{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


SPM terakhir di SMT Perdagangan JB

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Calon SPM bersalaman dengan guru sebelum memasuki dewan peperiksaan.

JOHOR BAHRU 6 Nov. - Sekolah Menengah Teknik (SMT) Perdagangan Johor Bahru yang dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru mempunyai misi tersendiri dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengarahnya, Zanariah Ahmad berkata, seramai 370 calon sekolah tersebut menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini berbanding 386 calon pada tahun lalu.

"Sekolah ini telah dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional pada tahun ini dan ada daripada pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma.

"Oleh itu, SPM pada tahun ini adalah yang terakhir kerana akan ditukar menjadi sebuah kolej vokasional sepenuhnya pada tahun depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seramai 57,090 calon di negeri ini menduduki peperiksaan SPM tahun ini yang bermula hari ini hingga 5 Disember ini.

Daripada jumlah itu, seramai 51,170 merupakan calon sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama kerajaan negeri, sekolah swasta dan individu persendirian.

Zanariah berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai program akademik dan latih tubi sebelum peperiksaan berlangsung dengan harapan mencatat kejayaan lebih cemerlang.

"Selama lapan tahun berturut-turut pencapaian sekolah ini mencatatkan peningkatan dengan tahun lalu kita memperoleh GPS (gred purata sekolah) 2.87 dan pada peperiksaan kali ini kita menyasarkan GPS 2.67.

"Sudah semestinya kita mengharapkan agar keputusan SPM yang terakhir ini adalah yang terbaik kita peroleh dan menjadi hadiah yang paling bermakna," katanya.

Sementara itu, seramai 57,090 calon di negeri ini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh negeri mulai hari ini hingga 5 Disember ini.

Jabatan Pendidikan negeri dalam kenyataan di sini memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 51,170 adalah calon sekolah kerajaan, manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Agama Kerajaan Negeri, sekolah swasta dan individu persendirian.

Sebanyak 382 pusat peperiksaan dibuka bagi calon menduduki peperiksaan tersebut dan melibatkan seramai 3,682 petugas yang terdiri daripada Penyelia Kawasan, Ketua Pengawas dan Pengawas Peperiksaan.

Seramai 21,139 calon turut menduduk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai hari ini sehingga 2 Disember ini di 338 pusat peperiksaan yang dikawal selia oleh 582 petugas di seluruh negeri ini.

30 wakil media sertai cari harta karun JCorp

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Peserta terdiri daripada pengamal media dilepaskan semasa menyertai pertandingan mencari harta karun dalam Program Riadah dan Rekreasi JCorp Bersama Media di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 6 Nov. - Pertandingan mencari harta karun atau treasure hunt bukan asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini.

Malah, pelbagai pihak menggunakan penganjuran acara itu untuk memeriahkan sesuatu sambutan atau program yang dianjurkan.

Bagi Johor Corporation (JCorp), syarikat milik kerajaan negeri ini, penganjuran program mencari harta karun itu diadakan saban tahun.

Namun, kali ini sedikit berbeza apabila kumpulan sasar adalah wakil media yang bertugas di negeri ini.

Seramai kira-kira 30 peserta yang terdiri daripada wakil media serta kakitangan anak syarikatnya JCorp seperti Kumpulan Perubatan Johor (KPJ), Kulim Berhad dan Hotel Puteri Pacific 'didera' dalam Program Riadah dan Rekreasi JCorp Bersama Media 2013 yang diadakan di sekitar bandar raya ini dan Pasir Gudang baru-baru ini.

Nyata program bersifat rekreasi itu begitu menyeronokkan dan berjaya mengembalikan nostalgia pengamal media ke zaman kanak-kanak.

Program dimulakan dengan pertandingan pencarian harta karun apabila para peserta yang dilepaskan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini dikehendaki mencari ejen rahsia JCorp yang 'berkeliaran' di Terminal Larkin.

Di situ, peserta terpaksa menebalkan muka untuk mendekati orang ramai dan bertanyakan sama ada mereka ejen rahsia yang dicari hingga menyebabkan beberapa orang awam yang disapa menjadi terpinga-pinga.

Setelah berjaya menjejaki ejen rahsia yang merupakan seorang wanita yang berpura-pura sibuk menelefon, para peserta bergegas pula ke Kolej Antarabangsa KFCH di Bandar Dato' Onn, di sini untuk mengambil gambar yang kreatif di hadapan pintu masuk kolej berkenaan.

Selesai tugasan kedua, para peserta terus menuju ke pusat bandar Pasir Gudang untuk menyelesaikan tugasan terakhir di situ sebelum menamatkan misi di Hotel Selesa Pasir Gudang.

Tidak berakhir di situ, pada sebelah petangnya pula para pengamal media perlu mengharungi cabaran sukaneka seperti mencari gula-gula dalam tepung, lari berpasangan dengan kain batik, memasukkan air dalam botol serta belon air.

Suasana di padang Hotel Selesa Pasir Gudang yang turut menjadi lokasi penginapan dan makan malam penghargaan serta penyampaian hadiah bertukar menjadi riuh rendah terutama apabila belon air yang gagal dibaling kepada ahli kumpulan terjatuh dan 'meletup'.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi JCorp, Zulkifli Ibrahim dalam ucapannya turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program itu yang dilihat dapat merapatkan lagi hubungan antara JCorp dan anak-anak kumpulan syarikat tersebut bersama pengamal media.

"Kerjasama antara JCorp dan media kebiasaannya adalah atas dasar kerja, sebab itulah program ini dianjurkan kerana pada waktu inilah kita dapat bersama-sama dalam suasana yang cukup santai.

"Tidak dinafikan pihak media banyak membantu kejayaan syarikat ini dan berharap hubungan dan kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang," katanya dalam majlis makan malam.

Yang turut hadir, Naib Presiden Divisyen Khidmat Korporat JCorp, Kamaruldzaman Salleh dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Pada majlis sama, Zulkifli turut menyampaikan hadiah kepada pasukan RTM Johor yang muncul juara pertandingan pencarian harta karun manakala tempat kedua dimenangi Astro Awani dan tempat ketiga diraih Utusan Malaysia.

JCorp turut menyumbang sebuah televisyen kepada Kelab Media Johor untuk digunakan di Rumah Kelab yang terletak di Taman Merdeka.

Enam rumah dilanda banjir

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Abd. Razak Minhat (kiri) melawat salah sebuah rumah yang dilanda banjir kilat di Kampung Tok Karim, Tanjung Gading, Kesang, Ledang, semalam.

LEDANG 6 Nov. - Hujan lebat selama hampir empat jam menyebabkan enam rumah yang didiami kira-kira 30 penghuni di Kampung Tok Karim di Tanjung Gading, Kesang dekat sini dilanda banjir kilat petang semalam.

Air setinggi hampir setengah meter tersebut turut merosakkan perabot dan peralatan rumah lain dengan kerugian awal dianggarkan RM6,000.

Kesemua mangsa diletakkan dalam berjaga-jaga untuk berpindah sekiranya keadaan lebih buruk termasuk 10 buah rumah lain didiami kira-kira 50 penghuni di kawasan berdekatan yang turut berkemungkinan dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat yang melawat kawasan berkenaan berkata, lokasi yang rendah selain parit sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak menjadi punca banjir di kawasan itu.

Katanya, jika keadaan bertambah buruk, semua mangsa yang bekerja sebagai nelayan dan swasta akan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gading.

"Untuk tindakan lanjut kita sudah berbincang dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik bagi tujuan keselamatan dan Pejabat Kesihatan bagi mengelak penyakit berjangkit atau wabak.

"Selain itu, langkah mendalam serta melebarkan laluan air di Parit Tok Karim, Parit Karang Barat, Parit Ponorogo dan Parit Rawang akan dilakukan segera," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir hari ini.

Yang turut mengiringi beliau ialah Penghulu Mukim Kesang, Abdul Majib Mistam; Ketua Kampung Tanjung Gading Barat, Jaafar Mohd. Salleh; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ledang, Rosly Aiman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani.

Abd. Razak turut menasihatkan semua mangsa dan penduduk lain yang berisiko dilanda banjir mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diarahkan berpindah selain menyimpan dokumen penting serta barangan berharga lebih awal.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, selain merosakkan harta benda dan tanaman, banjir tersebut juga menyebabkan kebun sawit seluas kira-kira 16.8 hektar milik penduduk ditenggelami air sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

"Terdapat antara 20 hingga 30 pengusaha kebun kelapa sawit di kawasan berkenaan tidak dapat memetik hasil berikutan kebun ditenggelami air dan mereka menanggung kerugian dianggarkan RM24,000," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat