Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Gadis kasar jadi buruan Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
SEBAGAI seorang insan yang tidak pandai meluahkan perasaan terutama isi hati dan pendapat peribadi, wanita lewat 30-an itu meluahkannya melalui penulisan. Menerusi tulisan juga ia berdakwah dalam menyampaikan sedikit ilmu untuk santapan pembaca. Yusnida Tajudin, 39, atau nama sebenarnya, Yusnidawati Mohd. Yusof pernah bekerja sebagai pembantu peribadi dalam dunia korporat selama enam tahun sebelum bergelar penulis novel. Ketika itu juga, dia melakukan kerja sampingan sebagai tutor di kolej swasta. Setelah berkahwin, Yusnida meninggalkan dunia pejabat. Bagaimanapun, wanita dari Kampung New Zealand, Maran, Pahang itu masih mengajar melalui kelas tuisyen persendirian di rumah. "Biarlah ilmu ini menjadi saham untuk saya di akhirat. Mengajar lebih mudah bagi saya mengendalikan anak-anak dan meneruskan hobi dalam bidang penulisan. "Dahulu, minat menulis terhenti akibat kekangan masa, namun saya kembali aktif setelah melihat minat dan bakat anak-anak dalam dunia penulisan. Sejak itu, saya nekad untuk menjadi idola kepada anak-anak sebagai penggerak mereka dalam bidang ini," katanya yang menyifatkan menulis memberikan satu kepuasan. Dia yang mula menulis sejak berusia 12 tahun cenderung kepada puisi dan cerpen. Karyanya banyak disiarkan di majalah sekolah dan pendidikan serta akhbar tempatan. Ketika itu, dia menggunakan nama pena, Zahida M. Y. Setakat ini, Yusnida telah menghasilkan dua novel iaitu Biar Cinta Bertaburan yang diterbitkan pada Ogos 2012 dan ACAM, singkatan kepada Andai Cintamu Aku Miliki pada November 2013. Dia turut memiliki beberapa e-novel yang masih dalam proses pembikinan dan dipaparkan di blognya, http://ayeshatajudin.blogspot.com.
Karyanya sering menggunakan genre bukan fiksi seperti yang disampaikan melalui novel ACAM. Novel tersebut adalah kisah santai yang bertemakan percintaan dan pengorbanan. Peribadi Muslimah "Novel ini lebih kepada kisah dunia remaja dalam mengharungi erti percintaan, mengejar ilmu dan persahabatan. Di sebalik semua itu, terselit nilai-nilai peribadi seorang wanita Muslimah, sahabat dan anak yang bertanggungjawab. "ACAM membawa pembaca menghayati dunia remaja penuh onak dan liku, memahami getaran hati mereka dan cuba menyelami kisah suka dan duka," ujarnya ketika ditemui pada Ekspo Buku 1Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini. Novel setebal 511 muka surat itu disiapkan dalam tempoh setahun dan dijual pada harga RM24 (Semenanjung Malaysia) dan RM27 (Sabah dan Sarawak). Ia dilihat sebagai kisah yang sesuai untuk bacaan remaja malah mampu mengembalikan nostalgia pembaca yang telah lama meninggalkan dunia remaja. Yusnida cuba membawa pembaca menghayati karakter bernama Acam iaitu seorang gadis yang kasar dan bermulut lepas, sukar didekati namun mempunyai hati yang lembut. Rencah hidup Acam bermula apabila dia menyambung pelajaran di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, lokasi dia bertemu dengan seorang pemuda bernama Dzil. YUSNIDA (kiri) beramah mesra dengan peminat di Ekspo Buku 1Malaysia yang berlangsung di PWTC baru-baru ini. Sakat-menyakat antara Dzil dan Acam bertukar menjadi azam si jejaka untuk mendekati dan memiliki gadis kasar itu. Persahabatan mereka diibaratkan seperti kucing dengan anjing, begitulah warna hidup mereka di pusat pengajian. Pada masa sama, Acam turut mencuri perhatian lelaki bernama Qaid ketika menjalani latihan amali di kampungnya, Batu Pahat, Johor. Qaid cuba menyampaikan hasrat hati terhadap Acam dalam bentuk gurauan. Namun, Acam lebih selesa dengan status sahabat membuatkan Qaid akur dan menghormati keputusan gadis tersebut. Tatkala Acam menerima berita kehilangan Qaid yang maut akibat kemalangan jalan raya. Allah merungkai kemelut hati gadis tersebut dengan cara paling halus agar hubungan erat terjalin antara Acam dan keluarga Qaid tetap utuh. Ketahui kesudahan pergolakan hidup Acam yang mencari hikmah dan cinta dalam kehidupan melalui novel terbitan Love Novel Enterprise yang boleh didapati di kedai-kedai buku utama. | ||
Posted: Berbakti kepada tanahWAKIL daripada iM4U bekerjasama dengan Best Western Premier Dua Sentral Kuala Lumpur menanam sayur-sayuran di hotel itu. BEST Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur dan pertubuhan sukarelawan remaja, iM4U telah bekerjasama melaksanakan acara penanaman sayur-sayuran tempatan dan herba di kebun Best Western Premier Dua Sentral. Ia merupakan inisiatif untuk mewujudkan kesedaran kepentingan pengurangan karbon dalam kehidupan seharian. iM4U merupakan sebuah badan bukan berkeuntungan yang membantu memupuk dan menanamkan semangat sukarelawan dalam kalangan belia di Malaysia. Melalui acara-acara yang mereka sertai, ia bertujuan untuk memupuk generasi sosial yang sanggup menghulurkan bantuan untuk aktiviti sukarelawan. Selain itu, usaha tersebut juga merupakan satu latihan kepada pekerja-pekerja hotel tersebut untuk menanam sayur-sayuran tempatan di kediaman masing-masing. Seluruh tenaga kerja hotel tersebut terlibat dalam acara itu. Dengan bantuan remaja iM4U, pekerja-pekerja diajar untuk menanam sayur-sayuran menggunakan teknik dan kaedah penjagaan yang betul. STAF hotel Best Western Premier Dua Sentral berganding bahu menanam tanaman hidroponik di kawasan kebun hotel. Antara sayur-sayuran yang ditanam sepanjang sesi selama dua hari itu ialah terung, cili, tomato, kacang panjang, timun dan pelbagai jenis herba. Menurut Chef Eksekutif hotel berkenaan, Jaffery Othman, idea untuk mencipta dan membina kawasan kebun di hotel itu bermula sejak dua bulan lalu. "Proses penghasilan kebun ini merupakan satu langkah yang menuntut pemikiran inovatif dalam kalangan tenaga pekerja hotel, iM4U banyak membantu kami sepanjang acara ini," katanya. Tambahnya, dia bersama rakan-rakan dalam kumpulannya akan memantau perkembangan dan pertumbuhan sayur-sayuran dan herba sebanyak tiga kali sehari. Sayur-sayuran yang sudah matang akan dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan di kantin staf. Sementara itu, Pengarah Urusan Jenama Kumpulan hotel tersebut, Efny Johan memberitahu, acara itu yang julung-julung kali diadakan itu diharapkan dapat memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan semua peserta yang terlibat. "Kami berharap, kerjasama ini akan berpanjangan sekali gus memberi manfaat kepada pihak hotel. Pihak kami amat gembira kerana iM4U sedia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka. Inisiatif ini akan dilaksanakan di hotel Best Western yang lain di Malaysia," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |