{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


PSIC 2013 perkasa penguasaan BI

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

PARA pelajar tekun mendengar ceramah yang disampaikan.

KOTA BHARU 21 Nov. - Murid sekolah rendah biasanya dikaitkan dengan perlakuan yang hanya suka bermain dan kurang minat terhadap proses pembelajaran.

Namun, dengan mengikuti program Persidangan Sekolah-Sekolah Rendah Antarabangsa (PSIC) 2013, mereka dapat melihat sisi lain dalam aspek pembelajaran.

Program kali kedua anjuran Sekolah Rendah (SK) Zainab 2, salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 28 hingga 31 Oktober lalu, turut melibatkan penyertaan murid dari tiga negara dan bertujuan memperkasa komunikasi bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Ini kerana penguasaan bahasa Inggeris oleh murid sekolah rendah penting bagi membolehkan mereka mahir berkomunikasi dalam bahasa antarabangsa itu terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi.

Seramai 215 murid melibatkan 26 buah sekolah dari Malaysia, Indonesia, Sri Lanka dan India menyertai program kali ini yang perasmiannya disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Dr. Nai'mah Ishak.

Nai'mah ketika ditemui berkata, program yang diadakan selama empat hari itu memberi peluang kepada murid-murid untuk menimba pengalaman tentang budaya negara luar dan pendidikan dalam bahasa Inggeris.

"Dalam era globalisasi ini, para pelajar digalak berbahasa Inggeris. Penganjuran persidangan ini merupakan satu usaha ke arah pengantarabangsaan pendidikan negara dan melalui pengalaman ini ia juga dapat meningkatkan pengetahuan tentang budaya negara lain," katanya Utusan Malaysia selepas merasmikan persidangan itu yang berlangsung di Perdana Resort dekat sini baru-baru ini.

Katanya, program yang dianjurkan oleh SK Zainab 2 itu merupakan salah satu langkah pemindahan ilmu kepada murid-murid dengan memfokus kepada kemahiran berkomunikasi, mendengar, membaca dan menulis di samping berfikir secara kritis.

"Secara tidak langsung program ini akan menjadi pemangkin kepada usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid di peringkat sekolah rendah dengan mempertingkatkan keyakinan diri," ujarnya.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena persidangan tersebut. Antaranya pertandingan melukis poster, syarahan bahasa Inggeris, kebudayaan dan banyak lagi.

Beliau berharap, program tersebut akan dibuat secara berterusan pada masa akan datang supaya dapat melahirkan modal insan yang mahir tentang pemikiran aras tinggi, meningkatkan kemahiran berfikir, inovatif dan kreatif.

Nai'mah berharap penyertaan ke dalam persidangan itu diperluaskan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid.

Sementara itu, Guru Besar SK Zainab 2, Aidah Mohd. Salleh berkata, pihaknya mengharapkan lebih ramai murid sekolah rendah mempunyai kebolehan memahami dan bertutur dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa dan menguasai bahasa itu merupakan nilai tambah kepada seseorang murid.

Katanya, tidak ramai murid sekolah rendah di negeri ini mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik, malah lebih menyedihkan ada yang langsung tidak memahami bahasa tersebut.

"Penguasaan bahasa Inggeris penting lebih-lebih dalam era globalisasi dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) sekarang ini. Pembelajaran bahasa Inggeris di dalam kelas tidak mencukupi untuk menguasai bahasa ini dengan baik.

"Para pelajar perlu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jangan malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, belajarlah daripada pengalaman. Apabila selalu bertutur dalam bahasa Inggeris, penguasaan bahasa itu akan meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dalam memperkayakan penguasaan bahasa Inggeris sebaliknya turut membentuk keyakinan berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

"Kami menyasarkan setiap peserta mampu berkomunikasi, menulis dan membaca dalam bahasa Inggeris dengan baik selepas mengikuti program ini.

"Saya harap program sebegini diperluaskan ke seluruh negara pada masa depan bagi memastikan murid-murid mendapat peluang memperkayakan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

"Diharap dengan pendedahan yang diberikan dalam program ini, mereka dapat mempraktikkan bahasa Inggeris dipelajari bagi memantapkan bahasa tersebut," kata Aidah lagi.

Sementara itu, seorang guru pengiring dari Indonesia, Indah Sofiani, 30-an yang mengajar di Sekolah Bogor Raya berkata, program itu membantu pelajarnya berkomunikasi lebih baik.

Selain itu ujarnya, usaha itu dapat mewujudkan semangat kerjasama antara peserta dalam usaha meningkatkan keupayaan berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Bagi seorang peserta, Amalin Aisyah Putri, 12, dari SK Zainab 2, yang julung-julung kali menyertai persidangan itu mengakui gembira kerana telah menimba pengalaman baharu.

"Saya seronok ikut program ini sebab dapat berjumpa ramai kawan, selain itu banyak juga aktiviti diadakan kalau boleh program ini diadakan lagi tahun depan," katanya.

Audryna Vaniia, 11, dari Sekolah Bogor Raya pula berkata, program itu amat berbeza dengan banyak program yang pernah disertainya.

Katanya, dia akan menggunakan ilmu yang diperolehi sepanjang persidangan untuk meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris.

"Saya memang seronok mengikuti program ini dan saya telah mengikuti semua aktiviti yang diadakan seperti pertandingan syarahan, melukis dan sebagainya," ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Sofia Yunoos Gitaboy, 12, dari SK Methodist Perempuan, Kuala Lumpur, berkata, selain menambahkan ilmu pengetahuan, dia dapat bertemu ramai kawan baharu dari pelbagai sekolah termasuk pelajar luar negara.

"Saya harap program sebegini akan terus diadakan untuk membantu pelajar sekolah berkomunikasi dengan pelajar negara lain selain mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih mendalam lagi," katanya.

PKB sertai program moderasi kepimpinan di Pulau Tioman

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Program Moderasi Kepimpinan Mahasiswa Politeknik 1Malaysia di Kampung Semalu, Pulau Tioman, Pahang, baru-baru ini.

KOTA BHARU 21 Nov. - Sebanyak empat penuntut Politeknik Kota Bharu (PKB) mengikuti Program Moderasi Kepimpinan Mahasiswa Politeknik 1Malaysia di Kampung Semalu, Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini.

Pegawai Hal Ehwal Pelajar PKB, Mohd. Shaiful Azhar Jaafar berkata, kursus selama tiga hari dua malam itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan dengan ilmu kepemimpinan.

Menurutnya, melalui program tersebut para peserta turut didedahkan dengan ilmu berkaitan dengan komunikasi bersama masyarakat luar sekali gus memperkasakan lagi ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka.

"Hasrat PKB ialah untuk melahirkan lebih ramai golongan pemimpin dalam kalangan pelajar bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat-bakat baharu dalam bidang berkenaan.

"Selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan lebih ramai pemimpin dalam kalangan golongan muda di negara ini, PKB mahu menjadi salah sebuah pusat pengajian yang menyumbang kepada perkara tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sepanjang program tersebut, para peserta turut mengadakan aktiviti bersama masyarakat seperti gotong-royong membersih pantai, taklimat pengurusan jenazah, program motivasi dan pemuliharaan batu karang.

Program tersebut turut disertai sebanyak 51 penuntut Politeknik dari seluruh negara.

Sementara itu, penuntut, Alias Samad berkata, program tersebut memberi banyak manfaat dan pengalaman baharu kepadanya terutama dalam aspek kepimpinan.

"Apa yang saya timba sepanjang menyertai program ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin sebaik sahaja keluar dari Politeknik nanti," ujarnya.

Tiada jurang pencapaian akademik

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

HULU TERENGGANU 21 Nov. - Dengan persediaan prasarana sokongan yang seimbang dan menyeluruh serta komitmen berterusan warga pendidik, sudah tiada bezanya jurang pencapaian akademik sekolah-sekolah di kawasan pedalaman dan di bandar di negeri ini.

Murid-murid juga telah membuktikan, biarpun latar belakang kehidupan dan lokasi penempatan mungkin berbeza, tiada halangan tetapi peluang untuk berjaya bagi setiap anak negeri jika mempunyai kesungguhan untuk mencapainya.

Ini terus diperlihatkan dengan pencapaian sekolah-sekolah di luar bandar termasuk di daerah ini dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2013 (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini.

Hulu Terengganu mencatat bilangan sekolah terbanyak berada dalam senarai 21 buah sekolah terbaik dengan lapan buah sekolah berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) manakala Besut mencatatkan bilangan calon terbanyak yang memperoleh 5A.

Kesemua lapan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang yang mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.17, SK Teris (1.20), SK Dusun (1.26), SK Binjai Kertas (1.37), Sk Seri Berang (1.37), SK Kemat (1.40), SK Tapu (1.46) dan SK Tengku Ampuan Intan (1.60).

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussin ketika ditemui berkata, daerah ini mencapai 76.80 peratus dalam minimum C bagi kesemua mata pelajaran dan ini merupakan pencapaian tertinggi manakala 232 murid daripada 1,430 calon memperoleh semua A (16.2 peratus).

"Kejayaan ini membuktikan bahawa kita memberi tumpuan seimbang, tidak hanya fokuskan kepada mereka yang berpotensi akan dapat semua A tetapi juga murid yang lemah agar mereka mampu bangkit di sekolah menengah," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, kejayaan itu juga dicapai hasil kerja keras semua pihak termasuk guru-guru besar, guru selain sentiasa mendapat dorongan wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat yang turut turut padang bagi memastikan kejayaan murid.

''Kejayaan pada tahun ini mengulangi apa yang telah dicapai pada tahun lalu dengan sembilan buah sekolah dalam senarai 25 sekolah terbaik peringkat negeri," ujarnya.

Katanya, gerakan terancang dan bersepadu untuk kebangkitan daerah ini dijayakan dengan pendekatan bertemakan 'Hulu Terengganu Pendahulu' pada 2010 disusuli dengan 'Hulu 'Terengganu Cemerlang' (HuteC) pada 2012 dan 'Jjadi Sungguh' pada tahun ini.

''Dalam usaha membudayakan kecemerlangan ini, kita mengadakan perikatan strategik dengan wakil-wakil rakyat dan para pemimpin setempat, jabatan dan agensi, pihak swasta dan badan bukan bukan kerajaan dalam mengadakan program tersendiri yang berfokus.

''Di peringkat PPD, suatu menjadi kemestian bagi kita untuk bertemu dan berbincang dengan semua calon dan ibu bapa mereka bagi memberikan motivasi termasuk dalam seminar keibubapaan di samping mengadakan dialog prestasi dengan pentadbir sekolah," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat