Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Perkongsian budaya di Malaysia Posted: Perkongsian budaya di MalaysiaOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA PENGALAMAN bermain angklung selama 35 tahun merupakan kelebihan yang ada pada Moch. Sani Winandar. Dia yang berasal dari Cimahi, Bandung, Indonesia ternyata meminati alat muzik tradisional yang berasal dari Jawa Barat itu. Moch. Sani juga tidak lokek untuk mengajar selok-belok asas untuk bermain angklung kepada sesiapa sahaja. Kebiasaannya kanak-kanak pasti akan mendekatinya sebaik sahaja dia mula menghayunkan batang buluh yang menghasilkan bunyi daripada angklung. Alunan lagu Rasa Sayang seolah-olah memberi satu aura kepada kanak-kanak sewaktu menyaksikan Moch. Sani bermain angklung. Bunyi angklung membuatkan kanak-kanak turut sama menyanyikan bait-bait lagu yang sama. "Saya mula bermain angklung sejak berumur lapan tahun. Ketika itu, penduduk di kawasan kejiranan saya sering memainkan angklung. Ia secara tidak langsung telah membenihkan rasa cinta saya terhadap alat muzik tradisi Indonesia ini," ujarnya. Moch. Sani, 43, merupakan salah seorang individu penting dalam sebuah persatuan angklung di Bandung iaitu Persatuan Muzik Angklung. Dia yang menjawat jawatan sebagai Ketua Harian dalam persatuan tersebut telah peluang untuk mengembara ke serata dunia dalam usaha untuk memperkenalkan alat muzik tradisi itu. Misi utama persatuan tersebut ialah membuat, bermain dan mengembara dengan angklung. Antara negara-negara yang pernah dikunjungi untuk mempromosikan peralatan muzik tersebut ialah Perancis, Jerman, Switzerland, Belgium dan Sepanyol. Sehingga kini, Persatuan Muzik Angklung mempunyai kira-kira seribu ahli di Indonesia. Persatuan itu juga pernah menganjurkan Hari Angklung di Bandung pada tahun lalu dan mendapat penyertaan 10,000 peserta yang bermain angklung secara serentak. Dia juga sering berulang-ali dari Bandung ke Malaysia untuk urusan perniagaan angklung dan mempunyai sebuah pejabat di ibu negara. Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata itu, dia mula menghantar angklung ke pasaran Malaysia sejak tahun 1996. Ketika itu, dia menghantar angklung dengan penerbangan ke Kedutaan Besar Republik Indonesia dan Sekolah Indonesia Kuala Lumpur di ibu negara.
Main angklung Pada waktu itu, kedua-dua pihak itu mahu menggunakan angklung sebagai pembelajaran agar kesenian tradisi dari negara itu masih dapat dipelajari walaupun berada di luar negara. "Saya mula menjejakkan kaki di Malaysia pada tahun 2000. Ketika itu, saya melihat budaya permainan angklung sudah meluas di sini. Saya amat gembira kerana ia merupakan satu perkongsian budaya yang hebat antara Malaysia dan Indonesia. "Selain itu, pembelajaran angklung juga telah diajar secara formal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan beberapa badan kerajaan di sini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2013 (Piiacuf 2013), di Presint 3, Putrajaya baru-baru ini. Piiacuf 2013 yang julung kali diadakan itu merupakan acara yang memaparkan pelbagai seni dan kebudayaan Islam dari zaman kegemilangan Islam di Andalusia, Sepanyol sehingga ke hari ini. Kekerapan Moch. Sani berkunjung ke Malaysia telah mendorongnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kebudayaan dan kesenian di Malaysia. Ketiadaan rakan kongsi yang meminati angklung terutama dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan antara cabaran utama yang dilaluinya sepanjang 13 tahun berulang-alik ke Malaysia. Menurutnya, sesiapa sahaja boleh mempelajari angklung dalam masa yang singkat. Tetapi, kebanyakan rakyat Malaysia masih kurang berminat untuk menyatakan sokongan terhadap alat muzik itu walaupun penggunaannya telah meluas negara ini. Cerita Moch. Sani, angklung mula bertapak di Malaysia sekitar tahun 1930-an yang dibawa oleh masyarakat Ponorogo dari Kepulauan Jawa Barat. Ketika itu, masyarakat tersebut bekerja di ladang getah dan kelapa sawit telah mempersembahkan Reog iaitu tarian tradisi dari pulau itu ke Tanah Melayu. Alat muzik yang mengiringi tarian itu antaranya ialah dua set angklung, gendang, saron, trompet, kempul dan gong. Selain itu, kunjungan misi muhibah delegasi dari Indonesia pada tahun 1968 ke Malaysia yang diketuai oleh Komando Mandala Siaga merupakan salah satu cara terbaik untuk pemulihan hubungan diplomatik kedua-dua negara. Dalam acara rasmi semasa kunjungan itu, pertunjukan angklung yang dipimpin oleh Daeng Soetigna mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kerajaan Malaysia. "Allahyarham Daeng Soetigna merupakan antara nama besar dalam arena seni muzik angklung di Indonesia. Beliau juga telah mengubah skala pentatonik muzik Jawa kepada diatonik kromatik iaitu alunan moden," ujarnya. BENGKEL angklung di Sekolah Indonesia Kuala Lumpur yang disertai oleh pelajar dan guru anjuran Persatuan Muzik Angklung di ibu negara baru-baru ini. Moch. Sani kini sedang giat mempromosikan angklung di Malaysia. Terbaharu, dia telah menyertai Festival Indonesia di Pulau Pinang dan Jazz Asia di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada hujung bulan ini. Selain angklung, dia juga giat menjalankan perniagaan barangan kebudayaan dari Indonesia ke Malaysia. Antara barangan yang dibawa olehnya ialah kain songket dari Bantan, Badui, kasut kulit dan pakaian dari Cibaduyut, Bandung. Minat yang mendalam aspek kebudayaan merupakan salah satu faktor Moch. Sani berminat untuk menjalankan perniagaan terutama dalam bidang alat muzik di Malaysia. "Kebersamaan merupakan falsafah utama dalam alunan muzik angklung. Setiap persembahan, pemain memainkan alunan yang berbeza. Sekiranya tanpa persefahaman yang baik, pemain tidak akan dapat menghasilkan alunan yang merdu," ujarnya. Sementara itu, seorang warga Maghribi, Hassane Nafis, 52, menjadikan Malaysia kediamannya sejak 23 tahun lalu. Bapa kepada dua orang cahaya mata itu ternyata fasih berbahasa Melayu dalam setiap tutur katanya. Walaupun mengetahui kebudayaan di Malaysia, dia masih mengangkat budaya dari negara asalnya di sini. Titik peluh Empayar perniagaan Az-Zukhruf Nafis Sdn. Bhd. yang menjual barangan kraftangan dari Maghribi merupakan hasil usaha titik peluhnya sendiri sejak pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia. Hassane merupakan antara individu penting yang membuat rekaan ukiran simen putih di dalam Masjid Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1990. Selain itu, dia juga merupakan salah seorang yang terlibat dalam membuat ukiran di masjid UIAM pada tahun 1996. Kemahirannya itu merupakan bakat turun-temurun sejak enam keturunannya. Ayahnya, Abdul Kadir Nafis telah mengajarnya teknik-teknik dalam ukiran dan pembuatan barangan kraftangan. Baginya, kraftangan dari negara asalnya mempunyai nilai-nilai kebudayaan yang tinggi yang mampu dikomersialkan di sini. "Rekaan kraftangan dan barangan perhiasan dari Maghribi dianggarkan berusia 1,200 tahun. Saya menggunakan rekaan asal untuk setiap produk yang dihasilkan bagi mengekalkan nilai-nilai kebudayaan sama seperti di negara asal saya. Setiap produk juga diimport dari 400 buah kilang di Maghribi. "Kebanyakan produk kraftangan yang berasal dari Maghribi mempunyai warna yang terang dan mempunyai ciri-ciri Islamik. Sebagai contoh, pasu bunga yang mempunyai tulisan Arab," ujarnya yang berasal dari Fes iaitu bandar ketiga terbesar di Maghribi. Syarikat miliknya itu menjual kraftangan seperti karpet, pinggan seramik, tingkap rumah, tembikar pasu bunga dan barangan perhiasan.
Hassane juga berulang-alik ke negara asalnya dan mengambil stok barangan kraftangan untuk dijual di negara ini. Usahanya menjual barangan dari Maghribi di Malaysia merupakan salah satu kaedah penyatuan budaya antara kedua-dua negara. Dia juga menerima kunjungan daripada warga Malaysia yang meminati seni kraftangan dari Maghribi di kedainya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Paling menarik, pelanggan di kedainya juga diberi peluang untuk belajar teknik-teknik penghasilan kraftangan secara percuma. "Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kraftangan dan kesenian di empayar kerajaan Islam di Sepanyol iaitu Andalusia berasal dari Maghribi. Masyarakat Maghribi telah berhijrah ke Andalusia pada tahun 92 hijrah dan berjaya menggabungkan kesenian Islam di negara Eropah. "Kesenian kraftangan dan kebudayaan merupakan salah satu cara terbaik untuk menyebarkan signatur sesebuah negara. Melalui cara ini, kita akan lebih mengenal antara satu sama lain walaupun berbeza pandangan agama, politik dan pendirian," ujarnya. | ||
Posted: Berbulan madu di AnnapurnaSALAH sebuah rumah tamu yang ditemui penulis ketika mendaki di ABC. PENERBANGAN selama empat jam dari Kuala Lumpur ke Kathmandu, Nepal terasa begitu menyeronokkan terutama apabila terlihat pergunungan Himalaya yang seumpama 'melambai-lambai' menyambut ketibaan kami. Di sini juga terletaknya Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848 meter (m). Berdasarkan buku panduan perjalanan yang terkemuka seperti Lonely Planet dan Rough Guide, Nepal selamat untuk dikunjungi. Tidak hairanlah begitu ramai pelancong, pengembara dan pendaki datang dari segenap pelosok dunia ke negara yang terkenal sebagai bumbung dunia ini. Keramahan penduduk tidak dapat dinafikan kerana mereka sering kali menegur secara mesra. Warga Nepal pastinya lebih gembira apabila mengetahui anda pelancong dari Malaysia. Hubungan dua hala antara Malaysia dan Nepal wujud sejak tahun 1940-an apabila tentera Gurkha yang dibawa masuk oleh British ke tanah air bagi berkhidmat di Tanah Melayu pada ketika itu. Hingga kini, Malaysia hanya mengikhtiraf warga asing dari Nepal untuk bertugas sebagai pengawal keselamatan. Penulis bersama isteri berpeluang berbulan madu di Pergunungan Annapurna yang terletak di Banjaran Himalaya. Annapurna Base Camp (ABC) yang berada di ketinggian 4,130 meter dari aras laut begitu popular dalam kalangan pengembara dan pendaki gunung. Untuk ke kawasan ini, pengembara boleh singgah di Pokhara yang terletak kira-kira 209 kilometer (km) dari Kathmandu. Pokhara boleh dihubungi dengan menaiki bas ataupun pesawat dari Kathmandu atau menaiki bas dari sempadan India. Kemudahan Pelbagai kemudahan terdapat di Pokhara terutamanya kepada pendaki. Daripada barangan peralatan pendakian, sewaan peralatan, ejen pendakian, khidmat jurupandu arah serta perkhidmatan tukang angkut (porter) boleh didapati di sini. Setiap pendaki perlu mendapatkan permit masuk ke Taman Negara Nepal dan kad Trekker Information Managemant System (TIMS) sebelum dibenarkan memasuki dan mendaki di mana-mana kawasan pergunungan di Nepal. Sepanjang pendakian penduduk tempatan kerap kali menyapa mesra pendaki. Jangka masa pendakian ke Annapurna Base Camp secara kebiasaannya mengambil masa selama tujuh hingga 10 hari bergantung kepada keupayaan pendaki. Setiap dua jam perjalanan terdapat kemudahan rumah tamu, dormitori dan restoran. Kami yang telah merancang lebih awal memilih pendakian secara bersendirian. Perjalanan kami dari Bandar Pokhara ke Phedi mengambil masa selama 30 minit dan dari situ pendakian kami bermula pada jam 11 pagi pada 15 Oktober 2013. Pagi tersebut merupakan Hari Raya Aidiladha yang kami korbankan untuk pengembaraan ini. Melalui pekan Dhampus dan Pothana, kami perlu melalui titik pemeriksaan untuk semakan TIMS serta permit. Mencabar Hari hujan menyebabkan perjalanan pada hari pertama sejauh 11 km mengambil masa selama lima jam. Kami kemudiannya singgah ke Tolka di ketinggian 1,700 meter untuk bermalam. Memandangkan kami sahaja pendaki yang menginap di rumah tamu tersebut, tuan rumah memberi layanan istimewa. Mereka turut membantu mengeringkan kasut dan pakaian kami. Menurut mereka, sejak beroperasi 10 tahun lalu, kami merupakan pendaki Malaysia yang pertama singgah di situ. Meneruskan pendakian pada hari kedua, kami melalui jarak sejauh 12 km yang memakan masa selama sembilan jam untuk sampai ke Sinuwa (2,340 meter). Perjalanan itu merangkumi mendaki dan menuruni bukit, merentasi jambatan gantung, sungai dan air terjun, meredah perkampungan serta tanaman padi teres di Landruk, New Bridge, Jhinu dan Chomrong. Keindahan alam semula jadi dengan landskap yang cantik dan sikap ramah-tamah penduduk yang kerap menegur kami membuatkan hilang rasa penat. Sepanjang perjalanan tersebut kami merasai kemeriahan sambutan penduduk kampung ketika meraikan kepulangan sanak saudara mereka. Kami sedar penyakit akut ketinggian (AMS) mudah menyerang sesiapa sahaja terutamanya pada ketinggian lebih 2,500 meter dari aras laut. Ia boleh dielakkan dengan mengambil ubat dan meminum sup bawang putih. Jika berlaku kesan seperti pening, hilang selera makan dan sukar tidur, seseorang itu perlu turun segera dari ketinggian tersebut. Perjalanan kami pada hari ketiga dan keempat bermula dari Sinuwa dan singgah di Himalaya (2,920 meter) serta terus ke Annapurna Base Camp pada ketinggian 4,130 meter. Keadaan muka bumi seperti di lembangan, kami semakin hampir dengan puncak Gunung Machapuchhre dan puncak Annapurna kadangkala dilitupi awan. Pada ketinggian ini, spesies tumbuhan berbeza berbanding paras bawah yang mengakibatkan oksigen semakin kurang. Suhu lebih dingin pada tengah hari iaitu mencecah 10 darjah Celcius dan jatuh di bawah paras beku pada malam hari. KEPUASAN jelas terpancar pada raut wajah pasangan bahagia ini setelah sampai ke ABC. Sampai di puncak Alhamdulillah, kami tiba di Annapurna Base Camp pada tengah hari Jumaat 18 Oktober 2013. Cuaca ketika itu baik namun awan agak tebal. Puncak Annapurna yang merupakan puncak tertinggi di kawasan tersebut iaitu 8,091 meter terselindung di sebalik awan kecuali puncak Machapuchhre (6,993 m) yang kelihatan seketika. Rasa penat dan kesakitan di beberapa tempat di kaki hilang sebaik sahaja berada ABC. Kami bersyukur kerana Allah SWT memberikan peluang untuk kami berada di situ untuk melihat alam semula jadi ciptaan-Nya. Di ABC ini, penulis sempat melaungkan azan tanda syukur selamat sampai ke destinasi. Aturan jadual kami tepat pada masanya kerana tiba di ABC pada 14 Zulhijjah dan bermakna malam hari adalah 15 Zulhijjah. Malam tersebut cukup indah bermandikan cahaya bulan purnama Zulhijjah sekali gus melengkapkan kembara berbulan madu kami di Annapurna yang telah dirancang sejak April lalu. Langit cantik Pemandangan langit yang cantik turut dihiasi ribuan bintang. Dari selatan ke utara, timur ke barat, hampir tiada ruang kosong di langit selain dipenuhi bintang yang sedang bergemerlapan memagari bulan purnama. Suasana yang terlalu cantik untuk digambarkan dan kami terharu kerana diberi peluang menatap keindahan ini secara lebih dekat. Perjalanan turun dari ABC ke Pokhara hanya mengambil masa selama tiga hari. Kami tiba awal dua hari daripada jangkaan. Separuh perjalanan turun adalah jalan yang sama kami lalui dan tiba di Chomrong kami memilih laluan yang berbeza iaitu melalui Ghandruk (1,940 meter) dan mendaftar keluar dari Kawasan Konservasi Annapurna di Birethanti (1,025 meter). Kembara selama tujuh hari di Annapurna Base Camp sejauh 80 km memberikan pengalaman yang berbeza dan cukup indah untuk kami di samping mengenali corak kehidupan yang jauh berbeza. Sepanjang kembara kami ke ABC ini, kami turut menemui tiga kumpulan besar dari Malaysia menuju ke destinasi yang sama. Rakyat Malaysia begitu mesra membuatkan kami menjadi lebih rapat dan saling berkongsi pengalaman. Perjalanan pulang ke Pokhara selama satu setengah jam dari Nayapul juga mencabar namun turut disajikan pemandangan indah. Trek tersebut berliku dan berlatarbelakangkan bukit-bukau, gunung-ganang serta Banjaran Himalaya yang dilitupi salji. Sesekali kelihatan Bandar Pokhara dan Tasik Phewa dari kawasan tanah tinggi ini. | ||
Monkey Run uji ketangkasan individu Posted: Monkey Run uji ketangkasan individuOleh ADLAN JAAFAR CABARAN Monkey Run menguji kecergasan peserta melepasi halangan seperti ini. CABARAN MYC! Red Bull Monkey Run (Monkey Run) bagi kelas lelaki yang sepatutnya bermula pada pukul 3 petang di Pusat Sukan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah ditunda selama lebih satu jam akibat hujan lebat selepas awan mendung menutupi langit beberapa ketika sebelum itu. Sebaik hujan berhenti, semua kru bertugas bertungkus-lumus mengelap permukaan yang basah supaya cabaran dapat dimulakan serta-merta. Seorang demi seorang peserta lelaki dilepaskan untuk mengejar masa paling pantas, pada masa yang sama perlu melepasi aneka halangan seperti bola gergasi, gayutan, jambatan jaring dan banyak lagi. Bagi mereka yang pernah menonton rancangan televisyen, Wipe Out atau American Ninja Warrior, sudah tentu faham format cabaran MYC! Red Bull Monkey Run. Kedua-dua siri televisyen berkenaan merupakan rancangan berbentuk cabaran dalam sebuah set rakaman besar yang mengandungi pelbagai halangan. Percaturan untuk menentukan pemenang adalah dengan mendapatkan bacaan masa terpantas antara semua peserta. Sukan berbeza Acara anjuran bersama MYC! dan Red Bull Malaysia itu menjadi platform untuk para pelajar bersukan tanpa memerlukan latihan khas. UM merupakan institusi pengajian tinggi awam tempatan ketiga yang menganjurkan cabaran Red Bull Monkey Run. "Binaan permainan ini merupakan satu-satunya yang ada di Malaysia. Aktiviti sebegini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aktif dan sihat," kata Ketua Pegawai Eksekutif MYC!, Jason Ko ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebaik habis dia berkata-kata, wisel tiba-tiba berbunyi dan peserta pertama lelaki dengan penuh cermat melompat serta bergayut mengikut turutan halangan yang disediakan. Menurut Jason, halangan Monkey Run yang seluas tiga buah gelanggang bola keranjang dibawa khas dari luar negara. "Monkey Run amat berbeza dengan sukan lain seperti badminton atau tenis yang memerlukan masa yang panjang untuk berlatih. "Sebaliknya, cabaran ini menguji secara maksimum fleksibiliti individu, daya ketahanan dan ketabahan dalam mengejar masa bagi mengatasi setiap halangan yang disediakan," jelasnya. Tambahnya, Monkey Run bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan belajar atau bekerja malah dapat meregang anggota badan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |