{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Farmasi pandu lalu mudah, efisien

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Seorang pesakit mengambil ubat di kaunter farmasi pandu lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, baru-baru ini. - Utusan/Ahmad Zakki Jilan

KUANTAN 18 Sept. - Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bukan sahaja hospital utama di negeri ini malah menjadi rujukan pesakit negeri-negeri di pantai timur termasuk sebahagian dari Johor.

Sepanjang tahun 2012 sahaja, bilangan pesakit ke klinik-klinik pakar di hospital ini adalah seramai 234,844 manakala bilangan pesakit Jabatan Kecemasan pula mencecah 93,956 orang.

Dalam tempoh sama juga, seramai 51,657 pesakit menerima rawatan di wad.

Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, seramai 113,803 pesakit mendapatkan rawatan di klinik pakar, 46,331 pesakit (jabatan kecemasan) dan 30,236 dimasukan ke wad.

Untuk rawatan dengan ubat-ubatan pula, sepanjang tahun lalu menunjukkan perkhidmatan pesakit luar Jabatan Farmasi HTAA menerima 329,565 preskripsi daripada pesakit.

Sehingga Jun 2013, sebanyak 167,106 preskripsi diterima oleh Jabatan Farmasi dan daripada jumlah itu, 12.4 peratus adalah preskripsi ulangan untuk bekalan ubat rawatan penyakit kronik.

Bilangan preskripsi yang tinggi ini bermakna kaunter farmasi kadangkala akan sesak dengan pesakit khususnya pada waktu puncak.

Kesesakan itu semestinya tidak selesa kepada pelanggan di samping perlu menunggu lama untuk mengambil ubat.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail menjelaskan, pihaknya memandang serius masalah ketidakselesaan pelanggan semasa menunggu mengambil ubat ini.

"Ramai pesakit datang ke HTAA untuk menerima rawatan yang menyebabkan bilangan pelawat bertambah sekali gus HTAA mengalami masalah tempat letak kenderaan.

"Oleh itu, Jabatan Farmasi mencadangkan penyediaan perkhidmatan farmasi pandu lalu dan projek ini disiapkan pada hujung Jun lepas.

"Perkhidmatan ini dimulakan pada akhir bulan Julai dengan menggunakan sistem telefon dan ambil," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pesakit dengan preskripsi ulangan akan ditawarkan untuk menggunakan perkhidmatan ini.

"Sekiranya pesakit bersetuju, mereka akan didaftarkan dan diberi bekalan ubat. Pesakit diminta untuk menelefon talian khas perkhidmatan sebelum hari mengambil ubat.

"Apabila pesakit datang pada hari pungutan, mereka cuma perlu terus ke kaunter farmasi pandu lalu. Mereka hanya perlu serahkan kad pendaftaran dan ubat akan diserahkan," katanya.

Katanya, dengan cara ini, pesakit tidak perlu mencari tempat letak kenderaan serta tidak perlu berjalan dan beratur panjang.

"Sejak operasi permulaan dari Julai hingga Ogos lalu, seramai 212 pesakit mendaftar dan 140 pesakit mengambil ubat dari kaunter pandu lalu ini.

"Jadi, saya harapkan perkhidmatan ini mendapat sambutan baik daripada pesakit dan dapat meredakan masalah tempat letak kereta di HTAA," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, kemudahan berkenaan merupakan sebahagian inisiatif Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dalam usaha mempelbagai serta mempermudahkan perkhidmatan untuk masyarakat.

"Farmasi ini akan memudahkan lagi urusan orang ramai khususnya pesakit untuk mengambil ubat tanpa perlu beratur di kaunter klinik mahupun hospital sekitar negeri ini.

"Premis ini dilihat mampu menjimatkan masa dan kos pesakit terutama yang memerlukan serta diwajibkan mengambil bekalan ubat secara berterusan dan berkala," katanya.

Jelas beliau, pesakit hanya perlu mendaftar selain menepati syarat dan kriteria ditetapkan bagi didaftarkan sebelum layak menggunakan kemudahan tersebut.

"Ini secara tidak langsung akan memudahkan orang ramai untuk menjalankan urusan mengambil ubat secara mudah, pantas dan efisien," katanya.

Rebut peluang baharu perniagaan di Lipis

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Abdul Rahman Mohamad (dua dari kiri) beramah mesra dengan penjaja dan peniaga kecil Melayu di Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 18 Sept. - Peniaga dan penjaja kecil bumiputera di bandar ini diseru memanfaatkan peluang daripada sektor pelancongan yang sedang berkembang pesat di daerah ini bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengubah bentuk perniagaan menerusi penjenamaan semula produk dan premis masing-masing.

Beliau berkata, transformasi imej penjaja dan peniaga kecil amat penting kerana daerah ini bukan sahaja semakin mendapat tumpuan pelancong malah menjadi lokasi persinggahan utama orang ramai dari Lembah Klang ke Kelantan.

"Di pihak kerajaan, kita akan memberi pelbagai kemudahan kepada peniaga kecil di sini untuk memasarkan makanan dan produk pertanian mereka.

"Ini kerana kita sedar peranan peniaga penting bagi perkembangan kemajuan daerah ini selain dapat menjayakan usaha untuk menghidupkan semula suasana malam bandar Kuala Lipis," katanya kepada pemberita selepas bertemu penjaja dan peniaga kecil Melayu di bandar ini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis meminta penjaja dan peniaga memohon skim pembiayaan mikro di institusi kewangan dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk memperbesarkan perniagaan masing-masing.

Beliau juga meminta penjaja dan peniaga kecil di sini yang memperoleh pinjaman TEKUN dan institusi kewangan supaya tidak liat untuk membayar balik kerana kerajaan memerlukan pusingan dana membiayai peniaga lain.

"Kerajaan menerusi TEKUN dan institusi kewangan sedia menimbang pinjaman semula atau menambahkan jumlah dana yang dipohon kepada penjaja dan peniaga yang aktif membayar balik pinjaman mereka," katanya.

MPK komited bangunkan inovasi

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Zulkifli Yaacob (empat dari kiri), pegawai dan kakitangan MPK bersama replika cek Anugerah Inovasi Sektor Awam 2013 bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 18 Sept. - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berjaya mengungguli Anugerah Inovasi Sektor Awam 2013 bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam majlis yang diadakan di Arena Square, Teluk Intan minggu lalu.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, menerusi anugerah itu, pihaknya mempertaruhkan lapan inovasi hasil idea kakitangan yang mula diguna pakai sejak tahun lalu.

Menurut beliau, kemenangan hasil usaha sepasukan seluruh warga MPK itu merupakan kejayaan sulung buat pihaknya pada anugerah itu walaupun turut menyertainya pada penganjuran tahun-tahun sebelum ini.

''Tahun ini merupakan pencapaian terbaik MPK kerana dapat mengatasi pencapaian pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh negara. Pada tahun lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan pemenang bagi anugerah itu.

''Sebagai Yang Dipertua, saya berasa bangga atas kejayaan ini dan kami sedang mengusahakan pelbagai lagi inovasi dan kami pasti kesemua inovasi kami ini bakal memenuhi keperluan dan keselesaan penduduk Kuantan," katanya dalam majlis sambutan meraikan kemenangan tersebut di sini baru-baru ini.

Pencapaian terbaik itu membolehkan MPK membawa pulang hadiah wang RM300,000 beserta sijil dan trofi.

Antara lapan inovasi yang dipertandingkan MPK pada anugerah tersebut adalah Inovasi Cantuman Tanah, Pemulangan Deposit Melalui Deposit, Proses Pembaharuan Permit Bangunan Dan Lesen i-Persen, Smart Partnership Rakan We Care, Urban services Collaboration Program, 3Rs Partnership Project dan Fast and Easy Licenses and Permit e-lesen.

Anugerah Inovasi Sektor Awam yang diperkenalkan pada tahun 1991 itu turut mempertandingkan 11 kategori lain.

Sementara itu, Zulkifli turut berharap agar warga Kuantan dapat memberi kerjasama dalam usaha MPK menjadikan Kuantan setaraf dengan bandar-bandar lain di seluruh negara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat