{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Keunikan terarium

Posted:

Keunikan terarium

Keunikan terarium

Oleh ZULHILMI JALIL
zulhilmi.jalil@kosmo.com.my

BALANG kaca berbentuk bulat itu diletakkan kemas di atas meja. Kemudian, ia diisikan pula dengan ketulan batu-batu bersaiz sederhana besar berwarna kelabu.

Satu persatu batu tersebut dimasukkan dengan cermat bagi mengelakkan balang kaca menjadi retak.

Ia diikuti dengan meletakkan batu bersaiz sedikit kecil, sebelum beberapa gumpalan lumut kering dialaskan di atasnya.

Kurang daripada 15 minit, selepas meletakkan beberapa lapisan bahan komposit, balang kaca yang tadinya hanyalah sebuah bekas kosong, sudah bertukar kepada sebuah taman mini dengan tumbuhan hidup yang indah.

"Inilah yang dinamakan terarium," ujar Loo Chuang Kiak, seorang pengusaha produk seni hiasan tumbuhan dalam balang kaca.

Ujar Chuang Kiak, terarium berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu tera dan rium.

Tera bermaksud tumbuhan manakala rium didefinisikan sebagai bekas kaca.

Jika digabungkan, ia membawa erti tumbuhan di dalam bekas kaca.

"Perkataan terarium ini sendiri jarang didengari oleh penduduk negara ini.

"Kebiasaannya, orang lebih tahu dengan istilah table plant. Cuma istilah terarium ini lebih meluas digunakan di negara Eropah," ujar Chuang Kiak yang banyak melakukan kajian mengenai tumbuhan hiasan tersebut.

BALANG kaca kuih seperti ini boleh dijadikan taman mini di dalamnya.


Penjagaan

Uniknya mengenai seni hiasan ini ialah ia menggunakan jenis tanaman tertentu yang memiliki ciri-ciri tahan lasak untuk dibela di dalam ruang sempit.

Tumbuhan hiasan ini dianggap lasak kerana mampu bertahan di dalam balang kaca dengan penyerapan air dan cahaya matahari yang minimum.

"Tidak semua jenis tumbuhan hidup boleh digunakan bagi menghasilkan terarium ini.

"Spesies tumbuhan seperti kaktus, lumut, sukulen, dan tillandsia antara yang banyak digunakan dalam seni hiasan dalam balang kaca ini.

"Ini disebabkan kesemua tumbuhan itu mempunyai ciri-ciri semula jadi yang boleh hidup tanpa penjagaan yang rapi," ujarnya yang merupakan graduan Teknologi Maklumat Perniagaan dari Kolej Antarabangsa INTI.

Justeru, terarium amat bersesuaian untuk penggemar yang suka akan konsep malar hijau dengan penjagaan yang minimum.

Biarpun begitu, Chuang Kiak memberitahu, sungguhpun tumbuhan tersebut tahan lasak, tidak bermaksud ia boleh dibiarkan begitu sahaja.

Katanya, terdapat teknik-teknik tertentu bagi memastikan kesemua tumbuhan dalam kaca itu mempunyai jangka hayat yang lama.

"Tumbuhan ini perlu disembur dengan sedikit air seminggu sekali.

"Namun, kuantiti air yang diberikan bukanlah seperti tumbuhan hidup biasa. Ini kerana jika terlalu banyak air, ia juga akan mati," katanya sambil menambah, tumbuhan itu tidak perlu dibaja bagi mengelakkan saiznya membesar dengan cepat.

Chuang Kiak memberitahu, tahap kelembapan tanah di dalam balang kaca itu boleh diukur dengan menggunakan lidi kayu yang dibiarkan tercucuk di dalamnya.

Jelas beliau, sekiranya bahagian bawah lidi itu terasa kering, ia menunjukkan tumbuhan itu perlu disembur dengan air.

Namun, jika terasa basah lagi, katanya, ia bermaksud tumbuhan itu masih mempunyai tahap kelembapan yang mencukupi.

Ekoran daripada itulah, ujar beliau, beberapa lapisan batu dan komposit tanah diperlukan untuk memastikan air tidak terlalu banyak di permukaan atas tanah.

Katanya, setiap lapisan batu dan tanah komposit itu berperanan untuk menyerap lebihan air yang terdapat ketika semburan dilakukan.

Bagi terarium yang dihasilkan pemilik syarikat Frozen Trees ini, ia menggunakan susunan bahan dasar bermula daripada batu besar, batu kecil, arang kayu, lumut kering dan tanah organik di bahagian permukaan.

BEKAS yang ditutup perlu dibuka seminggu sekali bagi proses pengudaraan.


"Selain berperanan sebagai seni dekorasi, ia berfungsi sama seperti penapis air.

"Air berlebihan yang tidak diperlukan akan diserap mengalir ke bahagian batu besar di bawah," ujar pemuda berusia 33 tahun ini.

Komposit tanah

Menyentuh mengenai bahan komposit yang digunakan, katanya, beliau menggunakan bahan campuran dengan formula tertentu untuk menyesuaikan dengan keadaan cuaca di Malaysia.

"Saya dapati kebanyakan pokok seperti sukulen yang diambil dari kawasan sejuk seperti Cameron Highlands, tidak tahan lama dan akan mati dalam masa seminggu.

"Jadi, bahan komposit tanah yang digunakan mesti bersesuaian dengan persekitaran semasa. Jika tidak, tumbuhan itu tidak akan tahan lama," katanya.

Bagi setiap produk tanah komposit yang dihasilkan, Chuang Kiak menggunakan tanah bakar, batu kecil dan serbuk arang.

Dalam pada itu, katanya, terarium di negara ini agak berbeza dengan terarium di luar negara khususnya di Eropah.

Katanya, terarium kebiasaannya dibuat dengan ditutup sepenuhnya.

Namun atas faktor cuaca Malaysia yang panas, kebanyakan terarium mempunyai ruang terbuka untuk kemasukan udara dan lembapan.

Jika tidak, tumbuhan tersebut akan cepat mati.

Biarpun begitu, terdapat tumbuhan yang unik mampu hidup dalam balang kaca seperti lumut.

"Lumut antara tumbuhan hiasan yang boleh hidup lama biarpun dibela di dalam bekas tertutup," ujar Esther Pang, 31, yang mengimport lumut berkualiti dari Switzerland.

Katanya, harga lumut Switzerland bersaiz 50 sentimeter (sm) persegi ialah RM30.

Lumut

Ujar beliau, kebanyakan baka tumbuhan hiasan yang dibeli di luar negara akan dibiakkan sendiri.

"Lumut di Malaysia berbeza sedikit dengan di luar negara biarpun boleh diambil dari longkang-longkang.

"Namun, memandangkan ia digunakan untuk hiasan, faktor kebersihan diambil kira. Oleh sebab itulah, saya akan mengimport lumut.

"Lagipun, di sini lumutnya agak nipis berbanding lumut yang dibela untuk dikomersialkan yang agak tebal," ujarnya yang memberitahu, harga terarium ditentukan berdasarkan jenis tumbuhan, saiz dan kerumitan menghasilkannya.

TUMBUHAN seperti kaktus, sukulen, lumut dan tillandsia antara yang banyak digunakan dalam seni hiasan taman dalam kaca.


Maka, tidak hairan jika harga sebuah terarium boleh mencecah sehingga RM600 seunit.

Menurut Esther, tumbuhan jenis airplant atau juga dikenali sebagai tillandsia antara turut mendapat permintaan yang tinggi.

"Airplant ini tidak memerlukan tanah untuk hidup. Jika dibiarkan di mana-mana tempat pun ia mampu tumbuh dengan baik.

"Cuma sembur air seminggu sekali pada daunnya," katanya.

Harga tumbuhan itu mahal sedikit iaitu RM20 bagi 5sm panjang yang diimport dari China.

Dalam pada itu, katanya, penggunaan miniature atau hiasan model mini juga antara elemen penting dalam menghasilkan konsep taman.

Bukan sekadar hiasan, terarium juga dipercayai mampu memberi persekitaran yang sihat pada satu-satu kawasan.

"Tumbuhan ini dipercayai dapat menyerap pencemaran sekali gus bertindak sebagai tumbuhan antipencemaran dan antiradiasi," ujarnya.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Pengarah Urusan Terra Garden, Desmond Ho, yang menganggap penggunaan terarium mampu menyuntik elemen ketenangan.

"Tumbuhan hidup mempunyai auranya yang tersendiri jika diletakkan di dalam rumah. Malah, apa sahaja tumbuhan yang diletakkan di dalam balang kaca, kita dapat melihatnya sekali gus menenangkan fikiran," ujarnya.

Bahaya skrin sesentuh

Posted:

Bahaya skrin sesentuh

Bahaya skrin sesentuh


MELAKUKAN aktiviti bersama anak-anak penting bagi proses tumbesaran mereka. - Gambar hiasan


IBU BAPA yang membiarkan anak-anak kecil mereka bermain dengan gajet-gajet terkini seperti iPad sebenarnya boleh mengundang bahaya kepada tangan dan jari kanak-kanak tersebut.

Penyelidik dari Pusat Pembelajaran dan Terapi Maryland di Amerika Syarikat, Lindsay Marzoli memberitahu, menggunakan skrin sesentuh secara berlebihan boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kesan kesihatan untuk jangka masa panjang.

Ini kerana apabila mereka menggunakan skrin sesentuh, mereka tidak membina otot yang diperlukan untuk menulis.

"Jika mereka sentiasa bermain dengan iPad dan tidak melakukan aktiviti menulis di atas kertas dan menggunakan pensel, ia boleh menyebabkan otot-otot tangan mereka menjadi lemah.

"Apa yang kita lihat ketika ini, ramai kanak-kanak yang mengalami masalah di beberapa bahagian badan membabitkan pertumbuhan otot-otot mereka," ujarnya kepada stesen televisyen CBS.

Mudarat

Seorang Pakar Kanak-Kanak Pusat Perubatan Greater Baltimore, Dr. Timothy Doran pula berpendapat, masalah teknologi itu sendiri menyebabkan penyelidik tidak dapat menjangkakan kesan kepada kesihatan kanak-kanak untuk jangka panjang.

"Penggunaan komputer tablet tanpa had, tiga hingga empat jam sehari secara berlebihan tanpa pengawasan ibu bapa boleh memberikan kesan kepada pembangunan modal insan kanak-kanak tersebut," jelasnya.

Akademi Pediatrik Amerika Syarikat mengeluarkan garis panduan baharu dengan menyatakan kanak-kanak tidak dibenarkan menggunakan skrin sesentuh lebih daripada dua jam sehari.

Kanak-kanak di bawah umur dua tahun pula tidak dibenarkan sama sekali menggunakan skrin sesentuh.


KAJIAN terbaharu mendapati skrin sesentuh menjejaskan kesihatan kanak-kanak. - Gambar hiasan


Garis panduan itu juga mencadangkan televisyen, komputer tablet dan komputer tidak seharusnya diletakkan di bilik kanak-kanak.

Penyelidikan ini bukan yang pertama kali mencadangkan penggunaan skrin sesentuh secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.

Penyelidik dari Lembaga Kesihatan Universiti Morgannwg, Abertawe Bro, pula menyatakan, generasi muda berdepan masalah kesihatan pada bahagian tengkuk dan belakang badan apabila mereka menggunakan komputer, permainan video dan telefon pintar.

Kajian menunjukkan hampir tiga perempat daripada kanak-kanak sekolah rendah dan dua pertiga daripada pelajar sekolah menengah dilaporkan mengalami masalah pada bahagian tengkuk dan belakang badan dalam tempoh setahun yang lalu.

Pakar fisioterapi, Lorna Taylor berkata, gaya hidup moden dan peningkatan teknologi mempunyai kesan serta menjejaskan kesihatan otot kanak-kanak.

"Jika tidak ditangani sekarang, ia akan memberikan kesan jangka panjang kepada kanak-kanak apabila mereka dewasa.

"Amat penting untuk kita memupuk tabiat yang baik supaya kanak-kanak boleh menjalani kehidupan dengan selesa, dapat menumpukan perhatian, mencapai potensi penuh dan bekerja serta bersukan tanpa perlu melakukan perkara yang boleh membahayakan kesihatan mereka," beritahu beliau.

Aktiviti keluarga

Sementara itu, Pakar Bedah Tulang Belakang Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Mohammad Nawar Ariffin memberitahu dari segi teori, masih terlalu awal untuk membuktikan kesan skrin sesentuh kepada kanak-kanak.

"Sebahagian otak diperuntukkan kepada fungsi tangan dan menggunakan skrin sesentuh menyebabkan tidak banyak pergerakan yang berlaku kerana mereka menggunakan satu jari sahaja. Disebabkan itu, penyelidik berpendapat otak kanak-kanak tidak dirangsang.

"Perlu diingat, zaman sudah berubah dan mereka bukannya tidak melakukan aktiviti lain yang boleh merangsang pergerakan tangan mereka," jelasnya sambil memberitahu, tumbesaran kanak-kanak bukan terletak pada keadaan fizikal sahaja tetapi juga membabitkan faktor mental, emosi dan persekitaran.

Tambahnya, ibu bapa juga sebenarnya lebih gemar memberikan iPad kepada anak mereka untuk mendiamkan mereka.

"Ibu bapa seharusnya memperuntukkan masa kepada anak-anak dengan melakukan aktiviti seperti bermain bersama dan bukannya menyogok mereka dengan gajet terkini," ujarnya.

Apabila gemuk dianggap sihat

Posted:

Apabila gemuk dianggap sihat

Apabila gemuk dianggap sihat


MENJADI seorang lelaki gemuk merupakan impian setiap lelaki muda suku Bodi.


MENJADI kurus mungkin impian bagi kebanyakan orang tetapi tidak bagi suku Bodi di Ethiopia yang menganggap bertubuh gemuk itu bererti sihat.

Suku kaum yang tinggal di sudut terpencil di Lembah Omo, Ethiopia itu menjadikan sebuah rumah di situ sebagai tempat untuk melakukan ritual pelik iaitu golongan lelaki muda perlu meminum darah dan susu lembu untuk dinobatkan sebagai lelaki bertubuh gemuk.

Enam bulan setelah pertandingan dimulakan, lelaki-lelaki itu muncul untuk menayangkan bentuk badan mereka agar terpilih sebagai pemenang.

Kini, ritual yang sudah jarang diamalkan itu menjadi subjek daripada beberapa foto luar biasa yang diambil oleh jurugambar amatur dari Perancis, Eric Lafforgue.

Lafforgue telah menghabiskan waktu bersama masyarakat suku Bodi ketika melakukan perjalanan di sebelah barat daya Ethiopia untuk mengikuti perayaan Tahun Baru Bodi atau upacara Ka'el.

Sayangnya, upacara Ka'el dan cara hidup tradisional suku Bodi itu kini terancam berikutan rancangan pemerintah untuk memindahkan sekitar 300,000 orang dari wilayah tersebut. Suku itu mengamalkan upacara Ka'el dalam gaya tradisional pada setiap bulan Jun.

Setiap keluarga dibenarkan menghantar seorang lelaki yang belum berkahwin untuk menyertai pertandingan tersebut. Jika terpilih, mereka harus berhenti melakukan aktiviti harian dan tidak boleh keluar dari rumah atau melakukan aktiviti seks mengikut masa yang ditentukan.

Makanan-makanan bagi membolehkan mereka mendapat tubuh yang gemuk itu diperoleh dalam bentuk darah lembu dan susu campuran yang disajikan secara teratur oleh kaum wanita di kampung mereka.

"Lembu merupakan haiwan suci bagi suku Bodi dan disebabkan itu, ia tidak dibunuh.

"Darah diambil dengan cara membuat lubang pada pembuluh darah lembu tersebut menggunakan tombak atau kapak dan kemudian, mereka menutup lubang tersebut dengan tanah liat," jelas Lafforgue.


GOLONGAN lelaki yang menyertai pertandingan itu akan menutupi bahagian badan mereka menggunakan tanah liat dan abu.


Muntah

Tambahnya, disebabkan keadaan cuaca yang panas, golongan lelaki tersebut perlu minum dua liter darah dan susu lembu sebelum ia menjadi beku.

"Mangkuk pertama terdiri daripada darah dan perlu diminum ketika matahari terbit tetapi tidak semua mereka sanggup meminumnya sebelum ia menjadi beku.

"Ini kerana mereka akan muntah setiap kali cuba untuk minum darah tersebut tetapi mereka perlu mengamalkan tabiat itu jika ingin menjadi gemuk," katanya.

Pada hari pertandingan berlangsung, golongan lelaki itu akan menutup bahagian tubuh mereka menggunakan tanah liat dan abu, sebelum keluar dari rumah untuk berjalan ke lokasi upacara dijalankan.

Namun, disebabkan berat badan mereka, ramai yang cuba menggunakan jalan pintas.

"Beberapa orang daripada mereka mempunyai tubuh yang begitu besar sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi.

"Malah, salah seorang daripada mereka meminta saya menumpangkan mereka hingga ke lokasi upacara berlangsung.

"Ketika perjalanan, dia kembali meminum susu dan darah lembu kerana ingin terus menggemukkan badannya sehingga ke detik-detik terakhir pertandingan," beritahu beliau.

Upacara itu termasuklah ritual berjalan dalam sebuah lingkaran di sekitar pohon suci selama beberapa jam, dan ditonton oleh kaum lelaki yang lain.

Mereka juga mendapat bantuan daripada golongan wanita yang akan memberikan mereka minuman beralkohol.

Setelah seorang pemenang dipilih, upacara tersebut berakhir dengan penyembelihan lembu menggunakan seketul batu dan kemudian mereka akan memeriksa bahagian perut dan darah lembu itu untuk melihat masa depan sama ada baik atau sebaliknya.

Setelah upacara berakhir, golongan lelaki itu kembali menjalani kehidupan normal. Sebahagian daripada mereka berjaya mendapatkan kembali berat badan asal dengan mengambil kuantiti makanan yang sedikit selama beberapa minggu.

Tetapi beberapa minggu kemudian, generasi berikutnya akan kembali bersaing untuk mendapatkan gelaran lelaki tergemuk.

"Menjadi seorang lelaki gemuk merupakan impian setiap anak-anak suku Bodi tetapi beberapa minggu selepas upacara tersebut, pemenang akan kembali mendapatkan berat badan normal mereka, tetapi dia akan tetap dikenang sebagai seorang pahlawan selama hayatnya," tambahnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat