Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Tubuh Dana Perniagaan Sosial
- Nahas Genting: Beberapa pihak bakal didakwa
- Naik taraf perjawatan untuk perkasakan JPAM - Zahid
Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA NAJIB Tun Razak ketika hadir merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. Turut hadir Profesor Muhammad Yunus (dua dari kanan) yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tabung Belia MyHarapan, Nurfarani Daing (dua dari kiri) dan Hans Reitz (kanan). - BERNAMA KUALA LUMPUR 8 Nov. - Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Dana Perniagaan Sosial bagi memperkasa golongan belia dan membantu menyelesaikan masalah sosial yang tidak dapat ditangani secara sendirian oleh kerajaan. Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dana dengan permulaan RM20 juta akan diselia Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dan mana-mana pihak yang mahu menjayakan aktiviti memperkasakan sosial boleh memohon. "Objektif kerajaan melalui penubuhan dana ini ialah mewujudkan masyarakat yang lebih baik. Kerajaan mengakui tidak semua masalah berkait sosial dapat kita selesaikan secara sendirian walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. "Jadi melalui dana ini, saya berharap kita dapat memperkasakan golongan muda yang komited dengan aktiviti berteraskan sosial dan kemudian membantu kerajaan menyelesaikan beberapa aspek melibatkan masalah sosial secara bersama," katanya. Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global, Hans Reitz; Pengerusi Pusat Yunus, Prof. Muhammad Yunus dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah My Harapan, Ashran Ghazi. Dalam pada itu, Najib memberitahu, beliau yakin dengan model perniagaan sosial yang bertindak sebagai pelengkap kepada sistem pasaran terbuka dalam menyediakan platform lebih baik bagi memperkasakan sesebuah masyarakat. Katanya, berpegang kepada prinsip itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai transformasi terutama dalam aspek ekonomi untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih sempurna dan pada masa sama mencapai status negara maju. |
Nahas Genting: Beberapa pihak bakal didakwa Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST KUALA LUMPUR 8 Nov. - Beberapa pihak termasuk pengurusan sebuah syarikat perkhidmatan bas ulang-alik Genting Highlands bakal berdepan tindakan undang-undang susulan kemalangan maut di Kilometer 3.5, Jalan Genting HighlandsKuala Lumpur pada 21 Ogos lalu. Perkara itu dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas meneliti analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati bas berkenaan dipandu laju ketika menuruni lokasi kemalangan terbabit. Malah jelasnya, siasatan MIROS mendapati, kenyataan daripada mangsa juga menyokong bahawa pemandu bas itu telah memandu laju melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 50 kilometer per jam. ''Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membuat pengumuman mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak tertentu. Cuma saya nak minta mereka memastikan undang-undang memberi ruang untuk tindakan diambil terhadap pengurusan syarikat selain syarikat itu sendiri. ''Saya sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan SPAD untuk mengambil tindakan terbabit. Selain itu, salah satu tindakan yang boleh dipertimbangkan adalah menghentikan operasi syarikat berkenaan,'' katanya dalam sidang akhbar mengumumkan laporan nahas tersebut di sini hari ini. Kemalangan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas selepas kenderaan yang dinaiki 53 orang tersebut terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara. Hishammuddin memberitahu, selain dipandu laju, kekurangan kecekapan fungsi brek pada bas tersebut akibat daripada keadaan pelapik brek yang haus di kedua-dua roda hadapan bas telah mengakibatkan bas gagal diperlahankan ketika menghampiri selekoh tajam di lokasi kemalangan. Selain itu ujarnya, implementasi syarikat bas terhadap Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE), khususnya berkaitan aspek polisi keselamatan dan sokongan pengurusan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan serta laluan dan risiko adalah tidak memuaskan. ''Bagi menjalankan fungsi penyiasatan ini, MIROS juga telah mengadakan 14 sesi perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu secara berasingan bagi mendapatkan penjelasan lanjut, mengesahkan beberapa maklumat yang berbangkit dan mendapatkan pandangan berkaitan penambahbaikan yang praktikal dan efektif. ''Selain siasatan MIROS, SPAD dan polis juga turut menjalankan siasatan berasingan mengikut skop dan bidang kuasa masing-masing, khususnya dalam aspek pelesenan kenderaan komersial dan undang-undang,'' tegasnya. Katanya, kerajaan amat serius dan konsisten dalam menangani isu keselamatan jalan raya dan sebagai langkah segera, pihak kementerian bersetuju melaksanakan beberapa strategi terutama langkah-langkah keselamatan di Genting Highlands. Strategi itu adalah: l Penubuhan seksyen baharu di JPJ dikenali Seksyen Profil Pemandu yang memberi fokus kepada isu-isu pemanduan dengan JPJ berkuasa menggantung atau membatal lesen memandu. l Penempatan pegawai JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Genting Highlands untuk menjalankan pemeriksaan fizikal bas bagi menjamin keselamatan dari segi teknikal. l Penguatkuasaan terhadap pemandu bas di Genting Highlands bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik dan tidak memandu di bawah sebarang pengaruh dadah atau alkohol. ''Dengan pelaksanaan inisiatif terbabit yang akan berkuatkuasa 1 Disember ini, adalah diharapkan ia dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi tersebut di samping meningkatkan keyakinan pengunjung mengenai tahap keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam,'' tambahnya. |
Naik taraf perjawatan untuk perkasakan JPAM - Zahid Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST DAUD Tahir menyematkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah dalam Majlis Perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, 2013 di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN TELOK KEMANG 8 Nov. - Usaha menaik taraf perjawatan sedia ada dan menambah perjawatan baharu adalah antara langkah yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam usaha memperkasakan jabatan berkenaan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jabatan itu akan menambah aset operasi dan logistik, memasang sistem amaran awam, menaik taraf pejabat operasi daerah, membina menara penyelamat pantai dan membuka pejabat operasi baharu. Beliau berkata, semua langkah berkenaan penting bagi memantapkan operasi JPAM seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa. "Memorandum mengenainya kepada Kabinet telah disediakan dan dalam peringkat akhir sebelum dibentang melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara," katanya dalam majlis perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19, 2013 di Port Dickson dekat sini malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Daud Tahir. Yang turut hadir Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Suleiman Keling. Ahmad Zahid memberitahu, pembinaan ibu pejabat Pertahanan Awam di Sungai Merab, Selangor bernilai RM50 juta dan Pusat Latihan Pertahanan Awam fasa 2 di Kluang, Johor dengan kos RM50 juta adalah dua projek baharu yang akan dilaksanakan tahun depan. Lebih 1,500 pegawai dan anggota JPAM dari seluruh negara menyertai himpunan selama tiga hari itu. Pada majlis itu, Daud turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |