Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Impak pemansuhan Ordinan Darurat 1969 Posted: Impak pemansuhan Ordinan Darurat 1969KONTROVERSI kebocoran filem KL Gangster 2 di internet kira-kira 37 hari sebelum jadual tayangannya yang sebenar masih terasa bahangnya. Kejadian itu benar-benar meninggalkan trauma kepada pembikin filem tanah air terutamanya pengarah filem tersebut iaitu Syamsul Yusof. Beliau dikatakan menolak untuk muncul di khalayak sehingga hari ini akibat kekecewaan terhadap apa yang terjadi. Kita tinggalkan sebentar kisah jenayah siber yang kali pertama berlaku dalam sejarah perfileman negara itu. Bagaimanapun, jika dinilai skrip filem yang digarap oleh penulis muda, Rizal Ashraf itu rupa-rupanya, ia berlandaskan situasi sebenar dalam dunia gengster. Ia diakui sendiri oleh bekas ketua kongsi gelap yang dikenali sebagai Sandra, 30-an, yang bergelumang dalam dunia tersebut sejak berumur 15 tahun. Menurut wanita itu, pergaduhan kumpulan gangster biasanya disebabkan pergelutan dalaman atau kumpulan lain yang mahu merebut kuasa dan pengikut. "Ketua kumpulan yang tewas atau mati dianggap kalah dan orang bawahan mereka akan mengikut ketua yang menang. Ia semudah itu! "Hidup saya dulu umpama dalam syurga kerana apa yang diingini semua saya dapat. Ahli-ahli kami saling membantu antara satu sama lain, siapa yang menghadapi kesusahan akan dibantu dalam bentuk kewangan atau serangan lawan," kata Sandra yang enggan wajahnya dirakam lensa Kosmo!. Biarpun sudah tiga tahun Sandra 'cuci tangan' dari dunia gelap tersebut, dia mengakui perkataan 'penyesalan' tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Bagi wanita ini, keputusan lalu adalah yang terbaik dan menjadikan siapa dirinya sekarang. Sandra turut mengakui kehidupannya agak sunyi kerana kawan-kawan sudah berjauhan dan bermusuhan antara satu sama lain. Namun, Sandra kini hidup bahagia bersama suami dan kehadiran tiga cahaya mata yang melengkapkan lagi seri rumah tangganya. ANGGOTA polis memeriksa seorang lelaki dalam Ops Cantas Khas di Johor Bahru pada bulan lalu. Ketika ditanya bagaimana dia terjebak dalam dunia tersebut, Sandra rupanya bukan calang-calang gengster. Dia sebenarnya anak kepada ketua kumpulan kongsi gelap (nama kumpulan enggan didedahkan) dan menganggap dunia hitam itu sudah menjadi darah dagingnya. "Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti sebelum ini kerana ayah saya juga ketua kumpulan gangster. Jadi, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? "Pada mulanya, memang ayah tidak benarkan tetapi saya berdegil. Akhirnya, arwah ayah akur dan mengajar cara menjadi ketua yang digeruni," kata Sandra sambil memberitahu ayahnya meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Pembebasan ketua Sungguhpun terlibat dalam aktiviti gengsterisme, Sandra tidak pernah dipenjarakan dan kini dia menjalani kehidupan seperti manusia lain. Melihat pada kejadian jenayah melibatkan senjata api yang semakin meruncing pada hari ini, dia secara peribadi, menyokong penuh sekiranya pihak berkuasa mahu mewujudkan kembali akta undang-undang yang menyamai Ordinan Darurat (EO) 1969 bagi membanteras jenayah berat di negara ini. "Tetapi kalau 'orang dalam' turut serta dalam gengster, bagaimana pula? Orang politik juga banyak berpayung dan memayungi kumpulan-kumpulan tersebut," dedahnya. EO merupakan undang-undang yang membenarkan polis menahan mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam jenayah tanpa pertuduhan dan perbicaraan dengan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri. Pada 16 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penamatan tiga Proklamasi Darurat yang telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Disember tahun sama. Penamatan tersebut menyebabkan penguatkuasaan EO tidak lagi dilaksanakan dan pembebasan ke atas tahanan serta sekatan di bawah ordinan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai pada 20 Jun 2012. Ekoran pemansuhan tersebut, sebanyak 74 kes bunuh melibatkan penggunaan senjata api sepanjang Januari hingga September tahun ini telah direkodkan Kementerian Dalam Negeri. TEMPAT Tahanan Perlindungan Taiping di Perak menempatkan suspek jenayah yang ditahan tanpa perbicaraan. Jumlah kumpulan samseng yang direkodkan kini berjumlah 49 kumpulan. Kumpulan tersebut sebenarnya telah lama wujud, namun menjadi semakin kuat ekoran pembebasan tahanan yang dianggap sebagai ketua kumpulan berkenaan. Sementara itu, seorang lagi bekas anggota kongsi gelap, Selvam (bukan nama sebenar), 35, berkata, kejadian tembakan yang berleluasa sejak kebelakangan ini disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang longgar di sempadan tanah air. "Pemantauan yang dijalankan tidak ketat dan banyak senjata api diseludup masuk ke negara kita dari sempadan utara tanah air. "Dulu saya sentiasa dalam keadaan mabuk dan pukul orang. Sekarang tidak lagi begitu," katanya yang sudah setahun meninggalkan dunia jenayah itu. Mencari kemewahan Menurut Selvam, dia terjebak dalam gengsterisme kerana ingin mencari kemewahan dan mahu semua orang takut kepadanya. Namun, langit tidak sentiasa cerah, Selvam terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh tahun atas kesalahan jenayah membunuh. Sebaik menamatkan tempoh hukuman, dia umpama tidak belajar daripada kesilapan dan memilih untuk terjebak semula dalam dunia kotor itu. Namun, kira-kira setahun lalu, Selvam nekad meninggalkan kumpulan yang disertai selepas tidak sampai hati mematahkan harapan anaknya yang mahu hidup dengan kasih sayang seorang bapa. "Saya kena tangkap semasa isteri sedang hamil tiga bulan dan hanya dapat berjumpa dengan anak saya selepas dibebaskan dari penjara. "Anak saya merayu dengan saya supaya berhenti melakukan pekerjaan ini dan mahu hidupnya sama seperti kanak-kanak lain yang hidup bersama bapa sendiri," ujarnya yang berasal dari Shah Alam. Bapa kepada seorang anak itu mengakui kehidupan yang dijalani kini jauh lebih bermakna dan menggembirakan. Selvam baru mengerti kasih sayang terhadap seorang anak mengatasi nikmat kemewahan yang pernah dikecapi. |
Kongsi gelap ganggu ketenteraman negara Posted: Kongsi gelap ganggu ketenteraman negaraKEJADIAN jenayah meruncing sejak lebih 2,000 tahanan dibebaskan selepas pemansuhan Ordinan Darurat 1969 pada tahun 2011. MENGANGGUR pada usia 16 tahun dan berdepan dengan keciciran ekonomi yang dialami majoriti masyarakat berketurunan India di Malaysia, Raju memilih jalan mudah dan bahaya untuk mendapatkan wang. Dia menyertai kumpulan jenayah terkenal yang dinamakan Geng 04. Dia pernah dipukul hampir setengah mati oleh ahli geng musuh beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan tulang dan giginya patah. Namun, Raju terselamat, dia hidup diulit kemewahan yang diperoleh daripada penyeludupan dadah dan pemerasan wang di kawasan yang dikawalnya di sekitar Kuala Lumpur. "Kalau nak hidup mewah, memang kena terlibat dengan dadah. Banyak duit yang boleh dibuat," kata ketua kumpulan kongsi gelap yang berbadan tegap dan bermisai itu kepada AFP. Raju meminta agar nama sebenarnya tidak didedahkan. Namun, kini individu seperti Raju berhadapan dengan masalah besar. Polis sedang menggempur secara habis-habisan ahli kongsi gelap yang menggugat keamanan negara. Geng kongsi gelap berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api malah difahamkan terdapat kira-kira dua juta rakyat berketurunan India di negara ini terjebak dalam jenayah. Ketakutan orang awam terhadap kes rompakan dan jenayah jalanan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia semakin menjadi-jadi selepas berita mengenai kes bunuh melalui tembakan yang berlaku tahun ini dipaparkan oleh media. Kes tembakan yang tidak berkesudahan itu menjatuhkan kredibiliti negara yang selama ini stabil dan aman walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Ops Cantas Khas Kes pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam pada April lalu dan Pengasas Bank Arab-Malaysian pada Julai lepas masih dalam siasatan dan belum dapat diselesaikan hingga kini. Ekoran insiden berdarah tersebut, pihak polis melancarkan Ops Cantas Khas yang berjaya menahan 21,000 suspek ahli kongsi gelap dan 12 ahli kumpulan samseng ditembak mati termasuk ahli Geng 04. Namun, gengster dan pakar jenayah memberi amaran bahawa sindiket yang dikuasai oleh penjenayah kaum India mempunyai pertalian erat dengan pihak berkuasa termasuk pihak polis dan ahli politik. "Kongsi gelap sudah lama ada di Malaysia dan pengaruh mereka semakin meluas. Pihak berkuasa boleh membuat mereka diam seketika tetapi sukar untuk menghapuskan mereka," ujar Raju. Tambahnya, mendapatkan senjata api semudah membeli ikan walaupun pemilikan senjata diharamkan oleh kerajaan. Menurut sumber polis, kumpulan kongsi gelap di Malaysia wujud sebagai organisasi gengster kaum Cina sejak awal tahun 1800. Seiring peredaran masa, rakyat keturunan India yang dihimpit kemiskinan diberi kepercayaan untuk melakukan kerja-kerja berbahaya. Apabila ketua kumpulan kaum Cina beralih angin kepada pekerjaan halal seperti perniagaan pembinaan pada tahun 1980-an, ahli kongsi gelap India menguasai dunia tersebut. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 72 peratus daripada 40,000 ahli kongsi gelap di negara ini adalah berketurunan India iaitu seramai 28,800 orang. Kebanyakan kumpulan tersebut terlibat dengan penyeludupan dadah, pinjaman wang haram, judi, peras ugut, pelacuran, pembunuh upahan dan rompakan bersenjata. Bekas anggota Kumpulan 08, Reghu Devan Lopez, 34, memberitahu, peluang menjadi popular dan mendapatkan wang dengan mudah merupakan tawaran yang sukar ditolak oleh kebanyakan remaja India. "Semasa remaja, kumpulan kami tinggal di hotel mewah selama dua minggu selepas melakukan rompakan. Ada yang membeli jam dan kereta mewah serta bercuti ke Amerika Syarikat. "Kalau nak jadi ketua, anda mesti berurusan dengan dadah, pecah masuk rumah, samun, peras ugut atau menculik," ujarnya yang kini membuka sebuah restoran di ibu negara. Reghu meninggalkan kongsi gelap setahun lalu kerana bimbang nyawanya diancam. Polis mendakwa kejadian jenayah yang mengancam keamanan negara yang berlaku tahun ini berpunca daripada pembebasan lebih 2,000 tahanan suspek jenayah selepas Ordinan Darurat 1969 dimansuhkan pada tahun 2011. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |