Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
- Slovakia tekad pertahankan kejuaraan
- Bujang Senang berputih mata
- Juara Piala Malaysia 2013 tersungkur
Slovakia tekad pertahankan kejuaraan Posted: Slovakia tekad pertahankan kejuaraan
BIARPUN tampil sebagai juara bertahan, skuad bawah 16 tahun (B-16) Slovakia enggan memandang mudah terhadap cabaran pasukan B-16 Iran menjelang aksi final Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014 di Stadium Frenz, Janda Baik, Bentong, Pahang malam ini. Atas kertas, B-16 Slovakia dilihat tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan ini tetapi jurulatihnya, Ladislav Pecko bagaikan dapat 'menghidu' sesuatu daripada Iran. Pecko percaya skuad kendaliannya bakal mengundang padah jika terlalu mengambil ringan cabaran skuad kendalian Mostafa Ghanbar Pour itu. Apa yang pasti, Pecko yakin pertemuan di pentas final kali ini menjanjikan suatu kelainan jika dibanding edisi-edisi terdahulu. "Dalam bola sepak, misi mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada merebutnya. "Kami boleh dikatakan agak bernasib baik kerana dapat melepasi peringkat kumpulan yang mana setiap kumpulan dibarisi pasukan-pasukan yang hebat. "Saya dapat rasakan final kali ini sangat berbeza kerana saya yakin Iran akan memberikan cabaran yang cukup hebat perlawanan akhir nanti. "Seperti yang saya katakan tadi, Iran adalah salah satu pasukan yang kuat tetapi saya berharap pertemuan final kali ini bakal menyajikan aksi terbaik kepada para penonton. "Apa yang pasti, saya bersama anak-anak buah saya sudah bersedia untuk berjuang demi mempertahankan kejuaraan ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Frenz United FC, Datuk Noor Ihsan A. Hamid. Dalam perkembangan sama, rakan sejawat Pecko, Mostafa kini enggan lagi menoleh ke belakang dan mereka mahu menebus kekecewaan apabila sekadar muncul sebagai naib juara pada edisi sulung Piala Antarabangsa Frenz sebelum ini. Jelasnya, cabaran tahun ini lebih sengit jika dibandingkan pada kejohanan pertama lalu dan Mostafa percaya skuad kendaliannya memiliki kualiti untuk dinobatkan sebagai juara baharu. "Saingan cukup sengit, kita telah saksikan banyak pasukan hebat beraksi pada edisi tahun ini. "Namun, saya amat gembira kerana kami sekali lagi berjaya melangkah ke pentas final. "Muncul sebagai juara kejohanan ini sangat penting bagi Iran dalam usaha menyuntik semangat sebelum mengharungi Piala AFC B-16 di Thailand pada September depan. "Apa yang pasti, Iran menimba pengalaman cukup berguna ketika bertemu pasukan dari seluruh dunia," katanya. Iran melangkah ke final selepas menewaskan wakil Brazil, Internacional FC 3-1 pada aksi separuh akhir kelmarin, manakala Slovakia menang tipis 8-7 ke atas Sporting Lisbon menerusi penentuan sepakan penalti. Sementara itu, penentuan tempat ketiga dan keempat, Sporting Lisbon (Portugal) akan bertemu Internacional dari Brazil di gelanggang sama pada pukul 4 petang ini. Juara bakal menerima hadiah wang tunai AS$50,000 (RM160,000), naib juara AS$25,000 (RM80,000), tempat ketiga AS$15,000 (RM48,000) dan keempat AS$10,000 (RM32,000). Pemain terbaik kejohanan akan menerima AS$3,000 (RM9,600). | |
Posted: Bujang Senang berputih mataOleh MULLER ASEN
SKUAD Bujang Senang gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila kalah 0-1 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi. Penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe muncul wira pasukan The Red Warriors apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 selepas menolak mudah hantaran Mohamad Gaddar. Dengan keputusan itu, skuad kendalian Steve Darby kini mengutip enam mata selepas mengharungi dua perlawanan. Skuad Bujang Senang yang dibimbing Robert Alberts pula terus dihimpit episod suram apabila gagal mengutip sebarang mata selepas tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) minggu lalu. The Red Warriors pula mengutip enam mata selepas berjaya mengatasi Sime Darby 2-0 di Kota Bahru, sebelum ini. Bermain di hadapan kira-kira 20,000 penyokong, pasukan tuan rumah terlebih dahulu memberi amaran kepada The Red Warriors seawal minit keempat menerusi serangan pantas penyerang import, Milorad Janjus dan Alireza Abasfard. Bagaimanapun, jaringan oleh kapten pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie pada minit ke-43 tidak diiktiraf oleh pengadil apabila dia berada di posisi ofsaid. Sebaik bermula babak kedua, Sarawak bermula garang apabila tandukan Milorad Janjus melepasi palang gol Kelantan yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat. Sarawak terus mengasak untuk mencari gol penyamaan pada minit-minit terakhir, namun jentera penyerang buntu menghasilkan gol sehinggalah pengadil Mohd. Nafeez Abd Wahab meniupkan wisel penamat. Sementara itu, Alberts meluahkan rasa kecewa dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemainnya selepas gagal melakukan gerakan penyudah yang tepat. Katanya, para pemain nampak keletihan selepas mengharungi aksi Piala FA menentang Pulau Pinang, Selalu lalu selain jadual perlawanan liga yang padat. "Saya tidak salahkan pemain saya, tetapi kegagalan mereka menyempurnakan peluang di depan gol menyebabkan kita gagal menghasilkan sebarang gol selepas dua perlawanan. "Jadi, saya berharap pemain saya akan bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan menentang Sime Darby pada Selasa depan," katanya. | |
Juara Piala Malaysia 2013 tersungkur Posted: Juara Piala Malaysia 2013 tersungkurOleh AHMAD FAZLI MOHD. YAD PENYERANG Sime Darby, Dilshod Sharofetdidov jersi merah diasak pemain pertahanan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi yang menyaksikan Sime Darby menang 1-0. JURULATIH Sime Darby, Ismail Zakaria percaya skuad kendaliannya sudah mampu bersaing dengan pasukan elit dalam saingan Liga Super pada musim ini. Keyakinan Ismail itu hadir sejurus menyaksikan kejayaan Sime Darby menewaskan juara Piala Sumbangsih 2014, Pahang 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. Pada aksi tersebut, pemain tengah The Giant Killer, Fakhrul Razi Kamaruddin muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-50. Apa yang pasti, Ismail jelas gembira menyaksikan pasukan bimbingannya melakarkan kemenangan kedua berturut-turut termasuk kejayaan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada aksi pusingan pertama Piala FA di venue yang sama pada Selasa lalu. "Saya cukup berpuas hati dengan kesungguhan pemain saya. Mereka nampak yakin dan memiliki semangat untuk meraih kemenangan malam ini (malam tadi). "Begitupun, masih banyak ruang perlu diperbaiki dan saya percaya kami mampu menjaringkan lebih dari satu gol tetapi palang dan tiang gol lawan menjadi penghalang. "Begitupun, perjalanan liga masih jauh dan kami mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan pasukan ini sebelum aksi menentang Sarawak pada Selasa ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi. Ketika ditanya mengenai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menyiasat kenyataan yang mengkritik mutu pengadilan ketika tewas 1-2 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 18 Januari lalu, Ismail kekal tenang dengan menyifatkan beliau sedia disiasat. Sebelum ini, Ismail lantang bersuara mempersoalkan keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada The Red Warriors pada aksi pembuka tirai Liga Super. "Terpulang kepada FAM. Mereka lebih arif dalam hal ini dan sebenarnya, saya tidak mengkritik (FAM). Itu sahaja saya boleh katakan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, jurulatih Pahang, Ronald Smith mengakui kecewa apabila misi untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian. "Kami sudah cuba yang terbaik tetapi malangnya, nasib tidak menyebelahi kami pada aksi tersebut. "Mungkin kami terlalu terburu-buru untuk mencari jaringan awal menyebabkan Pahang dihukum menerusi jaringan pantas Sime Darby," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |