Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Bahang pemilihan UMNO semakin terasa Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT Dari Kiri Mas Ermieyati, Jamilah Hanim dan Suraya Yaakob BAHANG pemilihan UMNO semakin terasa apabila dari semasa ke semasa, ada sahaja pemimpin yang membuat pengumuman untuk bertanding bagi jawatan sama ada di peringkat Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda mahupun Puteri. Sudah pastilah ketika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikatakan 'sudah selamat' berikutan kesepakatan pemimpin dan ahli UMNO untuk memastikan ia tidak ditandingi tumpuan diberikan kepada jawatan Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Naib Ketua Wanita, Naib Ketua Pemuda dan Naib Ketua Puteri. Untuk jawatan Naib Presiden, tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal sudah menyatakan kesediaan mereka mempertahankan jawatan berkenaan. Setakat ini, mereka akan dicabar oleh dua pemimpin lama dalam UMNO iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd.Ali Rustam. Bagi jawatan Ketua Wanita, kehadiran bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar penyandang jawatan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikatakan 'menghangatkan' persaingan. Walaupun Shahrizat dikatakan lebih sesuai dan layak untuk terus menduduki jawatan berkenaan namun 'keberanian' Azalina mencabar beliau tetap menjadi perhatian. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob dikatakan 'favourite' untuk menduduki jawatan Naib Ketua Wanita biar pun beliau setakat ini dikatakan akan dicabar oleh wakil dari Sabah Datuk Azizah Mohd.Dun. Untuk jawatan Ketua Pemuda pula, setakat ini Menteri Belia dan Sukan yang juga penyandang jawatan Khairy Jamaludin dilihat berpeluang cerah untuk terus mengungguli kedudukan tersebut memandangkan setakat ini tiada mana-mana pemimpin Pemuda yang dilihat 'berani' tampil mencabar beliau. Bagi jawatan Naib Ketua pula perebutan setakat ini menyaksikan pertarungan empat calon termasuk Ketua Pemuda UMNO Perak Khairul Azwan Haron yang dikatakan cukup popular di dalam media sosial dan mendapat sokongan beberapa pemimpin kanan Pemuda. Beliau akan bersaing dengan Ketua Pemuda UMNO Lenggong, Mohd.Iruan Zulkefli, Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar dan Exco Pemuda UMNO Lokman Noor Adam. Bagi jawatan Ketua Puteri pula yang kosong berikutan penyandangnya, Datuk Rosnah Rashid Sirlin sudah cukup umur, ia setakat ini menjadi perebutan antara Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Puteri Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman. Walaupun Mas Ermieyati dilihat calon 'favourite', namun saingan sengit dijangka berlaku jika Naib Ketua Puteri Shahanim Mohamad menawarkan diri untuk bertanding. Bagi kerusi Naib Ketua Puteri, calon yang berhasrat merebut kedudukan itu ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah Datin Nor Sabrina Mohd.Noor dan Zahida Zarikh Khan. Bagi kerusi MT pula, beberapa muka baru dijangka menjadi pencabar kepada penyandang-penyandang sedia ada terutamanya Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan. Turut mendapat perhatian empat calon daripada kepimpinan Pemuda UMNO iaitu Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim, Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Exco Pemuda UMNO Datuk Sohaimi Shahadan dan Tun Faisal Ismail Aziz. Tidak kira siapa pun mereka yang bakal bertanding, apa yang pasti nasib mereka terletak di tangan 150,000 ahli UMNO di seluruh negara yang akan membuat keputusan. Apa yang diharapkan, sesengit mana pun persaingan yang akan berlaku dan sehebat mana pun pemimpin yang bakal bertanding tetapi biarlah ia berlangsung dalam semangat kekeluargaan diiringi dengan matlamat untuk memartabatkan UMNO. Jangan hanya bijak bersilat lidah apabila menyatakan ingin memperkasakan UMNO tetapi dalam masa ketika berkempen pelbagai cara dilakukan bagi meraih undi sehingga menjejaskan imej parti keramat orang Melayu itu. Sikap buruk pembangkang yang sanggup menggunakan apa juga cara bagi meraih undi tidak harus meresapi pemilihan UMNO. Biarlah perwakilan memilih berdasarkan kepada pertimbangan demi untuk memperkukuhkan UMNO dalam menyiapkan satu barisan pejuang yang akan bertarung dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Sememangnya demokrasi memberi kebebasan kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukan siapa yang mereka kehendaki tetapi biarlah keputusan dibuat berlandaskan niat kerana Allah SWT. Ia memandangkan satu undi yang bakal mereka lontarkan kepada sesuatu calon bakal menentukan masa depan UMNO, orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Justeru kepada yang berhasrat bertanding fahamilah tanggungjawab ini dan kepada yang akan mengundi hayatilah amanah ini. |
Harun sokong ulama terajui Pas Posted: 07 Sep 2013 11:22 AM PDT Oleh RADHUAN HUSSAIN Harun Taib KUALA TERENGGANU 7 Sept. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini menyokong penuh gesaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar jawatan Timbalan Presiden parti itu disandang oleh golongan ulama. Harun berkata, ini kerana, pemilihan ulama sebagai pemimpin nombor dua tertinggi parti itu amat bertepatan dengan matlamat serta dasar Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sejak dulu dan selamanya. Malah, jelas beliau, dalam Islam itu sendiri telah memberikan gambaran bahawa kebanyakan segala apa yang dilakukan dan usaha menegakkan syiar Islam adalah lebih ditunjangi peranan para ulama, termasuklah dalam Pas. Jelas beliau, begitu juga bagi Pas, semua pihak mengetahui kebanyakan perkara yang dilakukan dalam parti terutama bagi menggerak dan menentukan hala tuju perjuangan Islam Pas adalah hasil komitmen golongan ulama. "Saya sokong kenyataan beliau (Nik Abdul Aziz), sebab untuk memimpin parti Pas yang memperjuangkan dasar serta matlamat perjuangan Islam, pemimpin kalangan ulama tidak diketepikan, sebaliknya sangat diperlukan. "Sama juga kalau kita nak ambil pemandu, dia (pemandu) kena mahir selok-belok memandu dan tahu ikut jalan mana sekalipun. Kalau di jalan berselekoh, dia pergi pandu terus macam di jalan lurus, susah lah kita," katanya. Semalam, Nik Abdul Aziz menyatakan harapannya agar perwakilan Pas memilih ulama menjadi Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan kepimpinan baharu yang akan berlangsung pada Muktamar Tahunan Pas ke-59 bermula 22 November ini. Katanya, berlainan dengan jawatan Presiden yang masih memerlukan kepada ilmu dan pengalaman luas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, secara peribadi, beliau juga mahu orang ulama menduduki kerusi Timbalan Presiden. Harun seterusnya berkata, sekiranya jawatan nombor dua itu diisi oleh ulama, ia juga sangat relevan dengan kepimpinan tertinggi Pas yang diterajui Abdul Hadi selaku Presiden parti. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |