{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


'Penjaga tasik' tahu niat pengunjung

Posted:

'Penjaga tasik' tahu niat pengunjung

'Penjaga tasik' tahu niat pengunjung

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL

LANGKAHAN pertama kaki sewaktu keluar dari calet di pinggir tasik itu terhenti seketika apabila kedinginan udara pagi seakan-akan mencucuk sehingga ke tulang kering.

Dengan persekitaran yang sejuk sambil alunan merdu suara unggas bersahutan, terlintas juga di fikiran bahawa lebih enak jika pagi itu dihabiskan sahaja dengan berehat di atas katil.

Masakan tidak, jam baru menunjukkan angka 7. Masih terlalu awal untuk meneroka kawasan tasik itu yang masih basah dek hujan malam tadi.

Bagaimanapun, niat itu hilang tiba-tiba sebaik sahaja kedua-dua kaki terhenti di gigi air. Di hadapan, terbentang sebuah tasik yang begitu indah seakan-akan sebuah lukisan.

Permukaan air yang tenang kelihatan seperti cermin memancarkan kembali rona jingga kebiruan mentari subuh hari itu. Ternyata keindahan Tasik Chini yang selama ini hanya terbayang di minda, kini terpampang di depan mata.

"Memang tasik ini nampak tenang. Namun, di sebalik ketenangannya itu, banyak kisah yang tersembunyi. Kisah misteri, mistik dan sedikit menggerunkan.

"Awak tahu tasik ini ada penjaganya? Cubalah tanya pada penduduk-penduduk asal kawasan ini, banyak kisah yang akan awak ketahui," ringkas penerangan yang dilontar Mohd. Razali M. Baki, 62, Pengerusi Komuniti Bestari 1Malaysia Felda Chini 2.

Mohd Razali yang lebih dikenali sebagai Pak Lang hanya tertawa kecil melihat reaksi pengunjung apabila dia menyebut perkataan 'penjaga'. Daripada pengamatannya, rata-rata pengunjung akan kecut perut apabila diajukan cerita sebegitu.


KEINDAHAN Tasik Chini sering dirakam menerusi lensa kamera para pelancong.


Sebesar tong dram

Namun, kepada yang berhati kering, minat mereka terhadap kisah-kisah mistik di sebalik nama Tasik Chini semakin meluap-luap.

Ujar Pak Lang, jika disebut nama Tasik Chini, pasti ramai akan terbayang kisah dongeng mengenai seekor naga yang menghuni tasik tersebut. Baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, ramai yang mengaku pernah mendengar nama Naga Tasik Chini.

Malah, kadangkala, ada pengunjung yang datang ke tasik seluas kira-kira 5,085 hektar itu semata-mata untuk melihat kelibat makhluk berkenaan.

"Mengikut legenda yang disampaikan orang tua-tua, Tasik Chini pada asalnya dijadikan tempat tinggal oleh dua ekor naga iaitu Naga Tasik Chini dan Naga Sri Gumum. Kedua-dua naga ini bersaudara," ujarnya.

Menghuraikan kembali kisah dongeng yang pernah didengarnya, Pak Lang berkata, pada suatu ketika, berlaku pertelingkahan antara Naga Tasik Chini dengan seekor lagi naga yang tinggal di Laut China Selatan.

Pertelagahan tersebut tiba ke kemuncak apabila Naga Tasik Chini bertekad untuk menyeberangi negeri Pahang bagi bersemuka dengan naga tersebut.

"Nasib tidak menyebelahi Naga Tasik Chini apabila dia tewas dalam pertarungan tersebut dan bersemadi di dasar laut. Kematian tersebut menyebabkan Naga Sri Gumum berang.

Tuntut bela

"Naga Sri Gumum kemudian bertekad membalas dendam untuk saudaranya itu, lalu dia menyeberangi negeri Pahang untuk ke Laut China Selatan," ujarnya bersemangat.

Cerita Pak Lang lagi, niat Naga Sri Gumum untuk menuntut bela bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia dihalang oleh Sultan Pahang yang menitahkannya supaya kekal sebagai penjaga Tasik Chini.

Terletak kira-kira 85 kilometer dari bandar Kuantan, Tasik Chini yang merupakan tasik air tawar kedua terbesar di negara ini menyimpan banyak kisah.


TASIK Chini mempunyai keluasan kira-kira 5,085 hektar dan terdiri daripada 13 buah tasik kecil yang bercantum.


Terkenal dengan kepelbagaian flora dan faunanya, Tasik Chini yang merangkumi 13 buah tasik kecil lain turut menjadi habitat kepada kira-kira 145 spesies ikan air tawar.

Turut menjadikan tasik tersebut sebagai salah satu sumber kehidupan ialah beberapa suku Orang Asli antaranya, Jakun yang membina penempatan di kawasan pinggir tasik.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalamannya sendiri, Pak Lang yang pernah menggalas jawatan sebagai Ketua Kampung Felda Chini 2 selama 12 tahun berkata, dia tidak pernah terserempak dengan Naga Sri Gumum walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di kawasan itu.

Namun ujarnya, pada tahun 1985, sewaktu dia sedang membawa bot di tasik berkenaan, dia pernah berdepan dengan satu makhluk aneh seakan-akan ular besar yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.

"Pada waktu itu saya sedang membawa bot secara berseorangan di tasik berkenaan. Secara tiba-tiba, di hadapan saya muncul satu lembaga seakan-akan seekor ular yang amat besar. Kulitnya berwarna hitam dan kelihatan seperti bercorak batik.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti apa sebenarnya lembaga itu kerana kepala dan ekornya berada di bawah permukaan air. Hanya sebahagian daripada badannya yang timbul. Badannya itu sebesar tong dram!," ujarnya.

Lebih menghairankan Pak Lang, lembaga itu muncul hanya seketika sebelum perlahan-lahan tenggelam semula ke dalam air.

"Itulah kali pertama dan kali terakhir saya terserempak dengan lembaga sedemikian. Sehingga kini saya masih tidak pasti lembaga apakah itu? Adakah ia Naga Sri Gumum? Saya tidak berani mengesahkannya," katanya mengakhir perbualan.

Niat

Gabungan antara keindahan alam semula jadi dengan latar belakang misteri Tasik Chini ternyata menjadi aspek penting yang meletakkannya sebagai salah satu pusat tarikan pelancongan di Pahang.

Malah, ada segelintir pelancong yang datang ke tasik tersebut semata-mata untuk melihat makhluk tersebut.

Berbekalkan lensa kamera sebagai senjata, golongan pelancong ini akan menggunakan perkhidmatan bot sewa untuk membawa mereka ke seluruh kawasan tasik bagi memburu si Naga Sri Gumum.


MEMBAWA bot pelancong menjadi salah satu mata pencarian penduduk di Felda Tasik Chini.


Seorang pemandu bot, Awang Kassim, 56, berkata, sepanjang tempoh 25 tahun dia mencari rezeki di tasik itu, tidak pernah sekalipun dia bertemu dengan penjaganya.

"Kisah Naga Sri Gumum sering diperkatakan sejak saya kecil lagi. Namun sehingga sekarang, saya tidak pernah melihatnya," ujar anak jati Pahang ini.

Bagaimanapun, menurut Awang, dia tidak menafikan sepenuhnya kebenaran kisah dongeng itu kerana difahamkan pada suatu ketika dahulu, ada sekumpulan pelancong luar negara pernah terserempak dengan Naga Sri Gumum.

"Mengikut cerita Orang Asli yang tinggal di sini, kumpulan pelancong itu beria-ia mahu melihat makhluk tersebut. Mereka sanggup menghabiskan masa di atas bot demi mengesan kelibatnya.

"Pada satu petang, kumpulan tersebut tiba-tiba ternampak satu makhluk seakan-akan ular yang amat besar. Berdasarkan cerita orang lama, mereka yakin itulah Naga Sri Gumum penjaga Tasik Chini," ujarnya sambil memberitahu, masyarakat Orang Asli percaya Naga Sri Gumum dapat membaca niat hati seseorang.

"Mungkin naga berkenaan tergerak hati untuk menunjukkan dirinya bagi menunaikan hasrat pelancong tersebut," seloroh Awang.

Gaung maut Bukit Tabur

Posted:

Gaung maut Bukit Tabur

Gaung maut Bukit Tabur

Oleh NOR IDAYU BOSRO


PEMANDANGAN indah yang mendamaikan dari puncak Bukit Tabur menggamit pengunjung dari dalam dan luar negara.


TRAGEDI yang berlaku pada 4 Disember lalu mungkin menyebabkan David Spencer, 29, mengalami trauma seumur hidup untuk mengikuti sebarang aktiviti pendakian.

Manakan tidak, hasrat warga Britain itu untuk melihat keindahan panorama Empangan Klang Gates di Bukit Tabur dekat Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor bersama seorang kenalan, Ng Pee Tat, 32, bertukar menjadi igauan ngeri apabila rakannya itu maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter (m).

Spencer, seorang guru muzik di sebuah sekolah antarabangsa di Setia Alam, Shah Alam memberitahu, mereka berdua memulakan pendakian sekitar pukul 6 petang dan berjaya tiba di Check Point 9 tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, mereka tersesat dan gagal menemukan jalan keluar selepas hari bertambah gelap.

"Kami menggunakan seutas tali semasa menuruni bukit, namun keadaan begitu licin menyebabkan kami tiada tempat untuk berpaut.

"Saya nampak Pee Tat cuba mencapai dahan pokok namun dia hilang keseimbangan badan lalu terjatuh ke dalam gaung," kata Spencer.

Insiden tersebut seolah-olah menjadi pemula kejadian jatuh gaung di Bukit Tabur menjelang tahun 2014.

Ia terbukti apabila sebulan selepas itu, seorang pendaki wanita, Noor Hasmahani Hashim yang mendaki bukit itu secara solo hampir menemui ajal selepas dia tergelincir ke dalam gaung sedalam kira-kira 10m.

Wanita berumur 28 itu bagaimanapun bernasib baik kerana diselamatkan oleh rimbunan dahan pokok di gaung tersebut.

Meskipun demikian, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang terpaksa mengambil masa selama 12 jam untuk mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.


PASUKAN penyelamat terpaksa menggunakan helikopter untuk mengeluarkan mangsa dari puncak Bukit Tabur kerana laluan darat yang curam dan berbahaya.


Lokasi sama

Noor Hasmahani yang menetap di Kampung Baru dilaporkan mengalami kecederaan di belakang badan, tangan dan muka.

Tidak hanya terhenti di situ, selang seminggu kemudian, seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Solehah Abd. Rahman, 25, maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 60m.

Dia yang pertama kali menyertai ekspedisi itu bersama tujuh rakan lain sempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul pada 14 Januari lalu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ekoran kecederaan parah yang dialami.

Salah seorang rakannya, Fakrul Nizam Tahar memberitahu, sebelum kejadian, dia menasihati Solehah supaya berpaut pada batu kerana dia bergerak di posisi yang salah.

"Sebaik sahaja Solehah cuba mengalihkan badannya, dia tiba-tiba tersilap langkah dan gagal berpaut pada batu lalu tergelincir ke dalam gaung.

"Saya sekadar melihat tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana kami masing-masing terpaksa berpaut pada batu-batu kecil di bukit itu," katanya yang berada di tepi Solehah sebelum kemalangan tersebut berlaku.

Secara kebetulan, kejadian yang menimpa Solehah merupakan kes kedua selepas pasukan bomba menyelamatkan Noor Hasmahani yang dilaporkan terjatuh di lokasi sama.

Kedua-dua pendaki wanita tersebut dikatakan terjatuh ke dalam gaung ketika cuba mendaki laluan curam sewaktu hampir sampai ke Check Point 11 setinggi 500m dari aras laut. Bukit Tabur mempunyai 14 Check Point.

Dalam kes Pee Tat pula, lokasi dia ditemui mati merupakan tempat yang sama pihak bomba menemui mayat dua doktor pakar kanak-kanak dari Hospital Ampang Puteri yang maut akibat terjatuh ketika mendaki bukit itu pada tahun 2009.

Ini merupakan sebahagian daripada insiden maut jatuh gaung di Bukit Tabur yang mendapat liputan meluas daripada media.

Belum lagi dikira kes-kes lain seperti pendaki hilang dan sesat di bukit yang terletak di dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan Satu itu.

Ketua Bahagian Operasi Pasukan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Juyana@Azlan Musa berkata, laluan trek di bukit yang juga dikenali sebagai Bukit Hangus dalam kalangan penduduk tempatan itu curam dan berbahaya.

GAMBAR yang dimuat naik Solehah di Facebook miliknya pada pukul 9.28 pagi iaitu kira-kira sejam sebelum dia terjatuh, 14 Januari lalu.


Keselamatan

"Kontur bukit itu memang menjunam dan tidak selamat. Pendaki perlu memegang batu-batu kecil dan melepasi pokok-pokok renek ketika mendaki," katanya.

Kesukaran laluan darat di bukit tersebut menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan bantuan helikopter dalam operasi menyelamat mangsa.

Setiausaha Persatuan Kembara Negara, Mohd. Rafi Kori berkata, aspek keselamatan di Bukit Tabur perlu dipandang serius bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak bertanggungjawab supaya meningkatkan tahap keselamatan di lokasi yang menjadi tarikan pengunjung baik dari dalam mahupun luar negara tersebut.

"Sudah terlalu banyak kes kematian yang dilaporkan di situ.

"Justeru, kerajaan perlu bertindak segera dengan menempatkan Bukit Tabur di bawah penyeliaan serta pengawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar aspek keselamatan dapat ditambah baik bagi menjamin kesejahteraan pengunjung," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafi turut menasihati para pendaki agar sentiasa mengikut standard prosedur operasi yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan sebelum dan semasa aktiviti pendakian berlangsung.

Beliau memberitahu, sebelum memulakan ekspedisi, pihak penganjur wajib melaporkan aktiviti mereka terlebih dulu kepada pihak berkuasa.

Katanya, laporan itu penting bagi membolehkan pihak polis bertindak lebih cepat jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini.

"Pendaki perlu ditemani jurupandu yang berpengalaman, mahir serta arif dengan selok-belok jalan di kawasan yang ingin dikunjungi.

"Selain itu, pendaki juga harus mengenakan pakaian dan topi keselamatan di samping menggunakan tali serta abah-abah yang berfungsi sebagai sokongan kepada tubuh.

"Pemakaian alat-alat tersebut secara tidak langsung dapat meminimumkan impak kecederaan sekiranya terjatuh," jelasnya.

Lelaki terkotor cari isteri

Posted:

Lelaki terkotor cari isteri

Lelaki terkotor cari isteri


ADA yang menyangka lelaki ini sebuah patung batu disebabkan warna kulit dan badannya yang menyamai warna tanah.


DIA solo dan sedang mencari cinta tetapi untuk memenangi hatinya, anda perlu menerima gaya hidupnya yang pelik.

Amou Haji, 80, yang tinggal di sebuah kawasan terpencil di Kampung Dejgah di wilayah Fars, selatan Iran tidak pernah mandi selama 60 tahun.

Dia mengatasi rekod terakhir manusia paling lama tidak mandi milik lelaki India berusia 66 tahun, Kailash Singh, yang tidak mandi selama lebih 38 tahun.

Tidak memeranjatkan apabila mendapati cara hidup peliknya itu disebabkan dia pernah melalui peristiwa pahit semasa mudanya dan selepas itu memutuskan untuk memencilkan diri.

Dia juga pernah melarikan diri daripada seorang lelaki muda yang menawarkan untuk memandikannya kerana dia percaya kebersihan akan membawa penyakit kepadanya.

Dia membuktikan pendiriannya itu betul kerana masih sihat walaupun sudah tua.

Bakar rambut

Dia juga tidak suka badannya terkena air, malahan jika disuruh mandi, Amou akan marah.

Kini, badannya dipenuhi tanah hinggakan warna kulitnya seakan-akan warna tanah. Ini menyebabkan ada yang menyangka dia sebuah patung batu sekiranya berdiri tegak tidak bergerak.


AMOU percaya kebersihan akan membawa penyakit kepadanya.


Bukan sahaja tidak gemar mandi, dia juga tidak makan makanan yang elok dan segar malahan tidak minum air bersih.

Makanan kegemaran Amou ialah daging landak busuk yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah.

Malah, dia dengan selamba menghisap paip yang diisi dengan najis haiwan, bukannya tembakau.

Dia juga bertindak memakai topi keledar perang bukan untuk menentang musuh di medan pertempuran sebaliknya bagi melindungi diri daripada musim sejuk.

Amou mempunyai beberapa tempat tinggal iaitu lubang di dalam tanah yang menyerupai kubu pertahanannya selain pondok yang dibina oleh penduduk yang kasihankan keadaannya.

Dia menggunakan cermin kecil untuk memeriksa dirinya, tetapi pilihannya tentulah cermin sisi kereta.

Berbumbungkan langit yang berbintang, pondok kecilnya disiapkan tanpa perlu bimbang tentang ansuran bulanan. Bantal dan selimut ialah 'kusyen lembut' bumi yang memeluknya setiap masa.

Malah, dia melalui hari-harinya tanpa perlu bimbang akan bil gas dan elektrik yang menunggu untuk dibayar.

Dia juga tidak takut dirompak pada malam hari kerana dia tidak pernah berharta.

Dia hanya sibuk melakukan aktiviti hariannya iaitu minum 5 liter air sehari menggunakan tin minyak yang sudah berkarat berbanding gelas kristal mewah.

Ketika rambutnya mulai panjang, dia tidak memotongnya menggunakan gunting sebaliknya bertindak membakarnya menggunakan api.

Meski hidupnya kotor, Amou dikenali sebagai orang baik. Nama 'Amou' itu sendiri merujuk kepada panggilan untuk orang tua yang baik terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat