Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Pengorbanan keluarga perwira tidak dipersia - Najib
- Hukum penjara pihak hina Jalur Gemilang - Ahmad
- Pukat tunda 38 mm diharamkan mulai 1 November
Pengorbanan keluarga perwira tidak dipersia - Najib Posted: 01 Sep 2013 02:34 AM PDT KUALA LUMPUR 1 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa pengorbanan anggota keluarga perwira negara tidak akan dipersiakan. Najib, menerusi entri terbaharunya dalam Facebook, berkata perbarisan para perajurit semasa sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 semalam mengingatkan beliau kepada perjuangan wira-wira terdahulu dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara. "Jerih perih mereka, pengorbanan ahli keluarga mereka tidak akan dipersiakan. Ayuh kita semua bersatu demi Malaysia yang satu," katanya. Pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka semalam, 76 pegawai dan anggota pasukan Komando VAT69 yang terbabit dalam Operasi Daulat semasa mempertahankan negara daripada pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, Mac lepas turut membuat persembahan. Lebih menyentuh hati, balu anggota-anggota yang terkorban dalam insiden itu tidak dapat menahan kesedihan semasa menyaksikan persembahan khas itu. - BERNAMA |
Hukum penjara pihak hina Jalur Gemilang - Ahmad Posted: 01 Sep 2013 02:10 AM PDT PONTIAN 1 Sept. - Pihak berkuasa digesa tidak lagi bertolak ansur, sebaliknya mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan hukuman penjara terhadap mana-mana pihak yang menghina Jalur Gemilang. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan tindakan seorang aktivis propembangkang yang menggelarkan Jalur Gemilang sebagai "Jalur Temberang" amat tidak wajar dan biadap sekali dan jelas dipengaruhi kebenciannya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. "Sikap melampau itu perlu dibendung kerana Jalur Gemilang merupakan lambang dan maruah negara yang mesti dihormati dan bukan dicaci, dihina disebabkan berbeza fahaman politik. UMNO amat kesal dengan sikap aktivis propembangkang yang sekali lagi menimbulkan isu ini sepertimana yang dilakukan pada tahun lalu. "Sikap dan pendirian mereka ini amat bertentangan dengan sikap bertolak ansur kerajaan selama ini yang terus mengadakan provokasi bagi menghina Jalur Gemilang demi untuk kepentingan pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai IKS dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian yang baru di Benut, di sini hari ini. Ahmad berkata demikian sebagai mengulas tindakan aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais yang menggelarkan Jalur Gemilang sebagai "Jalur Temberang" pada Sambutan Malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka malam kelmarin. Selain itu, Hishamuddin juga turut mendakwa tarikh 31 Ogos yang juga Hari Kemerdekaan sebagai "Hari Malapetaka", manakala bendera Sang Saka adalah bendera tradisi daripada Kerajaan Melayu Langkasuka. Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan menambah, bukan sahaja Hishamuddin yang perlu dikenakan tindakan tetapi sesiapa sahaja yang terlibat mencemar dan menjatuhkan maruah Jalur Gemilang perlu dikenakan tindakan tegas kerana sudah sampai masa kerajaan bertindak tegas dalam isu menghina bendera dan lagu kebangsaan. "Sikap berlembut dan bertolak ansur selama ini telah menjadikan sesetengah pihak bertambah kurang ajar dan biadap termasuk golongan pelajar yang berada di luar negara seperti yang berlaku di Taiwan sebelum ini. "Aktivis propembangkang perlu memisahkan diri mereka dengan emosi kepartian dan dendam terhadap kerajaan sebaliknya menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan sebagai satu hari bersejarah kepada setiap lapisan masyarakat," katanya. - UTUSAN ONLINE |
Pukat tunda 38 mm diharamkan mulai 1 November Posted: 01 Sep 2013 02:04 AM PDT BERA 1 Sept. - Kerajaan mengharamkan penggunaan bot pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter (mm) bagi menyelamatkan spesies marin dan benih ikan daripada dimusnahkan mulai 1 November ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengunaan saiz pukat itu sebenarnya telah dikuatkuasakan sejak dua tahun lalu mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menetapkan saiz mata keroncong pukat tunda mestilah melebihi ukuran 38 mm. Bagaimanapun katanya, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan pengusaha bot terbabit terus berdegil menggunakannya. "Beberapa negara ASEAN telah menggunakan pukat tersebut pada saiz mata pukat lebih besar seperti di Brunei, Myanmar dan Bangladesh yang masing-masing menggunakan saiz 60 mm manakala Korea Utara pula adalah 40 mm. "Kita akan mengambil tindakan mulai 1 November ini dengan menjalankan operasi oleh Jabatan Perikanan bagi membanteras pengusaha bot yang terus berdegil mengunakan pukat saiz lama. "Tujuan menguatkuasakan undang-undang ini bukan untuk menyekat rezeki pengusaha, tetapi memastikan ikan ataupun sumber marin terus berkekalan untuk jangka panjang dan secara langsung, pendapatan nelayan pantai tidak terjejas," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |