Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- EEC payungi usaha melestari alam
- Rampas ubat, kosmetik RM10,000
- Giatkan pembangunan industri pelancongan - Sultan Mizan
EEC payungi usaha melestari alam Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB Para pegawai dan sukarelawan Petronas melepaskan benih ikan bagi memulihkan semula habitat di Sungai Kerteh, baru-baru ini. KEMAMAN 19 Nov. - Tiga dekad lalu, Kerteh di laluan penghubung pantai timur hanyalah sebuah mukim dengan beberapa perkampungan tradisional nelayan dan petani yang bagaikan tidak terusik oleh masa. Kehidupan mereka dengan kegiatan kecil-kecilan berlegar dalam suasana tenang dan lengang yang bersatu dengan latar alam semulajadi - pantai, sungai yang ditabiri hutan paya bakau dan hamparan tanah datar serta bukit-bukau di kejauhan. Bermula era 80-an, limpahan emas hitam dari dasar laut memberi nafas kepada kawasan itu dengan meluncurnya industri petroleum dan gas yang menebar luas, merubah wajah landskap Kerteh menjadi sebuah 'bandar minyak' dengan malam bercahaya, mulai pesat menjana perkembangan ekonomi setempat dan negeri yang lesu awalnya. Di sini turut menjadi tarikan pelaburan asing berskala besar dan terbangunnya pelbagai loji bertaraf dunia yang mengerakkan pelbagai industri huluan dan hiliran di samping wujudnya penempatan meluas yang kian menghimpit dan memerangkap alam Kerteh. Sekali gus ia menjadi suatu cabaran kepada pihak industri yang lazimnya dibimbangi akan mengorbankan alam sekitar dan membawa kesan pencemaran melalui pelbagai kegiatan proses pengembangan di kawasan di mana operasi dijalankan. Petronas Chemicals Group (PCG) mengambil tanggungjawab ini untuk mengimbangi antara dua kepentingan alam dan perniagaan di kawasan yang memberikan tapak kukuh melebarkan sayap kegiatannya. Kumpulan itu memberi perhatian terhadap usaha memulihara alam sekitar dengan fokus terhadap hutan paya bakau dan tumbuh-tumbuhan pesisir sungai merupakan habitat sensitif bagi hidupan akuatik dan darat. Hutan paya bakau berperanan sebagai kawasan pembiakan subur bagi hidupan air masin dan air tawar, yang turut menyumbang kepada kegiatan perikanan di muara sungai di samping boleh berfungsi sebagai salah satu pelindung daripada fenomena semula jadi seperti ribut, ombak dan hakisan pantai. Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Dr. Abd. Hapiz Abdullah memberitahu, menyedari hakikat pentingnya ekosistem ini untuk terus diwarisi oleh generasi pada masa depan, PCG giat meneruskan usaha memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau. "PCG sedar akan kepentingan dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan negara di mana kami beroperasi dan ini merupakan salah satu daripada pelbagai pendekatan. ''Segala usaha kami selaku anak syarikat Petronas adalah bertujuan mencapai objektif perniagaan di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap pembangunan sosioekonomi dan alam sekitar yang berterusan. ''Justeru, PCG telah menjadikan ecoCare sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tunggak kendaliannya yang tertumpu kepada usaha perhutanan semula dan pemulihan habitat hutan paya bakau yang sensitif dari segi ekologi termasuk di sepanjang Sungai Kerteh," ujar beliau kepada media baru-baru ini. Program ecoCare yang dibiayai sepenuhnya oleh PCG dan diurus oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), mencerminkan komitmen berterusan PCG sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dalam melindungi alam sekitar melalui pemuliharaan dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat. "PCG benar-benar komited dalam memastikan kejayaan ecoCare kerana program ini memperlihatkan keprihatinan kami terhadap alam sekitar, khususnya Sungai Kerteh yang berhampiran dengan loji kami," ujarnya. Bersama-sama dengan MNS, PCG telah menjalinkan kerjasama erat dengan masyarakat setempat untuk memastikan habitat di sepanjang sungai dan persekitarannya sentiasa dipantau dan diselenggara. Menyingkap rentetan kegiatannya, ecoCare yang dimulakan pada Oktober 2005 melibatkan usaha-usaha penghutanan semula dan pemulihan habitat hutan paya bakau yang sensitif dari segi ekologi dan tumbuh-tumbuhan pesisir pantai di sepanjang Sungai Kerteh dan juga di beberapa kawasan di negeri-negeri lain. Sehingga kini, lebih 7,000 benih pokok bakau telah ditanam di atas permukaan terhakis meliputi 11,000 meter persegi di sepanjang Sungai Kerteh yang dijayakan oleh anak syarikat PCG, Petronas Chemicals Olefins Sdn. Bhd, Petronas Chemicals Glycols Sdn. Bhd. dan Petronas Chemicals Derivatives Sdn. Bhd. 'Di dalam mencapai aspirasi untuk melestarikan alam sekitar, kami berusaha untuk sentiasa bertanggungjawab terhadap bumi kita, berkongsi amalan terbaik dan memimpin untuk meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar yang indah ini," ujarnya. Sebagai langkah seterusnya, ecoCare menumpu kepada pelaksanaan program pendidikan dan kurikulum alam sekitar menerusi Pusat Pendidikan Alam Sekitar (EEC) di Kerteh, yang pertama seumpamanya di Semenanjung dengan peruntukan lebih RM4.8 juta untuk dimanfaatkan oleh semua. EEC menyediakan peluang pendidikan alam sekitar bersepadu bertujuan untuk memupuk kesedaran, kefahaman dan keprihatinan terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai program yang berkait rapat dengan ekosistem Sungai Kerteh yang khusus kepada keadaan fizikal serta biodiversiti pantai. Pusat yang bakal disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, juga akan menggalakkan penubuhan Kelab Pencinta Alam Sekolah di sekolah-sekolah berhampiran bagi menyemaikan kesedaran lebih meluas dan rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda untuk bersama memainkan peranan. EEC, kemuncak kepada pendekatan peranan PCG yang akan dikendalikan oleh MNS dijangka menerima ribuan pelawat terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun. ''Bagi menampung kehadiran pelawat-pelawat ini, para sukarelawan turut memainkan peranan penting. Walaupun mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, namun cinta terhadap alam sekitar menyatukan hati mereka dalam menjayakan usaha murni ini," ujar Abd. Hapiz. Lebih 300 orang sukarelawan pusat ini, kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan Kampung Telaga Papan, Kampung Tengah dan Kampung Gelugor serta kakitangan Petronas di Kerteh. Sebelum wujudnya EEC, para sukarelawan 'hijau' ini bergiat aktif dalam usaha-usaha penanaman semula pokok bakau dan pendidikan alam sekitar yang menarik tumpuan kepada masyarakat setempat dan para pelajar di sekitar daerah ini. Mereka seakan menjadi satu simbol kejayaan awal usaha ini dengan berusaha bertungkus-lumus di sebalik tabir bagi memastikan para pelawat ke EEC kelak daripada pelbagai latar belakang dari dalam dan luar akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program-program yang ditawarkan. Selain menjadi penyumbang utama menggerakkan perkembangan industri untuk negara, Petronas melalui PCG yang mewujudkan EEC cuba mengingatkan kita bahawa ia turut menjadi pencetus semarak kecintaan terhadap alam warisan dengan memayungi usaha pengekalannya. |
Rampas ubat, kosmetik RM10,000 Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh YATIMIN ABDULLAH KOTA BHARU 19 Nov. - Cawangan Penguat Kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas pelbagai jenis ubat-ubatan dan barangan kosmetik tidak berdaftar yang mengandungi racun berjadual seperti raksa dan hidro kimia dalam operasi di sebuah pasar raya di sini hari ini. Operasi tersebut dilakukan ke atas lima buah kios di dalam pasar raya berkenaan oleh Cawangan Penguat Kuasa Farmasi yang berjaya merampas barangan tersebut dianggarkan bernilai RM10,000. Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasa Farmasi, Norma Zakaria berkata, rampasan tersebut melibatkan barangan seperti jamu, ubat-ubat dan kosmetik. "Tujuan operasi yang diadakan ialah untuk memastikan semua ubat dan barangan kosmetik yang dijual di kios dalam pasar raya berkenaan mematuhi undang-undang ditetapkan. "Ini merupakan operasi pertama yang dilakukan pihak jabatan ke atas kios di dalam pasar raya berkenaan. Operasi tersebut akan diteruskan ke pasar-pasar raya lain pula selepas ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Norma memberitahu, barangan yang dirampas akan diserahkan kepada pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut. Katanya, bagi produk kosmetik yang dipercayai mengandungi bahan beracun berjadual itu akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis. "Kes ini akan disiasat mengikut Peraturan 71A, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. "Bagi produk yang mengandungi bahan beracun terlarang akan disiasat mengikut Seksyen 13A Akta Racun 1952," ujarnya. Norma turut menasihatkan pengguna produk kosmetik dan ubat-ubat supaya lebih berwaspada dalam memilih produk bagi mengelak kemudaratan. "Pengguna perlu bijak memilih dan banyakkan membaca tentang kandungan, bahan yang terdapat dalam sesuatu produk sebelum membeli," katanya. |
Giatkan pembangunan industri pelancongan - Sultan Mizan Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Sebahagian daripada peserta yang menghadiri Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013 di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 19 Nov. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (gambar) mahu kerajaan negeri dan penggiat industri pelancongan menjayakan usaha bersepadu secara kreatif dan inovatif bagi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan alam semulajadi yang terkenal di dunia. Di samping itu, titah baginda, dengan anugerah alam pulau, pantai, tasik dan hutan hujan, pembangunan kawasan pelancongan perlu dilakukan secara terancang dan menyeluruh seperti kemudahan asas yang dapat merangsang pelaburan swasta untuk membangunkan hotel, calet manakala pakej menarik dapat ditawarkan. Titah baginda, langkah sedemikian dapat membantu melonjakkan lagi industri ekopelancongan dan pelancongan marin di negeri yang memiliki pelbagai kekayaan alam untuk dimanfaatkan. Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan perasmian Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Supian Wan Ishak. Baginda turut meminta kerajaan negeri mengkaji cadangan menjadikan kawasan Tanah Bencah Setiu sebagai kawasan Wetlands Negeri sesuai untuk pelancongan yang berasaskan komuniti di mana pelancong boleh menyusuri sungai, melawat sangkar ikan dan ternakan tiram serta menanam pokok bakau. "Begitu juga dengan aktiviti memerhati burung yang berpotensi untuk dibangunkan. Lebih daripada 230 spesies burung berjya direkodkan di Kenyir yang mana sembilan spesies daripadanya adalah burung enggang," titah baginda. Sultan Mizan juga mahu melihat kegiatan menyelam menjana industri pelancongan marin yang bergantung kepada pulau dan juga alam laut yang indah. Sehubungan itu, baginda menyeru supaya konsep carrying capacity dan kajian alam sekitar perlu ada dalam perancangan pembangunan di pulau-pulau bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi serta kehidupan dasar laut. Baginda menarik perhatian bahawa ekopelancongan mula diperkenalkan di Malaysia pada 1996 dalam Pelan Ekopelancongan Kebangsaan. Pelan itu mencadangkan 'Pembangunan Pelancongan Lestari' di 48 kawasan di negeri ini termasuk di Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands yang dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |