Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
ASEAN bersatu tangani isu pertanian Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT FAUZIAH AROF dan NURUL ANUAR KARI Muhyiddin Yassin bergambar bersama barisan Menteri-menteri Pertanian ASEAN selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) 2013 di Kuala Lumpur, kelmarin. SELARI dengan 46 tahun penubuhan ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Ke-35 diadakan di Kuala Lumpur, antara lain membincangkan isu keselamatan makanan rantau ini. Selain AMAF, mesyuarat sama turut diadakan dengan rakan-rakan ASEAN seperti India (AMAF-India) serta China, Jepun dan Korea (AMAF+3) yang bekerjasama memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi krisis makanan dan memenuhi permintaan global. Mungkin ramai tidak sedar betapa pentingnya kerjasama ini kerana terlalu fokus kepada perindustrian untuk mencapai status negara maju dan terlupa pertanian itu kunci kepada penyediaan bekalan makanan yang menjadi antara asas utama kehidupan, untuk yang miskin ataupun kaya. Pertanian juga sebenarnya memberi pulangan lumayan dan antara sumber utama kekayaan negara anggota, menyumbang AS$2.3 trilion (RM7.41 trilion) kepada pendapatan kasar ASEAN. Oleh itu, fokus bagi mengukuh serta meningkatkan pengeluaran produk pertanian perlu menjadi antara agenda utama peringkat global, bukan sahaja penting untuk bekalan makanan penduduk seluruh dunia malahan menjamin sumber pendapatan besar kepada sesebuah negara. Dalam ucapan perasmian AMAF kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan beberapa isu utama pertanian dunia agar rantau ini bersedia jika krisis makanan dan petroleum berulang seperti ketika beliau menjadi Menteri Pertanian antara tahun 2004 hingga 2008. Beliau menegaskan perlunya fokus kepada teknologi, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi semua itu turut bergantung kepada kerjasama erat negara-negara anggota dalam berkongsi sumber antara mereka, demi manfaat bersama. "Cabarannya bukan sahaja menghasilkan makanan secukupnya tetapi untuk memenuhi permintaan. Malangnya, dunia kini berdepan masalah perubahan iklim, kehilangan tanah pertanian kepada pembangunan komersial dan lain-lain. "Oleh itu, saya mencadangkan menteri-menteri pertanian ASEAN pertimbang untuk mewujudkan dana bersama ke arah pembangunan inovasi serta R&D untuk manfaat bersama negara-negara anggota," kata Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga berharap kekangan dan masalah teknologi dapat diselesaikan bersama dengan mengumpulkan sumber bersama semua negara anggota daripada mereka 'bekerja sendirian'. Dengan gabungan dana pelaburan lebih besar, pilihan output R&D lebih besar dan lebih baik, serta kos teknologi yang lebih berkesan, Muhyiddin berharap negara-negara anggota mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing. ke arah sebuah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). Saranan itu turut didukung Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat perkongsian sumber akan memberi manfaat bersama kepada seluruh rantau ini dalam menghadapi cabaran isu keselamatan makanan. "AMAF sudah sejak sekian lama menggerakkan asas-asas binaan ke arah AEC untuk makanan, pertanian dan perhutanan. "Saya percaya peranan kita sebagai pemegang amanah dalam pertanian dan perhutanan kini lebih penting daripada sebelumnya kerana kelangsungan dunia kelak bergantung kepada pertanian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam. Beliau menjelaskan, negara perindustrian juga tetap memerlukan produk pertanian sementara negara maju masih terlibat dalam industri tersebut tetapi dipermudahkan kaedah pertaniannya. Tegasnya, Malaysia dan ASEAN juga perlu ke depan dengan pemodenan industri pertanian dan bukannya mengabaikan atau meninggalkan industri tersebut semata-mata kerana mahu menjadi negara pengkomersialan. "Kita kena ingat, krisis makanan dahulu berpunca daripada pembelian banyak sumber makanan dari luar. Semasa Thailand banjir, beras tidak dapat dibawa keluar. "Untuk itu, kita berkongsi sumber, semua jenis sumber seperti dana untuk Rizab Beras Kecemasan bagi membantu mereka yang hadapi bencana. Kita juga bertukar teknologi, negara dengan teknologi canggih bantu negara yang banyak tanah tapi kurang teknologi," katanya. Beliau memaklumkan Malaysia juga mempunyai kemampuan tertentu dalam pertanian dan akan membantu negara anggota yang memerlukannya tetapi industri pertanian negara turut belajar dari negara lain melalui pertukaran para pegawai. Selaku tuan rumah AMAF Ke-35, beliau menjelaskan Malaysia juga menjadi pengerusi menteri-menteri pertanian ASEAN selama satu tahun sehingga 2014, untuk menyelaras dan mengepalai semua inisiatif yang telah dipersetujui, termasuk bersama AMAF-India dan AMAF+3. "Yang paling utama, negara-negara ASEAN memberi kepercayaan kepada Malaysia selaku pengerusi dan kita berjaya suarakan pandangan serta bincangkan isu berbangkit dengan negara-negara terlibat. "Kita juga mengadakan perbincangan dua hala untuk melihat peluang kerjasama lain dengan negara-negara anggota serta menyelesaikan masalah agar tiada pertelingkahan, cari situasi menang-memang," ujarnya. Tambahnya, beberapa perkara turut dilihat kembali seperti perjanjian persefahaman (MoU) lama, sama ada sudah dibuat susulan, serta jawatankuasa bersama, sama ada sudah lama tidak bermesyuarat sehingga gagal menyelesaikan masalah yang membabitkan kepentingan dalam bidang pertanian di rantau itu. Ismail Sabri turut mengakui AMAF memberi peluang baik untuk beliau berjumpa dan berkenalan dengan rakan-rakan sejawat ASEAN dan memahami masalah-masalah berbangkit yang dihadapi mereka, seterusnya cuba diselesaikan secara bersama. "Bermacam jenis bencana alam berlaku di negara-negara ASEAN dan bantuan segera diperlukan seperti makanan dan lain-lain. Kita setuju tubuhkan rizab beras dan bantuan-bantuan lain juga akan diberikan Malaysia serta negara-negara anggota. "Isu keselamatan makanan dan perubahan iklim juga kita beri perhatian. Tidak pernah ada jaringan kerjasama seperti ini, ia terbaik untuk lihat apa yang berlaku di rantau ini dan usahakan dengan segera bantuan yang diperlukan negara-negara ASEAN terbabit," jelasnya. |
Rang undang-undang baharu menyamai EO wajar disokong Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT Oleh ANGELINA SINYANG SEJARAH kongsi gelap di Malaysia bermula di Perak berikutan penemuan bijih timah di Larut, Taiping yang mencetuskan Perang Larut pada 1861 membabitkan kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San iaitu golongan penghijrah dari China kerana berebut kawasan perlombongan. Malah pembinaan Penjara Taiping di Perak pada 1879 juga mempunyai kaitan dengan kongsi gelap iaitu dibina semasa pentadbiran Residen ketiga Perak, Sir Hugh Low bertujuan memenjarakan ahli kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San, di samping memenjarakan pembesar Melayu yang menentang penjajahan Inggeris dan penjenayah yang lain seperti perompak, pencuri dan pembunuh. Sejak itu, kumpulan kongsi gelap dianggotai pelbagai kaum terus bercambah dan kerajaan baru-baru ini mendedahkan terdapat 49 nama kongsi gelap yang diharamkan di negara ini. Kehadiran kongsi gelap mengancam keselamatan negara kerana mereka terlibat melakukan kegiatan haram seperti pemerasan, penculikan, ugutan, perniagaan dadah, rompakan, perjudian haram, pelacuran, penjualan cakera padat cetak rompak, pemerasan wang perlindungan terhadap perempuan sundal, penari, rumah urut, peniaga kecil dan juga kegiatan ah long. Bagi menangani jenayah dilakukan oleh kongsi gelap, kerajaan telah mewujudkan Ordinan Darurat (EO) 1969 iaitu undang-undang yang membenarkan polis menahan seseorang individu yang disyaki terlibat dalam jenayah tanpa pertuduhan dan perbicaraan dengan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri. Selepas EO 1969 dilaksanakan, kegiatan gangster terutamanya yang melibatkan kaum Cina semakin berkurangan dan pengaruhnya semakin hilang. Namun tuntutan dan asakan tanpa henti pihak pembangkang telah memaksa kerajaan memansuhkan EO pada 2011 yang akhirnya membawa kepada berlakunya peningkatan jenayah kekerasan terutama insiden tembakan dipercayai berikutan pembebasan 2,473 orang tahanan EO yang dibebaskan pada Julai tahun lalu. Keadaan tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta agar undang-undang baharu yang akan dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri nanti menyamai EO bagi membendung jenayah tembak-menembak yang kerap berlaku. Dalam kenyataan disiarkan dalam akhbar pada 16 Julai lalu, Khalid menjelaskan betapa pentingnya undang-undang seumpama EO diperkenalkan kerana untuk mensabitkan seorang penjenayah bersalah, polis memerlukan saksi untuk hadir memberi keterangan di mahkamah ketika pendakwaan dilakukan. Menurut beliau, masalah utama kes tembak tidak dapat diselesaikan adalah kerana saksi takut untuk tampil bekerjasama sehingga gagal membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan. "Saksi takut kerana bimbang akan menerima ancaman atau balas dendam oleh ahli kumpulan yang terlibat. Apabila saksi tidak mahu tampil ke depan, bagaimana mahu bawa kes ke mahkamah. "Undang-undang yang ada sekarang memerlukan saksi memberi keterangan di mahkamah dan itu tentu sekali membuka peluang kepada penjenayah mengenal mereka. "Oleh sebab itu kita memerlukan undang-undang yang menyamai EO yang boleh memberi kuasa untuk merakam keterangan saksi dan mereka tidak perlu hadir ke mahkamah," ujar Khalid. Bukan sahaja diperlukan untuk menyelesaikan siasatan dan pendakwaan kes di mahkamah, sebenarnya EO yang pernah digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) suatu ketika dahulu memang berkesan untuk mencegah kegiatan jenayah dilakukan oleh kongsi gelap. Penulis baru-baru berkesempatan bertemu dan berbual dengan seorang bekas anggota kumpulan kongsi gelap yang pernah ditahan di bawah EO dan bertanya tentang pengalamannya selepas menjalani hukuman. Dalam perbualan dengan lelaki berketurunan Cina berusia 50-an yang kini mengusahakan sebuah kedai makan di utara tanah air itu, dia mengakui betapa EO amat digeruni oleh ahli-ahli kumpulan kongsi gelap menyebabkan mereka berfikir banyak kali sebelum melakukan jenayah. Senang cerita, EO berjaya mengubahnya menjadi manusia baik. Menurut lelaki yang penulis panggil dengan gelaran 'A' itu, EO berjaya bawa dia ke pangkal jalan dan sekarang selepas hampir 20 tahun dibebaskan dari tahanan, dia mampu hidup normal seperti insan lain. "Dulu ada EO, gangster macam kami kalau nak buat hal kena fikir dua tiga kali sebab tak mahu ditangkap dan masuk pusat tahanan. Dalam pusat (tahanan) kita boleh gila kalau tak tahan mental sebab bosan. Ini kerana dalam sel (bilik tahanan) cuma ada beberapa lorong. "Pagi petugas sel akan buka sel bagi keluar sekejap buat kopi dan minum, kemudian kawat, masuk balik sel, dibawa keluar makan dan masuk sel balik. Kalau nasib baik ada juga tahanan dibawa bekerja di bengkel pertukangan di pusat. "Bayangkan rutin sama dibuat begitu bertahun-tahun dan paling teruk jika tempoh tahanan yang tamat dilanjutkan setahun dua lagi. Keluar pusat, kami akan dibuang daerah yang hanya membenarkan kami bergerak bebas dalam kawasan itu saja," kata 'A ' menceritakan semula pengalamannya. Kata 'A', dia pernah dibuang daerah di Pantai Remis, Perak dan tidak mengenali sesiapa pun di pekan kecil itu. "Saya tak ada tempat tinggal dan kenal sesiapa. Bagi meneruskan hidup, saya buat apa sahaja kerja untuk bayar sewa rumah dan makan. Bila malam tak boleh keluar rumah dan setiap minggu kena pergi ke balai polis untuk lapor diri," katanya sambil memberitahu memang seksa hidup sebagai tahanan EO sebab itu gangster takut dan berfikir banyak kali sebelum membuat jenayah. Tambah 'A', sekarang EO sudah tiada menyebabkan gengster bebas melakukan jenayah kerana polis setakat boleh menangkap mereka tetapi jika suspek tidak mengaku salah dan tiada bukti kukuh mahu mensabitkan mereka maka mereka akan dibebaskan semula. Sambil bergurau 'A' berkata, sungguh tidak adil apabila EO dimansuhkan kerana zaman dia dahulu ketika masih ada EO, gengster ditangkap akan ditahan di pusat tahanan tetapi samseng sekarang boleh lepas bebas. Sehubungan itu amat wajar sekali pengalaman diceritakan oleh 'A' menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia agar menyokong undang-undang baharu menyamai EO seperti Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibacakan pertama kali di Dewan Rakyat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu. Mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, Lembaga Pencegahan Jenayah mempunyai kuasa mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun. Menurut Ahmad Zahid, rang undang-undang itu antaranya bertujuan membenarkan kemasukan penahanan tanpa pertuduhan jenayah atau tanpa perbicaraan sebagaimana yang pernah diperuntukkan di bawah EO (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Sekiranya diluluskan oleh Kabinet nanti, kita berharap rang undang-undang baharu diperkenalkan itu dapat menjadi 'perisai' dan memberi 'taring' semula kepada PDRM untuk berhadapan dengan penjenayah khususnya kumpulan kongsi gelap yang sekarang semakin berani mencabar polis dan menggugat ketenteraman negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |