Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Irma enggan susahkan sesiapaSEJAK berhijab, wajah Irma Hasmie Ibrahim sudah kurang muncul di kaca televisyen, apatah lagi di layar perak. Namun, tutur Irma sopan menyusun kata, dia masih lagi ingin berlakon walaupun mempunyai batas dalam menerima watak. Walaupun ketika ditebak persoalan tentang bidang lakonan, jawab Irma yang masih meminati bidang yang menaikkan namanya itu, sebagai seorang ibu serta isteri, Irma tidak kisah berkorban minat dengan keluarga tercinta. Ketika bertemu pada majlis pelancaran dan perlantikan duta produk kecantikan dan kesihatan jenama Radiglow yang bertempat di Hotel Royale Chulan, Irma yang ditemui bercerita mengapa dia menolak banyak tawaran lakonan serta drama, khususnya. Tutur wanita ini, apa yang membuatkan dia menolak untuk tampil di kaca televisyen adalah kerana ingin fokus kepada permata hatinya dan suami, Redza Syah Irfhan yang kini hampir berusia sembilan bulan. Lihat depan mata Bicaranya mengolah cerita, keletah anak yang semakin membesar membuatkan dirinya rindu jika ditinggalkan walaupun sebentar. Katanya, dari awal lagi suami dan keluarga memberi galakan untuk menjaga sendiri Irfhan daripada diberi kepada pengasuh. "Apa yang penting bagi saya ialah mengasuh dan melihat sendiri Irfhan membesar di depan mata. Itu merupakan perkara yang diberi fokus buat masa ini. Walaupun setiap hari menjaga dan mengasuhnya, saya masih rasa tidak puas kerana setiap hari pasti benda baharu yang muncul yang akan dilakukannya. "Kami memang tidak ada pengasuh atau biar sesiapa jaga. Oleh itu, saya dan suami akan bergilir-gilir untuk menjaga anak," jelas Irma yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang menjawab soalan pihak media. Tambahnya, bukan dia tidak percaya pada orang ataupun ahli keluarga untuk menjaga buah hatinya itu, namun dia dan suami lebih suka untuk tidak menyusahkan sesiapa, terutamanya ahli keluarga. Selain itu, isteri kepada Reza Syah Azmeer Mohd. Redzuan ini juga tidak menafikan penjagaan anak merupakan pengalaman yang mencabar buat dirinya.
Teknologi Teknologi merupakan medium penting yang digunakan oleh masyarakat seluruh dunia. Penggunaannya bukan sekadar dalam kalangan golongan dewasa serta remaja sahaja, malah kanak-kanak juga tidak ketinggalan mempelajari penggunaan teknologi semasa. Apabila diajukan soalan tentang cara mereka mendidik Irfhan, jelas wanita berusia 31 tahun ini, dia akan mendidik anaknya mengikut perkembangan semasa. "Saya akan dedahkan Irfhan kepada teknologi semasa yang digunakan kini serta tidak mahu menghalang anaknya mempelajari teknologi yang ada. "Mahu atau tidak, mereka perlu didedahkan dengan perkara tersebut kerana tidak mahu pula dia ketinggalan di kemudian hari. "Bagaimanapun, saya dan suami akan mengajar mereka menggunakan teknologi dengan cara yang betul," beritahu Irma mengenai didikan terhadap anak. Beralih kepada perancangan menambah bilangan ahli keluarga, jelasnya, jika diberikan rezeki, dia dan suami tidak menolak. Tuturnya, dia tidak mempunyai sebarang perancangan atau tetapkan tempoh untuk mempunyai cahaya mata kedua. "Irfhan dilahirkan secara pembedahan. Oleh itu, doktor menasihati supaya tetapkan tempoh tiga tahun lagi untuk memiliki anak yang kedua. "Namun, jika Allah ingin beri rezeki kepada kami sebelum tempoh tersebut, saya dan suami tidak kisah serta bersyukur dengan pemberianNya," kata Irma ringkas. Watak hitam Berubah topik tentang kerjaya seninya, seperti yang diketahui, Irma kini masih mengemudi program Assalammualaikum di saluran TV AlHijrah. Oleh kerana mempunyai batas masa, Irma banyak menolak tawaran drama episod yang diberi kepadanya. Jelas Irma, banyak tawaran yang datang kepadanya memerlukan dia bertugas di luar Kuala Lumpur serta perlu komitmen masa yang lama. Bagaimanapun, jika punya tawaran yang diberi dalam bentuk telefilem, maka dia akan pertimbangkan perkara tersebut. "Mengenai watak pula, saya tidak kisah untuk berlakon sebarang watak asalkan ia bersesuai dengan imej berhijab, insya-Allah. "Malah, saya tidak kisah jika tawaran itu mempunyai watak hitam asalkan jalan ceritanya dapat memberi pengajaran kepada masyarakat," bicaranya lanjut mengenai watak yang diinginkannya dalam lakonan.
Berniaga Ingin menambah rezeki keluarga, Irma mengambil inisiatif membuka sebuah perniagaan busana Muslimah yang diberi nama Debumas yang telah beroperasi sejak Julai lalu menerusi laman sosial Instagram. Jelas Irma, dia banyak mendapat sokongan daripada rakan-rakan serta suami untuk menjalankan perniagaan tersebut. "Walaupun mungkin kini telah ramai orang, terutamanya rakan artis yang membuka perniagaan seumpama ini, saya rasa ia tidak beri saingan kepada saya. Jujur saya akui, rakan-rakan seperti Yatt Hamzah serta Dynas Mokhtar memang banyak membantu dalam menjalankan perniagaan ini. "Saya rasa bertuah kerana dikelilingi rakan yang berpengalaman untuk memberi tunjuk ajar. Mereka memang tidak kedekut ilmu. "Namun buat masa ini, saya tidak terfikir untuk membuka butik, malah kini hanya menjalankannya dalam talian sahaja," cerita Irma yang mengeluarkan idea sendiri bagi rekaan fesyen busana tersebut. | ||
Posted: SYJ gabungan yang mantap Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
NAMA kumpulan lawak SYJ yang terdiri daripada Syuk, Yassin dan Jihan, mula dikenali selepas mereka bergabung untuk bertanding di pentas Maharaja Lawak Mega 2013. Menariknya, gabungan pelawak lama (Yassin) dan baharu (Syuk) serta ratu parodi (Jihan) itu dilihat serasi dan semakin mencuri perhatian peminat. Malah, sehingga kini SYJ masih bertahan dalam pertandingan tersebut, selain nama mereka mula menjadi sebutan ramai. Salah seorang anggotanya iaitu Syuk mengakui, pelawak lama iaitu Yassin merupakan tunjang utama kepada kumpulan SYJ agar tidak tersasar daripada punchline lawak sebenar. Ikuti perbualan lanjut Kosmo! bersama Syuk, Jihan dan Yassin ketika ditemui baru-baru ini. Kosmo!: Apa yang kalian peroleh melalui gabungan pelawak SYJ? SYUK: Saya dapat belajar banyak perkara. Apa yang boleh keluar atau tidak ketika melawak. Kami memerlukan pelawak yang lama seperti Yassin. Jadi, lawak kami tidak tersasar daripada punchline lawak yang sepatutnya. YASSIN: Pelawak kini mudah diterima masyarakat. Gabungan ini juga memberi rezeki kepada pelawak lama seperti saya muncul kembali. Bagaimanakah SYJ mencipta keserasian? JIHAN: Keserasian itu sebenarnya datang sendiri ketika kami melawak di atas pentas. Dulu, saya akui ada ketikanya tidak faham dengan lawak yang cuba di sampaikan Yassin atau Syuk. Namun sekarang, melalui gerak tubuh sahaja saya sudah tahu apa yang ingin mereka sampaikan. Y: Sejujurnya, kami 'redah' sahaja semasa ingin bergabung mula-mula dulu. Tidak sangka pula, ramai yang cakap kombinasi kami bertiga bagus. Jadi, kami berhasrat untuk terus bertiga selepas ini seperti kumpulan Jambu. Apakah perasaan Yassin ketika diajak bergabung oleh Syuk dan Jihan? Y: Saya melawak secara spontan. Memang saya akui orang mengenali lawak saya ketika bersama Senario dahulu. Disebabkan itu saya perlukan pelawak-pelawak baharu seperti Syuk dan Jihan untuk mencipta kelainan. Harapan saya semoga SYJ dapat memberi suatu kelainan yang baharu kepada kumpulan-kumpulan lawak sedia ada. Apakah kelebihan pelawak-pelawak baharu pula? S: Membuat lawak juga kita kena perah otak betul-betul untuk beri orang ketawa. Kelebihan pada pelawak baharu apabila mereka ada idea yang belum diterokai. Disebabkan itu, SYJ dikatakan kombinasi yang bagus kerana ada pelawak baharu dan lama. Syuk sering keluar dengan lawak lucah ketika bersama kumpulan Balas dahulu. Bagaimana dengan SYJ pula? S: Saya sebenarnya sudah angkat sumpah untuk tidak mengeluarkan lawak lucah lagi. Memang saya akui ramai yang tidak suka. Alhamdulillah, dalam SYJ saya banyak belajar dengan Yassin dan Jihan untuk lebih berhati-hati ketika melawak di atas pentas. Apakah perasaan kalian apabila peminat menerima SYJ? Y: Kami bersyukur kerana mampu membuat penonton ketawa. Kami berjanji untuk beri yang terbaik dalam setiap persembahan sama ada menerusi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 yang menyaksikan kami masih bertahan lagi atau dalam mana-mana persembahan pentas. | ||
Pertembungan media sosial dan pengamal media Posted: Pertembungan media sosial dan pengamal mediaPADA masa kini, semua orang menggunakan media sosial sebagai medium baharu meluahkan rasa hati, memberi informasi, promosi dan mengumpul pengikut sehingga kurang berhati-hati tentang implikasi pada masa akan datang. YA, saya tahu, media sosial merupakan satu viral yang tidak boleh dinafikan. Kegilaan terhadap media sosial terutama apabila semua orang mahu menjadi pelapor tidak rasmi seperti mempunyai blog sendiri atau selebriti misalnya berasa besar dengan pengikut yang ramai dalam media sosial, memberi impak yang pelbagai kepada pengamal media profesional. Sebagai contohnya, isu tentang blogger terutama blogger hiburan memang sedang hangat diperkatakan dalam kalangan pengamal media profesional. Ia telah diulang tulis beberapa kali oleh rakan penulis hiburan yang lain. Isunya timbul apabila ada blogger seperti Beautifulnara misalnya, dengan jelas melaga-lagakan artis dan wartawan hiburan. Juga, dengan jelas, tanpa hadir ke majlis hiburan, dia akan mencedok artikel daripada akhbar tanpa memberi kredit kepada akhbar yang diambil tetapi menulis seperti ia memang ditemu bual olehnya. Malah, terdapat banyak blogger yang hadir ke sesebuah majlis, ikut serta temu bual, namun tidak pernah bertanya. Bagaimanapun, sebelum pengamal media mengeluarkan berita tersebut, ia terlebih dahulu 'disapu bersih' oleh blogger tanpa rasa bersalah. Ia sekali gus menghapuskan nilai eksklusif berita yang sepatutnya hanya dicetak atau dilapor pada keesokan hari. Pemberita tidak sah Secara peribadi, saya tidak menyalahkan blogger atau pemilik media sosial tetapi ia berkaitan dengan kepesatan teknologi yang tidak boleh ditinggalkan. Semua orang boleh menjadi pemberita tidak sah dan menggunakan medium sosial sebagai jalan untuk menyalurkan apa sahaja yang kita gelar sebagai informasi. Di sini masalahnya; pertembungan antara medium sosial dengan pengamal media. Ini kerana pada masa kini, hampir semua orang terutama selebriti mempunyai media sosial tersendiri untuk menyalurkan informasi, promosi ataupun isi hati. Malah, oleh kerana ada yang beranggapan pengamal media selalu memperleceh atau salah lapor dan semua label yang buruk diberi kepada kami, maka ramai artis dengan senang dan bangga menggunakan media sosial masing-masing seperti Twitter, Facebook atau Instagram untuk memperbetul laporan, menafikan kenyataan serta menyebarkan maklumat sendiri tanpa bantuan media. Paling ketara, seorang deejay yang baru berkahwin dan mempermainkan media dengan beberapa tweet yang mengelirukan. Pada hari pernikahan, wartawan yang hadir juga tidak disapa dan dipersalahkan kerana dianggap tidak dijemput tetapi hadir, maka hadaplah apa yang tuan rumah berikan iaitu layanan dingin. Usai majlis, dia kemudian memuat naik gambar selfie perkahwinannya dengan penjelasan berjela-jela. Ditulis dengan penuh 'permainan' meminta maaf kepada media dan menulis semua butiran tentang majlis tersebut supaya pada mata peminat, pengamal media ini tetap salah atau tidak faham bahasa dengan tidak menghormati privasinya. Wak Doyok Ya, media sosial juga kemudian digunakan juga oleh beberapa selebriti yang menafikan banyak tulisan rakan penulis hiburan kononnya ia tidak berlaku, bersifat bodoh dan sebagainya. Salah seorangnya, bukan orang industri hiburan tetapi menjadi selebriti mendadak kerana kononnya begitu stailo, Wak Doyok yang dengan terang terangan menerusi Instagram miliknya membenarkan para pengikutnya merendahkan martabat penulis hiburan hanya kerana sebuah artikel hiburan yang tidak mendalam tentang fesyen. Apa yang saya cuba sampaikan di sini, individu-individu seperti ini tidak memikirkan impak jangka panjang tentang karier mereka. Bukan mahu mendabik dada mengatakan soal rezeki mereka di tangan pengamal media, tidak sama sekali. Sebaliknya apa yang saya mahu katakan ialah cuba ingat pada zaman media sosial bukan satu viral, bagaimana kalian melayan pengamal media? Bagaimana kalian tidak kisah untuk sehari 14 kali turun sesi fotografi untuk meraih publisiti terutama untuk mengembangkan bisnes selepas nama menjadi terkenal. Pada masa itu, media sosial tidak sehebat hari ini. Dan pernahkah kalian terfikir kebarangkalian media sosial tidak akan terus menjadi viral. Jadi, adakah dengan muka tak malu akan kembali meminta publisiti kepada pengamal media elektronik untuk menghebahkan produk atau publisiti kalian? Kata bidalan orang lama, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Beringatlah sebelum membuat satu keputusan hanya kerana berasa media sosial yang diikuti oleh banyak penyokong kalian akan selalu menyokong kalian. Kuasa maklumat di hujung jari, memang tidak boleh dinafikan, namun saya percaya kalian semua jauh lebih bijak, rasional dan realistik daripada saya dalam membuat sesuatu keputusan supaya impaknya tidak memberi kesan negatif kepada karier kalian masing-masing. - MALIAH SURIP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |