{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Kemalangan memahat cinta Normala

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
fikri.rosly@utusan.com.my

NORMALA dan Abu Bakar bersama dua daripada empat anak mereka di Pasir Gudang, Johor.

NAMA Normala Abdul Samad, 51, mungkin asing bagi orang lain tetapi masyarakat di sekitar Pasir Gudang, Johor mengenalinya bukan sahaja kerana beliau memikul tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, malah menjadi jambatan perhubungan antara sektor industri dan penduduk setempat.

Bertugas sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, beliau kini dilihat sebagai seorang tokoh wanita yang bakal menyinar di Dewan Rakyat.

Namun mungkin tidak ramai yang sedar bahawa kejayaan wanita ini banyak didorong oleh suaminya, Abu Bakar Hydros, 63, seorang pemilik syarikat jual beli kereta terpakai dan baharu.

Pertemuan saya dengan dia (Abu Bakar) berlaku pada tahun 1985 ketika berusia 25 tahun.

Kakak angkat saya ajak dia mengikut kami balik ke kampung saya di Kampung Pasir Gogok, Pengerang, Kota Tinggi bagi menghadiri majlis kenduri untuk arwah makcik.

Itulah detik pertama perkenalan kami," katanya ketika ditemui S2 di kediamannya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sejak muda lagi sudah tinggal di Pasir Gudang kerana bekerja sebagai kerani swasta di situ pada 1981.

Dia pula memang orang Masai kerana keluarganya sudah lama berada di situ tetapi bermula dari perkenalan itulah, akhirnya kami berkawan dan berkahwin," tambahnya.

Menurut Normala, Abu Bakar yang ketika itu bekerja dalam bidang perkapalan dan kerap ke luar negara bersetuju memandu kereta untuk membawa dia dan kakak angkatnya menempuh perjalanan sukar ke Pengerang, kerana kemudahan jalan raya ketika itu tidak sebaik sekarang.

Abu Bakar yang mempunyai minat dalam bidang fotografi pada zaman mudanya sempat mengambil gambar kenangan di sekitar kampungnya.

Seminggu kemudian, dia datang melamar. Pada mulanya, dia memberi alasan mahu berjumpa keluarga saya untuk memberikan gambar-gambar tersebut.

Saya beri dia masa tiga bulan untuk fikir betul-betul kerana baru kenal saya.

Tetapi dia pula ambil kesempatan untuk melobi ibu bapa dan nenek saya dengan membawa buah tangan," katanya.

Menurut Normala, dia kemudian pergi ke Iran untuk urusan kerja walaupun negara itu berada di ambang perang.

Alhamdulillah dia pulang dengan selamat, tetapi kemalangan ngeri dengan treler melibatkannya di Lebuhraya Pasir Gudang tidak dapat saya lupakan.

Saya pergi melawat dia di Hospital Pakar Johor di mana ibunya bertanya siapa saya dan dia jawab inilah wanita yang ingin saya jadikan isteri," katanya lagi," ujarnya.

Abu Bakar dalam keadaan tersenyum mencelah perbualan antara S2 dengan Normala dan memberitahu bahawa ibunya adalah orang yang paling gembira kerana usianya sudah mencecah 37 tahun, yang pada kebiasaannya di zaman itu sudahpun mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak.

Memandangkan dirinya tidak bertepuk sebelah tangan dan Normala belum berpunya, kedua-dua mereka disatukan dalam masa tidak sampai setengah tahun perkenalan.

Kini usia perkahwinan sudah mencecah kepada sambutan jubli perak dan dikurniakan empat cahaya mata dimulai dengan Nur Farhana, 25, yang dilahirkan pada 1988.

Muhammad Asyraf menyusul setahun kemudian, diikuti Abdul Qayyum yang kini berada di Akademi Laut Malaysia dan Muhammad Arsyad, 19.

Saya sebenarnya sejak pertemuan pertama itu seperti mendapat ilham untuk mengahwini Normala. Saya kata kepada dia dengan jujur yang saya serius mahu menjadikan dia suri hidup saya dan selepas kemalangan itu, saya terus berhenti kerja di luar negara, berkahwin dengan dia dan memulakan karier dalam urus niaga jual beli kereta.

Saya dulu banyak keluar negara kerana menjadi penyelam dasar laut profesional dari tahun 1976 dan kali terakhir adalah sebagai supritendan marin di Iran.

Selain jual beli kereta, saya juga membantu isteri yang aktif dalam berpolitik," katanya.

Mengakui bukan senang menjadi pasangan wanita berprofil tinggi seperti Normala, Abu Bakar sekeluarga memberitahu yang mereka mahu menjalani kehidupan biasa dan perhubungan mereka dengan masyarakat setempat tidak berubah.

Ujarnya, walaupun Normala sibuk, mereka sekeluarga tahu wanita ini seorang yang mahir kerana berpengalaman luas selama 32 tahun menguruskan sumber manusia.

Akibat terlalu percayakan suami hidup jadi merana...

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

TIDAK semua wanita bernasib baik dikurniakan seorang suami yang baik dan sempurna untuk menjadi tempat berlindung dan bergantung harap hingga ke penghujung usia.

Ada yang ditinggal tanpa sebarang khabar, digantung tidak bertali dan ada yang mendapat status ibu tunggal setelah bertahun-tahun naik turut mahkamah untuk membebaskan diri daripada suami yang tidak bertanggungjawab.

Namun menjadi lumrah, dalam apa juga keadaan yang berlaku, setiap wanita harus bangkit untuk terus hidup dan mencari jalan agar penderitaan yang dilalui tidak mematahkan semangat mereka di tengah jalan.

Ada juga yang dianiaya suami dengan bebanan hutang dan masalah yang tidak mudah hendak diselesaikan seperti mana yang dilalui oleh pembaca setia ruangan ini yang mahu dikenali sebagai Nina (bukan nama sebenar).

Saya bertemu Nina dalam satu majlis. Perbualan hampir dua jam merungkai segala kekusutan yang terbuku di hati Nina. Setelah memohon izin dan meneliti ceritanya, saya berpendapat ia perlu dikongsi dengan pembaca sebagai panduan dalam mencari satu kehidupan yang lebih bermakna selepas pengalaman pahit yang dilalui.

Kita ikuti kisah Nina

"Saya berusia awal 50-an, pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, seorang perempuan dan seorang lelaki, kedua-duanya sudah berumah tangga. Saya juga telah mempunyai dua orang cucu.

"Saya masih bekerja untuk menyara hidup di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang ibarat kata, cukup cukup makan. Apa pun saya bersyukur dengan nikmat Allah kepada saya.

"Disebabkan kedua-dua anak sudah mempunyai masa depan mereka sendiri, saya tidak pernah menyusahkan mereka malah berusaha sendiri untuk hidup setelah bergelar janda sejak tujuh tahun lalu.

"Saya bernikah dalam usia 21 tahun tetapi rumah tangga yang dibina tidak sebahagia pasangan bertuah yang lain. Suami bukan lelaki yang sesuai untuk dijadikan ketua keluarga dan imam dalam rumah tangga.

"Kehidupan saya sebagai isteri penuh ranjau dan duri, sering dipukul badai sehinggakan kadangkala saya hampir putus asa. Mujur ada kawan-kawan yang memberi semangat dan memujuk.

"Alhamdulillah kini saya semakin tenang, damai dengan cara hidup saya sendiri. Namun ketenangan saya tergugat baru-baru ini apabila saya menerima sekeping surat saman dari bank.

"Semuanya gara-gara bekas suami membeli sebuah rumah ketika kami masih hidup bersama. Dia berjanji akan membayar ansuran rumah itu dan hanya meminjam nama saya sahaja.

"Rupa-rupanya lelaki yang saya harapkan dapat melindungi hidup saya adalah seorang putar alam, kaki belit dan tidak menjalankan tugasnya sebagai suami dengan baik termasuk tidak menunaikan janjinya untuk membayar ansuran rumah tersebut.

"Kesudahannya, saya menjadi mangsa dipermainkan oleh suami dan lelaki yang hanya mementingkan keseronokan hidup melebihi tanggungjawabnya terhadap rumah tangga yang kami bina.

"Disebabkan tidak tahan dengan perangainya, saya minta cerai. Ia mengambil masa hampir tujuh tahun baru selesai setelah hampir puluhan kali saya naik turun mahkamah.

"Ketika itu, anak-anak masih kecil, saya pula tidak bekerja, jadi mereka dibawa pergi oleh ayah mereka kerana saya tidak ada pendapatan tetap untuk menyara mereka.

"Namun hubungan dengan anak-anak tidak pernah putus, saya diberi kesempatan untuk bersama mereka sehinggalah mereka sudah mempunyai kehidupan sendiri.

"Saya ingatkan setelah bercerai, saya akan tenang tetapi sayangnya tidak. Saya perlu menyelesaikan hutang ansuran rumah itu terlebih dahulu kerana ia atas nama saya.

"Rupa-rupanya sejak rumah itu dibeli dan setelah kami berpisah, bekas suami langsung tidak pernah membayar ansuran tersebut. Ini bermakna sudah 15 tahun rumah itu tidak dibayar. Kalau ikutkan jangka perjanjian dengan bank, hutang rumah sepatutnya sudah selesai.

"Saya mengaku di peringkat awal, saya kerap mendapat panggilan dari bank menyuruh saya menjelaskan tunggakan rumah berkenaan, sedangkan saya tidak pernah tinggal di rumah itu.

"Saya juga telah berusaha banyak kali menghubungi bekas suami, sayangnya semua talian yang digunakannya telah tidak boleh digunakan lagi. Saya juga menghubungi kawan-kawan bekas suami yang masih ada tetapi mereka juga sudah lama tidak bertemu dengannya.

"Akhirnya saya berhenti mencari kerana tidak tahu lagi di mana hendak mencarinya. Kedatangan surat saman itu tentunya memeningkan kepala saya, manalah saya mampu untuk membayar hutang sebanyak itu sedangkan gaji saya hanya cukup untuk menyara hidup saya.

"Saya hanya ada dua tahun sahaja lagi untuk bekerja dan kemudian bersara. Macam mana saya hendak bayar hutang yang banyak itu?

"Akibatnya saya menjadi tidak tenang, makan minum saya tidak menentu, tidur juga sering terganggu. Saya menangis mengenangkan masalah yang menimpa saya sejak muda, berumahtangga dan kini.

"Kenapa bekas suami tergamak melakukan ini semua kepada saya? Itulah soalan yang bermain di fikiran saya. Sedangkan dia telah berjanji akan membayar ansuran rumah tersebut tidak kira apa yang berlaku.

"Kini saya dalam dilema, tidak tahu ke mana hendak mengadu. Keluarga juga tentu tidak mahu terlibat kerana perkahwinan saya dahulu mereka tidak restu. Perkara sudah terjadi, mahu tidak mahu saya harus hadapi.

"Nak minta tolong anak-anak, mereka juga bukan orang berada, tambahan pula cucu-cucu saya masih kecil. Saya amat kesal dengan sikap bekas suami dan berdoa agar Allah buka pintu hatinya untuk tampil memikul tanggungjawab tersebut.

"Di saat saya sedang terumbang-ambing dan susah hati, kawan-kawan rapat sedia berkongsi masalah saya dan membantu membawa saya mendapatkan nasihat daripada beberapa pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya berharap segala urusan untuk menyelesaikan perkara itu dipermudahkan oleh Allah. Pada masa yang sama, saya menasihati wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah dalam rumah tangga supaya berhati-hati apabila hendak membeli harta.

"Sebaik-baiknya letak nama berdua dan maklumkan kepada saudara terdekat atau anak-anak bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini di kemudian hari.

"Jangan jadi seperti saya, sudah terlambat. Kini saya hanya gigit jari. Tapi saya bertekad akan berusaha menyelesaikan kes ini dengan cara yang terbaik agar hidup saya tidak lagi dibebani dengan ingatan terhadap hutang ini.

"Seperkara lagi, kepada generasi muda yang ingin mendirikan rumah tangga, carilah calon suami yang boleh dipercayai, ada latar belakang agama dan telus dalam perhubungan. Sebaik-baiknya selidik dahulu bakal suami sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama ibarat pepatah, beringat sebelum kena.

"Saya berdoa moga Allah permudahkan segala urusan saya untuk menyelesaikan masalah ini. Jika bekas suami terbaca catatan ini, saya minta dia bertaubat dan tampil menyelesaikan masalah ini secara telus. Jika pun terlepas di dunia, di akhirat akan dituntut," begitu Nina menamatkan ceritanya.

Terkedu saya seketika setelah mendengar cerita Nina. Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepadanya, tetapi saya pasti Nina seorang yang tabah dan kuat semangat.

Seperti mana nasihat kawan-kawan rapatnya, saya juga berharap Nina dapat menyelesaikan perkara ini mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Pada masa ini banyak kemudahan yang disediakan untuk menangani masalah wanita seperti Nina. Dapatkan nasihat bank berkaitan tentang bagaimana cara terbaik untuk Nina menyelesaikan hutang tersebut.

Saya doakan Nina akan diberi perlindungan dan dirahmati Allah serta diberi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Mengakhiri catatan, pesanan saya, pilihlah orang yang menyayangi dan mencintai kita daripada memilih orang yang kita cintai kerana orang yang mencintai kita lebih menghargai diri kita dan menerima kekurangan yang ada untuk diperbaiki bersama dalam meniti kehidupan bersuami isteri.

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat