin Franz mula menjadi tumpuan selepas ia memenangi anugerah persembahan terbaik bagi koleksi rama-rama Papillion pada Pameran Hadiah Antarabangsa New York 2002. Koleksi porselin Franz dihasilkan menggunakan tanah liat dan kaca terpilih di China dengan melibatkan lebih 12 proses pengasingan bahan. Sepanjang proses pengeluaran, setiap produk diukir teliti tanpa mengabaikan tumpuan pada perincian rekaan.
Artisan-artisan Franz mahir dalam teknik tradisional penghasilan porselin termasuk mewarna, menghablur dan menindih kaca bagi menghasilkan produk-produk rumit dan unik. Rata-rata semua motif koleksi jenama ini berinspirasikan alam semula jadi dengan rekaan flora dan fauna seperti rama-rama, bunga-bungaan, haiwan dan motif lain. Pelaburan syarikat ini dalam teknik pengeluaran dan artisan berkemahiran tinggi telah memahat nama Franz sebagai satu jenama unik dengan inovasi berterusan dan rekaan berkualiti tinggi. Kini porselin Franz diedarkan di lebih 5,000 butik porselin di seluruh dunia dengan pejabat perwakilan di Asia, Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan New Zealand. | |
Masak empat hidangan dalam masa dua jam Posted: Masak empat hidangan dalam masa dua jamOleh NIZHA PERIASWAMY CHEF Marina mengejutkan pengamal media dengan cara paling mudah menyediakan nasi dal iaitu dalam masa kurang setengah jam. BEBERAPA peralatan dapur seperti pisau, papan pemotong, cawan dan mangkuk disusun kemas. Turut kelihatan bahan-bahan mentah untuk memasak beberapa hidangan, antaranya ayam, tepung, beras, santan, gula, garam dan bawang yang menghiasi setiap meja di ruang terbuka di tingkat lapan, Menara Axis, Petaling Jaya, Selangor. Di keempat-empat meja itu juga ditempatkan sebuah periuk tekanan, pembuat susu soya dan sebuah peralatan menggoreng tekanan udara. Tujuan pertemuan pada hari tersebut adalah bagi menggalakkan para pengamal media mencuba dan memanfaatkan peluang menggunakan peralatan elektrik memasak yang disediakan khas oleh jenama produk elektrik rumah Philips. Berbekalkan pengetahuan mengenai kehendak pengguna selama 120 tahun, Philips menawarkan tiga produk bantuan memasak elektrik sebagai satu inovasi memasak yang mudah dan menyeronokkan. Lebih-lebih lagi bagi wanita berkerjaya yang memilih untuk memasak sendiri demi mengekalkan kesihatan secara mudah dan pantas. "Pengambilan makanan segar, sihat dan bernutrisi amat penting kepada kita. Tetapi bagaimana untuk meluangkan masa dan tenaga setiap hari untuk menyediakan makanan ini?" tanya Chef Marina Mustafa sambil memegang periuk tekanan elektrik Philips, Viva. Kemudian dia menghulurkan empat menu masakan pada petang itu dan memperkenalkan koleksi Philips Avance, pembuat susu soya dan penggoreng tekanan udara, Philips Viva Airfryer kepada para petugas media. "Resipi pertama ialah nasi dal menggunakan periuk tekanan," kata Marina memulakan sesi memasak. "Campak kesemua bahan mentah iaitu beras basmati, kacang dal, pelaga, cengkih, bunga lawang, kayu manis, halia kisar, garam, minyak sapi, minyak, daun pandan dan air dalam periuk tekanan serta tetapkan masa memasak. "Tekan butang Rice diikuti butang Start. Dalam masa 14 minit, nasi dal siap. Selepas itu, tuang tairu dan masak selama lima minit lagi. Sebelum masak sepenuhnya, hiaskan dengan bawang goreng. Semuanya boleh disiapkan dalam kurang setengah jam," kata Marina sambil menunjukkan masa memasak yang belum melepasi 30 minit.
Sama seperti hidangan pertama, dia turut membimbing petugas media dengan masakan kedua iaitu ayam masak merah, juga menggunakan periuk tekanan. Sekali lagi mengumpul semua bahan mentah seperti bawang merah, bawang putih, hali, ayam, pelaga, cengkih, puri tomato dan pes cili, petugas media hanya diarah untuk menutup periuk dan menekan butang Chicken diikuti Start. Selepas 25 minit, masakan tersebut hampir siap. Kemudian, tairu dimasukkan dan digaul bersama kacang pis dan daun ketumbar. "Anda tidak perlu lagi mencari kuali dan dapur. Tiada lagi percikan minyak panas atau kesan minyak masak pada dinding, tiada bau, tidak perlu takut hangus dan sebagainya. Sebaik sahaja memasukkan kesemua bahan, kita hanya perlu mengatur tempoh masa yang sewajarnya dan tunggu ia masak. Sangat mudah dan sesuai untuk ibu moden kini," tambah Marina. Turut memeriahkan sesi masakan itu ialah hidangan pencuci mulut, kuih bakar menggunakan penggoreng tekanan udara Philips dan pengat barli menggunakan mesin pembuat susu soya Philips. Secara purata, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan, dua hingga tiga orang setiap kumpulan. Mereka berjaya menyiapkan semua masakan dalam masa kurang daripada dua jam. "Selaku sebuah syarikat penjagaan kesihatan dan kelestarian hidup, Philips memperakui bahawa pengguna masa kini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai diet mereka. Philips membantu menyediakan makanan kegemaran melalui kaedah yang mudah dan mesra serta menikmati makanan yang rendah lemak," kata Pengurus Kanan Pemasaran Philips Consumer Lifestyle, Usman Qureshi. Malah, peralatan menggoreng tekanan udara, Philips Viva Airfryer HD9220 dilihat satu inovasi paling menyihatkan apabila Chef Marina memberi jaminan bahawa masakan boleh disediakan tanpa minyak atau dengan beberapa titis minyak sahaja. HIDANGAN yang dihias dengan penuh kreatif oleh peserta yang terdiri daripada pengamal media. Menariknya mengenai penggoreng itu, teknologi Rapid Air menggoreng makanan tanpa minyak dan melaras suhu untuk hasil terbaik. Ia juga membolehkan masakan dimasak serentak. Mesin pembuat susu soya Koleks Philips Avance pula memiliki prestasi memotong yang canggih dan penapisan yang mudah. Mata pisau berkembar berbentuk boomerang di dalam jag memberikan pemotongan halus manakala lima program di dalamnya membolehkan pengguna menikmati pelbagai jenis minuman berasaskan bijirin. "Saya amat teruja apabila mendapat tahu tentang peralatan dapur Philips. Saya kagum dengan kemampuannya mengekalkan kelazatan makanan dan juga kandungan nutrisi daripada bahan masakan segar. Tambahan pula ia amat mudah digunakan," kata Marina dalam temu bual selepas sesi memasak itu. | |
Tuhan bukan hanya ada di Masjid Nabawi Posted: Tuhan bukan hanya ada di Masjid NabawiJEMAAH haji Malaysia haruslah merebut peluang melakukan ibadah sebanyak mungkin ketika berada di Tanah Suci. SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Hati yang damai atau tenang adalah ahli syurga. Allah SWT telah nyatakan melalui surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud: "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu!" Begitulah. Rumah kecil kami di Jabal Uhud menerima tetamu hampir setiap malam. Mereka adalah jemaah haji atau umrah. Sesekali sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga muncul. Setiap kali bertemu mereka, pasti ada yang akan menyatakan betapa beruntungnya kami sekeluarga kerana dapat bermukim di Madinah. Ia sering dikaitkan dengan ketenangan dan kedamaian hati di Madinah. Malah, ramai juga jemaah menyebut: "Saya sering terkenangkan Madinah. Merinduinya. Jadi saya berusaha untuk datang ke sini setiap tahun. Hati saya tenang dan damai di sini." Tentu sekali ia rasa yang bukan luar biasa. Hampir setiap orang yang pernah berkunjung ke sini mempunyai perasaan tersebut. Sebenarnya mengikut satu hadis, baginda SAW pernah berdoa agar Allah memberikan rasa cinta kepada mereka yang pernah berada di Madinah. Malah baginda memohon agar Allah memberikan rasa cinta Madinah - jika boleh - melebihi rasa cinta baginda kepada Mekah. Tentu sekali ia doa yang dimakbulkan. Allah ya Allah. Saya sering menyatakan kepada jemaah, jika benarlah rasa damai atau tenang itu lebih terlangsung di Madinah berbanding Malaysia, maka saya fikir kebanyakan rakyat Malaysia benar-benar menjadi hamba Allah kelas kedua. MASJID Nabawi sentiasa dirindui oleh jemaah haji dan umrah yang pernah menjejakkan kaki ke sana. Bagaimanapun ia tidak begitu. Jelas, Allah tidak pernah membezakan hambanya berdasarkan bangsa, warna kulit, pangkat, darjat, kaya atau miskin. Malah damai di hati tidak sekali-kali bergantung kepada lokasi. Hakikatnya, tidak semua orang mampu hadir ke Madinah setiap tahun. Perjalanan lebih 14,000 kilometer Kuala Lumpur-Madinah-Kuala Lumpur memerlukan banyak kelapangan. Pertama, kelapangan kewangan. Kos umrah sekitar RM4,000 hingga RM6,000 seorang. Kedua, kelapangan masa. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab khusus yang perlu dijaga. Banyak perkara wajib yang mesti dilaksanakan di Malaysia. Lalu jika damai di hati lebih mudah didapati di Madinah, maka kebanyakan rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada keadaan di luar kawalan mereka. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Benar, perasaan damai di hati ketika berada di Madinah amat terasa. Kenapa? Jawapannya sangat mudah. Allah telah nyatakan berulang kali betapa mereka yang hatinya damai atau tenang merupakan orang yang beriman dan bertakwa. Saya memberi misal yang sangat mudah. Hampir kesemua jemaah haji dan umrah menunaikan solat fardu berjemaah di masjid. Tumpuan mereka sangat fokus dengan ibadat ini. Mereka tidak begitu di Malaysia. Saya solat Subuh di lebih 30 buah masjid ketika bercuti pada musim panas yang lalu. Purata jemaah menghadiri solat berjemaah hanyalah sekitar satu hingga satu setengah saf sahaja. Hati saya bertanya, di mana perginya tuan-tuan haji yang hampir 30,000 orang setiap tahun menunaikan fardu haji? Di mana kaki umrah yang melebihi 100,000 orang setiap tahun? Tidak mampukah mereka untuk hadir ke masjid? Begitulah. Hati mereka pastinya tidak tenang dan damai. Kedamaian yang dicari bukan dengan meninggalkan solat berjemaah. Solat berjemaah di masjid, insyaAllah boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Dua tahun di Madinah mengajar saya banyak perkara. Misalnya saya mengetahui jemaah wanita Malaysia - jemaah haji dan umrah - sangat berilmu. Mereka menutup aurat dengan sempurna ketika berada di dalam Masjid Nabawi. Hampir kesemuanya memakai stoking dan sarung lengan. Tentu sekali mereka mengetahui batas-batas aurat yang boleh dibawa solat dan diperagakan kepada umum. BEBERAPA petugas Tabung Haji di Madinah diraikan dengan menu nasi Arab oleh Muhd. Kamil dan isteri di rumah mereka di Jabal Uhud. MasyaAllah, Subhanallah. Sejurus sahaja mahu meninggalkan Madinah, sebahagian mereka telah kembali kepada cara berpakaian asal yang tidak boleh dibawa solat. Malah wajah mereka dilukis semula bagi menampakkan kecantikan kepada manusia lain. Mereka tidak tahu betapa hodohnya wajah-wajah ini di sisi Allah. Lalu damaikah hati mereka apabila pulang ke Malaysia? Saya sering berpesan kepada suami-suami agar bertanya kepada isteri yang begitu perangainya, adakah Tuhan ini ada di Masjid Nabawi sahaja? Allah ya Allah. Saya terasa sebak. Apakah kaum keluargaku termasuk dalam golongan yang tidak damai di hati? Sambutlah salam tulus ikhlas dari kami di Madinah. Jika berada di sini, hubungilah saya melalui talian 05 0212 7721. InsyaAllah jika diberi kelapangan olehNya dapatlah kita menikmati nasi Arab di rumah kecil kami di Jabal Uhud. Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunanMu ya Allah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |