{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Memilih barisan terbaik

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

Zulkiflee Bakar

pemilihan kali ini dianggap sejarah kepada UMNO kerana ia memberi ruang kepada ahli-ahli di akar umbi membuat pilihan.

BAHANG pemilihan UMNO yang akan diadakan pada Oktober semakin terasa apabila ia memasuki gelanggang secara rasmi semalam setelah di peringkat pusat sebanyak 261 calon menyerahkan borang pencalonan. Jumlah itu tidak termasuk borang-borang bagi perebutan jawatan di peringkat bahagian.

Seperti diduga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin diisytihar menang tanpa bertanding.

Apa pun pemilihan kali ini dianggap sejarah kepada UMNO kerana ia memberi ruang kepada ahli-ahli di akar umbi membuat pilihan. Jika sebelum ini sebahagian besar mereka mungkin sekadar pemerhati apabila memberi mandat kepada perwakilan yang berhimpun di Kuala Lumpur dan adakalanya mandat itu 'tercicir' dalam perjalanan kerana 'pelbagai faktor' tetapi kali ini mereka berpeluang memastikan mandat tersebut ditunaikan.

Semua itu tercapai kerana keluhan mereka berhubung 'mandat yang tercicir' dan mahu menjadi UMNO lebih inklusif didengar oleh pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertanggungjawab mengetengahkan pandangan akar umbi itu kepada Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO.

Hasilnya ahli-ahli UMNO mendapat hak mereka untuk memilih dan sekali gus memastikan mereka memilih barisan terbaik dalam usaha parti itu terus memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun dalam keterujaan memasuki era baru pemilihan UMNO ini, janganlah keghairahan untuk mencapai kemenangan dan nafsu politik memburu kedudukan mendatangkan petaka kepada parti keramat orang Melayu itu.

Apa yang perlu difahami oleh ahli-ahli UMNO khususnya penyokong pemimpin-pemimpin yang bertanding, ini adalah pemilihan untuk mencari pejuang bagi parti dan bukannya satu pilihan raya bagi menumbangkan 'musuh politik'. Dalam sebuah parti tidak boleh ada 'musuh politik' sesama sendiri, istilah 'musuh politik' hanya terpakai untuk lawan daripada berlainan parti.

Tetapi malangnya, unsur-unsur 'memusnahkan' sesama sendiri dilihat mula menular. Ia melibatkan pengedaran risalah memburuk-burukkan sesama calon, menguar-uarkan pemimpin tertentu berada dalam pasukan tertentu dan menyebarkan tohmahan serta fitnah antara calon yang bertanding.

Apa yang malang ada pula yang muncul dengan tagline, slogan atau menyatakan misi mereka melalui cara memperlekehkan pemimpin yang mereka cabar dan lebih buruk memberi kenyataan seolah-olah UMNO tidak memperjuangkan nasib orang Melayu hanya kerana ia dipimpin oleh individu yang mereka cabar tersebut.

Bertanding

Kalau mahu bertanding, bertanding sahajalah kerana itulah amalan demokrasi yang berlaku dalam UMNO tetapi jangan melakukan tindakan ibarat 'mengumpul peluru untuk musuh'. Mana-mana calon yang mahu bertanding harus menanam tekad bahawa ia demi perjuangan parti, bangsa, agama dan negara, bukannya kerana mahu menjatuhkan mana-mana pemimpin atau demi survival politik peribadi atau menganggap dialah pemimpin terbaik berbanding pesaing dan pencabarnya.

Jika mereka bertindak melihat rakan seperjuangan dalam satu parti ibarat pertembungan dengan 'musuh politik' dalam pilihan raya, percayalah 'musuh-musuh politik' UMNO akan tersenyum girang kerana ahli-ahli UMNO bersedia menjadi 'pengumpul peluru' untuk mereka bagi menghadapi pilihan raya.

Semua 'peluru' ini akan ditaburkan bagi memburuk-burukkan UMNO dan sudah pastilah mereka mempunyai hujah kukuh untuk menyatakan tuduhan yang dibuat bukan dakwaan mereka tetapi oleh ahli-ahli UMNO sendiri.

Keadaan ini amat berbahaya kepada UMNO kerana tiada gunanya seseorang pemimpin itu mencapai kejayaan dalam merebut jawatan dalam parti tetapi apabila pilihan raya, parti kalah disebabkan 'peluru' yang ditaburkan ketika musim pemilihan.

Bagi pemimpin-pemimpin atau calon yang merasakan dirinya hebat dan mampu memberikan sumbangan bermakna kepada UMNO sudah tentu mereka akan bertanding secara sihat, berhemah dan penuh semangat kekeluargaan, bukannya mengamalkan sikap yang memungkinkan 'menang jadi arang, kalah jadi abu'.

Pertarungan sebenar ahli-ahli UMNO bukanlah di gelanggang sendiri tetapi di medan pertempuran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Pemilihan hanya sekadar mencari pemimpin terbaik dan pejuang kental. Yang menang tidak boleh menganggap dirinya terhebat dan yang kalah tidak boleh menganggap dirinya tidak layak.

Sama ada seseorang pemimpin itu hebat atau tidak, kuat atau tidak, layak atau tidak bukanlah segala-galanya ditentukan oleh ahli-ahli UMNO tetapi rakyat khususnya orang Melayu secara keseluruhannya. Mungkin seseorang pemimpin itu dilihat hebat oleh UMNO tetapi rakyat melihat sebaliknya, sejarah membuktikan bagaimana ada pemimpin UMNO yang popular dalam parti kalah atau 'bala tentera' yang dikemudinya tewas dalam pilihan raya.

Sebab itulah ahli-ahli UMNO tidak boleh membuat pemilihan pemimpin berdasarkan perasaan suka, persepsi, tohmahan dan andaian semata-mata. Malahan tidak wajar sama sekali untuk menilai seseorang pemimpin disebabkan satu faktor sahaja, sebaliknya penilaian harus dibuat secara keseluruhan dengan hati yang ikhlas, minda terbuka dan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Berhemah

Track record seseorang pemimpin itu harus dikaji sedalam-dalamnya termasuklah dari segi kegigihan, kesetiaan dan keupayaan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sama ada di dalam parti mahu kerajaan.

Tidak dapat dinafikan untuk menang, seseorang pemimpin itu perlu berkempen tetapi biarlah kempen yang dijalankan dilakukan secara berhemah dengan mengetengahkan misi dan visi. Janganlah mengamalkan sikap pemimpin-pemimpin pembangkang yang menganggap merekalah yang terbaik di muka bumi Allah ini.

Penulis percaya tidak kira sama ada seseorang calon itu seorang ahli UMNO biasa atau bertaraf pemimpin di peringkat pusat, mereka tetap berjasa kepada parti dan mempunyai semangat untuk berjuang demi UMNO. Oleh itu janganlah mana-mana calon muncul dengan kenyataan yang boleh menyakitkan hati penyandang, pencabar atau pesaingnya seolah-olah individu yang dimaksudkan tidak pernah melakukan sekelumit pun jasa kepada UMNO.

Setiap pemimpin pasti ada kelebihan dan kelemahannya, tetapi selagi dia tidak mempunyai apa-apa kes berkaitan rasuah, moral mahupun penyelewengan maka dia layak untuk dipertimbangkan untuk menjadi pemimpin UMNO. Ini kerana kelebihan yang ada harus dimanfaatkan manakala kelemahan boleh diperbaiki.

Janganlah pula kelebihan seseorang pemimpin itu mahu diranapkan dan kelemahan yang dimiliki mahu diperbesar-besarkan sehinggakan ia menggembirakan 'musuh-musuh' politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Lebih malang, apabila dalam keghairahan untuk merebut jawatan, pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong mereka melakukan tindakan yang dilihat mengiyakan segala tohmahan, fitnah dan persepsi yang ditaburkan oleh pembangkang bagi memburuk-burukkan pemimpin UMNO kepada rakyat.

Justeru, keghairahan bertanding bagi perebutan jawatan dalam parti tidak boleh disamakan dengan pertarungan dalam pilihan raya sehinggakan segala pekung mahu didedahkan.

Tetapi acap kali juga kita melihat ada sebahagian ahli UMNO mempunyai pegangan politik yang agak songsang, mereka berjuang bak kata orang bagai 'nak rak' untuk memenangkan pemimpin yang mereka sokong dalam pemilihan tetapi begitu lemah apabila membantu parti dalam pilihan raya, kesudahannya, UMNO berada di ambang 'menang sorak kampung tergadai' dan ia sudah berlaku di beberapa negeri dalam pilihan raya umum lalu.

Apa pun ahli-ahli UMNO perlu memahami bahawa sejarah perjalanan parti itu sudah membuktikan, berkempenlah sehebat mana pun, gunalah apa juga taktik tetapi akhirnya hanya Allah jua yang menentukan siapa yang paling terbaik untuk terus berada dalam parti keramat tersebut.

'Jangan lupa pengorbanan kami'

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

MUKADIMAH>
KEKEJAMAN pengganas komunis telah meninggalkan sejarah hitam kepada negara ini. Statistik menunjukkan pengganas komunis yang dikepalai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng telah membunuh 2,083 anggota keselamatan dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera.

Sememangnya fasa zaman darurat dari 1948 hingga 1960 dan seterusnya dari 1968 hingga 1989 menyebabkan rakyat negara ini hidup dalam kesengsaraan.

Bagaimanapun, baru-baru ini muncul pula desakan untuk membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini dari Bangkok, Thailand. Kerajaan dengan tegas menolak desakan tersebut dan menegaskan bahawa abu mayat ketua pengganas tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Ramai dalam kalangan bekas perajurit, tokoh dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantah idea berkenaan termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera, JENERAL TAN SRI MOHD. GHAZALI MOHD. SETH yang berkata, dosa Chin Peng terlalu besar terhadap negara.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, SOFIAN BAHAROM, Mohd. Ghazali turut mengingatkan semua pihak agar tidak melupakan pengorbanan yang dilakukan pasukan pertahanan demi memastikan negara ini bebas daripada sebarang anasir yang didoktrinkan Chin Peng.

MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Tan Sri ceritakan serba sedikit pengalaman semasa mengetuai pasukan tentera pada zaman komunis?

MOHD. GHAZALI: Usaha menentang komunis bermula sebelum itu lagi iaitu pada zaman darurat dari 1948 hingga 1960 dan seterusnya dari 1968 hingga 1989. Ops Gonzalez yang saya ketuai memberi impak kepada usaha-usaha memerangi pengganas komunis.

Saya masih ingat sebelum operasi berkenaan dilaksanakan pada 1974, kami berbincang tentang strategi baharu untuk menumpaskan Parti Komunis Malaya (PKM) terutama Setiausaha Agungnya, Chin Peng.

Kami mengkaji kekuatan komunis dari semasa ke semasa dan pada masa sama mempertingkatkan keupayaan tempur pasukan pertahanan sendiri melalui pelbagai jenis latihan. Perisikan kami turut memainkan peranan penting dalam operasi ini.

Jadi, akhirnya kita telah bersetuju untuk menggunakan muslihat. Apa muslihat itu? Dengan menghebohkan ke seluruh negara kononnya angkatan tentera ingin mengadakan latihan. Kami sebarkan propaganda ini di dada-dada akhbar bahawa akan diadakan sebuah latihan ketenteraan dekat Cameron Highlands.

Apabila kita sibuk membuat persiapan untuk latihan berkenaan, dalam diam kita turut membuat persediaan. Kita merangka pergerakan musuh di beberapa pembukaan sekitar kawasan berkenaan. Dengan kekuatan yang ada, kita aturkan briged tertentu di pembukaan-pembukaan tersebut.

Ini adalah perang psikologi. Komunis tertipu dengan topeng latihan ini. Mereka juga telah merancang untuk bertindak pada waktu sesuai. Jerat mengena, mereka masuk dan perisikan mendapat maklumat itu.

Kita juga bertindak dan dapat membunuh pengganas ini melalui kaedah kepungan. Kita telah 'sapu' mereka, ramai daripada mereka telah dibunuh dan kita berjaya mendapatkan kem mereka berserta makanan.

Malangnya, Chin Peng tidak menyertai pertempuran itu. Cuma beberapa pemimpin kanan pengganas kita berjaya bunuh. Mana yang ditangkap telah disoal siasat.

Bagaimana Chin Peng sebagai perancang utama keganasan-keganasan ketika itu?

MOHD. GHAZALI: Komunis bermatlamat mendirikan negara komunis, itu tiada kompromi kepada kita sebagai orang Melayu. Mereka telah memasuki kawasan pedalaman untuk menghasut penduduk terutama kaum Cina untuk berjuang bersama mereka. Matlamat akhir mereka adalah untuk menegakkan negara komunis, itu kita kena ingat selalu.

Mereka menyusup ke kawasan kampung membawa doktrin tersebut serta melancarkan perang psikologi terhadap pasukan pertahanan. Dengan mudah mereka mendapat maklumat pertahanan daripada penduduk-penduduk ini menjadikan mereka selangkah lebih depan.

Kita tahu segala arahan tersebut dibuat Chin Peng yang merupakan perancang utama. Saya tidak mahu cakap tentang kekejaman dia terhadap rakyat kerana ramai yang lain boleh ceritakan kisah masing-masing. Tetapi dalam aspek pasukan pertahanan, saya tidak dapat lupakan anak-anak buah saya yang telah terkorban di tangan pasukan Chin Peng ini.

Ketika beberapa pertempuran dengan mereka, saya dengan kedua-dua mata melihat pasukan kita terbunuh. Semua ini semata-mata kerana doktrin yang dibawa Chin Peng. Ramai yang sengsara, ramai yang hilang tempat bergantung. Jelas di depan mata saya melihat kekejaman mereka terhadap perwira-perwira negara.

Namun hari ini terdapat pula pihak yang mendesak agar abu mayat Chin Peng dibawa ke Malaysia. Apa pandangan Tan Sri?

MOHD. GHAZALI: Kepada saya dan rakan-rakan yang pernah merasa pahit beroperasi mencari pengganas komunis, ada yang mati, luka hilang kerja dan sebagainya, bagaimana senang-lenang melepaskannya begitu? Tentu dia sentuh perasaan kita khususnya kepada tentera dan juga polis yang terlibat.

Jadi, pada kita tidak kena. Kita tidak bersetuju. Kita angkatan tentera dan saya sebagai Presiden Kelab Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) tidak bersetuju perkara ini.

Kenapa sekarang mahu Chin Peng dibawa pulang? Kenapa sewaktu diberi peluang menyerah diri dia enggan, dia masih cari jalan lain untuk terus memerangi negara? Kita bantah ini sekeras-kerasnya.

Orang inilah yang kita cari dan meletakkan nyawa masing-masing demi menjayakan misi tersebut. Dialah yang membunuh dan mencederakan orang kita, tengok ramai balu mereka yang masih menangis terkenangkan orang tersayang terkorban.

Siapa yang bertanggungjawab kalau bukan Chin Peng? Sudah mati mahu ke mari pula? Ini satu gambaran tidak baik kerana saya yakin mayatnya akan diangkat oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab. Inilah bantahan ikhlas kita terhadap perkara ini.

Jadi apa perasaan Tan Sri semasa cadangan ini dikeluarkan oleh golongan tersebut?

MOHD. GHAZALI: Saya tidak dapat menerima sesiapa sahaja yang mempunyai simpati terhadap Chin Peng ini. Apakah ia agenda politik atau sebaliknya saya tidak tahu, tetapi saya betul-betul tidak percaya ada pihak mengusulkan cadangan ini.

Ketika itu saya teringat semula semua anak buah saya yang meninggal sewaktu menentang Chin Peng dan pasukan pengganasnya. Saya dengar sahaja cadangan itu terus berfikir, dia yang menjadi ketua dan membunuh orang diangkat pula sebegini. Saya kecewa.

Kelakuan ini tidak kena. Pada orang yang tidak merasai kekejaman komunis barangkalilah tetapi bagi orang macam saya, memang tidak boleh diterima langsung. Ini bukan kerana kemasukan abu mayatnya semata-mata, ia adalah prinsip maruah kita sebagai rakyat.

Perasaan tersinggung dan sedih ini tidak boleh saya selindung lagi, memang kita sebagai anggota keselamatan berasa sangat terkilan.

Apa kesan sekiranya abu mayat itu dibawa pulang?

MOHD. GHAZALI: Kalau kita tidak tahu kekejaman Chin Peng ini, tidak mengapalah. Tetapi sejak sekian lama kita didedahkan dengan pelbagai informasi berguna sebagai titik rujukan dan teladan. Kita kenal siapa dia dan apa telah dilakukannya.

Semua tahu banyak nyawa telah hilang dan ramai mengalami kecederaan melarat. Adakah elok kita mengagungkan kepala pengganas komunis ini? Kalau kita bawa masuk juga abu mayatnya, orang negara lain akan mengkritik kita, mereka mempertikaikan tindakan tidak bermaruah kita.

Kenapa agaknya simpati ini wujud?

MOHD. GHAZALI: Orang yang tidak sedar tentang kekejaman dia ini, kita boleh maafkan. Tetapi kita sebagai pasukan yang turun ke hutan, memburu mereka dan berdepan dengan situasi hidup mati amat terguris dengan sebarang pengiktirafan terhadap Chin Peng.

Sehingga kini mental kami telah tersentuh. Kita geram dengan kekejamannya. Tiada sekelumit simpati kami akan berikan kepadanya kerana sebelum ini dia telah diberikan peluang menyerah kalah bukan? Separuh menyerah tetapi dia enggan.

Dia berfikiran bahawa ada lagi jalan untuk menyebarkan perjuangannya. Kalau Chin Peng tidak ditentang oleh pasukan pertahanan, saya yakin kita tidak dapat hidup seperti sekarang ini.

Tan Sri sebelum ini menyifatkan dosa Chin Peng terhadap negara ini terlalu besar, namun tetap ada pihak yang meminta agar dia dimaafkan.

MOHD. GHAZALI: Itu orang yang tidak tahu. Mereka tidak tahu keperitan memerangi komunis, mereka terlalu muda. Saya tidak salahkan mereka. Tetapi kerana kami pasukan pertahanan telah menyabung nyawa demi negara. Kita mahu mempertahankan negara daripada anasir sebegini sehingga hari ini semua dapat merasai kemakmuran bersama.

Jangan lupa kepada kami yang berjuang ini. Bukan sahaja dalam tentera dan polis tapi juga orang awam yang turut terlibat dalam pelbagai misi termasuk perang psikologi menentang komunis. Golongan muda kini tidak dapat membayangkan perkara tersebut, sebab itu saya sekarang memberi pesanan, teladan dan nasihat ini untuk bekalan mereka pada masa depan.

Ternyata golongan tersebut boleh disifatkan buta sejarah, dalam isu ini apa yang perlu dilakukan kerajaan untuk mengubah perkara ini?

MOHD. GHAZALI: Itu tanggungjawab kerajaan memikir dan menguatkan strategi untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkara ini. Di bahu rakyat juga terletak tanggungjawab untuk menjadi ejen kesedaran bagi generasi seterusnya. Apa yang baik dan jahat perlu diketengahkan.

Kita baiki apa yang kurang dan meningkatkan apa yang berkesan. Kita perlu bersama-sama mengangkat kesedaran ini, bukan bergantung kepada kerajaan semata-mata. Perkara ini makan masa, tetapi semua mesti sabar.

Pihak kerajaan tegas dengan pendirian melarang mayatnya dibawa pulang ke sini. Bagaimana Tan Sri melihat ketegasan ini?

MOHD. GHAZALI: Saya memuji ketegasan kerajaan dalam isu ini. Dalam hal seperti ini kita boleh ukur ketegasan sesebuah kerajaan berhubung maruah negara mereka. Seperti saya sebut tadi, kemasukan Chin Peng biarpun abu mayatnya akan membawa kemudaratan terhadap negara tercinta.

Kerajaan mesti dengar perasaan rakyat kerana kerajaan adalah pembuat keputusan terakhir terhadap sebarang tindakan. Kerajaan yang bagus seperti yang sedia ada ini, mesti mendengar pandangan majoriti rakyat. Setelah dengar semua ini barulah membuat keputusan.

Sebagai ketua angkatan pertahanan negara ketika itu, apakah ingatan Tan Sri kepada golongan muda?

MOHD. GHAZALI: Pengganas komunis telah menghancurkan negara dan membunuh ribuan rakyat. Mereka bijak dalam permainan mental. Jadi, kita mesti mengingatkan generasi muda menggunakan sejarah. Sejak bermulanya ancaman subversif sehingga kekejaman bersenjata mereka.

Selepas itu, tanya mereka semula, mahukah mereka melihat negara menjadi sebegitu? Kalau tidak, inilah masanya anak muda mengelakkan kemungkaran. Dengarlah nasihat generasi terdahulu, kalau tidak tahu tanya. Jangan menurut sahaja apa yang disuap kepada mereka.

Pastikan mereka menumpukan pemikiran mereka dalam perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini penting dalam kita mempertahankan kemakmuran sedia ada. Itulah bekalan untuk masa depan, jangan kita lupa perkara itu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat