Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 24 Sep 2013 11:17 PM PDT Oleh SITI AISHAH YUSOFF Muhammad Hatta Rajiee dan Nurul Syafiza Din sama cantik sama padan duduk di atas pelamin gubahan Precious Moments Collection. "KAMI memang telah bersedia untuk menjadi pasangan suami isteri walaupun tarikh perkahwinan telah diawalkan daripada tarikh perancangan kami pada Disember ini. "Alhamdulillah, Allah permudahkan niat baik kami untuk mendirikan rumah tangga apabila terpilih sebagai pemenang ketiga Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Keempat," ujar Muhammad Hatta Rajiee, 30. Bukan saja perkahwinannya dengan gadis impian, Nurul Syafiza Din, 25, berlangsung lebih awal daripada tarikh yang dirancang, bahkan sebahagian besar urusan persandingan mendapat penajaan hasil daripada kemenangan tersebut. Dewan Tun Abdullah Mohammad Salleh (DTAMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih sebagai tempat meraikan tarikh indah paling bersejarah dalam hidup mereka pada 22 September lalu. Lebih 1,000 tetamu memenuhi undangan majlis perkahwinan pasangan ini, selain majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran sanak-saudara terdekat daripada kedua-dua belah pihak. Menurut Muhammad Hatta, sengaja dia memilih mengadakan majlis bersejarah di dewan tersebut kerana memang telah menjadi impiannya sekian lama. "Sejak kami mula menjalinkan hubungan cinta lima tahun lepas, kemudian bertunang selama dua tahun, keinginan dan impian untuk bersanding di sini sudah terpahat dalam hati. "UKM menyimpan memori indah dalam hidup kami kerana bibit percintaan kami bermula di sini," katanya. Mengimbas memori percintaan mereka, Muhammad Hatta berkata, sebagai Penyelia Kolej Ibrahim Yaakub, tugasnya banyak memerlukan dia berurusan dengan Nurul Syafiza, seorang penuntut peringkat Ijazah Sarjana Psikologi Pendidikan yang kebetulan Exco Siswa Siswi kolej tersebut. Menurutnya, mereka kerap berjumpa bagi membincangkan hal-hal berkaitan penghuni kolej. "Dalam diam saya menyenangi sikapnya yang lembut dan pendiam. Dari situ timbul perasaan cinta dan berhasrat menyuntingnya sebagai isteri selepas dia tamat pengajian. " Alhamdulillah, ketika meluahkan hasrat hati pada Nurul, rupa-rupanya saya tidak bertepuk sebelah tangan," ujar Muhammad Hatta sambil tersenyum. Ujar Muhammad Hatta lagi, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila dia berusaha menyediakan beberapa rangkap pantun ketika pertama kali bertemu dengan bapa Nurul Syafiza, yang secara tidak langsung tujuan untuk merisik. "Enam rangkap pantun yang saya karang sendiri adalah terjemahan kepada kesungguhan saya untuk menyunting Nurul sebagai isteri. "Alhamdulillah hasrat saya mendapat restu daripada ibu bapanya dan sekarang kami sah menjadi suami isteri," katanya. Pasangan ini dinikahkan pada 13 September lalu di kediaman Nurul Syafiza di Bukit Punggur, Alai, Melaka, diikuti dengan majlis persandingan pihak perempuan keesokan harinya. Sementara itu, persandingan menyambut menantu pada hujung minggu lalu di DTAMS, berlangsung dengan meriah apabila pasangan pengantin yang segak dan anggun dengan persalinan berwarna merah jambu bersulam ungu rekaan Dios Astana Bridal, diarak sambil diiringi paluan kompang. Duduk sama padan di pelamin yang dihias indah hasil rekaan Izzuddin Karso daripada Precious Moments Collection, seri pengantin nyata terserlah dengan solekan hasil sentuhan Ismalilie Fitri Abdullah daripada Afidah Khamis Make Ups and Stuff. Majlis persandingan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM,Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim dan isteri, serta Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid. Ditanya mengenai bulan madu, Muhammad Hatta dan Nurul Syafiza berkata, destinasi yang ditaja oleh Poto Travel iaitu ke Jakarta memang menjadi idaman mereka berdua. Begitupun, mereka juga mempunyai tempat bulan madu impian yang ditempah sendiri iaitu Pulau Tioman yang akan dikunjungi pada bulan November ini. Apa pun majlis persandingan pemenang ketiga ini mendapat sokongan padu daripada semua penaja seperti Mastar Catering yang menaja jamuan , Precious Moments Collection (pelamin dan hiasan meja makan), Afidah Khamis Make Ups and Stuffs (solekan), CJ Print (kad kahwin), Dios Astana Bridal (pakaian pengantin), D'Sayang Entertainment (sistem siar raya), Sweet and Sour Photo Design (fotografi) dan Eja Shahril (tudung pengantin). Turut menaja Poto Travel Sdn. Bhd. (pakej bulan madu), Suri Permai Spa (spa), Kampung Pengantin (lokasi dan jamuan) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi). |
Posted: 24 Sep 2013 11:17 PM PDT Oleh SITI AISHAH YUSOFF Asmuna, 50, (bukan nama sebenar), mengakui jiwanya tidak tenteram mengenangkan keadaan rumah tangga anak lelaki sulungnya yang diuji dengan pelbagai dugaan silih berganti. Lima tahun lalu, anak yang mesra dipanggil Along itu ditimpa kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa. "Selepas mengalami kemalangan yang menyebabkan Along koma selama seminggu dia sudah tidak seperti dahulu. Tingkah laku dan pemikirannya banyak berubah, tidak banyak bercakap, mudah lupa dan cepat marah. Sedangkan sebelum ini dia anak yang periang, sopan dan penyabar. "Selepas keluar dari hospital, Along tinggal bersama saya. Kami sekeluarga menjaganya hinggalah dia mendapat pekerjaan dan berpindah ke rumah yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya," kata Asmuna. Tambahnya, walaupun dari luaran Along kelihatan sihat tetapi sebenarnya masih memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana ketika kemalangan bahagian otaknya tercedera akibat hentakan yang kuat. Selepas beberapa bulan bekerja, Along telah menyatakan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang dikenali melalui teman-teman sekerja. "Pada mulanya saya agak berbelah-bahagi untuk mengizinkan Along berkahwin dengan keadaan fikirannya yang tidak begitu stabil dan orang luar mudah mengambil kesempatan terhadapnya. "Pada masa yang sama saya juga berdoa agar wanita yang bakal menjadi isterinya nanti akan menjaga Along dengan baik," kata Asmuna. Firasat seorang ibu nyata betul. Beberapa bulan berkahwin, Asmuna dikhabarkan dengan berita perceraian Along. Ternyata berita tersebut cukup mengecewakan Asmuna. Tetapi punca keruntuhan rumah tangga anak sulungnya itu lebih mengejutkan. "Rupa-rupanya Along telah menjadi 'pak sanggup'. Wanita yang dikahwininya telah mengandung anak luar nikah. Dia telah memberi Along sejumlah wang agar berkahwin dengannya," katanya. Asmuna tidak menyangka anaknya sanggup melakukan perkara tersebut hanya kerana wang. Selepas kejadian tersebut, dia sentiasa menasihati anaknya itu supaya tidak mudah terpedaya dengan wanita-wanita di luar yang ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya. "Namun, nasihat saya tidak diambil endah. Setahun kemudian dia sekali lagi berkahwin dengan seorang janda beranak satu dari seberang. "Di awal perkahwinan, anak dan menantu tinggal bersama kami sekeluarga kerana ketika itu pendapatan Along tidak cukup untuk menampung keperluan hidup keluarga barunya. "Selepas setahun berkahwin, baru mereka berpindah ke rumah sewa yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya," jelasnya. Walaupun mereka tinggal berasingan, jika ada waktu kelapangan Asmuna akan pergi melawat anaknya bagi memastikan keadaannya selamat dan sihat. "Ketika mereka tinggal di rumah saya, memang isterinya melayan Along dengan baik. Tetapi keadaan berubah selepas mereka tinggal di rumah sendiri. "Along dilayan dengan teruk oleh isteri. Dia bagaikan tunggul di rumah sendiri. Pernah suatu hari apabila saya bersama suami pergi melawatnya di rumah, kami sangat terkejut melihat keadaan Along yang dilayan seperti orang asing di rumah sendiri. "Di satu sudut, saya melihat tempat tidurnya dipisahkan dan hanya tidur beralaskan bantal buruk yang diletakkan di atas lantai," ujarnya. Asmuna berkata, setiap bulan gajinya habis dibelanjakan oleh isterinya. Ada kala dia terpaksa mengikat perut dan menahan lapar kerana tiada wang untuk membeli makanan. Melalui jiran-jiran Along, Asmuna diberitahu bahawa anaknya itu juga sering dimarah dan diherdik dengan kata-kata hinaan oleh isterinya biarpun ketika di hadapan orang ramai. "Melihat keadaan Along yang dilayan seperti itu oleh isteri sendiri, pernah terlintas di dalam hati untuk menyuruh dia menceraikan isterinya dan kembali menjalani hidup bersama kami sekeluarga. "Saya juga pernah bertengkar dengan menantu saya itu dan meminta dia meninggalkan Along jika begitu cara layanannya terhadap anak saya. "Namun, saya sedar saya tidak ada hak untuk masuk campur dan meminta anak saya menceraikan isterinya kerana Along telah memilih wanita tersebut sebagai isterinya. Lagipun tidak baik jika seorang ibu tergamak untuk menghancurkan rumah tangga anaknya sendiri," katanya. Sehingga kini, Asmuna hanya mampu berdoa agar anaknya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan kembali sihat seperti sediakala. Dia merasa benar-benar kecewa kerana menantu dan orang lain sanggup mengambil kesempatan di atas kelemahan anaknya yang boleh dikatakan sebagai OKU (orang kurang upaya) selepas kemalangan berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |