Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Memperkasakan bakal guru
- Pelatih, masyarakat kongsi manfaat
- Juita minta skop aktiviti program Pemulihan Dalam Komuniti diperluas
Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh MOHAMED SAARI MOHD. Azahar Ibrahim (tengah) menyaksikan seorang peserta (kanan) menyerahkan cenderamata kepada keluarga angkat di Kampung Sawah Baru, Labis, Johor, baru-baru ini. LABIS 11 Sept. - Golongan guru merupakan komponen penting yang menjadi teras dalam usaha mendidik dan melahirkan modal insan yang mampu menjulang martabat negara dalam era globalisasi ini. Sehubungan itu, pelbagai usaha dijalankan bagi memperkasa golongan tersebut bertujuan memastikan mereka mampu melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani, selain menjadi benteng negara daripada pelbagai bentuk ancaman. Program Bina Insan Guru yang menjadi syarat wajib bagi semua guru pelatih sebelum layak menerima ijazah seterusnya bergelar pendidik anak bangsa dan merupakan landasan terbaik memantapkan ilmu dan jati diri mereka. Bagi memenuhi syarat tersebut, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussien Onn (IPGTHO) tidak ketinggalan menganjurkan program berkenaan yang disertai 66 pelatih bersama 10 pensyarah selama tiga hari di Kampung Sawah Baru dekat sini baru-baru ini. Pensyarah Kokurikulum, Abd. Jabar A. Rahman berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada bakal guru berdepan dengan masyarakat, terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung tradisi. "Program ini merupakan peluang terbaik pelatih yang datang dari pelbagai latar belakang memahami gaya hidup serta keperluan pendidikan masyarakat luar bandar dan digunakan sebagai panduan apabila bergelar pendidik kelak. "Sepanjang program berlangsung setiap peserta dikehendaki mengendalikan semua aktiviti yang dirancang bagi memberi peluang mereka menonjolkan bakat kepimpinan serta memperkasakan kemahiran berfikir," katanya kepada Utusan Malaysia. Menurutnya, setiap peserta diwajibkan menjalankan aktiviti khidmat sosial dan dinilai tahap penglibatan mereka serta keberkesanan peranan yang dimainkan untuk masyarakat setempat oleh 10 pensyarah yang turut serta. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sukaneka, senamrobik, perlawanan futsal dan bola jaring, kem motivasi, kembara sosial, sambutan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Abd. Jabar berkata, profesion perguruan kini memerlukan pengorbanan serta kesabaran yang tinggi, selain peranan memajukan masyarakat setempat, terutamanya di kawasan luar bandar melalui aktiviti bersama. Dengan menyertai program itu, peserta bukan sahaja dapat menyelami kehidupan masyarakat luar bandar, malah mampu menilai keperluan mereka terutama dalam bidang pendidikan anak-anak. Di samping itu, program tersebut juga merupakan persiapan daripada segi mental dan emosi bagi menghadapi cabaran yang bakal ditempohi sekiranya ditempatkan di kawasan pedalaman yang agak jauh daripada arus pembangunan. Sementara itu, seorang penduduk, Salwah Abd. Rahman, 45, mengakui program tersebut yang pertama kali diadakan di kampungnya membawa banyak manfaat, khususnya kepada para pelajar. "Sebelum ini kami tidak didedahkan dengan pelbagai peluang serta syarat kemasukan untuk melanjutkan pengajian di IPG, tetapi kehadiran mereka memberi kami gambaran lebih jelas tentang perkara tersebut. "Saya lihat ramai pelajar di kampung ini yang mula berminat dan menyimpan angan-angan untuk menjadi guru selepas mendapat maklumat daripada peserta sepanjang program berlangsung," katanya. Beliau juga sberharap lebih banyak pusat pengajian tinggi menganjurkan aktiviti di kampungnya pada masa akan datang kerana mampu membawa banyak manfaat kepada mereka. Perlu disebut, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tenang, Mohd. Azahar Ibrahim menyertai Majlis Penutupan Program Bina Insan Guru tersebut. |
Pelatih, masyarakat kongsi manfaat Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT SEORANG ibu angkat (kiri) bersalaman dengan anak angkatnya pada Program Bina Insan Guru di Kampung Sawah Baru, Labis, Johor, baru-baru ini. LABIS 11 Sept. - Penganjuran Program Bina Insan Guru bukan sahaja memberi faedah kepada peserta, malah turut membawa pelbagai manfaat penduduk setempat. Seorang peserta, Fanly Soh Swee Fong, 21, mengakui menjadi anak angkat dan tinggal bersama keluarga Melayu selama tiga hari merupakan pengalaman baharu yang amat menarik dan sukar dilupakan. "Saya begitu tertarik dengan peradaban mereka yang begitu menghormati antara satu sama lain dan sepanjang pemerhatian saya, bersalaman setiap kali bertemu merupakan satu yang wajib dilakukan. "Apa yang lebih menarik, keluarga angkat saya begitu menghormati tetamu dan cuba memenuhi setiap keperluan saya serta tidak jemu memberi tunjuk ajar tentang adat resam orang Melayu," katanya yang berasal dari Bintulu, Sarawak. Menurutnya, pengalaman mengikut bapa angkatnya menoreh getah cukup menarik dan tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mencuba melakukan torehan. Lisabet Laura Lorance, 21, yang berasal dari Sabah pula mengakui kagum dengan golongan pelajar di kawasan tersebut yang mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik walaupun terdapat banyak kekurangan dalam mendapat maklumat terkini berikutan keupayaan mengakses internet yang terhad. Beliau mengakui agak risau sekiranya tidak mampu menyesuaikan diri dengan keluarga angkat Melayu sebelum mengikuti program, tetapi segala sangkaannya meleset selepas mendapat keluarga angkat yang dianggapnya terlalu berbudi pekerti. "Saya begitu teruja dilayan dengan baik seperti anak sendiri oleh keluarga angkat yang berusaha memenuhi setiap keperluan. Saya begitu menghargai sambutan dan layanan mereka," katanya sambil berharap dapat berpeluang kembali ke kampung tersebut pada masa akan datang dan tidak kisah jika ditugaskan mengajar di situ selepas ini. Sementara itu, seorang lagi peserta, Syed Ali Syed Abdullah Thani, 23, berkata, aktiviti bersama penduduk kampung banyak mengajarnya erti kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain, di samping menyelami keperluan penduduk setempat. "Sedikit-sebanyak sikap tolak ansur dan kerjasama yang diamalkan oleh masyarakat di sini turut menyerap dalam jiwa kami dan akan dijadikan panduan selepas ini terutama sewaktu berdepan dengan pelajar nanti. "Saya juga begitu teruja berdepan dengan golongan pelajar di sini yang menunjukkan disiplin tinggi ketika mengadakan kem motivasi bersama pelajar dan ibu bapa serta Kem 1Murid 1Sukan," katanya. |
Juita minta skop aktiviti program Pemulihan Dalam Komuniti diperluas Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT ROSNI Omar (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar sambil diperhatikan oleh Lin Bee Lan (kiri) dalam majlis perasmian PDK, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 11 Sept. - Skop aktiviti pelatih yang mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) disaran diperluaskan di luar bilik darjah bertujuan mendedahkan mereka dengan dunia luar. Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita), Datin Seri Rosni Omar berkata, pelatih harus lebih banyak didedahkan dengan pelbagai aktiviti luar supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat, sekali gus memberikan keyakinan diri untuk hidup berdikari. Menurutnya, antara aktiviti luar dengan kerjasama pelbagai golongan termasuk kelas tuisyen, kem motivasi, kursus kesenian, kaligrafi dan kursus bahasa untuk memberi peluang kepada mereka meningkatkan kemahiran. "Pelatih PDK juga wajar didedahkan dengan aktiviti yang dapat melatih mereka membina keyakinan diri melalui hubungan langsung dengan masyarakat. Dengan cara itu juga pelatih mempunyai peluang untuk memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka. "Selain itu, saya amat berbangga dengan kebolehan pelatih PDK yang mampu menghasilkan produk kraf tangan yang unik dan sangat kreatif. Saya yakin jika diperbaiki dan ditambah nilai sudah pasti produk berkenaan dapat dikomersialkan," katanya semasa merasmikan Bangunan PDK Johor Jaya di sini, semalam. Yang turut hadir ialah Pengerusi PDK Johor Jaya, Lee Bee Lan. Dalam majlis berkenaan, Rosni turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM10,000 hasil kerjasama Juita dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) kepada PDK Johor Jaya. Rosni turut memuji inisiatif jawatankuasa PDK Johor Jaya mendapatkan sumbangan untuk menambah dana bagi pembinaan bangunan PDK untuk kegunaan pembelajaran seramai 42 pelatih yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU). "Bermula sejak 2011, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM250,000 setiap tahun untuk pembinaan bangunan PDK. "Dengan terbinanya PDK ini, jumlah keseluruhan PDK di Johor hingga kini adalah sebanyak 66 buah. Jumlah itu melebihi sasaran asal Juita kerana melalui Projek Juitaku Sayang 1, sasaran awal hanya 40 PDK," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |