Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI Ayub Rahmat (dua dari kanan) melihat replika nyamuk aedes sempena pelancaran Ops Gempur 2014 di Johor Bahru, semalam. JOHOR BAHRU 21 Jan. - Pemilik yang didapati bersalah membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes akan dikompaun RM500 dan diambil tindakan mahkamah sekiranya ingkar. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, mana-mana pihak yang ingkar boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan. Beliau berkata, negeri ini mencatatkan peningkatan kematian akibat demam denggi pada 2013 iaitu sebanyak 24 kematian berbanding hanya satu pada tahun sebelumnya. "Pihak kesihatan juga mengeluarkan 3,756 kompaun yang berjumlah RM1.8 juta dan hingga kini hanya 60 peratus sahaja pesalah telah membuat pembayaran. "Ini adalah satu kesalahan yang serius dan mereka yang ingkar bakal dikenakan tindakan mahkamah," katanya semasa melancarkan Ops Gempur 2014 di Taman Sri Bahagia, di sini hari ini. Johor Bahru mencatatkan kes denggi tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 59 peratus diikuti Batu Pahat (10 peratus), Kulaijaya dan Kluang (sembilan peratus), Kota Tinggi, Ledang dan Pontian (tiga peratus), Muar dan Segamat (dua peratus) manakala Mersing (satu peratus). Ayub berkata, tanggungjawab mencegah denggi bukan hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya setiap individu perlu memainkan peranan dalam memastikan kawasan sekitar khususnya premis mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes. "Hingga kini, kesedaran dan penglibatan tentang pencegahan denggi oleh masyarakat masih rendah dan ini harus diperbaiki bagi memastikan tiada lagi individu menjadi mangsa," katanya. |
Imigresen Johor tahan 148 PATI Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST Pekerja asing menunjukkan kad pengenalan masing-masing setelah diarahkan oleh pegawai imigresen dalam Operasi 6P Bersepadu di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, semalam. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 21 Jan. - Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 148 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi 6P Bersepadu yang dijalankan di negeri ini hari ini. Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah malam itu, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 1,211 warga asing, kebanyakannya di rumah kongsi kawasan tapak pembinaan. Beliau berkata, operasi tersebut dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Zon Barat di Kluang dan Muar, Zon Timur (Kota Tinggi), Zon Selatan (Pontian dan Nusajaya), Zon Tengah (Johor Bahru dan kawasan sekitarnya). "Seramai 148 warga asing termasuk 14 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. "Daripada jumlah tersebut, 94 yang ditahan adalah warga Indonesia, Nepal (23), Bangladesh (13), Kemboja (9), Myanmar (5) dan Pakistan (4). Kesemua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk tindakan selanjutnya," katanya selepas operasi berakhir kira-kira pukul 6 pagi di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini. Masri berkata, operasi tersebut bukan sahaja tertumpu kepada PATI, sebaliknya turut mengesan majikan, ejen dan individu persendirian yang didapati melakukan kesalahan di bawah kedua-dua akta berkenaan. Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, kebanyakan warga asing tersebut hanya membawa salinan pasport dan mendakwa pasport asal disimpan oleh majikan. "Ada dakwaan mengatakan majikan memegang pasport tersebut kerana pekerja asing berhutang dengan mereka. Namun, kita akan siasat perkara ini terlebih dahulu," katanya. Seramai 200 anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat dalam operasi tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |