Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT Oleh Rohami Shafie KENAIKAN harga minyak merupakan isu ekonomi paling sensitif buat rakyat Malaysia. Tindakan merasionalisasikan subsidi minyak adalah satu tindakan yang tidak popular. Bagi mana-mana pemimpin pun ia boleh mencetuskan dilema kerana perlu membuat pertimbangan sama ada ingin terus menjadi popular yang mana sentiasa kelihatan mementingkan kebajikan rakyat ataupun mengutamakan kedudukan kewangan negara dalam tempoh jangka masa panjang. Di sinilah, seorang pemimpin kena membuat pertimbangan terbaik. Jika mahukan populariti, nescaya, apa sahaja yang menyenangkan hati rakyat akan dipertahankan. Namun, dalam tempoh jangka masa panjang kedudukan kewangan negara akan terjejas teruk. Iktibar pemimpin-pemimpin negara Barat yang terlalu menjaga populariti mereka menyebabkan ekonomi negara mereka dilanda kemelesetan teruk. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah berdasarkan situasi semasa dan masa hadapan ekonomi dunia dan Malaysia. Pada asasnya, ekonomi dunia masih tidak menentu, bahkan bagi penganalisis dan pakar-pakar ekonomi, terdapat kewajaran kebimbangan ekonomi dunia akan meleset. Antaranya, ekonomi negara-negara Barat masih belum pulih sepenuhnya. Ekonomi negara-negara berkenaan terkepung dalam kegawatan krisis hutang Eropah. Pakar-pakar ekonomi mereka masih belum menemui strategi ekonomi terbaik untuk memulihkan ekonomi negara mereka. Begitu juga, apa yang telah berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS) apabila Rezab Persekutuan AS pun berura-ura untuk mengurangkan rangsangan ekonomi AS dengan mengurangkan pembelian bon. Polisi perlonggaran kuantitatif (QE) yang selama ini dilaksanakan oleh Rezab Persekutuan AS mungkin dihentikan, juga boleh menjejaskan ekonomi dunia. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Rezab Persekutuan AS telah banyak menggunakan wang untuk merangsang sistem kewangan AS ekoran terjejas teruk akibat krisis subprima pada tahun 2008. Sekiranya Rezab Persekutuan AS bersetuju untuk melaksanakan pengurangan polisi QE, ekonomi dunia berkemungkinan akan semakin tidak menentu. Ini terbukti apabila dana ekuiti asing di Malaysia telah dijual dengan banyaknya sejak kebelakangan ini. Tambahan lagi, ringgit Malaysia agak lemah berbanding dolar AS. Bahkan, minggu lepas, harga minyak dunia setong telah meningkat pada tahap tertinggi dalam tempoh 18 bulan. Tambahan lagi, timbul kebimbangan AS dan sekutu- kutunya akan melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria. Keadaan geopolitik di negara-negara Timur Tengah yang masih tidak menentu boleh menjejaskan ekonomi serantau, khasnya dan ekonomi dunia, umumnya. Pastinya ia juga boleh menjejaskan ekonomi Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Di samping itu, kedudukan kewangan dan ekonomi Malaysia juga perlu diambil kira. Ini kerana Malaysia tidak boleh selama- lamanya mencatatkan defisit fiskal. Sasaran defisit fiskal tahun ini adalah pada tahap empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jika tiada tindakan merasionalisasikan subsidi minyak, sasaran ini sukar dicapai. Pada masa yang sama, tahap hutang kerajaan persekutuan mestilah tidak boleh melebihi 55 peratus daripada KDNK. Begitu juga hasil pendapatan negara tidak boleh kurang daripada perbelanjaan operasi negara. Dengan kata lain, jika kerajaan masih ingin mempertahankan subsidi minyak pada tahap sebelum ini iaitu RM1.90 seliter, maka kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang rakyat berbanding sebelum ini ekoran kenaikan harga minyak dunia. Sedangkan terdapat kekangan dalam kedudukan kewangan negara. Tidak mustahil, akhirnya, kewangan negara semakin rapuh dan Malaysia terpaksa meningkatkan jumlah hutang luar semata-mata untuk menyenangkan hati rakyat dengan mengekalkan harga minyak pada tahap sedia ada. Dalam tempoh jangka masa panjang, hutang yang semakin tinggi menyebabkan hasil kerajaan semakin menurun dek kerana terpaksa membyar hutang dan kadar faedah. Keadaan akan semakin parah apabila perbelanjaan operasi kerajaan pun terpaksa ditampung dengan hutang. Maka, jika ini berlaku, gaji kakitangan kerajaan terpaksa dibayar dengan menggunakan hutang. Bagaimana mungkin pembangunan negara boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya gaji kakitangan awam pun terpaksa dibayar dengan cara meminjam. Sedangkan umum mengetahui gaji kakitangan awam baru sahaja dinaikkan pada bulan Julai yang lalu. Dijangkakan terdapat pengumuman penting mengenai elaun skim kakitangan awam pada hujung tahun ini hasil kajian kerajaan untuk menambah baik skim-skim kakitangan awam. Sudah tentu setiap pengumuman akan menyebabkan tambahan perbelanjaan kerajaan. Bayangkan gaji dan elaun kakitangan awam yang semakin meningkat terpaksa ditampung dengan hasil yang sedia ada. Pada masa yang sama, subsidi minyak juga mahu dikekalkan hanya semata-mata inginkan populariti dan menyenangkan hati rakyat. Nescaya, jika sekiranya hutang kerajaan semakin meningkat dan begitu juga hutang isi rumah pun semakin tinggi, maka, seluruh ekonomi Malaysia akan lumpuh. Bagaimanapun, ini bukan bermaksud kerajaan hanya perlu duduk diam tanpa berbuat apa-apa untuk membantu rakyat. Susulan kenaikan harga minyak, kerajaan juga telah mengumumkan untuk meringankan beban golongan berpendapatan sederhana yang terhimpit dengan kenaikan harga minyak. Pengumuman akan dibuat dalam Bajet 2014 nanti. Seperti diketahui, penjimatan subsidi minyak akan disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui Banturan Rakyat 1Malaysia (BR1M), manakala golongan berpendapatan sederhana seolah- olah kelihatan diabaikan oleh kerajaan. Pengumuman kerajaan untuk membantu golongan ini memberi khabar baik kepada mereka. Banyak langkah yang boleh dilakukan untuk membantu mereka dan antaranya adalah dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan pada tahap yang terendah. Membantu semua lapisan rakyat menggambarkan betapa kerajaan tidak ambil mudah apabila terpaksa mengumumkan kenaikan harga minyak. Pastinya, tindakan terbaik adalah dengan menyeimbangkan kemampanan kedudukan kewangan negara dan pada masa yang sama mengutamakan kesejahteraan rakyat. PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan,Universiti Utara Malaysia |
Bertindak tegas terhadap peniaga naikkan harga barangan Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT Oleh Fauziah Arof APABILA berlaku kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam kelmarin, sudah tentu yang paling membimbangkan rakyat adalah kenaikan harga barang-barang lain. Maka, memberikan jaminan bahawa pemantauan harga akan dibuat di seluruh pasar raya, pasar-pasar awam dan kedai runcit serta restoran di seluruh negara dan juga memberikan peringatan kepada peniaga-peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati, tidak mencukupi dan tidak dapat meredakan keresahan rakyat ini. Sebabnya, kita semua pun sudah biasa dan sering melalui keadaan di mana apabila harga petrol terpaksa dinaikkan, banyak peniaga yang pasti akan mengambil kesempatan. Sedangkan, dalam keadaan tertentu yang tidak membabitkan kenaikan harga petrol pun, peniaga-peniaga ini bijak memainkan harga dengan macam-macam alasan, contohnya menaikkan harga ayam dan beberapa barangan keperluan lain sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri lalu, inikan pula bila harga petrol sudah naik. Kenaikan ini sudah pasti bagaikan sudah mengantuk disorongkan bantal kepada peniaga-peniaga, yang sudah tentunya dalam kepala hanya mengutamakan keuntungan. Hakikatnya, berapa ramai sangatlah peniaga yang berniaga dengan berkonsepkan memikirkan kepentingan ramai. Kita juga bimbang akan wujudlah keadaan harga petrol naik 20 sen seliter, tetapi harga barangan mereka akan dinaikkan berlipat kali ganda daripada itu dan kedai-kedai makan pun mengambil kesempatan menekan pelanggan dengan harga yang tidak munasabah. Sedangkan, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek, kementerian tersebut telah membuat kajian bahawa pengurangan subsidi minyak petrol 95 dan diesel itu tidak memberikan kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 peratus sahaja. Justeru, kita berharap kajian ini bukan sekadar memberi angka kepada kita. Pastikanlah peniaga-peniaga ini betul-betul tidak menaikkan harga barangan. Inilah antara cabaran dan tugas besar yang perlu ditangani oleh kementerian berkenaan bukan setakat seminggu dua ini, tetapi secara berterusan. Sudah tentunya, rakyat tidak mahu peniaga-peniaga ini sekadar diberi diberi amaran, peringatan dan nasihat. Sudah jelas pun dalam apa-apa kes di negara ini menggunakan pendekatan dengan memberi amaran dan peringatan atau menasihati, tidak akan diendahkan malah tidak digeruni langsung oleh pihak terbabit. Dalam pada itu, meminta atau menyarankan orang ramai untuk mengamalkan budaya berjimat cermat atau memboikot mana-mana produk atau restoran yang mengenakan harga yang melambung tinggi, juga bukan satu penyelesaian yang terbaik. Maka, sekiranya peniaga-peniaga ini ingkar, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka. Gunakan segala peruntukan undang- undang bagi melindungi hak-hak pengguna ini di bawah Akta Antipencatutan, Akta Kawalan Harga dan sebagainya. Sementara itu, orang ramai juga perlu membuat aduan dan memberi maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kenaikan harga barangan ini. Jangan biarkan peniaga-peniaga ini berpesta harga. Yang penting, apabila harga petrol telah dinaikkan beban rakyat disebabkan kenaikan ini perlu diminimumkan. Di mana-mana negara pun di seluruh dunia, kenaikan barangan keperluan, makanan dan petrol pasti akan meresahkan dan menaikkan kemarahan rakyat. Ini kerana kebanyakan rakyat sukar untuk menerima apa jua penjelasan mengenai kenaikan itu, dalam pada itu perlu juga kita menerima hakikat ramai juga di antaranya yang tidak faham apa yang dijelaskan itu. Bagi kebanyakan rakyat, walau apa pun penjelasan dan alasannya, sudah tentu mereka tidak mahu kos sara hidup mereka terjejas akibat kenaikan ini terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dan pada masa yang sama, kita tidak mahu isu kenaikan harga petrol ini dimainkan oleh mana-mana pihak yang mahu mengeksploitasi isu ini dan mencetuskan pelbagai persepsi buruk rakyat kepada kerajaan. Dan mengurus persepsi ini bukan sesuatu yang mudah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |