Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH Pemenang bagi semua kategori dalam acara penutup Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini. - utusan/azlan bahrum KUALA TERENGGANU 20 Nov. - Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang berakhir di sini baru-baru ini menjadi pencetus kepada penghasilan karya seni yang unik iaitu 'Batikhat', gabungan batik bermotif tulisan jawi. Penggabungan dua hasil seni warisan yang menjadi satu lagi wadah mempelbagaikan produk berasaskan kaligrafi melalui pertandingan julung kali diadakan dan diserlahkan melalui peragaaan fesyen yang memeriahkan festival itu. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, hasil inovasi yang dirintis meneroka lebih luas potensi perkembangan fesyen batik terkini yang boleh dikembangkan ke persada dunia bagi menyerlahkan lagi batik Terengganu. "Batikhat boleh dibawa ke peringkat antarabangsa kerana batik sangat sinonim dengan Terengganu manakala pemakaian batik sudah diterima di peringkat dunia," katanya ketika berucap dalam majlis penutup festival di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini baru-baru ini. Sambil mengucapkan tahniah kepada pengurusan TTI, beliau berkata, langah memperkenalkan sesuatu yang baharu bagi mengkomersialkan produk-produk yang dihasilkan dari sumber asas khat seperti batik akan menjadi sebahagian daripada khazanah penting negara suatu masa nanti. Dalam pertandingan 'Batikhat', Rohayah Ali membawa pulang RM4,000 setelah dipilih sebagai johan manakala Kadir Jusoh di tempat kedua (RM3,000) dan Sedratul Muntaha Ismail di tempat ketiga (RM2,000). TIIAF edisi kedua selama lagi tiga hari itu yang menarik tumpuan ramai ke TTI, berkonsep Memasyarakatkan Tulisan Jawi Dalam Persekitaran Kehidupan sebagai salah satu medium menyemai kecintaan dan menyuburkan kesenian Islam, khususnya khat yang berkait rapat dengan tulisan jawi. Ahmad berkata, menerusi TIIAF, kegemilangan khat cuba dimasyhurkan semula di mana penulisannya yang cukup indah dan berseni tidak hanya pada kertas, malah pelbagai medium lain turut diolah dan digunapakai seperti kanvas, kayu, serta logam. Selain seminar dan bengkel festival yang menarik penyertaan tokoh-tokoh khat di peringkat antarabangsa, turut diadakan pertandingan seni khat kategori antarabangsa, kebangsaan, spontan sekolah dan terbuka, menggunakan pelbagai medium di samping 'Batikhat'. Lebih 500 orang menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan yang keseluruhan bernilai lebih RM100,000. Pertandingan karya khat antarabangsa dimenangi oleh Abdul Baki Abu Bakar dari Malaysia yang menerima AS$5,000 manakala tempat kedua, Ahmed Hassan Eldesouky Elhawany dari Mesir yang menerima AS$3,000 dan ketiga Ihab Ibraheem Thabat (Palestin) menerima AS$2,000 dan sijil. Bagi peringkat kebangsaan pula, Syed Mohd. Shafie Tuan Sidi, 25, dari Kuala Terengganu menggondol dua hadiah utama untuk dua kategori karya siap iaitu siap kayu dan siap logam dengan membawa pulang wang tunai RM10,000. Beliau turut dianugerahkan Piala Mandalika. Tempat kedua karya siap kayu dimenangi oleh Mohd. Yazid Misdi menerima wang tunai RM4,000 dan ketiga A. Wahab Mohamad menerima RM3,000 manakala empat kedua karya siap kategori logam dimenangi oleh Abdul Baki Abu Bakar (RM4,000) dan ketiga Syed Ibrahim Helmi Syed Mohamad (RM3,000). Bagi kategori spontan sekolah rendah, tiga tempat teratas dimenangi oleh Nur Alya Batrishah, Nik Maghirah Nik Abdul Rahman Zaki dan Nik Mawaddah Nik Abul Rahman Zaki manakala bagi sekolah menengah, Mohmmad Amir Nasrullah Mohd Razib dipilih sebagai juara, Muhamad Yazid Shmasuddin (kedua) dan Muhammad Yasier Syafiq (ketiga). Kategori terbuka pula dimenangi oleh Zamri Amid manakala tempat kedua, Mohamad Hafizuddin dan ketiga, Norshaharizal Saadia'i. |
Alumni medium memperkasa KPTM KB Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST KOTA BHARU 20 Nov. - Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu (KPTM KB) mahu menjadikan penubuhan persatuan alumni kolej itu sebagai medium memperkasa kolej berkenaan menjadi antara pusat pengajian terunggul di negeri ini. Pengarah KPTM KB, Mohamed Saifuddin Hussain berkata, persatuan itu yang baharu sahaja ditubuhkan bertujuan membina jaringan antara bekas pelajar dengan penuntut yang masih meneruskan pengajian di kolej berkenaan. "Ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan, malah dapat membantu penuntut-penuntut yang akan keluar mencari pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti. "Selain itu, melalui persatuan ini juga kita berharap dapat bertukar-tukar pendapat dalam usaha memperkasakan KPTM KB. "Setakat ini, jumlah keahlian mencecah hampir 700 orang dan usaha akan dipergiatkan bagi menambahkan ahli persatuan pada masa akan datang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kejohanan futsal anjuran Persatuan Alumni KPTM KB di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Presiden Persatuan Alumni KPTM KB, Nik Mohd. Hilmi Nik Mohd. dan Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan dan Kediaman) kolej, Raja Izudin Raja Ahmad. Sementara itu, Nik Mohd. Hilmi memberitahu, selain mesyuarat agung yang dijadualkan berlangsung bulan depan, pihaknya juga bercadang mengadakan program pemantapan siswazah dengan kerjasama Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) di Pulau Perhentian, Februari tahun depan. Sementara itu, dalam pertandingan futsal tersebut, pasukan Sharmi Sports mengungguli kejohanan tersebut setelah menewaskan KPTM Kesedar, Gua Musang menerusi sepakan penalti 3-1 dalam perlawanan akhir. Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menghiburkan dalam pentas final namun tetap buntu menghasilkan jaringan memaksa penentuan juara ditentukan menerusi sepakan penalti. Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan Sharmi Sports membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dan medal sementara KPTM Kesedar selaku naib juara meraih RM400. Sementara itu, KS One dan Staf KPTM Kota Bharu C yang berkongsi tempat ketiga turut menerima RM250 setiap pasukan. Lebih bermakna buat Sharmi Sports apabila Muhammad Amirol Afif Mohd Arshad dan Nik Khuzaimi Nudin diangkat selaku Pemain Terbaik dan Pengurus Terbaik, sementara Mohd. Faris Redzuan Mohd. Noor (KPTM Kesedar) menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik dalam kejohanan itu. |
Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI Pokok bakau yang ditanam semula di Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare Kampung Labohan, Kemaman, semalam. KEMAMAN 20 Nov. - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengambil inisiatif menyediakan kemudahan pusat pendidikan dan informasi alam sekitar pertama di Pantai Timur dalam usaha memberi pengetahuan tentang pemuliharaan kawasan hutan paya bakau dan tumbuhan pesisir sungai kepada penduduk. Pusat informasi yang dikenali sebagai Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare (EEC) di Kampung Labohan, Kerteh dekat sini dibiayai sepenuhnya oleh PCG dan diuruskan MNS, bakal menjadi sebuah pusat bersepadu yang menumpu kepada pelaksanaan program pendidikan dan kurikulum alam sekitar. Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah berkata, ia bertujuan memupuk kesedaran, kefahaman dan keprihatinan terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat terutama melibatkan penduduk setempat. Katanya, program EEC adalah rentetan fasa pertama Projek Pemuliharaan Hutan Paya Bakau Kerteh yang dimulakan sejak Oktober 2005 melibatkan penanaman semula dan pemuliharaan habitat tumbuhan bakau. "Penubuhan EEC merupakan fasa kedua projek berkenaan di mana kita memperuntukkan kira-kira RM5 juta untuk penyediaan fasiliti manakala RM50,000 setiap tahun untuk pengurusan. "Bagi membolehkan pusat ini menjadi salah satu sumber rujukan, kita akan menggalakkan penyertaan pihak sekolah serta masyarakat setempat untuk sama-sama menyertai aktiviti yang diadakan di mana kita juga menyediakan sebanyak 120 buah katil untuk penginapan pengunjung," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian EEC di Kampung Labohan di sini hari ini. Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan perasmian dengan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut mengiringi ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Naib Presiden Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Raiha Azni Abdul Rahman dan Presiden MNS, Prof. Dr. Maketab Mohamed. Dalam pada itu Maketab berkata, EEC merupakan pusat pendidikan keenam di bawah kendalian MNS di mana satu-satunya yang menumpukan pemuliharaan ekosistem pesisir sungai. Jelasnya, penubuhan EEC berbeza berbanding pusat pendidikan lain di mana PCG menyalurkan dana khas untuk pelaksanaan program berkaitan. "Melalui dana yang disediakan oleh PCG membolehkan kita menyediakan ruang pameran berkaitan tumbuhan di pesisir sungai selain kita juga menyediakan kakitangan yang terlatih untuk mengendalikan aktiviti yang kita adakan. "Selain itu, uniknya di sini kita juga mempunyai komuniti setempat yang menjadi sukarelawan dari Kampung Tengah, Kampung Gelugur dan Kampung Telaga Papan untuk menjaga persekitaran di sini," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |