{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Mandi On Sen legakan tekanan

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Kolam air mineral untuk kanak-kanak turut disediakan di Taman Rekreasi Air Panas Semula Jadi Jasin.

JASIN 5 Sept. - Mandi On Sen dalam bahasa Jepun yang bermaksud air panas semula jadi merupakan kemudahan spa mandian kesihatan sumber airnya berasal daripada alam atau perut bumi dan juga dipercayai mampu meredakan tekanan seseorang.

On Sen ini telah digunakan secara tradisional sebagai tempat mandi awam yang cukup terkenal di negara matahari terbit itu selain menjadi salah satu tarikan utama dalam industri pelancongan di Jepun.

Di Taman Rekreasi Air Panas Semula Jadi Jasin yang terletak di Mukim Bemban, pengunjung turut diperkenalkan lima teknik mandi On Sen Jepun yang mempunyai kebaikan tersendiri dengan darjah kepanasan suhu air berbeza di setiap kolam.

Air panas di situ juga didakwa berkhasiat kerana mempunyai unsur-unsur galian yang baik merawati pelbagai penyakit seperti sakit sendi dan pinggang.

Selain itu, air panas ini turut mengandungi lapan jenis mineral utama iaitu sulfur, magnesium, kalsium, boron, silika, fluorida, besi dan fosforus.

Para pengunjung turut berpeluang menikmati kehangatan air panas dengan suhu mencecah 40 hingga 50 darjah Celsius dengan lima teknik On Sen iaitu Kaburi Yu, Ashi No Yu, Ofuro, Awase Yu dan Utase Yu.

Kaburi Yu merupakan teknik pertama iaitu menyiram air panas semula jadi ke atas bahagian tubuh sebelum memasuki kolam di mana teknik ini digalakkan bagi membolehkan tubuh manusia menyesuaikan keadaan dengan kitaran haba air panas.

Teknik ini juga membantu menghalang berlakunya mabuk dan pitam akibat peningkatan mendadak aliran darah ke seluruh badan di mana dimulakan dengan menyiram bahagian kaki dan diikuti bahagian lain sehingga ke kepala.

Suhu air bagi Kaburi Yu ialah 47 hingga 50 darjah Celsius yang juga merupakan tradisi Jepun sejak 2,000 tahun sehingga hari ini dan dipercayai menghilangkan gatal-gatal kulit.

Ashi No Yu iaitu mandian atau pun rendaman kaki yang merupakan teknik paling mudah yang boleh dilakukan dari paras buku lali hingga ke lutut.

Teknik ini secara tradisinya dilakukan bagi menghilangkan letih kaki selain membantu melembutkan kulit dan tapak kaki serta baik juga untuk melancarkan edaran darah dengan merendam kaki sehingga badan berpeluh bagi membuang toksin melalui liang peluh dalam suhu air 44-50 darjah Celsius.

Bagi teknik Ofuro iaitu rendaman mineral pada suhu air 40-42 darjah Celsius, kebaikan melakukannya mampu menghilangkan letih badan dengan berkesan yang merangsang perjalanan darah ke seluruh badan.

Tubuh yang menyerap mineral seperti boron dan silika baik untuk aktifkan fungsi otak dan badan selain sulfur dalam air memerangkap toksin disingkirkan melalui peluh dan sistem pencernaan.

Merendam badan ke dalam kolam air panas mengikut suhu kolam yang berbeza-beza merupakan teknik Awase Yu yang dilakukan secara kitaran dengan kekerapan antara empat hingga enam pusingan.

Setiap pusingan bermula dengan suhu rendah iaitu 30 darjah Celcius hingga ke kolam bersuhu 40 atau 41 darjah Celcius yang mampu menghilangkan letih dan penat badan dengan secara efektif.

Manakala, teknik terakhir ialah Utase Yu, mandian di bawah pancuran air panas semula jadi sangat berkesan bagi mereka yang ingin melegakan kesakitan sendi di bahagian pinggang ke tengkuk.

Dengan mengerakkan badan, pancuran air panas ini ditumpukan pada tengkuk dan belakang badan terutamanya di bahagian yang bermasalah dengan tempoh mandian berkesan antara sepuluh hingga 15 minit.

Menerusi formula air panas semulajadi dan teknik mandi On Sen, ia mampu memberi kesegaran dan kecergasan sepanjang hari kepada pengunjung di samping mencantikkan dan menyembuhkan penyakit kulit, menghilangkan tekanan dan banyak lagi.

Mengikut catatan sejarah, air panas ini mula diterokai oleh seorang lelaki berketurunan Baba, Tan Kim Tian pada May tahun 1884 yang menjumpai kawasan itu.

Beliau dikatakan menggunakan air panas di kolam tersebut berulang kali bagi menyembuhkan penyakit kulit yang dihadapi sehingga sembuh dan kemudiannya mengesyorkan kawasan itu dikekalkan dan digunakan sehingga ke hari ini.

Taman Air Panas Semula jadi Jasin yang berkeluasan lima ekar ini mempunyai sembilan kolam air panas, dua kolam taman air dan satu kolam mineral sejuk yang turut mengetengahkan dua konsep iaitu hiburan untuk keluarga dan juga air panas.

Pengurus Eksekutifnya, Awaruddin Abd. Rahman berkata, air panas itu juga sentiasa dijaga keasliannya selain tidak bercampur dengan air hujan dan disalurkan ke setiap kolam di taman itu daripada lima perigi sumber air asal.

Beliau berkata, pihaknya juga menekankan kepada keselesaan dan keselamatan pengunjung dengan sentiasa mempertingkatkan tahap keselamatan kolam dan kawasan sekitarnya di samping menambah kapasiti guna kolam seoptimum mungkin.

Menurutnya, kawasan itu kini menjadi tumpuan orang ramai sama ada masyarakat tempatan mahu pun pelancong dari negara jiran sejak dibuka semula kepada orang ramai pada Ogos 2008 setelah kerja pembaikan selesai.

"Segala kemudahan yang disediakan telah merancakkan kembali kedatangan orang ramai termasuk pelancong dari Singapura sini dan kita juga merancang untuk menaiktaraf taman rekreasi ini bagi keselesaan pengunjung.

"Antaranya membina struktur ikonik seperti D Volcano Show, kolam baru yang luas dan landskap menarik serta mencantikkan kolam spa air panas bagi mencapai sasaran seramai 500,000 orang setahun," katanya.

Awaruddin berkata, pelbagai keistimewaan turut ditawarkan kepada pengunjung seperti kad keahlian untuk percutian keluarga dan santai, diskaun RM1 bagi pulangan keratan tiket lama serta tawaran masuk percuma kepada pesakit angin ahmar dan Parkinson.

"Taman Rekreasi Air Panas Semula Jadi Jasin ini juga telah menjadi tarikan utama di daerah ini selain mencatatkan jumlah pengunjung mencecah seramai 563,635 orang dari Ogos 2008 hingga Disember tahun lalu," katanya.

Opsyen belum dimuktamad - MB

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Wakil pelajar menyerahkan ikrar pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Mohamad Hasan dalam majlis lafaz ikrar pelajar baharu USIM di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 5 Sept. - Kerajaan negeri belum memutuskan nasib sebanyak 44 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang sepatutnya sudah berada di negara Mesir untuk mengikuti kursus intensif Bahasa Arab serta memasuki universiti di negara berkenaan dalam bidang yang dipilih.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri serta MAINS sedang memikirkan beberapa pilihan bagi membantu mereka dan buat masa ini kesemua pilihan itu belum dimuktamadkan.

"Pilihan pertama ialah menunggu sehingga krisis ini selesai dan keadaan selamat serta mendapat keizinan penghantaran semula pelajar daripada Kerajaan Pusat. Ini bermakna, kita lewatkan penghantaran mereka atas dasar keselamatan," katanya.

Mohamad ditemui pemberita selepas menyaksikan lafaz ikrar pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dekat sini hari ini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Beliau yang juga Pengerusi MAINS memberitahu, sekiranya krisis itu tiada kesudahan dan berisiko tinggi untuk menghantar pelajar ke negara bergolak itu berkemungkinan penghantaran pelajar kumpulan terbaharu tersebut akan dibatalkan.

"Namun, pilihan kedua ini tidak dimuktamadkan lagi. Berkemungkinan penghantaran pelajar ini kita alihkan ke negara lain seperti di Jordan atau pun menempatkan mereka ke universiti tempatan, seperti USIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM)," katanya.

Buat masa ini, ada universiti di Mesir masih lagi meneruskan pengajian dan akan melaksanakan peperiksaan akhir tahun manakala sebahagiannya masih lagi bercuti.

Menurut Mohamad, sebanyak 12 daripada 44 penuntut tajaan MAINS itu merupakan penuntut bidang perubatan dan telah memilih melanjutkan pelajaran ke Mesir walaupun sebelum itu mendapat tawaran pengajian dalam negara.

"Perubahan lokasi pengajian mereka ini sama ada di negara lain, mahupun dalam negara ini akan diperbincangkan dengan pihak Kementerian Pendidikan serta Unit Pengambilan Universiti (UPU), begitu juga 32 penuntut lain yang mengikuti bidang pengajian Islam," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 2,444 penuntut baharu melafazkan ikrar mereka di hadapan Mohamad, sekali gus menyaksikan USIM mencatatkan jumlah pelajar mendaftar sebanyak 92 peratus yang membuktikan universiti itu adalah pilihan utama.

Penduduk bantah naik taraf sistem perparitan

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Ismail Othman (dua dari kanan) meninjau kawasan projek naik taraf sistem perparitan ketika mengadakan lawatan di Taman Desa Duyong, Fasa 1, Melaka, semalam.

MELAKA 5 Sept - Persatuan Komuniti Penduduk Taman Desa Duyong, Fasa 1 dekat sini, tidak puas hati terhadap kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan perumahan itu berikutan bimbang berlakunya hakisan tanah.

Penduduk mendakwa pelaksanaan kerja menaik taraf oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan melibatkan projek pelebaran parit seluas 15 meter termasuk di tanah rezab itu akan memberi kesan kepada struktur rumah mereka yang berhampiran dengan sistem perparitan.

Salah seorang penduduk, Osman Hassan, 52, berkata, mereka membantah projek menaik taraf itu yang juga dikhuatiri akan menyebabkan kapasiti isipadu air bertambah dan berlakunya limpahan air apabila hujan.

Katanya, jika tiada penyelenggaraan yang sempurna sudah pasti perkara itu memberi kebimbangan kepada faktor keselamatan terutamanya kanak-kanak sekiranya waktu hujan memandangkan keadaan permukaan bumi di perumahan itu yang agak rendah.

"Jarak antara parit yang akan dinaik taraf juga agak dekat dengan dinding belakang rumah kami iaitu lebih kurang 2.5 meter dan kami yakin sekiranya naik taraf ini dilakukan ia mengakibatkan hakisan tanah.

"Malah ia turut menjejaskan proses kumbahan dalam sistem pembetungan sedia ada di mana laluan di situ tidak kukuh untuk dapat lintas dan kesan rekahan jelas di permukaannya dapat dilihat walaupun hanya dilalui penguna motosikal.

"Sudah tentu laluan jentera berat untuk projek ini juga tidak sesuai di kawasan laluan sedia ada kerana kekuatan tanah pada kawasan persekitaran adalah tidak stabil dan berlakunya mendapan tanah," katanya.

Mohamed Noh Jantan, 51, berkata, kerja menaik taraf tersebut juga dikhuatiri akan menyebabkan kekuatan struktur rumah serta struktur utiliti lain akan terjejas.

Katanya, terdapat kesan retakan di dinding rumah mereka yang membuktikan struktur tanah yang tidak kuat di kawasan itu dan kesan gegaran akan mengakibatkan berlaku lebih banyak retakan atau rekahan yang pastinya akan mengancam nyawa penduduk.

"Kami amat menghargai usaha yang dilakukan oleh PBT itu demi untuk kepentingan awam, namun kawasan perumahan ini bukanlah kawasan yang kerap berlakunya banjir dan melihat tiada keperluan untuk pelebaran perparitan itu.

"Justeru kita berharap pihak berkaitan dapa memberi perhatian sewajarnya supaya tidak akan timbul sebarang permasalahan semasa pelaksanaan kerja-kerja yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar. Ismail Othman berkata, pihaknya akan meneliti pelan sebenar projek terbabit dan mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan PBT tersebut.

"Kita akan menangguh kerja-kerja menaiktaraf ini memandangkan parit sedia ada ialah longkang konkrit di mana projek itu melibatkan pelebaran parit tanah selain mengambil kira kesan dari pelaksanaannya berikutan perumahan ini terletak di kawasan lembah," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat